Friday 28 February 2020

12 Kaum Yang Telah Dibinasakan Oleh Allah SWT

Editor Iskandar 

Kisah 12 kaum yang telah dibinasakan oleh Allah SWT perlu dijadikan iktibar kepada kita semua. Kisah-kisah umat-umat terdahulu yang kebanyakannya ingkar dengan suruhan Allah telah menerima azab yang dahsyat dan pedih. Itulah antara sebab kenapa kaum terdahulu dibinasakan, jadi kita wajib taat dan patuh serta beriman kepada Allah SWT.

Ikuti perkongsian ini bagaimana ia menceritakan tentang sejarah kaum yang dimusnahkan dan dibinasakan oleh Allah SWT. Kita sebagai manusia wajib dan perlu bersyukur di atas kurniaanNya kepada sehingga ke hari ini. Semoga kita terhindar daripada menjadi golongan yang dilaknat oleh Allah SWT.

12 Kaum Yang Telah Dibinasakan Allah SWT


Kaum Nabi Nuh
Nabi Nuh a.s. adalah rasul Allah yang merupakan keturunan ke sepuluh dari nabi Adam a.s. Diutus oleh Allah SWT di negeri Armenia. Beliau mengajarkan kaumnya untuk menyembah kepada Allah dan melarang kaumnya memperhambakan diri kepada selain Allah.
Mulai usia Nabi Nuh a.s 40 tahun hingga 950 tahun beliau mengembangkan ajaran-ajaran agama Allah SWT akan tetapi manusia di waktu itu tidak mempedulikan seruan dan ajaran agama Allah tersebut. Bahkan sebaliknya mereka memperolok dan membenci Nabi Nuh a.s. sehinggakan hanya sedikit sekali yang ingin beriman kepada Allah SWT.
Untuk hal itu Nabi Nuh a.s. menangis kerana sedihnya di atas keingkaran kaumnya itu. Selama ratusan tahun beliau menjalankan tugas kerasulan, hanya sedikit saja yang mahu beriman kepada Allah SWT. Kerana itulah Allah menyuruh Nabi Nuh a.s. untuk membuat perahu, kerana Allah bermaksud untuk menenggelamkan kaum yang derhaka itu.

Tidak lama setelah selesainya kapal kayu besar Nabi Nuh a.s. Berhembuslah angin taufan yang sangat dahsyat. Hujan turun dengan lebat, mata air bersemburan dari mana-mana yang terus menerus tak henti-hentinya selama berhari-hari. Air pun bertambah tinggi dan bumi berubah menjadi lautan yang sangat luas.

Nabi Nuh a.s. melaksanakan perintah Tuhan, naiklah beliau dengan orang-orang yang beriman ke atas bahtera sehingga selamatlah mereka dari banjir yang sangat dahsyat. Di tengah kapal sedang berlayar, tampaklah oleh Nabi Nuh a.s. anaknya yang hampir tenggelam. Maka berserulah Nabi Nuh a.s.

"Hai anakku! naiklah ke kapal bersama kami dan janganlah engkau menjadi manusia yang ingkar terhadap Allah!".

Akan tetapi anak Nabi Nuh a.s. menolak seruan bapanya dan berusaha berenang ke arah gunung. Namun air bah segera menenggelamkannya. Menyaksikan hal itu Nabi Nuh a.s. sangat sedih, begitu sedihnya sehingga Nabi Nuh a.s. menyeru kepada Allah SWT.

"Oh, Tuhanku! anakku telah mati tenggelam, sedangkan ia termasuk keluarga ku, padahal Tuhan telah berjanji akan menyelamatkan kami!"

Allah berfirman: "Hai Nuh! sesungguhnya orang-orang yang derhaka itu bukanlah termasuk keluarga mu!"

Menerima firman Tuhan tersebut, Nabi Nuh a.s. dengan sangat takutnya meminta ampun kepada Allah kerana telah berkata dengan tak tahu apa yang dilarang oleh Allah, iaitu meminta agar anaknya diselamatkan, padahal anaknya termasuk golongan orang yang derhaka. Setelah orang kafir ditelan oleh air, tinggallah orang-orang yang beriman yang mulai menempuh hidup baru di bawah bimbingan Nabi Nuh a.s.
Nabi Nuh a.s. wafat pada usia 950 tahun, akan tetapi selama beliau melaksanakan tugas kerasulannya hanya sedikit sekali yang mahu beriman. (QS Al-Ankabut : 14).

