Showing posts with label PEDOMAN HIDUP. Show all posts
Showing posts with label PEDOMAN HIDUP. Show all posts

Thursday, 9 October 2025

KENAL DIRI, KENAL TUHAN

Kredit: The Patriots

Oleh Zaki Sapuan
“Barangsiapa mengenal akan dirinya, nescaya mengenal akan tuhannya.”
Kata-kata sufi ini mewangi di taman kuliah tasawwuf. Inilah kunci yang membuka rahsia hakikat kehidupan hamba bertuhan. Allah tidak pernah jauh dari kita. Dia sentiasa dekat. Tuhan tidak tinggal sewaktu past, present atau future. Tidak wujud di dalam tempat atau di luar tempat. Tiada yang menyerupai-Nya dengan apa pun. Namun, Tuhan bisa dikenal dengan merenung ke dalam diri manusia itu sendiri.
Allah berfirman:
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka), kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya." (QS At-Tin: 4-6)
1-Kita mengenal-Nya melalui kesempurnaan kita.
Melihat ke dalam diri. Mengkagumi bagaimana teraturnya manusia dijadikan secara sempurna. Susun letak setiap abdomen ada fungi yang spesifik. Ada mata untuk melihat. Ada telinga untuk mendengar. Ada mulut untuk makan. Tangan untuk memegang dan kaki untuk melangkah. Kedudukan abdomen pula strategik.
Hidung elok lubangnya di bawah. Kalau lubang hidung ke atas, mesti payah bila hujan turun. Di mata pula, elok ada bulu mata yang menapis habuk-habuk daripada menyakiti bola mata. Lihat pula tangan kita, ada jari jemari yang memudahkan kita untuk menggenggam dan membuat isyarat.
Lebih dalam lagi, kita lihat pula urat saraf manusia. Sudahlah halus, bersambung pula sampai kepada keseluruhan bahagian tubuh badan. Kalau tukang urut refleksologi, tahulah yang di telapak kaki, ada urat dan pembuluh darah yang bersambung sampai ke jantung, hati, atau abdomen tubuh yang merata.
Urut sahaja di telapak kaki, kesannya terasa ke bahagian tubuh lain. Dalam jantung pula, ada darah yang dipam ke serata badan setiap detik. Hebatnya lagi, darah ini sampai ke bahagian-bahagian penting dengan tolakan injap jantung yang keras bekerja.
Dengan sempurnanya kejadian manusia, tidakkah ia mencari kepada pencipta?
2-Kita mengenal-Nya melalui kekurangan kita.
Apabila kita merenung dan memuhasabah diri, tampaklah yang kita tidak abadi. Kaya macam mana pun seseorang, dia pasti menemui ajal. Kuasa, rupa dan pengaruh tidak akan kekal selama-lamanya. Hiduplah 80 tahun, 90 tahun atau 100 tahun, lambat laun akan ke rahmatullah jua.
Orang yang kuat, gagah perkasa, tubuh berotot dan mampu mengangkat besi berkilo-kilo, kalau ditimpa sakit, rebah jua. Cuba kalau dicucuk nyamuk aedes, kena demam denggi, tak ke berselimut. Tubuh yang sasa, lemah juga dengan penyakit.
Pancaindera yang ada pada manusia pun terbatas. Tidak mampu melihat perkara yang terlalu dekat, dan tidak mampu melihat yang terlalu jauh. Ada yang tidak mampu dilihat kerana memudaratkan seperti gerhana. Ada yang tidak mampu dilihat kerana ia di dimensi lain seperti makhluk halus.
Untuk melihat kuman dan sel-sel kecil, manusia memerlukan mikroskop. Untuk melihat yang terlampau jauh contohnya bulan dan kejora, manusia memerlukan teleskop. Doktor yang bijak pandai berlajar oxford pun, memerlukan stetoskop untuk dengar degupan jantung dengan jelas. Manusia ni, memerlukan bantuan alat-alatan dalam kehidupannya.
Dengan lemahnya kejadian manusia, tidakkah ia menunduk kepada pencipta?
Jalal, Jamal & Kamal Allah.
Allah ialah tuhan yang kepada-Nya kita bersandar. Setelah melihat segala kekuatan pada diri sendiri, lihatlah siapa yang memberikan semua ini, Allah. Setelah melihat segala kelemahan pada diri sendiri, lihatlah siapa yang seharusnya kita kembali, Allah. Tiada daya upaya melaikan dengan izin Allah.
Dengan melihat cermin diri sendiri, sedarlah kita yang sifat makhluk ini tidak sama sekali dengan pencipta (khalik). Allah tidak memerlukan mikroskop, teleskop atau stetoskop untuk melihat. Sifat-Nya Maha Pelihat. Tuhan yang Maha Kuasa ini tidak pernah sakit. Seluruh alam semesti ini adalah kepunyaan-Nya. Bila kita melihat kekuatan kita yang terbatas beserta keleman kita yang tidak bertepian, sedarlah kita bahawa kita hanyalah hamba. Kepadan-Nya kita bersujud.
Cermin Hati.
Hati ialah cermin diri. Dengan hati, kita melihat buruk baik diri kita. Dengan cermin hati jua, kita boleh mengenal Allah.
Bagaimana? Iaitu dengan membersihkannya. Tazkiyatun nafs. Hati kita sudah mengenal tuhan sejak di alam azali lagi. Ia sudah merasai pertemuan dengan-Nya di hari alastu birabbikum.
Rahsia tauhid sudah tersimpan di peti hati. Tinggal dibuka dengan kunci al-Ihsan. Maharnya ialah syahadah islam dan ketulusan iman. Jika berdebu cermin hati, segudang kitab-kitab suci pun tidak mapu membukakan jalan. Hanya dengan hati yang suci, rahsia jiwa bisa terpancar. Yang dibutakan dengan kekaguman diri sendiri, akan kekal buta. Kerana tidak sedar kelemahan diri sendiri.
Hanya setelah kita sedar dan syahadah, bahwa segala kekuatan kita terbatas, dan kelemahan kita tidak bertepi, barulah kita reti untuk tunduk sujud, makrifat kepada Allah.
Dr Khalif Muammar berkata:
Memang jika dinisbahkan hamba kepada manusia ia adalah suatu kehinaan, namun demikian apabila perhambaan itu dinisbahkan kepada Tuhan sekelian alam, maka ia adalah suatu kemuliaan.
Menjadi hamba kepada manusia bermakna ia bergantung kepada orang yang ia sendiri bergantung kepada orang lain, yang diatur oleh kuasa lain, maka pergantungan kepada manusia yang lemah akan menjadikan kita semakin lemah, dan kerananya hina.
Sebaliknya apabila seseorang itu bergantung kepada yang Maha Kuasa, Yang Maha Besar, Yang memiliki segalanya, maka ia akan menjadi kuat dan mulia kerana orang lain tidak memiliki kemuliaan dan kelebihan itu.
Allah menciptakan manusia sebaik kejadian kerana manusia adalah ciptaanNya yang paling istimewa dan untuk tujuan yang lebih besar iaitu menjadi khalifahNya. Namun manusia tidak boleh lupa bahawa ia tetap merupakan hamba Allah dan kelebihan yang Allah berikan padanya tidak menjadikannya bebas daripada Tuhan, tidak tertakluk pada kuasa dan aturanNya.
Kebenaran hanya akan dapat dicapai jika kita ada sifat tawadu’, merendah diri.

