Showing posts with label INFO AKHIR ZAMAN. Show all posts
Showing posts with label INFO AKHIR ZAMAN. Show all posts

Monday, 6 October 2025

FITNAH PANGKAT DAN KEDUDUKAN

Oleh:
Dr. Khairul Asyraf
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengajian Bahasa Utama
USIM

Hari ini kita melihat ramai di antara manusia berebut-rebut untuk menjadi pemimpin dari sekecil-kecil organisasi sehinggalah yang tertinggi. Adalah situasi ini merupakan satu fitnah yang menyelubungi manusia?

Tidak dinafikan, zaman ini merupakan zaman fitnah. Salah satu fitnah yang dilihat semakin membarah dalam masyarakat adalah fitnah pangkat dan kedudukan. Fitnah pangkat dan kedudukan termasuk dalam pembahagian fitnah syahwat disebabkan seseorang berkeinginan dengan kekuasaan yang berkait rapat dengan nafsu mereka untuk berkuasa. Demikian juga apabila seseorang yang akan kehilangan kuasa, nafsu keinginan untuk kekal dalam kekuasaan sangat besar.

Fitnah pangkat dan kekuasaan merupakan fitnah terdahsyat yang melanda umat Nabi Muhammad SAW. Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya:

“Sesungguhnya aku hanya khuatir (takut) atas umatku ini para pemimpin yang menyesatkan” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini datang dalam bentuk pengkhususan (takhsis) yang menjurus kepada fitnah yang akan menyebabkan umat Islam tergelincir ke dalamnya. Isyarat itu juga menunjukkan umat Islam yang paling ramai terfitnah dengan kekuasaan.

Fitnah Dajjal merupakan fitnah terbesar yang akan menyelubungi manusia. Namun, adakah terdapat fitnah lain yang perlu manusia berhati-hati dengannya?

Fitnah Dajjal akan menyelubungi manusia akhir zaman saat ketibaanya nanti. Namun sebelum ketibaan Dajjal, Baginda amat bimbang kepada keadaan pemimpin yang banyak menyesatkan orang lain. Perkara ini berdasarkan hadis dari Abu Zar r.a, dia berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda maksudnya:

“Ketika aku Bersama Nabi SAW pada satu hari kerumahnya, aku mendengar baginda berkata: Bukan Dajjal yang lebih aku khuwatirkan terhadap umatku” Sebelum Baginda hendak masuk, aku bertanya: “apakah yang lebih engkau khuwatirkan atas umatmu daripada Dajjal itu?, Baginda menjawab:” Para pemimpin yang menyesatkan orang lain” (Hadis Riwayat Ahmad)

Hadis ini memberi isyarat tentang satu bentuk fitnah yang akan terus-menerus melanda umat Nabi SAW iaitu fitnah kekuasaan. Nabi SAW menjelaskan kerisauan baginda tentang fitnah kekuasaan ini melebihi dari fitnah Dajjal. Ini jelas menunjukkan, fitnah Dajjal adalah lebih jelas berdasarkan pemahaman dan ilmu yang telah berkembang serta tempohnya adalah lebih pendek berbanding fitnah kekuasaan yang meliputi zaman.

Mengapakah manusia mudah tergelincir ke dalam fitnah pangkat, kuasa dan kedudukan ini?

Di antara penyebab manusia tergelincir ke lembah fitnah kuasa adalah mereka yang ingin berdampingan dengan penguasa. Dari Ibnu Abbas r.a, Nabi SAW bersabda maksudnya:

“Barangsiapa yang tinggal di desa akan menjadi kasar perangainya, barangsiapa yang mengejar binatang buruan maka dia akan lalai, Barangsiapa yang datang kepada penguasa maka dia akan terfitnah” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Dalam riwayat lain Nabi SAW bersabda maksudnya:

“Barangsiapa yang tetap menghampiri penguasa maka di akan terfitnah, tidaklah seseorang itu bertambah dekat dengan penguasa kecuali dia bertambah jauh dari Allah” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Gambaran utama dalam hadith ini menjelaskan keadaan manusia apabila menghampiri penguasa, menjadi orang dekat kepada mereka, atau menjadi orang yang mengetuk pintu-pintu pejabat atau rumah mereka merupakan sumber kepada terjadinya fitnah. Apabila seseorang menghampiri penguasa, perkara-perkara seperti membodek, bermanis muka, ‘menjilat’ mereka akan menjadi barah yang berbahaya kepada agama Islam. Namun, sekiranya dia tidak menghiraukan penguasa, maka kesannya hanya di dunia sahaja.

Adakah perbezaan taraf kehidupan menjadi punca kepada fitnah ini?

Perbezaan taraf kehidupan manusia melalui harta, dan kebijaksanaan kurniaan Allah SWT turut menyebabkan manusia tergelincir ke dalam fitnah pangkat dan kedudukan yang membinasakan.

Fitnah pangkat dan kedudukan ini antara ujian yang besar menimpa umat Nabi SAW terutamanya apabila manusia setiap hari dan masa mengejar pangkat dan kedudukan yang lebih tinggi bertujuan memperolehi pendapatan (gaji atau elaun) yang lebih besar.

Perlantikan yang dibuat untuk sesuatu jawatan sama ada dalam proses yang benar atau tidak, akan memberi kegembiraan yang besar kepada seseorang yang dilantik untuk mengetuai sesebuah organisasi. Daripada lantikan peringkat bawahan sehingga menjadi orang atasan, pangkat dan kedudukan ini akan menjadi ujian yang besar kepada mereka, sama ada mereka dapat menjalankan tanggungjawab tersebut atau terleka dengan pangkat yang diperoleh.

Bagaimanakah untuk memastikan seseorang yang memegang amanah dalam bentuk pangkat dan kedudukan terhindar dari fitnah ini?

Kebiasaan yang berlaku, di awal permulaan lantikan, seseorang sangat bersemangat untuk mengubah dan berikrar akan sedaya upaya menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Namun, amanah ini tidak sekadar jawatan dunia semata-mata, bahkan akan dipersoal pada hari kiamat kelak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab atas kepemimpinannnya. Seorang kepala negara adalah pemimpin atas rakyatnya dan akan diminta bertanggungjawab perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin atas anggota keluarganya dan akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri adalah pemimpin atas rumah tangga dan anak-anaknya dan akan ditanya perihal tanggungjawabnya. Seorang pembantu rumah tangga adalah bertugas memelihara barang milik majikannya dan akan ditanya atas pertanggung jawabannya. Dan kamu sekalian pemimpin dan akan ditanya atas pertanggungjawabannya (Hadis Riwayat Muslim).

Rasulullah SAW kepada Abdul Rahman Ibnu Samurah:

“Janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Iktibar daripada hadis itu dapat kita lihat pada hari ini apabila orang yang ghairah memburu jawatan dan kedudukan belum tentu dapat melaksanakan tugas dengan baik berikutan mendapat bantahan dan tentangan daripada kakitangan.

Sebaliknya, jika jawatan diterima berdasarkan kelayakan, dengan izin Allah, bebanan tanggungjawab dipikul seberat mana pun akan mendapat bantuan daripada Allah SWT dan mereka yang menyokong di belakang ketua atau pemimpin dilantik sebulat suara dan dipersetujui.

Hal itu ada dijelaskan dalam hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang yang kamu cintai (suka), mereka juga mencintai kamu. Kamu semua mendoakan mereka untuk kebaikan begitu juga mereka mendoakan untuk kebaikan kamu.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Mengapakah manusia memerlukan kepada pemimpin?

Pemimpin ini funginya adalah ketua bagi menunjuk jalan yang benar. Imam adalah ketua dalam solat, jadi imam berfungsi mengetuai solat dengan tertib dan cara yang betul. Oleh itu, keperluan kepada pemimpin ini satu perkara yang sangat utama. Sabda Nabi SAW maksudnya:

“Adalah bagi Bani Israil, mereka diuruskan urusannya oleh para nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada ramai para khilafah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari,)

Imam Nawawi menyebut dalam syarahnya terhadap Sahih Muslim antara lain berkata: “Bani Israil yang dipimpin oleh para nabi apabila wafatnya seorang nabi, akan diganti dengan nabi yang lain, yang menguruskan urusan mereka, bagi segala maslahah untuk mereka”.

Sabda Baginda Nabi SAW maksudnya:

“Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik salah seorang mereka sebagai pemimpin.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Justeru itu, pangkat dan kedudukan ini akan menjadi fitnah sekiranya seseorang itu berkeinginan kepada jawatan disebabkan kepentingan peribadi dan dorongan hawa nafsu yang tinggi. Namun sekiranya jawatan tersebut diperolehi dengan meletakkan agama sebagai panduan, maka bantuan Allah akan menyusuli.

