Showing posts with label HUKUM HAKAM. Show all posts
Showing posts with label HUKUM HAKAM. Show all posts

Monday, 8 June 2026

KETAKSUBAN KEPADA PEMIMPIN

Ketaksuban kepada pemimpin dalam Islam dinilai sebagai suatu penyelewengan aqidah dan akhlak kerana ia meletakkan ketaatan mutlak yang sepatutnya hanya milik Allah SWT dan Rasul-Nya kepada seorang makhluk biasa.
Dalam Islam, tiada manusia yang maksum (terpelihara daripada dosa) selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, mengangkat pemimpin ke tahap yang tidak boleh dikritik adalah dilarang sama sekali.

Kaedah Utama: Ketaatan Bersyarat
Islam menggariskan sistem politik yang sangat jelas: ketaatan kepada pemimpin wajib, tetapi bersyarat. Pemimpin hanya wajib ditaati selagi mana arahan dan dasar mereka tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ
“Tidak ada ketaatan dalam perkara maksiat. Sesungguhnya ketaatan itu hanyalah dalam perkara kebaikan.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Bahaya Ketaksuban Pemimpin dari Sudut Islam
  • Syirik Khafi (Syirik Tersembunyi): Apabila seseorang menghalalkan apa yang diharamkan oleh pemimpin, atau mengharamkan apa yang dihalalkan oleh pemimpin demi kesetiaan, mereka telah menjadikan pemimpin itu sebagai sekutu Allah.
  • Membela Kezaliman: Taksub menutup mata hati. Penyokong akan mempertahankan rasuah, penipuan, dan salah guna kuasa pemimpin dengan pelbagai alasan agama (menunggang agama).
  • Perpecahan Umat (Asabiyah): Masyarakat berpecah-belah bukan kerana prinsip agama, tetapi kerana mempertahankan "berhala politik" masing-masing.
Contoh Tauladan: Budaya Tegur Pemimpin dalam Islam
Para Sahabat Nabi (Khulafa al-Rasyidin) sangat membenci ketaksuban dan sentiasa meminta rakyat untuk menegur mereka.

1. Ucapan Dasar Saidina Abu Bakar al-Siddiq
Apabila dilantik menjadi Khalifah pertama, ucapan rasmi beliau kepada rakyat adalah:

"Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik untuk memimpin kamu, sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku berbuat baik, maka bantulah aku. Jika aku tersilap, maka betulkanlah aku."

2. Saidina Umar al-Khattab Ditegur Rakyat
Seorang lelaki pernah berdiri dan berkata kepada Khalifah Umar al-Khattab: "Bertaqwalah engkau kepada Allah, wahai Umar!"
Apabila para sahabat lain cuba menghalang lelaki itu kerana dianggap biadap kepada pemimpin, Saidina Umar segera menghalang mereka dan berkata:

"Biarkan dia bersuara. Tidak ada kebaikan pada kamu semua jika kamu tidak menyatakannya (teguran), dan tidak ada kebaikan pada kami (pemimpin) jika kami tidak mendengarnya."

Cara Islam Mencegah Ketaksuban
  • Mendahulukan Al-Quran dan Sunnah: Jika berlaku pertikaian atau pemimpin melakukan kesalahan, rujukan utama adalah hukum Allah, bukan hujah parti atau kenyataan media pemimpin.
  • Budaya Amar Ma'ruf Nahi Munkar: Rakyat wajib mempunyai sifat kritis untuk menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, termasuk kemungkaran yang dilakukan oleh kerajaan sendiri.
  • Melihat Pemimpin Sebagai Pemegang Amanah: Dalam Islam, jawatan bukan kemuliaan tetapi bebanan berat yang akan dipersoalkan di padang Mahsyar kelak.
ASABIYAH
Secara ringkasnya, asabiyah adalah sikap taksub, fanatik, atau perkauman yang melampau terhadap kelompok sendiri, sama ada berdasarkan suku kaum, parti politik, bangsa, atau organisasi [Riwayat Abu Dawud].

Istilah ini berasal daripada perkataan Arab "asabah" yang bermaksud kaum kerabat atau keluarga terdekat.

Dalam konteks sosial dan politik, asabiyah terbahagi kepada dua sudut pandang:

1. Menurut Pandangan Islam (Sifat Negatif)
Dalam Islam, asabiyah ditolak kerana ia membina kesetiaan membuta tuli. Ciri utama asabiyah yang dilarang ialah:
  • Membela kezaliman: Tetap mempertahankan dan memenangkan pemimpin atau ahli kumpulan sendiri walaupun mereka terang-terang melakukan kesalahan, penipuan, atau kezaliman [Riwayat Abu Dawud].
  • Menolak kebenaran: Menolak keadilan atau pandangan yang betul semata-mata kerana ia datang daripada pihak lawan atau kaum lain.
  • Ancaman berat: Nabi Muhammad SAW menegaskan bahawa sesiapa yang berjuang, bergaduh, atau mati demi asabiyah, mereka bukan daripada golongan umat baginda dan dikira mati dalam jahiliah.
مَنْ قَاتَلَ تَحْتَ رَايَةٍ عُمِّيَّةٍ يَغْضَبُ لِعَصَبَةٍ أَوْ يَدْعُو إِلَى عَصَبَةٍ أَوْ يَنْصُرُ عَصَبَةً فَقُتِلَ فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ
“Barangsiapa yang berperang di bawah bendera yang tidak jelas hala tujunya (buta tuli), dia marah kerana asabiyah, atau menyeru kepada asabiyah, atau membela asabiyah, lalu dia mati, maka matinya itu adalah mati jahiliyah.”
(Riwayat Muslim) 
 
لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ
Bukan termasuk golongan kami orang yang mengajak kepada asabiyah, bukan termasuk golongan kami orang yang berperang kerana asabiyah, dan bukan termasuk golongan kami orang yang mati kerana asabiyah.”
(Riwayat Abu Dawud)

2. Menurut Teori Ibnu Khaldun (Sifat Semula Jadi / Sosiologi)

Seorang tokoh pemikir Islam terkenal, Ibnu Khaldun, membincangkan asabiyah dari sudut sosiologi dalam kitabnya, Muqaddimah. Menurut beliau:
  • Asabiyah bermaksud semangat kekitaan, solidariti, atau kebersamaan yang wujud dalam sesebuah masyarakat.
  • Sifat ini diperlukan dalam skala yang positif untuk menyatukan manusia, membina kekuatan pertahanan, dan mendirikan sebuah negara atau tamadun.
  • Namun, jika semangat kekitaan ini bertukar menjadi ekstrem sehingga menzalimi pihak lain, ia akan merosakkan dan meruntuhkan tamadun tersebut.
Ringkasan Mudah
Asabiyah menjadi haram dan bahaya apabila ia membuatkan mata kita "sebelah sahaja"—iaitu sentiasa melihat pihak sendiri betul dan pihak lawan salah, sehinggakan kebenaran dan keadilan digadaikan demi menjaga kepentingan puak.