Kaum Nabi Hud
Nabi Hud a.s. adalah keturunan dari nabi Nuh a.s. yang diutus oleh Allah s.w.t. kepada kaumnya 'Ad namanya. Kaum 'Ad adalah umat yang hidup pada zaman itu yang memiliki sifat sangat sombong dan takabur kerana mereka merasa kuat dan pandai membuat bangunan-bangunan yang kukuh. Walau bagaimanpun mereka tetap menyembah berhala.
Adapun kaum 'Ad tersebut telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang. Yang mana Allah SWT menimpakan angin tersebut kepada mereka selama tujuh malam dan lapan hari secara terus menerus.
Kerana hal tersebut maka kaum 'Ad mati bergelimpangan seakan-akan mereka adalah batang pohon yang telah tumbang dan hancur, mereka musnah kerana azab dari Allah SWT yang sangat dahsyat dan hal itu terjadi kerana derhakanya mereka kepada Allah SWT.

"Setelah datang siksaan Kami, Kami selamatkan Hud dan orang-orang yang beriman bersama dia dengan rahmat Kami, dan Kami selamatkan pula mereka di akhirat dari azab yang berat." (s. Hud ayat 58)

Setelah terjadi malapetaka yang hebat itu kemudian Nabi Hud a.s. berpindah tempat tinggal di negeri Hadralmaut sampai akhir hayatnya kerana negeri 'Ad sudah hancur rosak dan binasa. (QS Attaubah: 70, Alqamar: 18, Fushshilat: 13, Annajm: 50, Qaaf: 13).

Kaum Nabi Saleh
Nabi Saleh a.s. (صالح) merupakan salah seorang nabi dan rasul dalam Islam dan telah diutus kepada kaum Thamud. Baginda telah diberikan mukjizat iaitu seekor unta betina yang dikeluarkan dari celah batu dengan izin Allah yakni bagi menunjukkan kebesaran Allah S.W.T kepada kaum Thamud.
Malangnya kaum Thamud masih mengingkari ajaran Nabi Saleh a.s. malah mereka membunuh unta betina tersebut. Akhirnya kaum Thamud dibalas dengan azab yang amat dahsyat iaitu dengan satu tempikan daripada Malaikat Jibril yang menyebabkan tubuh mereka hancur berkecai. (QS ALhijr: 80, Huud: 68, Qaaf: 12).

Kaum Nabi Luth
Nabi Luth adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim a.s. iaitu ayahnya yang bernama Haran bin Terah. Nabi Luth diutuskan sebagai rasul kepada satu kaum yang mendiami sepanjang timur laut (Dari Israel-Yordania), Laut Mati. Ibukota Sodom terletak di Utara Basin, Laut Mati.
Hampir keseluruhan kaum ini mengamalkan gaya hidup songsang, iaitu melakukan hubungan kelamin sesama sejenis iaitu lelaki dengan lelaki yakni meninggalkan perempuan. Perbuatan ini merupakan sesuatu penyelewengan fitrah yang amat buruk.
Nabi Luth telah menyeru mereka untuk menghentikan perbuatan tersebut disamping menyampaikan seruan-seruan Allah, tetapi mereka mengabaikannya dan malah mereka mengingkari kenabiannya. Akhirnya, kaum Nabi Luth dimusnahkan dengan bencana yang sangat mengerikan dan dahsyat. Kejadian ini berlaku pada kira-kira tahun 1800 sebelum Masihi.
Allah mendatangkan azab kepada mereka berupa gempa bumi yang dahsyat disertai angin kencang dan hujan batu sehingga hancurlah rumah-rumah dan kediaman mereka. Dan, kaum Nabi Luth ini akhirnya tertimbun di bawah runtuhan rumah-rumah mereka sendiri. (QS Alsyuaraa: 160, Annaml: 54, Alhijr: 67, Alfurqan: 38, Qaf: 12).

Kaum Nabi Syuaib
Nabi Syuaib diutuskan kepada kaum Madyan. Kaum Madyan ini telah dihancurkan oleh Allah kerana sikap mereka yang suka melakukan penipuan dan tidak jujur dalam perniagaan. Apabila membeli, mereka meminta dilebihkan dan apabila menjual sentiasa mahu dikurangkan.
Allah mendatangkan azab kepada mereka berupa hawa panas yang teramat sangat. Walau bagaimanapun, mereka cuba untuk berlindung di tempat yang teduh, perkara tersebut tidak mampu menghilangkan rasa panas. Akhirnya, mereka juga binasa. (QS Attaubah: 70, Alhijr: 78, Thaaha: 40, dan Alhajj: 44).
Selain kepada kaum Madyan, Nabi Syuaib juga diutus kepada penduduk Aikah. Mereka menyembah sebidang tanah atau padang yang pokok-pokoknya sangat rimbun kehijauan. Kaum ini mengikut sebahagian ahli tafsir disebut pula dengan menyembah hutan tebal. (Aikah) (QS AlHijr: 78, Alsyuaraa: 176, Shaad: 13, Qaaf: 14).