Copy and paste: 6/10/2025 : 9.44 p.m

Dajjal Menyesatkan Manusia Melalui Ilmu, Logik dan Teknologi Akhir Zaman

Sumber: Tazkirah Ustaz dan Ustazah

Salah satu fitnah terbesar Dajjal ialah fitnah ilmu. Ia ialah fitnah yang halus tetapi sangat berbahaya. Dajjal akan memperdaya manusia melalui kehebatan teknologi, kuasa logik, dan keajaiban yang tampak seolah-olah berasaskan sains.
Dalam beberapa hadis, Rasulullah SAW menyebut bahawa Dajjal akan membawa perkara-perkara pelik yang membuat manusia keliru. Dia akan mengawal bumi, memberi arahan kepada langit, dan mencipta ilusi tentang syurga serta neraka. Apa yang dibawa Dajjal tampak sangat meyakinkan di mata mereka yang tidak bersandar kepada wahyu.
Antara fitnah Dajjal ialah dia akan memperlihatkan seolah-olah bumi tunduk kepada perintahnya. Binatang akan taat, cuaca akan menurut dan makhluk alam sekeliling akan dikawal dengan sempurna. Manusia akan menyangka ini hasil kuasa yang sah. Mereka tidak sedar ia ialah tipu daya yang direka untuk memperdaya hati.
Dia juga akan membawa simbol kuasa teknologi yang menggerunkan. Ada riwayat menyebut bahawa dia akan menaiki kenderaan seperti keldai yang sangat laju, membawa api dan air bersamanya. Ada yang mentafsirkan ini sebagai kenderaan pelik yang kelajuannya di luar jangkaan zaman itu.
Rasulullah SAW bersabda:
“Dajjal membawa surga dan nerakanya. Nerakanya ialah surga dan surganya ialah neraka.”
(Riwayat Muslim)
Apa yang dimaksudkan di sini ialah tipu daya visual dan pengalaman yang direka dengan sangat meyakinkan. Dia akan mengelirukan manusia antara hak dan batil melalui alat yang tampak logik di mata mereka yang tidak memahami agama.
Manusia akhir zaman pula telah dibius oleh logik moden. Ramai percaya bahawa jika sesuatu kelihatan saintifik, maka ia pasti benar. Mereka terlalu meyakini teknologi, sehingga tidak lagi merujuk wahyu sebagai sumber kebenaran.
Inilah yang menjadikan ramai kelak akan percaya bahawa Dajjal lebih hebat daripada nabi. Mereka akan melihat keupayaannya mengawal bumi dan mencipta perkara pelik sebagai tanda bahawa dia ialah manusia luar biasa yang wajib ditaati.
Padahal semua itu ialah ilusi dan bantuan syaitan. Ia tidak datang daripada ilmu sebenar, tetapi direka untuk mempermainkan persepsi dan keyakinan manusia yang longgar asas agamanya.
Rasulullah SAW banyak memberi amaran tentang perkara ini. Baginda ajar kita untuk tidak terlalu bergantung kepada apa yang kelihatan hebat di mata. Wahyu tetap sumber utama kebenaran. Apa yang bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah tetap salah walaupun seluruh dunia kagum dengannya.
Dalam Surah al-Kahfi, Allah ceritakan kisah Nabi Musa AS bersama seorang hamba Allah yang lebih tinggi ilmunya iaitu al-Khidir. Nabi Musa AS tidak faham tindakan gurunya dan sering bertanya, tetapi dia diminta untuk bersabar sehingga tiba penjelasan.
Inilah pelajaran penting untuk zaman fitnah ilmu. Kita perlu belajar sabar dengan ilmu Allah, walaupun akal belum faham sepenuhnya. Jangan sombong dengan logik manusia. Jangan mendahulukan sains daripada wahyu.
Kisah Nabi Musa AS dan al-Khidir mengajar bahawa tidak semua yang kita nampak salah itu benar-benar salah. Kadangkala hikmah itu tersembunyi, dan hanya akan muncul apabila hati sudah tenang dan tunduk kepada Allah.
Dajjal akan mencipta ilusi yang sangat meyakinkan. Dia akan bercakap dengan hujah. Dia akan tunjuk bukti. Dia akan bawa teknologi yang belum pernah dilihat. Manusia yang hidup tanpa kekuatan iman akan segera mengikut dan meninggalkan ajaran Rasulullah SAW.
Ramai akan merasa lebih yakin kepada apa yang dilihat berbanding apa yang diimani. Mereka akan rasa malu untuk percaya kepada agama apabila berdepan dengan teknologi Dajjal yang tampak sangat moden dan rasional.
Padahal agama mengajar bahawa tidak semua perkara perlu difahami sepenuhnya untuk diyakini. Ada perkara ghaib yang hanya boleh diyakini dengan hati, bukan dengan eksperimen makmal. Tauhid bermula dengan percaya, kemudian disusuli dengan kefahaman.
Inilah sebab mengapa Rasulullah SAW menekankan Surah al-Kahfi sebagai pelindung daripada fitnah Dajjal. Dalam surah itu terkandung kisah-kisah yang mengajar kita cara untuk melihat dunia dengan kaca mata iman, bukan semata-mata logik dunia.
Amalan membaca Surah al-Kahfi setiap Jumaat bukan hanya sebagai ibadah rutin. Ia ialah latihan minda dan hati untuk membina kekuatan jiwa agar tidak tergugat dengan hujah palsu yang dibawa oleh Dajjal dan konco-konconya.
Fitnah ilmu yang dibawa Dajjal sangat licik. Ia menjadikan manusia lupa bahawa ilmu ialah amanah dan ujian, bukan tiket untuk sombong. Ia menanam rasa megah dalam diri manusia sehingga mereka menolak wahyu kerana terlalu percaya kepada diri sendiri.
MasyaAllah. Ilmu ialah cahaya jika disuluh dengan petunjuk. Tetapi jika dipandu oleh hawa nafsu, ia akan jadi gelap dan menyesatkan. Semoga Allah tetapkan hati kita untuk terus tunduk kepada ilmu-Nya yang maha luas dan tidak terhad oleh logik manusia.
---
Buku Timeline Akhir Zaman menghuraikan semua fitnah ini berdasarkan dalil sahih dengan gaya yang jelas dan mudah difahami. Ia membuka mata dan hati agar bersedia dengan iman yang kukuh dalam menghadapi zaman fitnah. Dapatkan naskhah penting ini di Shopee: https://s.shopee.com.my/LVg3QP6xk
---
Jom Join Telegram Channel Ceramah Ustaz dan Ustazah

Copy and paste:
6/10/2025: 9.31 p.m

Thursday, 18 September 2025

Siri Bedah Konspirasi: Siapakah Freemason Dan Illuminati?

Oleh : Ayman Rashdan Wong
The Patriots : 8 May 2017

Teori Konspirasi adalah kepercayaan wujudnya sekumpulan manusia yang berkonspirasi atau merancang untuk menguasai dunia. Versi Teori Konspirasi yang paling popular melihat kumpulan ini terdiri daripada orang Yahudi yang bergerak atas pertubuhan—pertubuhan bernama Freemason dan Illuminati. Mereka merupakan penyembah setan dan dajjal yang berhasrat untuk membina sebuah New World Order atau One World Government.

Untuk mencapai matlamat tersebut, kumpulan Yahudi-Freemason-Illuminati ini telah menguasai kerajaan, sistem kewangan dan media. Pemimpin yang tidak mahu mengikuti telunjuk jari mereka akan dibunuh, seperti bekas presiden Amerika Syarikat (AS), John F. Kennedy. Filem dan muzik yang dihasilkan oleh Hollywood turut diselitkan dengan unsur-unsur dajjal untuk melalaikan dan menyesatkan umat Islam. Malah pelbagai perkembangan teknologi juga dikaitkan dengan agenda Freemason.

Teori ini telah wujud sekian lama. Ia pernah diceritakan semula dalam plot novel Dan Brown (seperti Angels and Demons), permainan video Assasin’s Creed, trilogi novel Illuminatus! oleh Robert Shea dan Robert Anton Wilson, dan dokumentari The Arrivals. Tidak kurang juga golongan yang menjadikan ia sebagai bahan ceramah tanpa memberi sebarang kredit kepada idea asal.

Bagaimana teori ini dapat berkembang? Dari mana asal usulnya?

Tujuan siri artikel ini bukanlah untuk mencari gaduh atau untuk merendah-rendahkan mana-mana individu. Cuma, Teori Konspirasi semakin menjadi-jadi di masyarakat kita, sehingga semua perkara mahu dikaitkan dengan Freemason untuk menakut-nakutkan orang. Dengar muzik rock, Freemason. Dengar K-Pop, Freemason. Ambil vaksin, Freemason. Filem Minion, Freemason. Filem Moana, Freemason. Belajar di Oxford, Freemason. Maka diharapkan siri artikel ini dapat mengurangkan sedikit sikap paranoia yang menular di masyarakat kita.

Asal usul Teori Konspirasi adalah di Eropah menjelang akhir abad ke-18. Ketika itu berlaku peristiwa besar yang bernama Revolusi Perancis. Rakyat Perancis menggulingkan pemerintahan raja mutlak pada tahun 1789 malah turut memansuhkan kedudukan raja pada tahun 1792. Raja Perancis iaitu Louis XVI telah dipancung oleh rakyat yang radikal dan fanatik. Pergolakan di Perancis mengejutkan seluruh Eropah. Maka golongan konservatif mula menulis rencana untuk memburuk-burukkan Revolusi Perancis agar ia tidak menjadi ikutan rakyat.

Cara paling mudah untuk memburuk-burukkan revolusi rakyat Perancis adalah dengan mengaitkannya dengan setan. Pada tahun 1797, seorang profesor di Universiti Edinburgh bernama John Robison telah menerbit buku berjudul Conspiracy Against all the Religions and Governments of Europe, Carried on in the Secret Meetings of Freemasons, Illuminati and Reading Societies, diikuti oleh buku Memoirs Illustrating the History of Jacobinism yang ditulis seorang paderi Jesuit bernama Abbé Augustin Barruel (sebuah kumpulan Katolik yang diharamkan oleh kerajaan Perancis) pada tahun 1798. Mereka mendakwa kumpulan Freemason dan Illuminati sebagai dalang di sebalik Revolusi.