Islam mengajar kita untuk bersikap adil meskipun terhadap pihak yang kita benci, dan berani menegur walaupun terhadap pemimpin yang kita sayangi. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menegaskan prinsip integriti yang sangat tinggi ini dengan bersabda: "Sekiranya Fatimah binti Muhammad (anak perempuan kesayangan baginda) mencuri, nescaya aku sendiri yang akan memotong tangannya." 
(Riwayat al-Bukhari).
KESIMPULAN
Al-Quran menceritakan bagaimana di akhirat kelak, orang-orang yang taksub mempertahankan pemimpin mereka di dunia akan menyesal kerana telah disesatkan: 

وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا
“Dan mereka berkata: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi pemimpin-pemimpin dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.”

(Surah Al-Ahzab, Ayat 67)

Dalam dunia moden, Asabiyah menjelma dalam bentuk taksub parti politik, taksub ideologi dan taksub melampau kepada pemimpin. 

Jika "Asabiyah" telah menguasai minda , nilai "betul atau salah" tidak lagi penting, yang penting ialah "siapa yang cakap". Jika pemimpin sendiri menipu atau rasuah, ia akan dihalalkan dan dipertahankan. Kebenaran akan menjadi mangsa utama. 

Pemimpin yang tidak cekap kekal berkuasa kerana disokong oleh penyokong yang taksub, manakala golongan profesional yang menegur diketepikan.

Sejarah telah membuktikan bahawa Asabiyah adalah racun yang membunuh sesebuah tamadun dari dalam. Mempertahankan seseorang atas dasar fanatik kepuakan semata-mata, asal satu parti atau satu ideologi, yang salah pun dipejam sebelah mata. 

Asabiyah mengakibatkan kehinaan kepada pelakunya. Perjuangannya adalah perjuangan jahiliyah. 

Di hari akhirat, Allah akan bertanya mengapa kalian berani menyembunyikan kebenaran dan membelakangi Allah. Jawablah kalian kepada Allah. Sesungguhnya tanggungjawab kami hanyalah menyampaikan. Kami berlepas diri daripada kalian.

Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, K.L
8 Jun 2026: 9.57 p.m

Monday, 4 May 2026

RELEVANKAH POLIGAMI?

Oleh: Firdaus Wong Wai Hung

Poligami bermaksud berkahwin lebih daripada seorang dalam satu masa. Ia terbahagi kepada dua iaitu poligini dan juga poliandri. Poligini dapat didefinisikan seorang suami berkahwin lebih daripada seorang isteri di dalam suatu masa. Manakala poliandri adalah seorang isteri berkahwin lebih daripada seorang suami dalam suatu masa. Poliandri ditegah sama sekali di dalam Islam.

Al Quran Tidak Memperkenalkan Poligami
Antara perkara yang perlu diakui adalah, orang lelaki fitrah diri mereka adalah berpoligami manakala perempuan pula sifatnya monogami. Tanyalah mana-mana lelaki sekalipun nescaya mereka pernah terfikir untuk berpoligami dan lelaki boleh menyayangi serta membahagikan nafkahnya kepada beberapa orang wanita di dalam satu masa.

Berlainan pula dengan wanita, sifatnya apabila berkahwin mudah untuk setia kepada satu pasangan sahaja.

Situasi masyarakat berpoligami ini dapat dilihat di dalam sejarah ketamadunan manusia sejak dari dahulu lagi, hatta sebelum datangnya nabi Muhammad SAW.
Malah, semua kitab suci agama sebelum turunnya al Quran sudah berbicara soal poligami kecuali di kitab agama Buddha. Walaupun begitu di dalam kitab Tripitaka tidak memiliki ayat jelas mengenai larangan poligami.

Disamping itu terdapat catatan yang menyebut bahawa Siddharta Gautama Buddha juga pada awalnya berpoligami. Mengikut catatan sejarah China mengatakan Siddharta Gautama Buddha memiliki tiga isteri iaitu Yashodhara, Gotami dan Manohara. Manakala mengikut cacatan lain menyebut Buddha memiliki empat isteri iaitu Yashodhara, Mrijaga atau Gopa, Utpalavarna, dan Gotami.[1]

Jika dilihat di dalam Bible pula, ada ayat yang menceritakan soal poligami para nabi terdahulu, dalam Perjanjian Lama menceritakan Abraham memiliki 3 orang isteri (selain Sarah dan Hagar beliau berkahwin dengan Keturah, Kejadian 25:1), Raja Solomon memiliki 700 orang isteri dan 300 gundik (1 Raja-Raja 11:3)

Di dalam Kejadian bab 29: ayat 22-23, ayat 30, bab 30 ayat 4 dan ayat 9 Yakub berkahwin seramai empat orang isteri. Manakala Daud pula dikatakan berpoligami seramai lapan orang isteri berdasarkan 1 Tawarikh 3: 1-9 dan Samuel 18: 27.

Begitu juga dengan kitab agama Hindu juga terdapat kisah dewa mereka berkahwin ramai seperti Krishna sendiri dikatakan memiliki 16 108 orang isteri. Bapa kepada dewa Rama iaitu raja Dashratha juga berpoligami dan disebut di dalam kitab Ramayana dia memiliki isteri yang bernama Kausalya, Kaikeyi, dan Sumitra.

Di dalam agama Hindu juga membenarkan poligami seperti dalam kitab Baudhayana Dharmasastra, Apastambha Smerti, Yajnavalkya Smerti, Vishnu Smerti, Slokantara, Silakrama, Vrati Sasana, Srimad Bhagavantam, Bhagavanta Purana, Anussana Parwa, Bhavisya Purana, hingga Kamasutra Vatsyayana.

Dalam buku Evolution of Marriage: And of The Family ada menceritakan bagaimana bentuk setiap agama dan tamadun menganjurkan pernikahan. Hakikatnya jelas bahawa sebelum datangnya al Quran, masyarakat dunia sudah mengamalkan hidup dengan berpoligami terutama orang-orang ternama seperti raja dan ketua kabilah.

Di Rom, Parsi, Madian, Firauan di Mesir, dan di mana-mana empayar sekalipun sudah direkodkan bahawa berlakunya poligami di dalam masyarakatnya malah pernikahan mereka itu tidak teratur dan tidak memiliki had untuk jumlah isteri mereka. Orang lelaki pada ketika dahulu boleh berkahwin sebanyak mungkin wanita-wanita mereka malah mereka tidak ada garis panduan untuk membangunkan hak keadilan kepada wanita.

Sesungguhnya apabila diturunkan Al Quran kepada nabi Muhammad, ia bukanlah kitab yang memperkenalkan poligami kerana jauh sebelum itu manusia telah mengamalkan poligami. Akan tetapi di dalam al Quran, Allah menyebut supaya lelaki memilih monogami malah menghadkan kepada lelaki supaya tidak boleh melebihi empat orang isteri sepertimana disebut di dalam surah an Nisa ayat 3 yang bermaksud:

“Nikahilah wanita-wanita (lain) yang kalian senangi masing-masing dua, tiga, atau empat kemudian jika kalian takut tidak akan dapat berlaku adil, kahwinilah seorang saja.”