Copy and paste:
9 Oktober 2025: 3.29 p.m

TAZKIYAH AL-NAFS DALAM ILMU TASAWUF

Sumber: Pejabat Mufti Negeri Sembilan

Oleh:
Dato’ Haji Mohd Murtadza bin Hj Ahmad
Mantan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Bicara Sufi @ Balai Kediaman Rasmi YTM Tunku Besar Tampi
6 Februari 2010

1.0  PENGERTIAN TAZKIYAH AL-NAFS

Tazkiyah bermaksud pembersihan atau penyuburan. Dalam konteks ahli tasawuf, tazkiyah merujuk kepada bersih daripada sifat keji dalam diri dan kezaliman lahiriyah (Ibnu Arabi, t.thn: 389).

Dalam erti kata yang lain tazkiyah al-nafs adalah melibatkan dua proses utama iaitu al-takhalli ( التخلي ) dan al-tahalli ( التحلي ). Al-takhalli ialah membersihkan diri daripada sifat-sifat yang tercela kerana ianya adalah najis maknawi yang menghalang untuk sampai kepada hadrat Allah yang Quddus sebagaimana najis yang zahir kepada Allah (al-Qurdi, 1995:457). Manakala al-tahalli pula ialah menghias jiwa dengan sifat-sifat yang mulia sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Menurut al-Tusi, al-tahalli ialah mengikut golongan sodiqin sama ada dari sudut perkataan mahupun dalam amalan zahir (Abi Khuzam, 1993:58)

Ini adalah penting kerana manusia itu hakikatnya bukannya semata-mata keadaan fizikalnya tetapi yang membezakannya dengan kehidupan lain ialah kekuatan jiwanya. Tubuh badan yang jiwanya cerah hasil dari limpahan cahaya hidayah yang diberikan oleh Allah selepas melalui tazkiyah barulah dinamakan manusia sejati. Hidupnya benar-benar sebagai manusia, tidak lagi dikuasai oleh sifat alam rendah dan kebinatangan.