Dalam bukunya, Barruel mendakwa Freemason sebagai pewaris kepada Knights Templar. Knights Templar ialah sebuah kumpulan kesatria yang kesemua ahlinya dihukum mati oleh Raja Perancis pada tahun 1314 atas tuduhan menyembah setan, satu tuduhan yang direka-reka oleh Raja Phillip IV untuk merampas harta Templars. Barruel mendakwa tujuan Freemason menggulingkan raja Perancis adalah untuk membalas dendam pembunuhan Raja Phililip IV terhadap Templars. Barruel juga mendakwa ahli-ahli falsafah seperti Voltaire, Montesquieu dan Rousseau sebagai Freemason, kerana idea-idea politik mereka mengenai kedaulatan rakyat (popular sovereignty) telah mencabar doktrin hak kekuasaan raja (divine right of kings) dan menjadi punca rakyat menentang pemerintahan beraja.

Selain menulis untuk mempertahankan sistem monarki di Eropah, mereka juga masing-masing mempunyai agenda peribadi. Jesuit adalah antara kumpulan yang terawal dituduh sebagai dalang di sebalik Revolusi, jadi, Barruel cuba membersihkan nama Jesuit dengan mengalihkan tuduhan ke Freemason. Robison sendiri ialah seorang Freemason, jadi dia mempersalahkan Illuminati sebagai ejen perosak Freemason di Perancis.

Adakah Freemason benar-benar sebuah kumpulan penyembah setan seperti yang didakwa oleh Barruel dan Robison?

Asal usul Freemason ialah persatuan pekerjaan (guild association) yang wujud di Eropah ketika Zaman Pertengahan (Middle Ages). Mason bermaksud tukang batu, maka Freemason pada asalnya ialah sebuah pertubuhan tukang-tukang batu. Nama penuh Freemason ialah Free and Accepted Mason. Selain Freemason, terdapat juga guild yang bernama Free Gardener, Free Carpenters, Free Shepherds, Free Carters dan seumpamanya. Lambang Freemason iaitu sesiku dan kompas (Square and Compass) merupakan alat pekerjaan golongan tukang batu atau arkitek.

Apakah tujuan penubuhan guild? 
Di Zaman Pertengahan, orang hanya bekerja dalam satu bidang, bukannya sekejap bekerja di bank, sekejap main gitar, sehingga pekerjaan dijadikan sebagai nama keluarga, contohnya seperti Baker, Carter, Mason, Miller, Smith, Skinner, Taylor (tailor) dan Schumacher (shoemaker). Disebabkan pekerjaan sebegini memerlukan latihan kemahiran bertahun-tahun, maka guild ditubuhkan untuk melatih pekerja mahir dan juga untuk melindungi rakan sekerja.

Dalam guild terdapat tiga pangkat keahlian: apprentice, journeyman, dan master. Mereka akan bermesyuarat di guild hall. Mereka juga menggunakan simbol dan isyarat tangan untuk menjaga rahsia pekerjaan mereka daripada diketahui oleh pesaing.

Kesemua amalan guild ini juga terdapat dalam Freemason. Pangkat keahlian Freemason terbahagi kepada 33 darjat: darjat 1 ialah Entered Apprentice, darjat 2 ialah Fellow Craft, dan darjat 3 hingga 33 digelar Master Mason. Freemason mengadakan perjumpaan berkala di lodge (loji). Dan mereka juga menggunakan isyarat tangan untuk berkomunikasi.

Akibat Revolusi Industri, pengkhususan pekerjaan yang rigid tidak lagi relevan. Maka lama-kelamaan, Freemason telah bertukar daripada sebuah persatuan tukang batu kepada sebuah persatuan persaudaraan (fraternity) yang dibukakan kepada orang ramai tanpa mengira profesion. Tujuan persaudaraan adalah untuk menyatukan orang-orang yang mempunyai cita rasa dan minat yang sama. Bukan mudah untuk memasuki Freemason. Syarat asas mestilah beragama (ateis tidak layak) dan free-born (orang Yahudi yang tidak mempunyai hak kewarganegaraan tidak layak). Wanita juga tidak diterima ke dalam Freemason kerana idea pertubuhan Freemason adalah sebagai sebuah brotherhood.

Seperti guild yang lain, Freemason juga mempunyai tokoh panutan. Tukang kayu (Free Carpenters) menjadikan Joseph (ayah Jesus dalam Bible) sebagai tokoh, maka Freemason juga mencipta satu watak bernama Hiram Abiff berdasarkan kisah pembinaan Haikal Sulaiman (Solomon’s Temple) dalam Bible. Hiram dikatakan sebagai seorang tukang batu yang dibunuh oleh tukang batu yang lain atas kecemburuan. Dengan itu, setiap ahli Freemason perlu melalui upacara kemasukan (initiation) yang melambangkan kematian Hiram. Kisah Hiram ini adalah dongeng yang direka Freemason dan tidak didapati dalam kitab Yahudi (Torah) atau Kristian (Bible), namun ramai menganggap ia benar termasuk individu yang bertaraf syeikh.

Ramai golongan intelektual telah menyertai Freemason, kerana sifat kerahsiaannya amat sesuai bagi perbincangan idea-idea kesejagatan, kesamarataan, rasionalisme yang tidak boleh dibuat secara terbuka ketika itu. Malah idea-idea Freemason yang dianggap radikal telah menyebabkan ia diharamkan oleh Gereja Katolik pada tahun 1738.

Salah satu sebab Freemason diharamkan ialah penggunaan simbol-simbol bukan daripada agama Kristian. Freemason mempunyai konsep Tuhan yang agak berbeza dengan pemahaman Kristian Katolik dan cenderung kepada konsep Tuhan sebagai Supreme Architect of the Universe yang dipelopori oleh ahli-ahli falsafah Era Pencerahan (Age of Enlightenment), dan mereka menganggap tuhan dalam semua agama itu sama.

Ramai golongan intelektual telah menyertai Freemason, kerana sifat kerahsiaannya amat sesuai bagi perbincangan idea-idea kesejagatan, kesamarataan, rasionalisme yang tidak boleh dibuat secara terbuka ketika itu. Malah idea-idea Freemason yang dianggap radikal telah menyebabkan ia diharamkan oleh Gereja Katolik pada tahun 1738.

Salah satu sebab Freemason diharamkan ialah penggunaan simbol-simbol bukan daripada agama Kristian. Freemason mempunyai konsep Tuhan yang agak berbeza dengan pemahaman Kristian Katolik dan cenderung kepada konsep Tuhan sebagai Supreme Architect of the Universe yang dipelopori oleh ahli-ahli falsafah Era Pencerahan (Age of Enlightenment), dan mereka menganggap tuhan dalam semua agama itu sama.

Ramai golongan intelektual telah menyertai Freemason, kerana sifat kerahsiaannya amat sesuai bagi perbincangan idea-idea kesejagatan, kesamarataan, rasionalisme yang tidak boleh dibuat secara terbuka ketika itu. Malah idea-idea Freemason yang dianggap radikal telah menyebabkan ia diharamkan oleh Gereja Katolik pada tahun 1738.

Mereka juga menggunakan simbol Mata Ilahi (Eye of Providence atau All-Seeing Eye of God) sebagai lambang ketuhanan (Tuhan, bukan mata dajjal) yang sentiasa mengawasi manusia. Simbol Piramid juga menjadi kegemaran Freemason kerana ia melambangkan pencapaian tukang batu, bukan kerana Freemason ini berketurunan Firaun. Salah seorang Freemason yang terkenal ialah Wolfgang Amadeus Mozart yang dinobatkan sebagai ahli muzik teragung pada abad ke-18. Dalam teater Mozart berjudul The Magic Flute yang mula ditayangkan pada tahun 1791, boleh dilihat dengan jelas simbol-simbol piramid dan Mata Ilahi.

Disebabkan ramai di kalangan pengasas AS ialah Freemason, maka simbol-simbol Freemason turut diserapkan ke dalam lambang negara Amerika Syarikat. George Washington, presiden pertama AS, ialah seorang Freemason. Namun begitu, adalah tidak tepat untuk mengatakan AS sebagai sebuah negara Freemason: hanya 9 daripada 56 pengasas AS yang menandatangani Deklarasi Kemerdekaan pada tahun 1776 merupakan Freemason, dan hanya 13 daripada 39 pengasas yang menandatangani Perlembagaan AS pada tahun 1787 merupakan Freemason.

Bagaimana pula dengan Illuminati?

Illuminati diasaskan oleh Adam Weishaupt, seorang Yahudi beragama Katolik di Bavaria, Jerman pada tahun 1776. Nama asal Illuminati ialah Order of the Perfectibles, sebelum dinamakan semula sebagai Illuminati yang membawa maksud pencerahan (illumination). Weishaupt menyertai Freemason pada tahun 1777 untuk mengembangkan gerakannya, namun ideologinya agak bercanggah dengan pegangan Freemason. Freemason ialah sebuah kumpulan yang bukan bersifat politik manakala Weishaupt bercita-cita untuk menggantikan sistem politik Eropah melalui ‘pencerahan’. Akhirnya, Illuminati telah diharamkan oleh kerajaan Bavaria pada tahun 1784 dan Weishaupt telah melarikan diri.

Ada pendukung Teori Konspirasi yang mendakwa Weishaupt telah melarikan diri ke AS, membunuh Washington dan menggantikan tempatnya. Ini sebenarnya cerita yang direka oleh novel Illuminatus! yang tidak masuk akal. Bukan sahaja wajah Weishaupt dan Washington itu bagai bumi dan langit, malah bukan mudah untuk merentasi lautan Atlantik ke AS. Sebenarnya Weishaupt telah mendapat perlindungan di Gotha, Jerman dan terus menulis beberapa makalah untuk membela Illuminati (seperti An Apology for the Illuminati pada tahun 1786) sehingga dia meninggal dunia pada tahun 1830.