Ayat ini فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً menekankan akan soal keadilan dan menyarankan supaya lelaki berkahwin seorang sahaja. Al Quran bukanlah kitab yang memperkenalkan poligami tetapi ia adalah kitab yang menghadkan dan mengawal poligami.

Tidak ada dalam mana-mana kitab agama di dunia ini bicara soal berkahwin seorang wanita. Al Quranlah kitab yang pertama menghadkan poligami kepada lelaki. Sekiranya terdapat golongan orientalis yang gemar menuduh Islam agama yang memperkenalkan poligami maka terbuktilah mereka orang yang buta sejarah!

Contoh, jika dikatakan ayat di dalam surah an Nisa ayat 3 ini tidak diturunkan. Kita semua boleh bayangkan apa yang akan berlaku kepada institusi perkahwinan yang masih mengamalkan poligami seperti dahulu iaitu apabila lelaki sewenang-wenangnya boleh memiliki 20 orang isteri, 50 atau 100 orang sekali gus. Kerana tidak ada had yang menghalang mereka untuk berkahwin lebih. Akan tetapi pada hari ini, situasi ini berubah apabila al Quran satu-satunya kitab datang mengawal institusi perkahwinan poligami ini. Ayat ini seakan berada di pertengahan di antara dua isu, iaitu mengawal diantara kemelampauan dalam berpoligami dan juga golongan yang menentang poligami.

Ikut Barat Lebih Baik?

Di barat seperti Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, dan negara-negara lain seperti Australia, mereka mengharamkan poligami. Malah menjadi kesalahan apabila seorang lelaki itu berpoligami. Menurut mereka poligami itu simbol kerakusan nafsu seorang lelaki dan penghinaan kepada perempuan. Akan tetapi, perempuan simpanan atau hubungan seks dengan perempuan lain tanpa perkahwinan bukan satu penghinaan atau kerakusan nafsu bagi mereka.

Muthakhir ini ramai golongan feminisme memperjuangkan hak wanita dengan beranggapan poligami ini sudah tidak relevan. Malah mengikut mereka acuan barat itu lebih menepati kehendak institusi kekeluargaan semasa.

Sekiranya kita berbicara soal ini dengan mengetepikan hukum agama. Sebenarnya cara barat sangat menguntungkan pihak lelaki. Mana tidaknya sekiranya seorang lelaki dibenarkan hanya berkahwin seorang sahaja dan dibenarkan untuk memiliki perempuan simpanan dan boleh berpoya-poya dengan wanita lain sehingga mengandung dan lebih menarik lagi dia tidak perlu bertanggunjawab pun ke atas wanita tersebut. Sekiranya wanita simpanan itu mengandung, si lelaki tidak ada apa-apa hak ke atasnya dan undang-undang tidak akan melindungi hak wanita tersebut.

Malah sekiranya wanita itu mengajak lelaki itu berkahwin sekalipun dengan membawa bukti DNA anak itu adalah anak dari lelaki tersebut, lelaki itu memiliki alasan yang kukuh untuk menolak dengan alasan dia sudah memiliki isteri dan undang-undang mengharamkan dia untuk berpoligami. Dan sekiranya dia berpoligami maka boleh dikenakan tindakan yang berat.

Oleh itu pihak lelaki boleh memanafaatkan ruang ini untuk terus berpoya-poya dengan puluhan perempuan simpanan di luar sana.

Malah angka kes anak luar nikah begitu besar di barat. Anak-anak yang dilahirkan oleh perempuan simpanan tidak mendapat hak selayaknya. Malah jika ditanya kepada perempuan simpanan ini semua, mereka majoritnya bersedia untuk menjadi isteri kedua asalkan pihak lelaki boleh bertanggunjawab ke atasnya.

Sesungguhnya cara barat ini menguntungkan lelaki manakala cara Islam pula menguntungkan wanita. Ini kerana Islam datang mengisi tuntutan fitrah lelaki dengan mengizinkan mereka berpoligami disamping memberi garis panduan yang sangat ketat bagi seorang lelaki yang mahu berpoligami. Islam menegaskan supaya mereka perlu berlaku adil, memberi nafkah, memberi giliran, dan memberi pembahagian faraid (harta) kepada mereka. Ini kerana, poligami dalam Islam adalah mengambil amanah untuk memikul tanggunjawab terhadap isteri-isteri.

Kenapa Wanita Tidak Benarkan Poliandri?

Ramai juga yang mempersoalkan mengapa wanita tidak boleh berpoliandri (memiliki suami ramai pada satu masa) seperti lelaki. Banyak hikmah disebalik larangan ini di dalam Islam.

Pertama, jika dilihat seorang lelaki memiliki empat isteri, mereka akan tahu untuk ber-bin-kannya kepada nama ayahnya. Akan tetapi sekiranya seorang isteri memiliki empat suami, macam mana mereka mahu ‘bin’kan anaknya itu kelak? Adakah dengan menyenaraikan kesemua nama suami-suaminya? Sebagai contoh Anis bin suami A, suami B, suami C, suami D.
Mungkin ada yang akan mengatakan, dia boleh di ‘bin’kan dengan nama ibunya sahaja. Persoalanya, tamadun manakah yang menggunakan nama ibu sebagai nama keluarga (ber bin kan) kepada anaknya?[2]

Kedua, seorang lelaki yang memiliki empat isteri tetap boleh melakukan kerja dan tugas sebagai seorang suami kepada keempat isterinya. Cuba ditukar, seorang isteri memiliki empat suami melakukan kerja dan tugas sebagai seorang isteri kepada empat atau lima orang anak-anaknya bagi satu keluarga. Dan dia memiliki empat keluarga. Adakah di sempat melakukan kerja dan tugas sebagai seorang isteri kepada empat keluarga yang berbeza-beza?

Ketiga, mengikut kajian, seorang lelaki yang memiliki empat isteri dan mereka tidak melakukan hubungan luar selain daripada itu, didapati dia sihat dan tidak mendapat penyakit kelamin. Manakala jika seorang isteri yang sering bertukar-tukar pasangan (suami ramai) mudah mendapat penyakit kelamin seperti Chlamydia Trachomatis dan Gonnorrhea dan akan berjangkit kepada pasangannya.

Keempat, Sekiranya seorang lelaki memiliki empat isteri dia boleh mengilir isterinya setiap masa kerana orang lelaki tidak didatangi haid. Sekiranya isteri pertamanya haid maka dia boleh memilih isteri-isteri yang lain. Manakala sekiranya seorang isteri yang memiliki empat suami, dan dia didatangi haid, macam mana dengan situasi keempat-empat suaminya itu?

Kelima, seorang suami berkahwin empat, dia menginginkan lima orang anak bagi setiap isterinya. InsyaAllah dia akan dapat melakukan untuk itu. Manakala jika seorang wanita memiliki empat suami dan masing-masing suaminya mahukan lima orang anak. Bagaimana dengan situasinya? Si isteri mengauli suaminya dan mengandung sembilan bulan dan buat ujian DNA maka dia melahirkan seorang bagi anak suami A. Habis pantang dan seterusnya mengandung pula sembilan bulan dan lakukan ujian DNA, dia melahirkan anak bagi suami C. Habis pantang, mengandung pula sembilan bulan dan ujian DNA dia melahirkan anak kedua bagi suami C. Dan begitulah seterusnya.

