Kredit: Roujin d'Umi
Mari kita pandang sisi begini. Di dalam hikayat lama dan penulisan-penulisan terkini mengenai Dato' Laksamana Hang Tuah (Tok Tua) keseluruhannya hampir bersetuju dengan kelebihan-kelebihan yang terzahir dari keperibadian beliau.
Antaranya :-
1] Baik budi pekerti, adabnya dan rupa parasnya :
Sultan Melaka dan Bendahara amat menyukai adabnya. Hang Tuah sudah fasih adat dan istiadat istana ketika berumur 10 atau 12 tahun ketika dibawa mengadap Sultan Melaka.
Petanda besar kemungkinannya Tok Tuah adalah dari kalangan anak raja juga atau dari kalangan anak Orang Kaya Istana yang mengerti adat-adat istiadat di
dalam istana.
...
2] Tok Tuah sudah mahir ilmu Seni Silat dan Seni Tempur Perang :
Tok Tuah sudah mahir ilmu seni silat dan sudah pun membunuh lanun yang mengamuk di pesisiran pantai Sulawesi dan Melaka bila dibawa mengadap Sultan Melaka ketika berumur 12 tahun, usia muda.
Bermakna, Tok Tuah sudah mahir ilmu tempur perang satu lawan satu dan satu lawan ramai [5 - 10] sebelum di ambil oleh Sultan dan diletakkan di bawah jagaan dan didikan Dato' Bendahara Tun Perak
(Tok Puteh).
...
3] Tok Tuah Fasih Dalam 12 Bahasa ;
Menguasai 12 bahasa dunia amat perlukan ketajaman dan kecerdasan aqal yang sihat, banyak menuntut kesabaran yang tinggi. Bukan sembarangan atau calang-calang orang yang boleh fasih menguasai banyak bahasa dunia jika tiada
kecerdasan aqal dan kesabaran yang tinggi.
Apalagi seorang yang diberi pula menjawat jawatan yang tinggi seperti Dato' Laksamana Hang Tuah.
...
[4] Adalah juga dikabarkan bahawa Hang Tuah sesungguhnya menjalin kasih dengan Puteri Majapahit, "Nimas Ayu Parwati". Sayangnya, sistem kasta ketika itu masih berlaku kuat di tlatah Jawa.
Saat ujian demi ujian dapat ditunai kan, sang pujaan hatinya telah dipinang oleh Sultan Malaka. Di sinilah letak luhurnya budi dan kesetiaan Hang Tuah kepada perintah Sultannya dan cintanya kepada negerinya.
Hang Tuah merelakan puteri "Nimas Ayu Parwati" disunting oleh rajanya sendiri, Sultan Malaka.
KERIS "TAMING SARI" :
Keris milik Hang tuah yakni keris Taming Sari sesungguhnya bernama "CAKRA TANIMBAR" dan asalnya telah dicuri oleh seorang maling bernama Taming Sari dari tuannya yang bernama Bhre Pandan Salas.
Dengan keris itu, Taming Sari membuat onar dan mengacau di Kotaraja. Hang Tuah yang secara kebetulan berada di lokasi sengketa itu dengan cerdik aqalnya mampu mengalahkan Taming Sari.
Keris yang diperolehinya setelah mengalahkan dan membunuh Taming Sari tersebut telah pula dihadiahkan oleh Paduka Raja Majapahit sekaligus sebagai bekal saat menghantar puteri Nimas Ayu Parwati ke Malaka.
Karena tersohornya peristiwa itu, keris tersebut lebih dikenali dengan kerisnya Si Taming Sari. Dan sebutan itu berlaku hingga saat ini.
Dalam perjalanannya ke Malaka dan sesampainya rombongan itu di Dharmasraya, angkatan Malaka telah diserang oleh "Balasura", seorang perwira tinggi kerajaan Majapahit yang berpikiran radikal.
Dia sungguh menganggap bahawa pengambilan puteri Nimas Ayu Parwati itu sebagai wujud lemah nya diplomasi raja Majapahit, maka merendahkan martabat Majapahit.
Dia berniat menggagalkan usaha itu bersama sekitar 80 narapati tetapi Hang Tuah malah mampu mengalahkan mereka semua.