Meskipun tiada bukti yang menunjukkan Freemason terlibat dalam konspirasi untuk menggulingkan kerajaan di Eropah, namun sifat rahsia Freemason sering menyebabkannya dikambinghitamkan. Di AS pada 1830-an siap ditubuhnya Parti Anti-Mason yang berkempen untuk mengharamkan Freemason dan mereka telah memenangi banyak kerusi. Jika benar AS ialah sebuah negara Freemason, bagaimana parti sebegini dapat bergerak? (jawapan pentaksub Teori Konspirasi: wayang) Hitler, seorang penggemar Teori Konspirasi telah mengharamkan Freemason dan membunuh ribuan Freemason atas alasan mereka terlibat dalam konspirasi Yahudi, tetapi ia lebih kepada alasan untuk menghancurkan segala gerakan rahsia yang boleh mengancam kedudukannya.

Freemason sebenarnya lebih kepada sebuah kelab elit untuk bersosial. Adapun ramai orang ternama merupakan ahli Freemason, ia tidak membuktikan ada apa konspirasi di kalangan mereka, malah ahli Freemason juga berbalah satu sama lain. Semasa Revolusi Amerika (1775-1783), Freemason di AS berpecah kepadaa Loyalist (yang setia kepada penjajah Inggeris) dan Patriots (yang menuntut kemerdekaan Amerika). Orang-orang ternama yang menggangotai Freemason juga bukanlah manusia yang paling signifikan. Walaupun Washington merupakan presiden pertama AS, namun peranannya tidak sepenting Alexander Hamilton (Setiausaha Perbendaharaan) dan Thomas Jefferson (Setiasuaha Negara) yang bukan Freemason.

Perkembangan semasa juga menyebabkan Freemason tidak lagi berahsia tentang aktiviti mereka. Mereka terpaksa menjadi lebih terbuka untuk menarik lebih ramai ahli memandangkan keahlian Freemason semakin merosot. Di AS semasa 1950-an terdapat 4 juta Freemason, kini cuma tinggal 1.5 juta sahaja. Malah ramai loji tempatan juga mewujudkan laman sesawang dan membuka loji kepada kunjungan orang awam. Laman sesawang District Grand Lodge of Eastern Archipelago (DGLEA) yang merangkumi kawasan Malaysia, Thailand dan Singapura boleh dicapai tanpa had.

Freemason mula bertapak di Malaysia selepas kehadiran orang Inggeris di Pulau Penang. Jumlah keadhlian Freemason di Malaysia dan Singapura hari ini kurang daripada 3,000 orang. Tidak kurang juga orang Melayu yang menyertai Freemason, seperti Mustapa Osman yang dilantik sebagai District Grand Master (DGM) pada 1967. Keadaan ini telah membawa kepada perdebatan mengenai Freemason ketika 1970-an yang dicetuskan oleh ahli politk seperti Haji Sulaiman Palestin dan wartawan bernama Mohd. Taib bin Datuk Dr. Haji Abbas yang menulis Mana Gagah? Parlimen – Balai Freemason (1978), Apa Salahnya Masuk Freemason (1979) dan Jatuhnya Kerajaan Dek Freemason (1982).

Untuk menamatkan polemik tersebut, siasatan mendalam telah dibuat oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Majlis Ehwal Ugama Islam pada tahun 1978. Hasil daripada siasatan, kerajaan mendapati tiada keperluan untuk mengharamkan Freemason kerana tiada bukti yang menunjukkan mereka terlibat dalam sebarang kegiatan yang boleh menggugat ketenteraman negara dan masyarakat, atau terlibat dengan Zionisme. Dalam jawapan balas kepada Tuan Guru Nik Aziz, Tun Ghazali Shafie, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri juga menegaskan bahawa kebenaran yang diberikan kepada gerakan Freemason adalah sejajar dengan kebebasan pertubuhan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan. 

Menurut Tan Sri Sanusi Junid, Tunku Abdul Rahman juga merupakan seorang Freemason. Tetapi adakah ia bukti kepada sebarang konspirasi? Ketika Malaysia masih berada di era Anglophile (mengagung-agungkan budaya Inggeris), menyertai Freemason dianggap norma dalam gaya hidup elit Barat, maka tidak hairanlah Tunku yang gaya hidupnya seperti seorang gentleman British memilih untuk menyertai pertubuhan tersebut. Namun, Tunku sendiri telah menegaskan bahawa beliau menjadi ahli sebagai “cara nak berkawan saja … tak ada apa-apa pun…. bukan badan politik pun. … kalau mereka rugikan Melayu saya takkan ikut mereka…” 

Neil Armsteen pernah menabur fitnah bahawa pembinaan Dewan Freemason baru di Bukit Jalil sebagai bukti kerajaan dikawal oleh Freemason. Ini menunjukkan kejahilannya tentang sejarah perdebatan Freemason yang telah lama selesai pada 1970-an.

Jadi, tidak perlu terkejut beruk sekiranya anda bertemu seorang yang mengatakan “I am a Freemason”. Ketua Freemason di Malaysia ialah Dr. Yeoh Poh Hong yang menjawat DGM sejak tahun 2003. Kalau tidak percayakan dengan maklumat yang dibekalkan oleh Freemason sendiri, boleh minta maklumat daripada Kementerian Dalam Negeri.

Walaupun dakwaan Freemason sebagai pertubuhan konspirasi untuk menguasai dunia tidak kukuh, ini tidak bermakna Freemason ialah sebuah pertubuhan yang ‘harmless’. Pendapat penulis ini adalah sama dengan Tun Hussein Onn yang menyeru ahli Freemason untuk bertaubat. Pegangan Freemason bahawa semua agama itu sama adalah tidak konsisten dengan akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Penulis ini juga tidak berhasrat untuk membela Freemason, cuma nak beritahu bahawa Freemason tidaklah sehebat dan sedahsyat mana seperti yang diceritakan oleh pendukung Teori Konspirasi, dan teori mengenai mereka hanyalah rekaan Barruel dan Robison yang harus diteliti melalui konteks politik Eropah ketika itu.

Tidak kira Barruel atau Robison, tidak pernah mereka mengaitkan Freemason dengan Yahudi (Weishaupt itu kira Yahudi murtad yang menganut Kristian), kerana Yahudi adalah kelas bawahan yang tidak layak untuk menyertai Freemason. Teori Konspirasi hanya mula diperkayakan dengan watak Yahudi bermula abad ke-19. Perkara ini akan dikupas dalam artikel seterusnya.

Wallahu a’lam.

Bacaan Lanjut:

  1. Jovan Byford (2011), Conspiracy Theories: A Critical Introduction.
  2. Margaret C. Jacob (1991), Living the Enlightenment: Freemasonry and Politics in Eighteenth-Century Europe.
  3. David Stevension (1988), The Origins of Freemasonry: Scotland’s Century, 1590 to 1710.

Rujukan Dalam Artikel:

[1] The Straits Times, 23 Mac 1977, halaman 7.



[4] “Hussein Seru Anggota2 Freemason Bertaubat”, Berita Harian, 27 Oktober 1978, halaman 1.

Copy and paste:
18/9/2025: 2.04 p.m






Siri Bedah Konspirasi: Teori Konspirasi Ialah Israeliyyat Moden?

By Ayman Rashdan Wong
The Patriots : 16 Mei 2017

Konspirasi bukannya tidak wujud. Asal usul istilah ‘konspirasi’ ialah ‘conspirare’ yang membawa maksud komplot. Pembunuhan Julius Caesar oleh Liberatores adalah konspirasi. Pelan penaklukan Zionis ke atas Palestin adalah konspirasi. Itu semua adalah fakta.

Yang dimaksudkan sebagai ‘Teori Konspirasi’ ialah kepercayaan yang mengaitkan kesemua fenomena akhir zaman dengan Freemason, Illuminati, Rothschild dan New World Order. Dalam artikel pertama hingga ketiga, penulis telah menunjukkan bahawa bagaimana Teori Konspirasi adalah terpaut dengan politik dan digunakan untuk mengkambinghitamkan kelompok-kelompok yang tertentu.

Malah, dakwaan yang diresapi unsur-unsur mistik lagilah jauh tersasar dari realiti. Untuk menjayakan dakyah mereka, mubaligh evangelis seperti Pat Robertson telah mengaitkan New World Order dengan ramalan Jesus (Nabi Isa) tentang akhir zaman.

Orang Islam yang tidak cukup berhati-hati akan tersilap menerima maklumat. Perlu diingatkan bahawa dalam kitab Torah Yahudi dan kitab Bible Kristian juga boleh ditemui kisah-kisah yang hampir dengan kisah-kisah dalam Al-Quran. Riwayat yang bukan berasal daripada Al-Quran ini dikenali sebagai ‘Israiliyyat’ (إسرائيليا). 

Contoh Israiliyyat adalah seperti kisah cinta Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis dan Nabi Yusuf dan Zulaikha. Walaupun kedengaran seperti kisah Al-Quran, ia sebenarnya adalah riwayat Israiliyyat yang diterjemah daripada kisah ‘Solomon and the Queen of Sheba’ dan ‘Joseph and Potiphar’s Wife’ yang menyimpang daripada kisah-kisah nabi yang diwahyukan.

Maka dengan itu, jangan hanya disebabkan ada cerita yang menggunakan istilah ‘Firaun’, ‘Namrud’, dan ‘Haikal Sulaiman’, maka kita terus menganggap ia sebagai ‘sumber Islam’. Kebanyakan kisah mengenai Firaun, Namrud dan Haikal Sulaiman yang menjadi zikir harian para pendukung Teori Konspirasi hanyalah cerita yang diterjemahkan dari cerita-cerita Pharaoh, Nimrod dan Solomon’s Temple dalam sumber Kristian. 