Soalnya, bagaimana situasi dan kondisi perempuan ini? Hidup wanita yang poliandri ini akan musnah disebabkan tekanan dan stress.

Keenam, sekiranya wanita dan lelaki masing-masing boleh berpoligami, bagaimana dengan kedudukan dan institusi nasab dan keturunan. Boleh diperhatikan kepada gambar di poster di atas bagaimana carta keadaan sekiranya lelaki dan perempuan mengamalkan poligami di dalam sesebuah institusi masyarakat.
Rujukan rajah: (L = lelaki, P = perempuan, --- = kahwin)

Malah kita sudah memiliki rekod dari pengamal poliandri dari sebahagian masyarakat Tibet dan juga puak-puak yang mendiami Himalaya seperti puak Sherpa, Bhutia dan Lepcha yang kebanyakannya mengamalkan poliandri pada suatu ketika dahulu. Akan tetapi pada hari ini amalan ini mula menukar corak hidup mereka dan meninggalkan amalan poliandri yang pernah menjadi budaya dan cara hidup puak-puak tersebut.

Hujah ini menunjukkan bahawa poliandri ini tidak praktikal kepada wanita. Malah ia boleh menyebabkan rosaknya hubungan nasab dan menyanggahi fitrah mereka sendiri.

Islam Dan Poligami

Islam adalah agama yang menuntun fitrah manusia. Islam juga mempertahankan maruah dan mengangkat nilai seseorang wanita. Cuba tanyalah apa sekalipun kepada wanita yang membenarkan poligami mengenai syarat yang dia akan tentukan kepada si suami supaya berlaku adil kepadanya. Nescaya syarat-syarat yang dikemukakan itu tidak akan bercanggah dengan syarat yang Islam tetapkan. Islam menggariskan agar berlaku adil kepada isteri-isteri mereka iaitu memberi hak kepada yang berhak, memberi nafkah, membahagikan masa, harta, kasih sayang, giliran dan sebagainya.

Adapun al Quran juga telah mengkhabarkan mengenai seorang suami tidak boleh berlaku adil kepada isteri-isterinya, firman Allah yang bermaksud:
“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an Nisa: 129)

Ayat ini dilihat seakan bercanggah dengan ayat 3 yang menyebut “sekiranya kamu bimbang tidak dapat berlaku adil maka kahwinlah satu”.
Sebenarnya ayat ini berbincang konsep adil dari dua sudut yang berbeza. Dalam surah an Nisa ayat 3 Allah sedang berbicara di dalam soal keadilan sudut nafkah zahir, iaitu harta dan juga kemampuan. Manakala di dalam ayat ke 129 pula Allah berbicara dari sudut perasaan yang mana manusia tidak dapat berlaku adil dari sudut perasaan sayangnya kepada isteri.

Malah perkara ini normal. Begitu juga ibubapa yang memiliki tujuh orang anak, nescaya perasaan sayangnya kepada anak-anak itu berbeza-beza. Dan akan ada salah seorang darinya dianggap anak emas yang mereka sayangi. Perasaan sayang terhadap anak kita pun ada berbeza-beza. Begitu juga perasaan sayang kepada isteri-isteri. Itu adalah lumrah manusia.

Poligami juga membuka banyak ruang penyelesaian di antara hubungan suami dan isteri. Sebagai contoh, kita sedia maklum bahawa wanita dan lelaki terdedah kepada sakit dan ketidakmampuan dalam hubungan kelamin. Jika suami tidak mampu dari segi seks, si isteri boleh menuntut dipisahkan perkahwinan mereka. Akan tetapi sekiranya si isteri tidak bermampuan dari segi seks, amat tidak wajar wanita yang lemah dan sakit ditinggalkan begitu. Namun, dalam masa yang sama naluri suami juga hendaklah diraikan. Poligami cara Islam dapat menyelesaikan masalah ini.

Begitu juga jika si isteri mandul, apakah patut suami menceraikannya? Poligami sebagai penyelesaian keinginan kepada zuriat keturunan. Di dalam dua keadaan ini, poligami adalah penyelesaian yang terbaik. Disamping itu, dalam Islam menetapkan syarat yang agak berat kepada lelaki yang mahu berpoligami dan mereka harus mengikut apa yang telah diperintahkan oleh Allah.

Apa yang paling utama adalah dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Sekiranya lelaki itu mengikuti apa yang digariskan oleh al Quran dan Sunnah nescaya isteri-isteri mereka akan merasai keadilan yang diaturkan oleh Allah. Akan tetapi sekiranya tidak maka ia boleh merosakkan institusi kekeluargaan itu sendiri.

Kehancuran institusi kekeluargaan itu bukanlah disebabkan acuan yang Allah dan rasul tetapkan. Tetapi disebabkan sikap manusia yang merosakkannya dengan melanggar apa yang Allah dan rasul tetapkan. Analoginya adalah sebuah kereta Ferrari yang mewah dan bagus dipandu oleh pemandu yang tidak berhemah dan berlaku kemalangan. Yang bermasalah bukan kereta itu tetapi pemandu tersebut yang tidak mengikut aturan yang ditetapkan.

Ada juga yang timbulkan alasan bahawa poligami ini tidak bagus kerana dalam media massa sering tonjolkan bahawa poligami ini bermasalah. Satu perkara yang perlu diperbetulkan minda kita apabila berhadapan dengan media adalah, kebanyakkan media akan melaporkan sesuatu masalah yang jarang berlaku dan kemalangan yang tidak baik. Contohnya media akan memaparkan kes-kes penceraian antara suami isteri.

Pertama, Ini kerana kes bercerai jarang berlaku dan kedua media hanya menfokus kepada masalah. Mana mungkin media akan melaporkan “pada hari ini 1 juta pasangan di Malaysia masih kekal dalam perhubungan kekeluargaan” atau berita “pada hari ini 30 000 pesawat di seluruh dunia sampai ke destinasi yang dituju” berbanding dengan laporan pernceraian atau laporan mengenai pesawat yang terkandas atau berbahas.

Oleh itu, hakikatnya golongan yang berpoligami ramai yang tidak bermasalah berbanding dengan yang bermasalah. Demikian itu golongan yang berpoligami juga perlu mempromosi kelebihan dan kebaikkan kehidupan mereka dalam berpoligami agar dapat meneutralkan serangan media terhadap poligami dalam Islam.

Poligami Kerana Nafsu?

Adapun sebahagian orang kita selalu menyebut Nabi Muhammad pada hayatnya berpoligami dengan janda-janda tua. Janda yang kematian suami ketika berjihad dan baginda kahwin bukan kerana nafsu. Tidak sama dengan orang lelaki yang berpoligami sekarang kerana nafsu.