2.0  KEHIDUPAN MODEN SATU CABARAN

Kehidupan adalah tempat persinggahan hamba Allah dalam perjalanannya menuju Allah. Oleh itu, manusia ditaklifkan dengan syariat supaya mereka dapat mengatur kehidupan hariannya selaras dengan yang diperintahkan oleh Allah.

Pengutusan Rasulullah adalah bertujuan agar manusia menurut apa yang telah diperintahkan oleh Allah sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Fath ayat 8 dan 9 iaitu:

Yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya), dan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang yang beriman), serta pemberi amaran (kepada orang yang engkar). (Kami mengutusimu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya,dan supaya kamu kuatkan agama-Nya, dan supaya kamu beribadat kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.

Daripada ayat al-Qur’an di atas, menjelaskan kepada kita bahawa tujuan pengutusan rasul itu adalah untuk memandu manusia supaya menjalani kehidupannya sebagai seorang yang beriman dan mematuhi segala kehendak dan perintah-Nya. Seterusnya kekal dan istiqamah dalam setiap ketika. Ini bermakna bagi seseorang yang beriman tidak ada istilah berehat dari beragama atau berhenti seketika daripada menjadi seorang muslim.

Kehidupan ini mempunyai tuntutan yang perlu dilaksanakan. Walaupun secara zahirnya kehidupan itu seolah-olah ada perubahan dari semasa ke semasa namun hakikatnya kehidupan itu mempunyai tuntutan yang sama. Semenjak turunnya Nabi Adam ke bumi hinggalah ke zuriat terakhir manusia tuntutan untuk beragama tidak ada perubahan walau sedikit pun dan tidak ada pengecualian walau sekelumit pun.

Malahan semakin berkembang kehidupan duniawi ini maka mendesak kita kembali kepada agama. Ini bermakna semakin tinggi tamadun keduniaan manusia maka semakin jauh mereka dari landasan sebenar. Apabila penyelewengan terhadap tanggungjawab ini berlaku, satu-satunya jalan penyelesaiannya ialah dengan menghidupkan semula fitrah manusia. Ini bukanlah bermakna kita menolak keduniaan. Tetapi meletakannya  ditempat yang sesuai baginya. Ianya digenggam di dalam tangan bukan disemadikan di dalam jiwa sanubari. 

Pernah satu masa Abu Hasan al-Shazali memakai pakaian yang hebat. Tiba-tiba datang seorang lain yang memakai pakaian bulu yang murah. Orang berkenaan bertanya kehairanan kepada al-Shazali, katanya: “Kamu menyembah Allah dengan pakaian yang mewah begini?”.

Lalu al-Shazali memegang baju orang berkenaan dan beliau bertanya soalan yang serupa, katanya: “Kamu menyembah Allah dengan pakaian begini? Cara kamu berpakaian begini wahai fakir menyebabkan engkau akan berkata, aku orang miskin, sedekahkanlah kepadaku. Tetapi pakaian mewah yang aku pakai ini menyebabkan aku berkata, aku antara orang yang senang maka tidak perlulah kamu bersedekah kepadaku, sesungguhnya kemuliaan itu tertentu bagi Allah, Rasul-Nya dan orang mukmin”.

Tazkiyah al-Nafs yang sering dibincang dalam pengajian tasawuf bukanlah bersifat kerahiban sebagaimana orang Nasrani tetapi ianya menghimpunkan antara kehidupan beribadat dan bermasyarakat (al-Taftazani:44)

Perlu diingat, yang kita permodenkan hari ini adalah kehidupan zahir sahaja. Ini adalah satu tuntutan bukanlah satu kehinaan. Pembangunan dan kemodenan dunia bukanlah satu penyakit bahkan ianya adalah satu keistimewaan penciptaan manusia. Namun pembangunan manusia agak berbeza. Pembangunan manusia bukan membawa mereka kepada nilai yang akan dipegang oleh masyarakat pada masa hadapan atau mencari nilai-nilai baru tetapi membangunkan manusia ialah dengan membawa mereka kembali semula kepada fitrah kejadiannya yang mulia. Fitrah yang dicipta oleh Allah untuk kesempurnaan kehidupan manusiawi. Hal ini Allah tegaskan dalam firman-Nya:

Yang bermaksud, (Setelah jelas kesesatan syirik itu maka hadapkanlah dirimu dan pengikut-pengikutmu wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah – iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadi) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui. (surah al-Ruum ayat 30).