Kisah Firaun dan Namrud dalam Al-Quran adalah peringatan kepada manusia mengenai keingkaran dan kesombongan mereka terhadap Allah. Akibat takabur, Mereka telah dilenyapkan seperti umat-umat terdahulu seperti kaum Ad dan Thamud. Kisah mereka tidak mengandungi ‘rahsia’ akhir zaman. Kisah mereka tiada kena-mengena dengan Dajjal Al-Masih. Kisah-kisah ini adalah sebagai pengajaran dan pengiktibaran untuk meningkatkan ketakwaan, bukannya ‘ilmu fitan’ atau ‘eskatologi’ untuk mengkafirkan sesiapa yang kelihatan ada kaitan dengan Freemason.

Obsesi dengan Firaun dan Namrud tidak datang daripada tradisi orang Islam tetapi daripada Mat Saleh. Di kalangan Mat Saleh ini sebenarnya terdapat golongan yang mengamalkan kepercayaan ‘New Age’ dan ‘Occult’ yang menjadikan dewa-dewi Mesir dan Mesopotamia (Babylon) purba sebagai pujaan. Lama-kelamaan, cerita-cerita mengenai dewa-dewi ini telah dimasukkan ke dalam sastera popular dan menjadi fiksyen konspirasi (conspiracy fiction). 

Antara fiksyen konspirasi yang terlaris ialah novel trilogi ‘Illuminatus!’ yang ditulis oleh Robert Shea dan Robert Anton Wilson semasa 1970-an. Kejayaan mereka menjadi sumber inspirasi dan Mat Saleh di Amerika mula berlumba-lumba untuk mencipta fiksyen-fiksyen yang lebih gempak berbanding cerita-cerita Freemason, Illuminati dan Rothschild pada abad ke-19. 

Antaranya seperti David Icke yang menulis The Biggest Secret (1999) yang mendakwa Firaun, Ratu Elizabeth, presiden-presiden Amerika, Rockefeller dan Rothschild sebagai keturunan dewa-dewi Babylon yang dikenali sebagai Annunaki. Fritz Springmeier juga menulis pasal 13 Bloodlines of Illuminati (1998) yang mendakwa elit-elit global termasuk Rockefeller dan Rothschild sebagai zuriat Namrud (Nimrod).

Cerita-cerita ini hanyalah imaginasi semata-mata. Namun manusia memerlukan hiburan, maka fiksyen konspirasi mempunyai pasaran yang luas, malah tidak kurang juga penulis fiksyen konspirasi yang berkualiti seperti Dan Brown yang menulis tentang Templars dalam The Da Vinci Code dan Illuminati dalam Angels and Demons. Namun, fiksyen tetap fiksyen. Akidah dan kepercayaan orang Islam tidak boleh disandarkan kepada fiksyen.

Penulis agak tertarik dengan istilah ‘Israiliyyat moden’ yang diguna oleh Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi. Istilah tersebut digunakan oleh Dr. Solah untuk merujuk kepada ‘khurafat, pembohongan, penipuan, propaganda, khabar angin dan riwayat-riwayat yang tidak sah tarafnya’. Jika diteliti siapakah pencipta pelbagai teori konspirasi, maka tidak keterlaluan untuk menyifatkan cerita-cerita tentang New World Order ini sebagai Israiliyyat moden. Agak sedih apabila terdapat ramai orang Islam yang menganggap cerita main-main dalam fiksyen konspirasi sebagai ‘ilmu’, malah menjadi obses dengan simbol-simbol ‘occultist’ seperti piramid dan Anubis. Malah ada yang terikut-ikut dengan Mat Saleh memanggil Iblis dengan nama ‘Lucifer’. Kesan Teori Konspirasi terhadap orang Islam buat penulis tertanya-tanya: adakah fiksyen konspirasi ini sebenarnya sejenis ‘Israiliyyat moden’ yakni jarum harus orang Yahudi dan Kristian untuk mengelirukan fikrah umat Islam?

‘Tapi, tuan hanya fokus kepada kritikan sumber (source criticism), tapi tidakkah apa yang berlaku di dunia ini nampak seolah-olah ada konspirasi oleh tangan tersembunyi (hidden hand)?’

Tunggu artikel yang seterusnya.

Wallahua’lam.

Rujukan

[1] Peter Knight, Conspiracy Theories in American History: An Encyclopedia (ABC-CLIO, 2003).

[2] Mohd Nazri Ahmad & Muhd Najib Abdul Kadir, Israiliyyat: Pengaruh Dalam Kitab Tafsir (Utusan Publications, 2004)

[3] Dr. Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah, Isra’iliyyat Dan Hadith Palsu Dalam Kitab-Kitab Tafsir (JAKIM, 2006).

[4] Michael Barkun, A Culture of Conspiracy: Apocalyptic Visions in Contemporary America (University of California Press, 2013).

[5] Emma A. Jane & Chris Fleming, Modern Conspiracy: The Importance of Being Paranoid (Bloomsbury, 2014).

[6] Carole M. Cusack, Invented Religions: Imagination, Fiction and Faith (Routledge, 2016).

[7] Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi, Israiliyyat Moden (Jundi Resources, 2012).

Copy and paste:
18 September 2025: 1.43 pm.



BEBELAN TENTANG TEORI KONSPIRASI

Sumber & Kredit : The Patriots: 29 July 2016

Saya memetik kata-kata salah seorang rakan admin di The Patriot dalam satu komen berkenaan teori konspirasi:

'... Ilmu Fitan (Eskatologi dan Teori Konspirasi) ada dasarnya jika diulas dengan disiplin ilmu yang mantap. yang jadi masalahnya apabila merepek sangat2 seperti Hitler itu Islam sebab bunuh Yahudi, Barrack Obama itu pejuang Islam sebab ada nama dia Barrack Hussein Obama, PM Kanada tu Islam sebab dia ziarah umat Islam ketika hari pilihanraya n so on...'

Saya secara peribadi bersetuju dengan pandangan beliau. Saya masih kekal dengan pendapat saya sejak dahulu iaitu tidak menolak sepenuhnya teori-teori konspirasi dan juga tidak mempercayai sepenuhnya sebelum mengkaji dengan lebih mendalam dan merujuk kepada yang arif.

Dalam kita mendepani dunia akhir zaman ini memang ilmu-ilmu seperti ini perlu kita ada. Supaya kita bersedia dan tak terkejut beruk jika suatu hari nanti apa yang dibincangkan oleh mereka terkena pada batang hidung sendiri. Ada diantara kita yang masih bermimpi bahawa fasa akhir zaman itu belum berlaku lagi atau ia adalah perkara masa depan. Tetapi bagi saya kita dah masuk lama dah dalam fasa tersebut.

Ilmu-ilmu ini bukan sekadar teori karut dan tulisan orang-orang gila isim yang paranoid, tetapi ilmu sebegini juga ada dalam Islam yakni ilmu Fitan atau Eskatologi. Memang ilmu ini bukan ilmu fardhu ain dan tidak wajib untuk kita pelajari, tetapi ia adalah sebagai ilmu tambahan supaya kita sentiasa berwaspada dengan musuh-musuh Allah dan berhati-hati dengan tipu helah mereka yang memang ditujukan untuk memesongkan kita dari jalan Allah.

Dalam masyarakat kita ada dua golongan yang bertindak balas dengan ilmu-ilmu ini. Satu golongan dia tolak sepenuhnya dan kata semua ilmu ini dongeng dan karut marut serta tidak berasas. Manakala satu golongan lagi terima sepenuhnya tanpa was-was dan bulat-bulat apa sahaja teori yang datang kepada mereka tanpa disiasat terlebih dahulu. Dua-dua cara golongan ini adalah tidak betul.

Golongan pertama ini kononnya bersikap optimistik dan realistik serta tidak percaya kepada tahyul dan karut marut. Tetapi mereka tenggelam dalam kejahilan mereka sendiri. Mereka sentiasa rasa diri mereka benar sebab bagi mereka apa yang tak logik itu tidak berlaku dan tidak wujud. Bagi mereka seolah-olah kalau dunia ni nak kiamat maka ia akan kiamat begitu sahaja tanpa ada campur tangan mana-mana pihak. Kiamat berlaku bila meteor hempas bumi, atau nuklear meletup atau berlaku gempa bumi seluruh dunia atau berlaku banjir besar seluruh dunia seperti zaman ais dahulu.

Bagi mereka tak ada atau tak perlu tahu chain of event yang akan membawa kepada kiamat tersebut sebab ia tak akan effect diri mereka atau kaum kerabat kesayangan mereka. Kamu dengan amal kamu aku dengan amal aku, kita mati lain-lain kubur. Bagi mereka tak ada pihak-pihak tertentu yang mahu memesongkan akidah mereka, merosakkan akhlak anak cucu mereka, serta tiada pihak yang membuat perancangan jitu bagi menjatuhkan agama Allah.

Mereka tidak mahu menerima dan percaya jika sistem kewangan, sistem politik dan sistem pendidikan serta kehidupan seharian mereka dikawal oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda yang lebih besar. Dan kalau ada pon pihak yang berkenaan ia bukan sesuatu yang terancang dan dirancang atau dipelopori oleh badan-badan tertentu seperti, Freemason atau Illuminati atau nama-nama lain tetapi ia hanya kebetulan. Tak mungkin ada pihak atau segolongan manusia yang sanggup merancang selama beratus-ratus tahun untuk event yang entah akan entah tidak berlaku di masa depan kan? Impossilble kata mereka, tak logik dan tak masuk akal.

Golongan kedua pula seperti yang saya sebut, mereka suka sedut dan ambil bulat-bulat semuanya. Sehinggakan seluruh kehidupan mereka hampir terbelengu dengan teori konspirasi. Makan, minum, tidur, berbini dan beranak mereka sentiasa dihantui dengan teori konspirasi serta ilmu akhir zaman. Hal ini membuatkan mereka sentiasa paranoid. Sehinggakan mereka tak dapat membezakan yang mana realiti , yang mana teori konspirasi yang mungkin boleh dipercayai dan mana satu teori konspirasi yang karut dan palsu.