Pertama, walaupun benar nabi berkahwin dengan kesemua janda kecuali Aisyah, tetapi di dalam riwayat menceritakan majoriti isteri baginda masih muda kecuali Ummu Salamah dan Saudah sahaja. Dan tidak salah untuk berpoligami dengan anak dara, malah ada hadis nabi menyebut yang bermaksud:

“Hendaklah kamu mengahwini anak dara. Ini kerana mereka lebih baik perkataannya, lebih subur rahimnya dan lebih redha dengan yang sedikit”. (Ibn Majah, dinilai hasan dalam al-Silsilah al-Sahihah no 1520)

Orang mempersoalkan, lelaki sekarang ini poligami kerana nafsu. Jawapanya, ya, kerana lelaki dan perempuan masing-masing memiliki nafsu. Harus adakah cara untuk membuang nafsu? Dan adakah berpoligami itu suatu kesalahan? Sekiranya tidak salah mengapa harus ia dipandang serong? Adakah masyarakat kita lebih meredhai hubungan luar nikah seperti barat membenarkan perempuan simpanan berbanding seorang lelaki berpoligami?

Yang penting adalah macam mana mahu menguruskan nafsu mengikut aturan al Quran dan Sunnah. Ini kerana manusia tidak dapat membuang nafsunya selagimana dia masih hidup.

Kesimpulan

Al Quran bukanlah kitab pertama yang memperkenalkan poligami. Al Quran datang dengan menetapkan had dan juga menegaskan supaya lelaki memikirkan soal keadilan terlebih dahulu. Adapun golongan yang menuduh poligami sudah tidak relevan dan menindas wanita, hakikatnya pengharaman poligami seperti di Barat yang jelas menindas wanita. Malah, antara hikmah Allah hanya membenarkan lelaki sahaja berpoligami adalah disebabkan fitrah lelaki sudah dicipta sedemikian.

Nota Kaki:
[1] Lihat E. A Wallis Budge, (1923). Baralam and Yewasef: Being The Ethiopic Version of A Christianized Recention of The Buddhist Legend of The Buddha and The Boddhisattva, Cambridge Universiti Press, USA, hlm xlv / Lihat Amamath Thakur, (1996). Buddha And Buddhist Synods In India And Abroad, abhinav publications, New Delhi, hlm 24
[2] Kecuali Isa Ibni Maryam

R&D Team MRM 

C&P
4 Mei 2026: 1.21 p.m


HUKUM PERCAMPURAN LELAKI DAN WANITA

Oleh: Zahiruddin Justin

Sekilas pandang, hujah ini nampak masuk akal.
Kadang-kadang apabila satu isu agama dibincangkan di media sosial, kita akan melihat banyak hujah yang nampak logik… tetapi sebenarnya bercampur antara fakta dan salah faham.
Contohnya dalam isu ini.
Ada yang berkata, jika sesuatu pesta dikatakan bermasalah kerana percampuran lelaki dan perempuan, maka pasar malam atau food festival juga sepatutnya diharamkan kerana lelaki dan perempuan turut bercampur di situ.
Sekilas pandang, hujah ini nampak masuk akal.
Tetapi dalam fiqh Islam, para ulama sejak dahulu sudah menjelaskan bahawa percampuran lelaki dan perempuan tidak semuanya sama hukumnya.
Ada yang harus, ada yang makruh, dan ada yang jelas membawa kepada maksiat.
Di sinilah pentingnya memahami konteks sesuatu perhimpunan.
Mari kita lihat beberapa perkara penting.
1. Percampuran lelaki dan perempuan yang dibenarkan dalam Islam
Dalam kehidupan masyarakat, Islam tidak melarang lelaki dan perempuan berada di tempat yang sama jika tujuannya jelas dan adab dijaga.
Contohnya:
* urusan jual beli di pasar
* tempat kerja
* majlis ilmu
* urusan sosial masyarakat
* aktiviti ekonomi seperti pasar malam dan festival makanan
Dalam sejarah Islam sendiri, wanita pada zaman Rasulullah SAW datang ke masjid untuk solat berjemaah.
Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, wanita juga hadir ke masjid bersama lelaki tetapi dengan adab yang terjaga dan saf yang berasingan.
Ini menunjukkan bahawa percampuran yang terkawal dan mempunyai tujuan yang jelas adalah dibenarkan.
2. Contoh terbesar percampuran lelaki dan perempuan dalam ibadah
Jika kita mahu melihat contoh yang paling besar, lihat sahaja ibadah haji dan umrah.
Jutaan manusia berhimpun di satu tempat.
Lelaki dan wanita bertawaf di Kaabah.
Lelaki dan wanita berjalan di Masjidil Haram.
Lelaki dan wanita melakukan sa’ie antara Safa dan Marwah.
Namun ia tetap ibadah yang suci.
Kenapa?
Kerana:
* aurat dijaga
* adab dijaga
* tujuan ibadah jelas
* suasana tidak melalaikan
Ini membuktikan bahawa percampuran itu sendiri bukan masalah, tetapi bagaimana suasana dan tujuan percampuran itu berlaku.
3. Percampuran yang membawa kepada maksiat
Para ulama seperti Imam al-Nawawi dan Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan bahawa percampuran menjadi bermasalah apabila ia disertai perkara yang membawa kepada fitnah dan syahwat.
Contohnya:
1. pergaulan bebas tanpa batas
2. pakaian yang tidak menutup aurat
3. hiburan melampau yang melalaikan
4. tarian antara lelaki dan perempuan
5. suasana yang merangsang syahwat
Apabila unsur-unsur ini wujud, maka percampuran itu tidak lagi berada dalam ruang yang dibenarkan oleh syarak.
4. Kaedah fiqh yang dijelaskan oleh para ulama
Dalam Islam ada satu kaedah penting yang disebut oleh para ulama:
سد الذرائع (Sadd al-Zara’i)
Maksudnya:
“Menutup jalan-jalan yang membawa kepada maksiat.”
Jika sesuatu perkara membuka pintu kepada dosa dan kerosakan akhlak, maka Islam menutup jalan tersebut sebelum kerosakan itu berlaku.
Sebab itu pesta hiburan yang penuh tarian bebas, muzik melalaikan dan suasana yang merangsang nafsu tidak boleh disamakan dengan pasar malam atau festival makanan.
Tujuan kedua-duanya sangat berbeza.
5. Bezakan antara hiburan melampau dan aktiviti masyarakat
Di pasar malam atau food festival:
* orang datang membeli makanan
* keluarga datang bersama anak-anak
* aktiviti ekonomi berlaku
* suasana masyarakat biasa
Tetapi dalam sesetengah pesta hiburan:
* suasana dibina untuk hiburan melampau
* muzik kuat dan melalaikan
* tarian bebas
* pergaulan tanpa batas
Di situlah ulama membezakan hukumnya.
Akhirnya kita perlu faham satu perkara.
Islam bukan agama yang menyempitkan kehidupan manusia.
Islam membenarkan manusia:
* berniaga
* bekerja
* berkumpul
* bermasyarakat
Tetapi dalam masa yang sama Islam menjaga maruah, akhlak dan batas pergaulan supaya manusia tidak hanyut dalam perkara yang merosakkan.
Sebab itu apabila kita membincangkan sesuatu isu agama, jangan hanya melihat pada permukaan.
Lihat juga tujuan, suasana dan kesannya kepada masyarakat.
Kerana memahami agama bukan sekadar mengikut logik sendiri.
Ia perlu berpijak atas ilmu, adab dan kefahaman para ulama.
Begitulahh

C&P
4 Mei 2026: 9.00 a.m

Friday, 1 May 2026

LA-HAFIZ AL-IMAM AZ-ZAHABI : PEMERINTAH MENIPU RAKYAT


Al-Hafiz Al-Imam Az-Zahabi mengklasifikasikan perbuatan pemimpin yang menipu dan menzalimi rakyat sebagai salah satu daripada dosa-dosa besar dalam karyanya yang terkenal, Kitab al-Kaba'ir (Dosa-Dosa Besar). Beliau menempatkan perkara ini pada kedudukan Dosa Besar ke-16. 