Namun dengan belas kasihnya, Hang Tuah mengampuni dan melepaskan mereka kembali ke Tanah Jawa dengan berpesan bahawa,
"Kejayaan Nusantara hanya akan tertinggal di lidah bila tidak ada rasa saling percaya mempercayai sesama MELAYU NUSANTARA dan masih lagi menganggap diri masing-masing LEBIH TINGGI dan LEBIH MULIA dari yang lainnya"
Itulah pesan Dato' Laksamana Hang Tuah kepada perwira Majapahit, Balasura.
Pada masa itu Dinasti Ming sedang gencarnya melakukan ekspansi ke berbagai wilayah dan Malaka adalah PERISAI PERTAMA pertahanan kepada NUSANTARA.
ILLUSTRASI PERIBADI HANG TUAH :
Dato' Laksamana menolak jabatan yang sangat tinggi dari kerajaan Majapahit termasuklah Puteri cantik Majapahit, jawatan dan harta yang berlimpah di Kerajaan Majapahit demi membangunkan kemuliaan Melayu di Tanah Airnya
sendiri.
Dato' Laksamana berkorban merelakan "Nimas Ayu Parwati" puteri Raja Majapahit disunting oleh sultannya sendiri, Sultan Melaka.
Walau pun beliau dikhianati oleh sebahagian Melayu itu sendiri termasuklah Sultan Melaka, beliau tidak pernah membenci tanah airnya sendiri, Tanah Malaka yang telah pernah membuangnya kerana difitnah oleh pembesar-pembesar istana Malaka.
Bahkan dia kembali pula untuk membangun bangsa Melayunya bersama Dato' Bendahara Tun Perak (Tok Puteh).
Dato' Laksamana berperawakan sederhana dalam penampilan dirinya di kalangan rakyat jelata. Beliau berpakaian sebagaimana rakyat jelata bila bergaul dan mendirikan rumah di antara mereka dan tiada memiliki harta dan
kemewahan. Hidup dengan amat sederhana.
Dato' Laksamana dikenali sebagai insan yang sentiasa berpuasa. Dia tidak memakai "Bintang-Bintang kebesaran Dato' Laksamana" yang selayaknya bagi anggota pegawai Sultan dan Istana.
Pakaian perhiasannya hanya tali temali dari benang akar di tangan kanannya yang sentiasa menemani beliau sejak pulang dari Kerajaan Majapahit.
Beliau bercakap merendahkan suara, lemah lembut, lagi penuh beradab dan bersopan santun baik kepada yang tua maupun kepada yang lebih muda darinya.
Keperibadiannya adalah yang terbaik di antara pahlawan-pahlawan Melayu di zamannya.
...
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Dalam banyak-banyak penulisan pendapat dan cadangan kepada asal usul dan keturunan Dato' Laksamana Hang Tuah (Tok Tua), penulis AMAT TERTARIK kepada usul ini.
Selamat membaca.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
HANG TUAH ~ Dari Mana Asalnya ?
Tergerak di hati mencari akan keterangan mengenai asal usul Dato' Laksamana Hang Tuah setelah kemelut persoalan mengenai pernah ujud ke tidaknya lagenda kepahlawanan Hulubalang Kesultanan Melayu Melaka yang termasyhur itu dek satu penulisan seorang ilmuan tempatan (bukan Melayu) yang mengkhususi bab sejarah tanahair baru baru ini.
Maka ketemuilah saya akan manuskrip "Salatus Salatin" yang tersimpan di dalam Pustaka Digital Manuskrip Melayu di sini.
Di mukasurat ke 103 dan 104 manuskrip itu disebut dengan jelas akan asal usulnya Hang Tuah itu!
Inilah saya terbitkan semula akan intipati maklumat yang tertera disana.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Maka sembah Seri Bija Pikrama, "Tuanku, yang kegemaran paduka adinda itu (Sultan Malaka), jikalau ada budak laki-laki yang baik rupanya dan sikap serta dengan beraninya, itulah yang kegemaran paduka adinda."
Maka titah Raja di Gowa, "Budak-budak bagaimana itu? Anak orang baikkah? Atau sebarang orangkah?"
Maka sembah Seri Bija Pikrama, "Jikalau boleh, anak orang baiklah, keraeng."
Setelah baginda mendengar kata Seri Bija Pikrama itu, maka titah Raja di Gowa kepada juak-juaknya, "Pergilah engkau semua carikan aku, anak daeng baik, anak hulubalang baik; barang yang baik rupanya dan sikapnya engkau ambil."