Sampaikan semua benda dan masalah dalam dunia ini yang menimpa diri mereka dan ahli keluarga mereka dianggap sebagai perancangan pihak tertentu atas agenda yang tertentu. Mereka senentiasa menyibukkan diri mereka dengan ilmu-ilmu pelik yang kononnya dapat membantu mereka dalam peristiwa akhir zaman. Malah ramai diantara mereka sentiasa menunggu-nunggu dan berharap agar mereka sempat hidup dan dapat menguji ilmu-ilmu yang dah mereka pelajari selama ini di masa-masa tersebut. mereka sungguh-sungguh nak membuktikan yang mereka adalah bakal tentera-tentera akhir zaman yang akan menyelamatkan umat manusia.

Mereka sibukkan diri mereka untuk cari pendinding, pemagar, pelindung, pengkalis dan senjata-senjata yang kononnya kata mereka dapat membantu dalam peperangan di akhir zaman nanti. Tetapi pada masa yang sama mereka lupa kepada kewajipan mereka sebagai seorang hamba Allah. Dalam pencarian mereka ini mereka lalai kepada suruhan yang wajib sebaliknya lena dengan teori-teori konspirasi. Sampaikan Nasi Lemak punya bungkusan pon dikatakan sebagai konspirasi Illuminati sebab bentuk tiga segi.

Kesimpulan yang pendek dari bebelan yang panjang ini ialah, jangan jadi dua-dua gologan ini. Satu pesan yang dah beberapa kali saya tulis sebelum ini adalah kita perlu ingat satu je, tiada perancangan , atau konspirasi atau percaturan mana-mana pihak pon yang lebih berkuasa dan lebih hebat dari percaturan dan perancangan Allah SWT. Illekminachi? Freakmasin, Rottingchildish? Itu semua ujian Allah kepada kita je sebab dia nak tengok siapa yang layak ke syurganya. Apa yang penting kita perlu kuatkan akidah dan iman kita dan pandai memilih medan perang. Bukan main serbu terus mahupun lari terus lintang pukang.

Tapi...tapi...tapi...bagaimana dengan Pak Jai? Bukankah Rasulullah dah memberi peringatan kepada kita supaya bersedia dan berwaspada kepada fitnahnya?

Ya, benar, Rasulullah suruh kita bersedia dan berwaspada pada FITNAHNYA bukan batang tubuhnya. Batang tubuhnya bukan milik anda untuk diapa-apakan sebab batang tubuhnya milik Isa A.S untuk dihancurkan. Jadi yang Nabi kita dok suruh hang lawan dan waspada dan elak tu bukan Pak Jai tapi fitnah dia, tipu helahnya, pujuk rayunya, dan sistemnya yang sebenarnya kita semua umat Islam zaman ini dah lama terikat. Itu yang membahayakan Akidah dan Iman kita bukan fizikal Pak Jai, bukan raksaksa bawah tanah dan bukan Yakjuj dan Makjuj. Pertahankan Akidah dan Iman kita serta kaum keluarga kita, maka kita akan selamat. Ok...pi sambung bungkus Nasi Lemak tiga segi. Wallah hu a'lam.

P.S: Teori Konspirasi tetap bukan sebahagian subjek yang dibahaskan. Page ini akan bebas daripada teori konspirasi walau kami mengambil jalan tengah dalam hal ini.

-ASJ- 

Copy and paste:
19 Septembeer 2025: 12.12. p.m


Wednesday, 17 September 2025

INTERAKSI DENGAN HADIS AKHIR ZAMAN


Sumber: Harakah Daily

KEGAWATAN yang berlaku di alam Islam setakat ini membawa umat Islam membaca kembali ayat-ayat al-Quran dan teks-teks hadis. Perkara-perkara pelik dan mengejutkan yang berlaku menyebabkan mereka cuba untuk memahami hakikat, dan sebahagian jawapannya ada diisyaratkan melalui nas-nas yang telah lama wujud.

Berkenaan akhir zaman, banyak disebut oleh hadis berbanding al-Quran. Hadis-hadis yang membahaskan tentang peristiwa akhir zaman disebut sebagai Hadis Fitan (ujian) ataupun Hadis Asyratu Saah (tanda kiamat). Manakala Ilmu berkenaan akhir zaman disebut sebagai ilmu fitan. Di dalam dunia akademik, ilmu kajian tentang ramalan akhir zaman dikenali sebagai eskatologi.

Secara umumnya, fenomena merujuk kepada hadis bagi menafsirkan kejadian semasa adalah suatu yang baik. Namun jika tidak berhati-hati, amat mudah untuk menyebabkan kita silap faham, lalu menghukum pihak tertentu tanpa kaedah pembuktian yang sebenar. Ia juga boleh melahirkan sikap pasif daripada memperjuangkan Islam, sama ada kerana takut ataupun kerana mengambil langkah menunggu hingga tiba apa yang disebutkan hadis tanpa sebarang usaha.

Beberapa panduan digariskan di bawah untuk kita berinteraksi dengan hadis akhir zaman, agar ianya selari dengan tuntutan syarak:

1. NAS SEBAGAI RUJUKAN UTAMA

Perkara ini adalah fundamental di dalam Islam. Sebelum baca apa-apa bahan, bekalkan dahulu diri dengan al-Quran dan Hadis. Belajar ilmu yang didatangkan melalui dua sumber ini terlebih dahulu sebaiknya.

Ini kerana kedua ini adalah sebenar-benar dan setepat-tepat sumber rujukan. Ketulenannya telah disaring rapi oleh alim ulama sepanjang zaman. Ia juga tidak akan berjaya diseleweng atau hilang melainkan bila tiba hari kiamat.

Jangan letakkan al-Quran Hadis sebagai rujukan sekunder. Jangan jadikan nas hanya sebagai penyokong kepada teori dan berita yang kita ambil dari sumber lain. Sebaliknya yang lain itu perlu dibaca setakat yang tidak menyalahi nas. Ia perlu ditolak sekiranya bercanggah dengan nas.

Akhir zaman, terlalu banyak pembohongan yang berlegar. Nabi SAW pernah menggambarkan bahawa akan tiba masa wujud kalangan manusia yang bekerja menyebarkan pembohongan sehingga mencecah ufuk dunia. Gambaran itu boleh kita lihat dengan zaman internet dunia tanpa sempadan ini. Fakta dan auta bercampur aduk. Benar dan batil tidak dapat dibezakan lagi.

Nabi berpesan agar kita berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah. Sabda baginda SAW:

تركت فيكم امرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما كتاب الله و سنة نبيه

“Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selamanya selama berpegang teguh dengan keduanya, Kitab Allah dan Sunnah NabiNya”
[HR. Malik]

2. FAHAMI DENGAN KAEDAH YANG BETUL

Membaca nas baik al-Quran dan Hadis tidak boleh sebarangan. Ia bukan semudah membaca akhbar atau artikel. Ada disiplin dan kaedahnya. Perlu belajar ilmu hadis berkait riwayah dan dirayah, asbab wurud, nasikh mansukh, dan sebagainya.

Hadis tidak boleh dibaca secara literal. Perlu diselami perbendaharaan bahasa arab. Nahu, sorof, balaghah, mantiq dan segala ilmu alat.

Hadis tidak boleh difahami secara tepat dengan hanya membaca terjemahan sahaja. Tiada bahasa yang setanding bahasa arab. Ia bahasa tuhan, bahasa syurga. Terjemahan hanya membantu, bukan mendalamkan kefahaman.

3. KAJI SECARA MENYELURUH

Jangan membaca satu hadis sahaja kemudian terus membuat kesimpulan. Disana terdapat beribu hadis yang berkaitan dengan akhir zaman. Ia perlu dibaca secara bersama. Menggabungjalinkan antara kesemua hadis. Jangan ditolak walau satupun sekiranya tidak ada perkara yang menyebabkan hadis itu tertolak.

Paling penting, hadis tidak boleh difahami dengan cara yang bercanggah dengan al-Quran. Kerana al-Quran adalah ibu, hadis adalah pelengkap. Kalau berlaku percanggahan, itu bukan kerana al-Quran atau hadis yang silap, tetapi mungkin kerana kita silap memahami salah satu dari keduanya.

Sikap mengambil sebahagian nas dan menolak sebahagian yang lain adalah sifat orang munafik dan ahli kitab. Perkara ini ditegah oleh Allah SWT. Islam akan tempang dan menjadi tidak dapat dijadikan panduan langsung jika sebarang nas difahami secara terpisah dari nas-nas yang lain.

4. BEZAKAN CARA INTERAKSI HADIS HUKUM

Hadis fitan berbeza dengan hadis hukum. Hadis fitan lebih kepada pengkhabaran tentang berita dan bukan berkenaan dengan arahan atau larangan melainkan sedikit. Justeru kaedah menerima hadis ini berbeza dengan cara menerima hadis untuk dijadikan dalil hukum.

Syarat menerima hadis sebagai penentu hukum agak ketat. Tetapi hadis fitan termasuk di dalam hadis-hadis berita baik atau buruk. Ulama seperti Imam Nawawi berfatwa bahawa hadis berstatus lemah dari segi periwayatan boleh diterima untuk fadail amal, bertujuan mendorong atau menakutkan.

Di dalam penentuan hukum, hadis banyak terikat dengan kaedah Usul Fiqh. Usul Fiqh berbeza antara mazhab dengan mazhab. Ada hadis yang tidak diterima oleh satu mazhab, tetapi diterima mazhab lain kerana berbeza kaedah Usul Fiqhnya. Dalam hadis fitan, kesemua perkara ini perlu diperhalusi.