Berikut adalah perincian mengenai peringatan Imam Az-Zahabi terhadap pemimpin yang menipu rakyat:

1. Ancaman Diharamkan Syurga
Imam Az-Zahabi menyandarkan hujah beliau kepada hadis sahih Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim daripada Ma'qil bin Yasar: 
  • Hadis: "Tidak ada seorang hamba yang diberikan tanggungjawab untuk memelihara rakyat sedangkan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkan baginya syurga.".
  • Ancaman ini menunjukkan betapa beratnya amanah kepimpinan di sisi Islam. 
2. Bentuk Penipuan Pemimpin
Menurut kupasan para ulama yang sering dikaitkan dengan karya ini, menipu rakyat bukan sekadar berkata dusta, tetapi meliputi:
  • Lalai dalam melaksanakan syariat dan keadilan Allah.
  • Mengabaikan keperluan rakyat atau tidak mendengar keluhan mereka.
  • Menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi atau mengaut harta awam.
  • Tidak memberi nasihat yang jujur atau panduan yang betul kepada rakyat. 
3. Azab di Hari Akhirat
Imam Az-Zahabi menekankan bahawa pemimpin yang zalim dan khianat akan berdepan dengan pengadilan yang sangat keras. Beliau memetik riwayat yang menggambarkan kegoncangan hebat yang akan dialami oleh pemimpin di jambatan (titian) menuju akhirat jika mereka menderhaka kepada Allah dalam urusan rakyat. 

LAIN-LAIN HADIS
Terdapat banyak hadis sahih dan riwayat lain yang memberikan amaran keras terhadap pemimpin yang menzalimi, menipu, atau menyusahkan urusan rakyat. Berikut adalah beberapa hadis penting yang sering dipetik oleh para ulama:

1. Doa Rasulullah SAW terhadap Pemimpin yang Menyusahkan Rakyat
Rasulullah SAW pernah mendoakan secara khusus agar Allah menyusahkan mana-mana pemimpin yang memberikan beban kepada umatnya:

Hadis: "Ya Allah, sesiapa yang memegang kuasa urusan umatku, lalu dia menyusahkan mereka, maka susahkanlah dia. Dan sesiapa yang memegang urusan umatku, lalu dia berlaku lembut kepada mereka, maka berlaku lembutlah kepada dia." 
(Riwayat Muslim).

2. Ancaman Neraka bagi Pemimpin yang Menipu
Selain hadis mengenai diharamkan syurga, terdapat riwayat yang secara terus menyebut tempat bagi pemimpin penipu adalah neraka: 

Hadis: "Sesiapa pemimpin yang menipu rakyatnya, maka tempatnya dalam Neraka." 
(Riwayat Ahmad).

3. Pemimpin yang Tidak Memberi Nasihat (Teguran) kepada Rakyat
Amanah kepimpinan menuntut kejujuran dalam membimbing rakyat. Jika pemimpin melihat kemungkaran tetapi mendiamkan diri atau tidak memberi nasihat yang betul demi menjaga kepentingan politik, mereka tergolong dalam ancaman besar: 

Hadis: "Tidak ada seorang hamba yang Allah serahkan kepimpinan untuk memelihara rakyat, namun dia tidak menjaganya dengan memberi nasihat (panduan yang tulus), melainkan dia tidak akan mencium bau syurga." 
(Riwayat Al-Bukhari).

4. Hilangnya Amanah sebagai Tanda Kiamat
Kehancuran sesebuah masyarakat bermula apabila kepimpinan diberikan kepada individu yang tidak layak atau tidak amanah: 

Hadis: "Apabila amanah itu disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran (kiamat)." Para sahabat bertanya: "Bagaimana ia disia-siakan?" Baginda menjawab: "Apabila sesuatu urusan (kepimpinan) itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran." 
(Riwayat Al-Bukhari).

5. Gambaran Pemimpin Akhir Zaman
Terdapat juga riwayat yang menggambarkan situasi mencabar di akhir zaman di mana struktur kepimpinan dipenuhi oleh golongan yang tidak berintegriti: 

Riwayat: "Akan datang pada akhir zaman para pemimpin yang zalim, menteri-menteri yang fasik, hakim-hakim yang khianat, dan para fuqaha (ulama) yang berdusta." 
(Riwayat al-Tabarani - sebahagian ulama menilai hadis ini sebagai lemah (dhaif), namun ia sering digunakan sebagai peringatan tentang kerosakan integriti).

Rujukan:


Thursday, 30 October 2025

FATWA MENGENAI HUKUM BERJABAT TANGAN DENGAN WANITA AJNABI


Kredit: Jabatan Mufti Negeri Kelantan

FATWA TAHUN 2008

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang kali 1/2008 di Bilik Mesyuarat Tingkat Empat Majlis Agama Islam Kelantan pada 06 Januari 2008 telah membingcangkan isu Fatwa Mengenai Hukum Berjabat Tangan Dengan Wanita Ajnabi dan telah bersetuju seperti berikut :

Mesyuarat berpendapat isu hukum berjabat tangan antara lelaki dengan wanita ajnabi ini termasuk perkara khilafiah yang furu’ dan ia bukan merupakan perkara usul. Oleh itu, mesyuarat mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan fatwa berkaitan dengan isu ini dan isu-isu khilafiah furu’ yang lain selagi keadaan tidak memerlukan dan ia tidak menjejaskan kepentingan awam.

ISU DAN MASALAH

1- Malaysia adalah sebuah Negara yang mengamalkan mazhab Syafei dan secara umum masyarakat Islamnya telah sedia maklum bahawa bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita ajnabi adalah dilarang dan membatalkan wuduk. Jika dilihat kepada sukatan pendidikan Islam sejak di sekolah rendah lagi ditekankan bahawa bersentuhan kulit antara lelaki dengan wanita ajnabi adalah antara perkara yang membatalkan wuduk.

2- Hakikinya di Malaysia berjabat tangan dengan wanita ingin bersalaman dengan lelaki yang bukan muhrim terutamanya untuk bermaafan semasa hari raya, kebiasaannya kain digunakan sebagai lapik atau alas.