Firaun
Kaum Bani Israil sering ditindas oleh Firaun. Allah mengutuskan Nabi Musa dan Harun untuk memperingatkan Firaun akan azab Allah. Namun, Firaun malah mengaku sebagai tuhan. Ia akhirnya tewas di Laut Merah dan jasadnya berjaya diselamatkan. Sehingga sekarang dikatakan jasad Firaun masih boleh dilihat di muzium mumia di Mesir. (Albaqarah: 50 dan Yunus: 92).

Ashab Al-Sabt
Mereka adalah satu golongan fasik yang tinggal di Kota Eliah, Elat (Palestin). Mereka melanggar perintah Allah iaitu untuk beribadah pada hari Sabtu. Allah akhirnya telah menguji mereka dengan memberikan ikan yang banyak pada hari Sabtu dan tidak ada ikan pada hari lainnya. Mereka meminta rasul Allah untuk mengalihkan ibadah pada hari lain, selain Sabtu. Mereka akhirnya dibinasakan dengan dilaknat Allah menjadi kera yang hina. (QS Al-Araaf: 163).

Ashab Al-Rass
Rass adalah nama sebuah telaga yang kering airnya. Nama Al-Rass ditujukan pada suatu kaum. Kononnya, nabi yang diutus kepada mereka adalah Nabi Saleh. Namun, ada pula yang mengatakan Nabi Syuaib. Sementara itu, yang lainnya mengatakan, utusan itu bernama Handzalah bin Shinwan (ada pula yang mengatakan bin Shofwan). Mereka menyembah patung. Ada pula yang mengatakan, pelanggaran yang mereka lakukan kerana mencampakkan utusan yang dikirim kepada mereka ke dalam telaga sehingga mereka dibinasakan Allah. (Qs Alfurqan: 38 dan Qaf ayat 12).

Ashab Al-Ukhdud
Ashab Al-Ukhdud adalah satu kaum yang menggali parit dan menolak untuk beriman kepada Allah, termasuk rajanya. Sementara itu, sekelompok orang yang beriman dihumbankan ke dalam parit yang telah dibakar, termasuk seorang wanita yang sedang mendukung seorang bayi. Mereka dikutuk oleh Allah SWT (QS Alburuuj: 4-9).

Ashab Al-Qaryah
Menurut sebahagian ahli tafsir, Ashab Al-Qaryah (satu negeri) adalah penduduk Anthakiyah. Mereka mendustakan rasul-rasul yang diutus kepada mereka. Allah membinasakan mereka dengan satu suara yang sangat keras. (QS Yaasiin: 13).

Kaum Tubba’
Tubaa adalah nama seorang raja bangsa Himyar yang beriman. Namun, kaumnya sangat ingkar kepada Allah sehingga melampaui batas. Maka, Allah mendatangkan azab kepada mereka sehingga binasa. Kehidupan mereka juga sangat maju salah satunya daripadanya adalah pembendungan air. (QS Addukhan: 37).

Kaum Saba
Mereka diberi berbagai kenikmatan dan rezeki berupa kebun-kebun yang ditumbuhi pokok yang subur untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Saba. Disebabkan mereka enggan beribadah kepada Allah walaupun sudah diingatkan oleh Nabi Sulaiman, akhirnya Allah telah menghancurkan bendungan Marib dengan banjir yang sangat besar. (Al-Arim) (QS Saba: 15-19) - Facebook

Semoga perkongsian 12 kaum atau umat manusia yang terdahulu dibinasakan oleh Allah SWT ini dapat kita jadikan iktibar dan peringatan agar kita terus bertakwa kepada Allah SWT. Jauhilah kemaksiatan dan seumpamanya agar hidup kita memperoleh keberkatan dariNya. Semoga bermanfaat. - ilmualam.com

Copy and paste: 28 Februari 2020 / 4 Rejab 1441H : 5.43 pm

2 comments:

Iskandar said...

Terima kasih banyak di atas perkongsian artikel 12 Kaum Yang Telah Dibinasakan Allah SWT di blog Tuan Haji. Semoga bermanfaat kepada semua pembaca.

zulheimymaamor.blogspot said...

Sama-sama...
Artikel yang menarik dari saudara juga....