Ada juga perawi yang dihukum daif kerana mereka melakukan kesalahan mengikut pandangan mazhab tertentu, tetapi bagi mazhab yang lain, perbuatan perawi itu tidak menjadi salah. Ada muhaddith yang terlalu syadid sehingga sesetengah perbuatan harus yang dilakukan perawi dihukum sebagai hilang thiqah lalu gugur hadis itu. Perkara ini juga perlu diselidik.

Faktor persekitaran semasa muhaddith juga perlu diambil kira dalam menerima pandangan mereka terhadap perawi. Boleh jadi faktor politik, ataupun fitnah yang tersebar pada masa mereka mempengaruhi labelan terhadap perawi hadith.

5. JANGAN MEYAKINI YANG ZANN

Jangan percaya penuh yakin dengan hadith-hadith yang bersifat zann thubut atau dilalah. Selagi hadith tidak sampai ke tahap mutawatir iaitu tidak ada ruang andaian untuk menghukum palsu, jangan kita pegang yakin sebagaimana al-Quran. Selagi mafhumnya boleh ditafsirkan dengan berbagai maksud yang lain, jangan kita berpegang yakin kepada satu mafhum sahaja. Boleh jadi hadis itu sebenarnya rekaan, atau mafhumnya lain.

Hadis akhir zaman kebanyakannya tidak menyebut figur secara ditil. Tidak dinyatakan nama watak, tarikh tepat atau jalan cerita terperinci. Maka boleh jadi apa yang dinyatakan hadis itu adalah apa yang berlaku sekarang, dan boleh jadi juga hadis itu akan berlaku masa hadapan.

Berpegang penuh yakin dengan hadis yang hanya status zann bukan sahaja boleh mendedahka kita kepada kesilapan, malah boleh membawa kepada kesesatan. Ia juga boleh membawa kepada dosa, bahkan terjerumus ke lembah kufur. Contohnya kita menafsirkan hadis umum yang menyebutkan tentang lelaki fasik atau kufur kepada mana-mana individu atau pihak secara khusus hanya kerana beberapa sifat persamaan yang samar. Allah berfirman bahawa sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.

6. LENGKAPI DENGAN PENGETAHUAN SOKONGAN

Memahami fenomena dunia tidak cukup sekadar merujuk kepada al-Quran da Hadis sahaja. Benar ia sumber utama, tetapi kita perlu mencari sumber sokongan yang kuat. Jika tidak, kita tidak akan dapat memahami hadis secara tepat dan akan terdedah dengan kesalahan.

Sumber kedua yang perlu dibaca adalah segala sumber yang fundamental dalam pengajian ilmu sosiologi, politik dan hubungan antarabangsa. Sejarah, geografi, ideologi, perlembagaan, piagam, dasar luar, teori-teori sosial, ekonomi dan politik, kajian-kajian entiti berpengaruh, perjanjian, deklarasi, persidangan, polisi semasa, kenyataan rasmi, pekeliling, dokumen rasmi dan sebagainya. Perkara inilah yang akan membentuk kerangka pemikiran kita dalam membaca kecenderungan dan motif setiap watak geo-politik yang terlibat.

Sumber ketiga pula adalah media. Ini termasuklah media cetak, elektronik dan hear-say. Malah platform hiburan seperti selebriti, sukan, lagu dan movie boleh diambil kira. Tetapi ia hanya sumber pelengkap untuk membantu kita mencari petanda sampingan. Terlebih dahulu perlulah diketahui latar belakang setiap media itu, mereka bekerja untuk siapa dan apa motif mereka. Kita membaca untuk memahami propaganda dan perkembangan, bukan untuk membina kepercayaan.

Sumber keempat yang boleh juga diambil kira adalah teori konspirasi dan teori eskatologi. Kadang-kadang sumber pertama kedua dan ketiga tidak dapat memberi jawapan tuntas terhadap persoalan yang timbul. Tetapi teori ini ada menawarkn jawapan. Cuma pastikan jawapan yang dipilih selari dengan sumber yang lebih kredibel.

7. MENGINSAFI

Tujuan nas diturunkan adalah untuk menjadi panduan hidup di atas dunia. Semakin seseorang memahami nas, semakin dia yakin terhadap Islam dan semakin terdorong untuk beramal soleh dan percaya masa depan di tangan Allah.

Jangan pula kefahaman terhadap nas menyebabkan kita jadi takut dan putus harapan sehingga meninggalkan tugas dan amanah perjuangan. Jangan ada yang meletak ‘senjata’ pasrah kerana ada hadis yang menyatakan Palestin akan dikuasai Dajjal. Jangan ada yang lari bersembunyi ke gua kerana takut bahaya Dajjal.

8. MENGELAK FITNAH SEMAMPU YANG BOLEH

Kalau boleh kita senantiasa berdoa agar dapat mengelak dari zaman fitnah. Kalau boleh dimatikan sebelum zaman Dajjal. Kerana fitnahnya sangat dahsyat sehingga boleh mengelirukan orang antara syurga dan neraka.

Jangan pula ada yang merasa teruja tidak sabar melihat apa yang Nabi SAW nyatakan. Perkara ini bukan menyeronokkan seperti menonton wayang. Tanpa akidah yang mantap dan rohani yang bersih, sesiapa sahaja boleh terpesong.

Jangan kita ingat nanti bila datang Imam Mahdi kita akan berbaiah. Belum tentu kita dapat bezakan adakah ia sebenar-benar mahdi atau mahdi palsu ciptaan musuh. Jangan ingat kalau tiba Dajal, kita akan lari sepenuh hati. Boleh jadi Dajal akan tiba kepada kita, dalam keadaan kita tidak tahu pun bahawa dia adalah Dajal!

KESIMPULAN

Daripada beberapa garis panduan ini, kesimpulannya kita amat perlu untuk:

1. Menimba ilmu. Kerana ilmu sahaja yang boleh membezakan hak dan batil.

2. Bersama ulama. Kerana ulama yang paling tahu cara memahami nas dengan betul.

3. Beramal soleh. Kerana amal adalah benteng akidah. Ia juga pesanan Nabi bagi menghadapi akhir zaman.

4. Mengikut jalan para Anbiya, Siddiqin, Syuhada dan Solihin iaitu jalan memperjuangkan Islam. Kerana jalan mereka adalah jalan yang benar sebagaimana firman Allah.

5. Membersihkan jiwa dari riya’, hasad, sombong dan sebagainya. Kerana penyakit hati adalah lubang untuk syaitan menyesatkan manusia.

6. Beriltizam dengan jemaah Islam dan pemimpinnya. Kerana ia adalah pesanan Nabi bagi menyelamatkan diri daripada fitnah.

7. Berdoa dan bertawakkal. Kerana ia adalah senjata orang beriman.

HARAKAHDAILY 9/12/2017

Copy and paste: 17 September 2025: 4.42 p.m

PENTINGNYA DALAMI ILMU ESKATOLOGI ISLAM

Oleh Dr. Mohd Khafidz Soroni
Harian Metro: 5 Mac 2023

Ilmu eskatologi antara ilmu yang patut difahami dan didalami pada masa kini. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, eskatologi ialah cabang teologi atau kepercayaan agama yang berkaitan dengan berakhirnya dunia. Dalam Islam, eskatologi bukanlah suatu yang baharu kerana ia memang datang bersama wahyu yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada umatnya. Eskatologi Islam bukan sahaja menyatakan dunia akan berakhir, tetapi ia mesti didahului oleh tanda yang menunjukkan demikian.

Hadis tentang eskatologi dikenali sebagai hadis al-Fitan wa Asyrat as-Sa'ah (fitnah dan tanda akhir zaman). Antara faedah utamanya adalah agar kita sentiasa menyedari hakikat dan matlamat hidup manusia di atas muka bumi kerana sesuatu yang bermula pasti ada akhirnya melainkan Allah SWT sahaja yang Maha Kekal, tiada mula serta tiada akhir bagi-Nya. Selain dapat meyakini dengan sepenuhnya risalah kenabian Nabi SAW yang tidak menuturkan satu perkataan pun melainkan yang benar semata-mata.

Hadis al-Fitan wa Asyrat as-Sa'ah ini dihimpunkan oleh Dr Hammam Abd al-Rahim Said berserta anaknya, Dr Muhammad Hammam Abd al-Rahim dalam sebuah ensiklopedia, Mausu'ah Ahadith al-Fitan wa Asyrat as-Sa'ahyang keseluruhannya berjumlah sebanyak 2,060 hadis, merangkumi tanda kecil dan tanda besar hari kiamat.

Melalui ilmu eskatologi Islam, kita dapat meyaksikan apa yang dikhabarkan oleh Nabi SAW menepati realiti yang berlaku satu demi satu. Terbaharu pada awal tahun ini, beberapa kawasan tanah tinggi dan gurun barat di Arab Saudi yang terkenal dengan landskap tandusnya bertukar menjadi hijau susulan cuaca lembap serta hujan yang hampir berterusan untuk tempoh lebih panjang berbanding sebelumnya. Walaupun ia mungkin bersifat sementara, namun kita percaya bahawa ia hanya permulaan dan bukannya yang terakhir, berdasarkan hadis Nabi SAW sabdanya: "Kiamat tidak akan terjadi sehingga harta menjadi banyak dan melimpah sehingga seorang lelaki keluar membawa zakat hartanya, namun ia tidak menemukan seorang pun yang mahu menerimanya dan sehingga tanah Arab kembali menjadi tanah subur yang penuh tumbuhan dan sungai mengalir." (Riwayat Muslim dan Ahmad)

Perkara yang dikhabarkan oleh Nabi SAW serta menepati realiti yang berlaku ini pernah dibahaskan oleh beberapa sarjana Islam. Antaranya, al-Hafiz Sayyidi Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani (wafat 1380H) dalam kitab Mutabaqat al-Ikhtira'at al-'Asriyyah lima Akhbara bihi Sayyid al-Bariyyah yang kandungannya membahaskan tentang ciptaan, inovasi dan sistem moden yang menepati perkhabaran Rasulullah SAW.