3- Walaubagaimanapun sejak kebelakangan ini amalan berjabat tangan dengan wanita ajnabi(tanpa alas) semakin menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat Malaysia terutama semasa menghadiri majlis-majlis rasmi kerajaan dan Negara. Apa yang membimbangkan sekiranya amalan ini akhirnya diterima sebagai satu kebiasaan.

DALIL DAN HUJAH

Para ulamak memberikan pandangan yang berbeza dalam menjawab persoalan berkaitan hukum berjabat tangan dengan wanita ajnabi. Hakikinya kebanyakan mereka menyatakan isu ini dengan hukum wuduk iaitu samada batal wuduk atau sebaliknya apabila bersentuhan kulit antara lelaki dengan wanita ajnabi sebagaimana firman Allah S.W.T dalam ayat yang berkenaan dengan wuduk dan tayamum:

أولمستم النساء

Maksudnya : Atau kamu bersentuhan dengan perempuan (surah an-nisa’: 43)

PANDANGAN ULAMAK MAZHAB EMPAT

1- Berhubung samada batal wuduk ataupun tidak sekiranya bersentuhan kulit antara seorang lelaki dengan wanita ajnabi, ulamak mazhab yang empat mempunyai pandangan yang berbeza. Doktor Wahbah Zuhaili menerusi bukunya al-Fiqh Islami Aaadillatuhu ada menjelaskan pandangan setiap mazhab berhubung isu ini sebagaimana keterangan :

i- Mazhab Hanafi: wuduk hanya akan terbatal apabila berlakunya jamak atau seorang lelaki menyentuh perempuan dengan penuh syahwat sehingga dia merasa ghairah tanpa sebarang kain antara mereka.

ii- Ulamak mazhab Maliki: wuduk tidak terbatal dengan memuaskan nafsu melalui pandangan mata atau khayalan semata-mata walaupundia merasa terangsang atau ghairah tanpa mengeluarkan air mazi begitu juga tidak batal wuduk dengan menyentuh seorang kanak-kanak perempuan yang belum memberahikan (belum baligh) atau lelaki yang telah tua. Disisi mazhab Maliki wuduk hanya akan terbatal berdasarkan syarat-syarat berikut:
a- Hendaklah orang yang menyentuh itu seorang yang sudah baligh
b- Orang yang disentuh itu pada kebiasaannya adalah seorang yang memberahikan.
c- Hendaklah orang yang menyentuh berniat untuk memuaskan nafsunya ataupun dia merasai nikmat tersebut walaupun tidak berniat sedemikian.

iii- Mazhab Hanbali: menurut pandangan yang masyhur di kalangan mereka wuduk akan terbatal dengan menyentuh kulit seorang wanita tanpa berlapik dan disertai dengan nafsu. Kesimpulannya jumhur ulamak selain daripada mazhab Syafie berpandangan bahawa wuduk tidak terbatal dengan sebab bersentuhan antara lelaki dengan wanita ajnabi.

iv- Sebaliknya, mazhab Syafie berpendapat wuduk tanpa alas tetap terbatal dengan berlakunya sentuhan antara seorang lelaki dengan wanita ajnabi walaupun orang yang disentuh itu sudah meniggal dunia. Bersentuhan tanpa alas turut membatalkan wuduk orang yang menyentuh dan orang yang disentuh walaupun salah seorang daripada mereka adalah orang tua yang hodoh atau lemah. Bagaimanapun wuduk tidak terbatal dengan menyentuh rambut, gigi dan kuku atau bersentuhan dengan berlapik.

PANDANGAN ULAMAK BERHUBUNG HUKUM BERSALAMAN ANTARA LELAKI DENGAN WANITA AJNABI.

Pada dasarnya terdapat pelbagai pendapat ulamak mengenai hukum berjabat tangan dengan wanita ajnabi. Pada asasnya perbezaan pendapat tersebut turut berhubung kait dengan perbahasan mereka tentang ayat 43 surah an-Nisa’(أو لمستم النساء) Walaupun begitu tidak dinafikan majoriti ulamak berpandangan hukum bersalaman dengan wanita ajnabi adalah dilarang (haram).

Dr. Yusuf Al-Qardhawi menerusi kitabnya Fatwa Muasirah berpendapat, haram berjabat tangan dengan wanita jika disertai bersamanya rasa ghairah kepada salah satu pihak samada lelaki mahupun wanita. Dihukumkan sebagai haram juga sekiranya dengan berjabat tangan itu diyakini akan membawa kepada fitnah. Ini kerana menjauhi segala perkara yang boleh menjerumuskan seseorang ke kancah maksiat adalah wajib, apatah lagi jika sebab ataupun punca ke arahnya adalah jelas dan nyata.

Walau bagaimanapun dalam soal berjabat tangan dengan wanita tua yang sudah tidak mempunyai keinginan atau kanak-kanak perempuan kecil yang masih belum mempunyai keinginan, Al-Qardhawi berpandangan bahawa keringanan diberikan untuk berjabat tangan ketika itu kerana ia adalah selamat daripada sebarang fitnah. Hukumnya adalah sama jika bersalaman dengan lelaki tua yang sudah lanjut usianya serta tidak mempunyai keinginan syahwat. Firman Allah S.W.T dalam (surah An-Nur: 60) :

والقواعد من النساء التى لا يرجون نكاحا فليس عليهن جناح أن يضعن ثيابهن غير متبرجت بزينة. وأن يستعففن خيرلهن والله سميع عليم .

Maksudnya: Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi, maka tidak ada seolahnya mereka meninggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka, dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatan (dengan tidak meninggalkan pakaian luarnya itu adalah lebih baik bagi mereka) dan ingatlah! Allah amat mendengar, lagi amat mengetahui.

Firman Allah S.W.T: (Surah An-Nur: 31)

أو التبعين غير أولى الإربة من الرجال أو الطفل الذين لم يظهروا على عورت النساء.

Maksudnya: “……..atau orang gaji dan orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan…..”

4- Sementara itu, Dr.Ahmad As-Syarbasi ketika ditanya hukum bersalaman antara lelaki dengan wanita ajnabi menjelaskan bahawa terdapat tiga pandangan ulamak

Pertama :
pandangan ( tidak jelas, buku Muzakarah 1/2008, 6 jan 2008) yang melarang sentuhan antara lelaki dengan wanita ajnabi samada ia disertai dengan syahwat ataupun tidak.

Kedua:
Pandangan yang melarang bersentuhan kulit antara lelaki dengan wanita sekiranya sentuhan tersebut disertai dengan syahwat, namun dibolehkan sekiranya tanpa syahwat.

