Sebagai mufti sepatutnya saya menjauhkan diri daripada mencampuri urusan politik. Tugas utama seorang mufti ialah memmberi pandangan hukum mengenai isu-isu yang berkaitan agama (Islam) serta menasihati umat Islam supaya mematuhi hukum-hukum tersebut.
Tetapi perkembangan politik dalam negara kita sehari dua ini menyebabkan saya berasa terpanggil untuk mengingatkan para pemimpin politik tanahair terutama yang beragama Islam supaya sentiasa berhati-hati dalam berpolitik. Mereka janganlah terlalu mudah terperangkap dalam corak politik Machiavelli yang hanya mementingkan matlamat merebut kuasa pemerintahan dengan apa juga cara walaupun dengan melanggar batas-batas agama dan moral.
Sehubungan dengan itu para pemimpin politik tidak kira daripada mana-mana parti pun perlu jujur terhadap rakyat jelata yang telah memberi mandat kepada mereka untuk mengendalikan urusan pemerintahan melalui undi pilihan raya umum ke 14 yang lalu. Biarlah kerajaan yang dipilih rakyat melaksanakan tanggungjawab mereka sehingga ke pilihan raya umum yang akan datang. Selepas itu nanti bersainglah secara sihat untuk menukar kerajaan menerusi saluran demokrasi seperti yang diamalkan di negara ini sejak merdeka sehingga hari ini.
Beginilah sepatutnya peralihan kuasa pemerintahan dilaksanakan. Dengan itu suasana aman tenteram akan terpelihara. Rakyat akan menjalani kehidupan seharian dengan tenang dan harmoni. Para pelabur pun akan yakin untuk melabur tanpa digugat dengan kerugian.
Perbuatan menukar kerajaan melalui pintu belakang bukan sahaja tidak selaras dengan sistem demokrasi, bahkan boleh disifatkan sebagai mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat! Di dalam Al-Qur'an (Surah Al-Anfal: 27) Allah SWT melarang keras umat Islam daripada mengkhianati amanah yang diserahkan kepada mereka yang sepatutnya dipikul dengan jujur dan ikhlas.
Memelihara amanah adalah salah satu sifat asasi seorang mukmin yang beruntung di sisi Allah SWT seperti yang dinyatakan di dalam Al-Qur'an, surah Al-Mu'minun. Malah di dalam sebuah hadis yang dilapurkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal Nabi s.'a.w. bersabda yang bermaksud, tidak sempurna iman seorang yang tidak beramanah.
Saya ingin mengajak para pemimpin politik supaya sentiasa menghormati garis panduan berpolitik yang digariskan di dalam agama Islam dan menjaga adab dan etikanya. Takutlah kepada Allah yang Maha Mengetahui isi hati makhluk-Nya dan ingatlah kepada hari akhirat nanti di mana masing-masing kita akan berhadapan dengan Pengadilan Ilahi yang akan menentukan kesudahan nasib seseorang sama ada mendapat nikmat syrga yang abadi atau akan tersiksa di dalam neraka, wal 'yazu billah!
DATO' SERI DR. WAN SALIM WAN MOHD NOOR
MUFTI PULAU PINANG.
Copy and paste: 25 Februari 2020 / 1 Rejab 1441H : 7.14 am
No comments:
Post a Comment