Begitu juga adiknya, al-Muhaddith Sayyidi Abd al-Aziz bin al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani (wafat 1418H) yang menyusun kitab al-Arba'in al-Aziziyyah fima Akhbara bihi al-Nabi min Ahwal al-Waqt yang kandungannya membahaskan tentang gejala sosial, masalah moral dan keruntuhan akidah umat akhir zaman yang menepati perkhabaran Rasulullah SAW. Kitab beliau diterjemahkan oleh Ustaz Alhakim bin Ishak dengan judul: '40 Hadis Perihal Zaman Kini'.

Tidak dinafikan bahawa terdapat hadis daif di dalam kitab berkenaan, namun perlu diketahui bahawa tema kitab bukanlah berkaitan akidah dan hukum, tetapi lebih berkaitan nasihat serta peringatan buat umat Islam. Justeru, harus menggunakan hadis daif dalam aspek ini. Malah, Sayyidi Abd al-Aziz al-Ghumari dalam kitabnya mengemukakan satu kaedah pengukuhan hadis yang barangkali diperselisihkan penerimaannya, iaitu hadis daif bukan saja dapat dikuatkan dengan sokongan riwayat lain, bahkan ia juga dapat dikuatkan dengan sifatnya menepati realiti yang berlaku, meskipun tiada riwayat lain yang menyokongnya. Menurut beliau, ia menunjukkan bahawa perawi hadis daif tersebut mungkin bersifat benar dan jujur ketika meriwayatkannya.

Ringkasnya, kedua-dua kitab menghimpunkan hadis yang bertepatan dengan realiti yang berlaku dalam masyarakat Islam zaman mutakhir ini. Walaupun ada sesetengahnya hanya berlaku dalam kalangan segelintir masyarakat, namun itu sudah cukup untuk menunjukkan benarnya perkhabaran Nabi SAW. Kesemua hadis yang memerihalkan tentang hal ehwal berkenaan jelas membuktikan bahawa umat manusia kini sedang berada pada fasa akhir zaman.

Justeru, amat penting kita menyedari hakikat ini dan mempelajari hadis mengenainya agar dapat dijadikan pedoman untuk kesejahteraan diri, keluarga serta masyarakat. Hadis mengenai eskatologi ini mampu membuatkan kita sentiasa waspada terhadap apa jua situasi yang melanda umat manusia, di samping sedar dan insaf terhadap kelemahan yang ada pada diri kita agar segera diperbetul serta diperbaiki sebelum terlewat. Semoga Allah SWT memelihara kita semua daripada segala bala bencana dan fitnah yang sedang atau bakal melanda di akhir zaman ini.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Copy and paste:
17 September 2025: 4.37 p.m

SERUAN UNTUK BANI JAWI

Sumber: Perguruan Laksamana Sunan-Pls

Sejarah mencatatkan, terdapat 3 bani keturunan Nabi Ibrahim AS iaitu Bani Arab, Bani Israel dan Bani Jawi. Bani Israel tahu bahawa riwayat Bani mereka akan ditamatkan oleh Bani Jawi. Pemimpin Bani Jawi adalah gabungan benih Bani Arab dan Bani Jawi iaitu al Mahdi. Justeru Bani Israel berusaha bermati-matian mencari al Mahdi.
Bani Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau “Golden Chersonese” dan kemudiannya dikenali sebagai Tanah Melayu. Bani Jawi menerima Islam tanpa peperangan dan mendukung Islam dengan sempurna. Di bumi Jawi ini al Mahdi dilahirkan ke dunia dan membesar menanti hari untuk pulang ke tanah asal nenek moyangnya .
Peta dunia Ptolemy yang dicetak di Ulm, Jerman, 1482.
Telah lama Yahudi Illuminati mencari bani Jawi@ kaum yang hilang. Kini Yahudi telah mengetahui di manakah “Promise Land” iaitu Bumi Malaysia@Tanah Melayu@Tanah Jawi@Tanah Jantung hati@Tanah dihujung dunia.
Yahudi sedang berusaha menjejaki lokasi Al Mahdi.
Yahudi tahu Al Mahdi ada di bumi Jawi ini.
Tetapi ketentuan Allah mengatasi segalanya.
Sebagaimana Allah selamatkan Nabi Musa AS di dalam istana Firaun,
sebagaimana Allah selamatkan Nabi Ibrahim di dalam api,
sebagaimana Allah selamatkan Nabi Isa Al Masih dari kepungan Yahudi ,
sebagaimana Allah selamatkan Nabi Muhammad SAW dari kepungan kafirin
begitulah Allah akan selamatkan al Mahdi dari konspirasi Yahudi dan kuncu-kuncunya.
Bacalah catatan pengembaraan bani misteri ini mencari “promised land”untuk menunaikan misi suci wasiat Nabi Ibrahim AS.

BANI JAWI @ BANGSA JAWI /MELAYU
Tanah Jawi – ialah gelaran kepada Tanah Melayu
Orang Jawi – ialah gelaran orang Arab kepada orang Melayu
Tulisan Jawi – ialah tulisan yang digunakan oleh orang Melayu
Masuk Jawi – berkhatan iaitu salah satu amalan yang diajar Nabi Ibrahim dan menjadi amalan orang Melayu @ jawi zaman berzaman.
Terdapat satu kajian bahawa bangsa Mala@ Melayu adalah berasal dari keturunan Nabi Ibrahim dari isteri ketiganya yang bernama Siti Qaturah@Keturah.
Adakah Bangsa Melayu merupakan salah satu bangsa yang dicari-cari oleh Yahudi selama ini??
Kerana menurut kitab Yahudi…di akhir zaman nanti bangsa Yahudi akan disembelih oleh saudara mereka yang lain… iaitu Bangsa Jawi !!!
Bumi Jawi@Tanah Melayu
Siapakah Melayu ?
Dari manakah asal usulnya bangsa Melayu itu ?
Ketika ramai pengkaji memperdebatkan kaum-kaum yang hilang seperti The Lost Tribe of Israel, Atlantis, Lemuria, Sodom and Gomorrah malah masih mencari-cari siapakah Gog and Magog ,rahsia bangsa misteri ini masih terpelihara di dalam Kotak Tabut sejak beribu-ribu tahun.
Tiada siapa yang tahu dari mana asalnya bangsa ini. Bagaimana bangsa ini boleh wujud di tanah paling selatan benua Asia,’di penghujung dunia’. Bangsa yang hilang masih tidur dan ditidurkan ‘Di hujung dunia’, setelah penat mengembara, bangsa misteri berehat dan berehat…tidur dengan lenanya…senyap sunyi tanpa siapa mengganggu walaupun Hitler telah pergi ke Tibet menjejak bangsa misteri ini, tetapi dia juga kehilangan jejak mereka.
Di manakah bangsa misteri ini mengakhiri perjalanan mereka ?
Masih adakah lagi masa untuk menjejaki mereka ?
Rupa-rupanya ‘Di hujung Dunia’ bangsa ini masih nyenyak bertapa !
Wahai Bani Jawi, wahai keturunan kaum yang hilang.
Ketahuilah bahawa kehadiran kita di bumi Jawi ini adalah ketentuan Ilahi yang diwahyukan kepada Nabi Ibrahim AS.
Sebelum wafat, Nabi Ibrahim AS telah mewasiatkan kepada anak-anaknya untuk mencari sekeping tanah semenanjung di hujung dunia. Kerana di sana nanti akan zahir dari keturunan ini satu Raja akhir zaman bernama Al Mahdi.
Diceritakan juga al Mahdi akan pulang semula ke tanah asal bersama kaumnya dan akan memusnahkan bangsa Yahudi. Wasiat ini dilaksanakan oleh anak-anak Nabi Ibrahim dan kisah ini dicatit dalam kitab-kitab Yahudi.
Sejarah berlalu zaman berzaman.
Kisah ini juga diceritakan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat. 60 orang para sahabat telah mengembara ke Timur mencari Bani Jawi.
Akhirnya Bani Jawi menerima Islam tanpa peperangan. Bani Jawi terkenal dengan akhlak dan kelemahlembutan mereka kerana mereka berdarah bangsawan dan kesatria perang yang dihormati.
Manakala kaum Yahudi sejak sekian lama, mencari merata-rata lokasi kaum yang hilang ini. Bani Jawi mesti dicari dan dihapuskan. Imam Mahadi adalah sasaran utama yang mesti dimusnahkan. Samalah seperti Firaun mencari Nabi Musa a.s.
Mereka meracuni keturunan Rasulullah SAW supaya tiada zuriat akan diperturunkan pada generasi suci dan dengan itu Al Mahdi tidak dilahirkan. Ketentuan Ilahi tiada siapa boleh menghalang. Al Mahdi tetap dizahirkan oleh Allah SWT. Nun dinegara yang terletak antara tiga lautan. Air buminya tidak panas dan tidak sejuk. Terletak cantik di hujung dunia. Semenanjung berbentuk jantung. Bumi bertuah. Bumi Jawi,Tanah Melayu.
Yahudi laknatullah tahu al Mahdi telah wujud dan zahir di tanah jawi ini tetapi di negeri mana, di daerah mana? Dia sendiripun belum tau...

Copy and paste:
17 September 2015: 1.46 p.m