Ketiga :
Pandangan longgar yang membolehkan lelaki dan wanita ajnabi bersentuhan kulit. Perbezaan pendapat ini sebenarnya turut berasaskan perbezaan pendapat samada batal wuduk ataupun tidak bila bersentuhan antara lelaki dan wanita. Mengakhiri jawapan , as-syarbasi menyebut bahawa Nabi s.a.w tidak bersalam dengan wanita yang ingin membai’ah baginda sebaliknya menerima bai’ah mereka dengan lisan sahaja. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:

Maksudnya: Sufian bin Ainiah mendengar Mohammad Ibnu al-Munkadar berkata ia mendengar Aminah binti Rakikah berkata, ia pergi kepada perempuan yang hendak berbai’ah dengan baginda, lalu baginda bersabda: “Terpulanglah kepada keupayaan dan kesanggupan kamu semua, kerana sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan orang-orang perempuan.” (Riwayat Ibn Majah)

As-Syarbasi seterusnya membuat kesimpulan bahawa Nabi S.A.W menghindari daripada bersalaman dengan wanita ajnabi sebagai langkah berhati-hati dan menjauhkan diri daripada perkara yang meragukan.

5- As-syeikh Atiah Sakar semasa ditanya hukum berjabat tangan antara lelaki dan wanita ajnabi menjawab tiada tegahan sekiranya berlapik. Namun begitu jika tiada keperluan lebih baik perkara tersebut dielakkan. Sebaliknya berjabat tangan dengan wanita ajnabi tanpa beralpik adalah dilarang berdasarkan perbuatan nabi S.A.W yang tidak bersalam dengan kaum wanita yang ingin memberikan bai’ah kepada baginda, walaupun bai’ah itu merupakan urusan yang sangat penting.

6- Selanjutnya Atiah Sakar turut menjelaskan bahawa para fuqaha’ bersependapat bahawa haram menyentuh wanita secara sengaja dan bertujuan mendapatkan ghairah, tetapi tidak haram sekiranya secara tidak sengaja.
Walau bagaimanapun sesetengah fuqaha menghukumkan haram bagi sentuhan yang dibuat secara sengaja walaupun tidak bertujuan untuk mendapatkan hairah, namun sebahagian Fuqaha yang lain pula hanya menghukumkannya makruh seperti bersalaman dengan wanita tua yang telah lanjut umurnya. Walau bagaimanapun, pandangan yang rajih ialah haram menyentuh atau bersalaman dengan wanita.

7- Berhubung isu yang sama, As-syeikh Mohd Salleh Al-A’simin melontarkan pandangan yang agak rigid dengan menyatakan tidak harus bersalaman dengan wanita ajnabi samada dengan berlapik ataupun tidak. Sekiranya amalan bersalam itu telah menjadi adat maka dapat tersebut hendaklah dibatalkan kerana ia bertentangan dengan syara’. Beliau beralasan sentuhan memberi kesan yang lebih besar berbanding pandangan dan lebih mendorong kepada syahwat.

8- Darul Ifta’ Al-Mesriah ketika menjawab persoalan berhubung pekerjaa lelaki sebagai pendandan rambut wanita menjawab bahawa pekerjaan tersebut serta sumber pendapatannya adalah haram dengan mengaitkan haram bagi seorang lelaki memandang ke arah seseorang wanita ajnabi selain daripada muka dan dua tapak tangannya dan haram juga menyentuh sesuatu daripada jasad wanita ajnabi.

9- Fatwa mufti kerajaan Brunei Darul Salam berhubung isu bersalaman diantara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim menetapkan jawapan yang panjang lebar seperti berikut:

* - Adalah sunat berjabat tangan di antara dua lelaki (sesama lelaki) dan di antara dua orang perempuan(sesama perempuan). Tetapi haram lelaki asing menyentuh dan berjabat tangan dengan perempuan dengan tiada berlapik. Kecuali menyentuh itu ketika berubat, itu pun sekadar hajat dan sekadar hajat dan sekadar yang mustahak sahaja.

* - Ada pendapat yang mengatakan bahawa berjabat orang perempuan dengan raja lelaki atau sebaliknya berjabat orang lelaki dengan raja perempuan itu membawa rapat dan mesra serta taat setia rakyat kepada raja itu.

*- Pendapat ini silap, kerana perkara kasih mesra dan taat setia itu ialah perkara yang baik, yang dituntut oleh agama terhadap sesama islam dan terhadap U’li Amri atau raja, sebagaimana yang disebut oleh al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W. Sedangkan berjabat dan bersalaman oleh perempuan dan lelaki tiada berlapik itu ialah perkara haram, jadi bagaimanakah perkara haram yang ditegah oleh Allah dan berdosa melakukannya itu boleh membuahkan perkara ayng baik iaitu kasih sayang dan taat setia?

*- Seperti juga satu lagi misalnya yang lain, iaitu masalah makan minum yang haram adalah sama sekali tidak akan mendatangkan rahmat dan kebajikan walaupun ianya mengenyangkan sama seperti makan dan minum yang halal juga. Tetapi akibat dan hasilnya adalah berlainan. Orang yang makan dan minumnya halal doanya makbul diangkat oleh Allah and pangkatnya umat tinggi di sisinya, seperti yang berlaku kepada seorang yang bernama U’wish Al-Qarni, dia sungguh masyhur dan terkenal di langit walaupun di bumi tidak ramai yang mengenalinya. Sila perhatikan hadis ini:

إن الله طيب لا يقبل إلا طيبا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu elok, baik dan bersih, dia tidak akan menerima melainkan yang elok, yang baik dan yang bersih sahaja.

Ukuran elok, baik dan bersih di sini bukan ukuran akal dan pancaindera kita manusia tetapi ukuran dan timbangan syarak. Rasulullah s.a.w menolak orang perempuan yang hendak berjabat tangan dengan baginda. Baginda sama sekali tidak berjabat tangan dengan orang-orang perempuan. Baginda Rasulullah s.a.w mengikat perjanjian taat setia dengan orang-orang perempuan itu ialah dengan mulut yakni dengan perkataan sahaja, bukan dengan berjabat tangan.

Cubalah bayangkan dan baca sejarah, bahawa sahabat-sahabat Nabi s.a.w dari orang lelaki mahupun perempuan adalah amat cinta terhadap baginda serta taat mengikut arahan dan perintah, dan sampailah ke mari ini pun kaum Muslimin dan tidak terkecuali juga kaum muslimat, kecintaan dan ketaatan terhadap baginda adalah tidak berubah, bahkan tetap subur dan menyala insyaAllah sehingga hari kiamat. Padahal kita umat Islam sekarang, lelaki mahupun perempuan, tidak pernah bersemuka apatah lagi berjabat tangan dengan baginda s.a.w itu.

Adalah kasih sayang dan ketaatan itu merupakan urusan Allah Taala. Jika kita masing-masing berbuat takwa mengikut titah perintah Allah dan melakukan amalan soleh, maka insyaAllah, itulah sumber dan punca yang paling besar dan kekal kepada kasih sayang dan ketaatan itu.

Berkata Al-alamah Ibnu Taimiah yang dipetik oleh Al-Alamah Fahin Datu Sri Maha Raja Dato’ Utama Doktor Haji Awang Ismail Bin Umar Abdul Aziz Rahmatullah, bekas mufti kerajaan negeri Brunei Darul Salam.

“Orang-orang Islam sekarang, berjabat tangan dengan orang-orang perempuan adalah terikut-ikut adat resam orang Eropah dan mengikut adat resam orang kafir adalah haram dengan tujuan mengikut itu.

copy and paste:
30 Oktober 2025: 10.26 a.m