Maka segala juak-juaknya pun pergilah mencari anak orang, daripada segala kampung dan dusun dicarinya tiada dapat olehnya. Maka didengarnya ada anak "Raja Bajung" yang terlalu baik rupanya dan sikapnya, bapanya sudah mati.
Maka segala juak-juak itu pun pergilah ke Bajung. Setelah sampai, dilihatnya sungguh seperti khabar orang itu, lalu diambilnya, dibawanya kembali mengadap Raja di Gowa dan dipersembahkannya.
Maka oleh Raja di Gowa, ditunjukkannya kepada utusan Melaka itu. Maka titah baginda, "Budak ini berkenankah saudaraku di Melaka, orang kaya?"
Maka dipandang oleh utusan kedua itu, terlalulah ia berkenan dengan gemarnya. Maka sembah Seri Bija Pikrama, "Demikianlah tuanku, yang dikehendaki paduka adinda."
Maka titah baginda Raja di Gowa, ''Jika demikian budak inilah Orang Kaya, aku kirimkan kepada saudaraku Raja Melaka, ia ini anak Raja Bajung, daripada tanda muafakat, serta dengan kasihku akan saudaraku Raja Melaka, maka aku berikan."
Maka sembah Seri Bija Pikrama, "Sebenarnyalah titah tuanku itu; yang titah paduka adinda pun demikian juga, tuanku".
Adapun anak Raja Bajung itu "Daeng Merupawah" namanya; umurnya baru dua belas tahun. Diceriterakan orang yang empunya ceritera, sudah dua kali ia membunuh, mengembari orang mengamuk di negeri.
Setelah keesokan hari, maka utusan kedua itu pun naiklah mengadap Raja Mengkasar, didapatinya Raja di Gowa telah pepak dihadap orang.
Maka Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja pun duduk menyembah. Maka oleh Raja di Gowa utusan kedua itu dipersalini dengan sepertinya. Maka keduanya menyembah.
Maka titah Raja di Gowa, "Katakan kepada saudaraku Orang Kaya, akan Daeng Merupawah ini petaruhku Orang Kaya kedua kepada saudaraku, Raja Melaka. Perhamba ia baik-baik, dan kalau ada sesuatu yang dikehendaki oleh saudaraku Raja Melaka, dalam Mengkassar ini menyuruh ia kepada aku."
Maka sembah utusan kedua itu, "Baiklah tuanku."
Setelah itu maka kedua utusan itu pun bermohonlah, lalu turun. Maka surat dan bingkisan pun diarak oranglah dengan selengkap alatnya, dengan segala bunyi-bunyian.
Setelah datang ke perahu maka surat serta bingkisan itu disambut oranglah, disirupan. Maka segala yang menghantar itu pun kembalilah; maka Daeng Merupawah serta dengan Seri Bija Pikrama, maka kedua buahnya itupun belayarlah kembali ke Melaka.
Hatta beberapa lamanya di jalan, maka sampailah ke Melaka. Maka dipersembahkan orang kepada Sultan Mansur Syah, mengatakan Seri Bija Pikrama telah datang.
Maka baginda pun keluarlah, semayam dihadap segala Orang Besar-Besar dan hulubalang, sida-sida, bentara, biduanda, hamba raja sekalian. Maka surat itu disuruh baginda sambut dengan istiadatnya. Maka Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja pun bersama-sama baginda, serta membawa "Daeng Merupawah" (Hang Tuah).
Setelah sampai ke balai, maka surat disambut bentara dipersembahkan ke bawah duli baginda; maka disuruh baca kepada khatib. Setelah sudah dibaca, maka Sultan Mansur Syah pun terlalu sukacita mendengar bunyi surat Raja Mengkassar itu.
Maka Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja pun naik menjunjung duli, lalu duduk mengadap kepada tempatnya sedia itu; maka "Daeng Merupawah" pun dipersembahkan ke bawah duli dengan segala pesan raja Mengkassar itu semuanya dipindahkannya.
Maka Sultan Mansur Syah pun terlalu suka, serta berkenan baginda memandang rupa dan sikapnya Daeng Merupawah itu. Maka titah baginda, "Bagaimana maka Raja Mengkassar berkirimkan anak Raja Bajung ini? Dilanggarkah Raja Bajung maka anaknya tertawan ini?"
Maka sembah Seri Bija Pikrama, "Tiada tuanku, Raja Mengkassar bertanya kepada patik akan kegemaran duli tuanku maka patik katakan gemar akan budak yang baik rupa." Maka semuanya perihal ehwalnya habis dipersembahkan nya ke bawah duli Sultan Mansur Syah.
Maka baginda pun suka, serta Seri Bija Pikrama dipuji baginda. Maka "Daeng Merupawah" itu dinamai baginda "Hang Tuah", itulah asal Hang Tuah; maka dipeliharakan oleh baginda dengan sepertinya, terlalu kasih baginda akan Hang Tuah, maka dianugerahi akan dia sebilah "Keris Terupa" Melaka dengan selengkap perhiasannya.
Adapun Hang Tuah selama ia di Melaka, tiada lain kerjanya, hanya berguru akan ilmu hulubalang. Barang siapa yang lebih tahunya dimasukinya; adalah kepada zaman itu tiadalah dua orang-orang muda sebagainya.
Adapun "Perhangan" ke bawah duli Sultan Mansur Syah yang setelah sudah pilihan delapan orang, iaitu Hang Jebat, dan Hang Kasturi, dan Hang Lekir, dan Hang Lekiu, dan Hang Ali dan Hang Iskandar, dan Hang Hassan, dan Hang Hussin; dan tua-tuanya Tun Bija Sura, menjadi sembilan dengan Hang Tuah.
Sekaliannya berkasih-kasihan, muafakat, sama berilmu, tetapi kepada barang main tewas semuanya oleh Hang Tuah. Demikianlah diceriterakan oleh yang empunya ceritera.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Demikianlah terteranya maklumat berkenaan Dato' Laksamana Hang Tuah yang berasal dirinya dari Makassar dan bernama "Daeng Merupawah", putera "Raja Bajung".
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Alangkah baiknya jika diadakan kajian yang sempurna mengenai asal usul pahlawan Kesultanan Melayu Melaka ini, dan tidak dibiarkan orang mempertikai kan kewujudannya?
Apalah gunanya kita mempunyai segala macam jabatan dan kementerian serta perbadanan muzium itu dan ini, jika perkara sepenting ini yang melibatkan jatidiri dan maruah orang Melayu terbiar diperkotak-katikkan orang sebarang?
Apakah tidak terasa terhina bilamana disangsikan tentang pernah wujud ke tidak pahlawan Melaka yang terbilang itu dan dikatakan cuma mitos tidak berasas sama sekali?
Maka bersegeralah wahai pihak yang berkuasa berkenaan melakukan kajian secara terperinci akan apa yang terakam didalam "Manuskrip Salatus Salatin" dan jalankan kajian tentang apa yang diceriterakan di dalam manuskrip tersebut berkenaan bahawa Hang Tuah itu asalnya adalah bernama "Daeng Merupawah", putera Raja Bajung!
Raja di Gowa yang diceriterakan di dalam Hikayat Salatus Salatin itu memang ujud dan Istana Kesultanan Gowa itu kekal sehingga kehari ini. Daerahnya di Sulawesi Selatan dan terakam maklumat mengenainya di dalam Wikipedia.
Kesultanan Melayu Perak memiliki "Keris Taming Sari" milik Dato' Laksamana Hang Tuah sampai ke hari ini!
Jika Taming Sari ujud makanya sudah tentu Dato' Laksamana Hang Tuah pernah hidup dan berjasa kepada Kesultanan Melayu Melaka!
Kenapakah Kesultanan Melayu Perak Darul Ridzuan tidak tampil membela nama dan maruah Dato' Laksamana Hang Tuah?
Kenapakah Raja-Raja Melayu mendiamkan diri bila seorang professor sejarah semberono sahaja menyanggah kewujudan pahlawan Melayu yang terbilang sekali di dalam lipatan sejarah Kesultanan Melayu negara kita ini?
Sesungguhnya segala bukti-bukti di atas boleh digunakan untuk mengkaji dengan lebih mendalam lagi dan mengesahkan kewujudan Hang Tuah tanpa perlu diragu-ragukan lagi.
Haji Zainool Abideen
Tel : +6016-396 9881
Sabtu; 14 April 2012
Copy and paste: 12 Februari 2020 / 19 Jamadil Akhir 1441H - 9.08 malam
No comments:
Post a Comment