Kemajuan duniawi perlu diukur secara seimbang. Pembangunan yang pesat tetapi di dalam masa yang sama aspek pembangunan jiwa tidak dipelihara, ianya sudah tentu akan memakan diri. 

Sebagai contoh diketika kita mengecap nikmat yang melimpah ruah ini, negara diserang oleh satu wabak penyalahgunaan dadah. 

Mengikut laporan Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) sejak tahun 1983 hingga 2002 terdapat 68,518 orang penagih tegar, 11,500 orang daripadanya didapati positif HIV. Ianya telah menyebabkan kerugian kepada negara bukan sahaja mengakibatkan kekurangan tenaga, bahkan kerajaan terpaksa membiayai hampir RM 3,000.00 bagi program pemulihan untuk seorang penagih. Bayangkan hampir RM 205 billion digunakan untuk tujuan tersebut.

Begitu juga peningkatan dalam kes-kes jenayah keganasan. Berdasarkan Laman Web rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) statistik jenayah keganasan dari tahun 1997-2002 berjumlah 120,586 kes. Manakala Jenayah harta benda pula dalam tempoh yang sama berjumlah 921,834 kes. Walaupun pada zahirnya jumlah yang disebutkan tadi adalah kecil berbanding dengan negara-negara lain, namun gejala tidak sihat ini akan bertambah kronik jika tidak diberi penyelesaian.

Lihat sajalah dalam paparan satu daripada akhbar harian Malaysia yang menyatakan bahawa secara purata hampir 27% remaja di Malaysia telah melakukan hubungan seksual.

Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) melaporkan diseluruh dunia hampir 450 juta manusia menghadapi gangguan mental. Satu daripada empat keluarga, sekurang-kurangnya mempunyai seorang ahli keluarga yang sakit mental.

Fizikal manusia yang mewah tetapi spiritual yang lemah adalah satu petanda bahawa manusia berkenaan dalam kehinaan.

فَإِنْ أَرَادَ اللهُ أَنْ يُخْذَلَ عَبْدًا أَعْطَاهُ العِلْمَ وَمَنَعَهُ الخَشْيَةَ، أَوْ يُعْطِيهِ النِّعْمَةَ وَيَمْنَعُهُ الشُّكْرَ، أَوْ يُعْطِيهِ البَلاَءَ وَيَمْنَعُهُ الصَّبْرَ، أَوْ يُعْطِيهِ الحِكْمَةَ وَيَمْنَعُهُ الأَدَبَ، أَوْ يُعْطِيهَ القُوَّةَ وَيَمْنَعُهُ العَمَلَ، أَوْ يُعْطِيهِ الغِنَى وَيَمْنَعُهُ السَّخَاءَ.

Yang bermaksud, Jika Allah berkehendak untuk menghina seseorang lalu diberi kepadanya ilmu tetapi dicabutnya sifat takut, diberi kepadanya nikmat tetapi dibuangnya sifat syukur, dikenakan kepadanya bala tetapi dicabutnya sifat sabar, dikurniakan kepadanya hikmah tetapi ditiadakannya budi pekerti, dianugerahkan kepadanya kekuatan jasmani tetapi dilemahkannya untuk beramal atau diberikan kekayaan namun dibuangnya sifat pemurah (al-Laja’I, 2003:223).

Oleh itu, apakah erti pembangunan ini kalau dalam masa yang sama kita meruntuhkan nilai manusiawi dan tujuan asalnya iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah.

3.0   FOKUS TAZKIYAH

Oleh kerana manusia yang hakiki itu dijelmakan oleh keharmonian spiritualnya maka fokus tazkiyah al-Nafs adalah nafsu itu sendiri. Nafsu ada dua bentuk iaitu nafs zahirah dan nafs batinah. Yang batin ini dikenali juga sebagai al-Madzmumah manakala nafs zahirah pula banyak bergantung kepada sesuatu yang dapat menguasainya (Hakim al-Tirmidzi, 35). 

Nafsu jenis ini mengikut apa yang berjaya menguasainya. Kalau yang menguasainya adalah malaikat maka ianya dianggap sebagai cahaya (nur). Mengikut Hakim al-Tirmidzi aqal hanya menjadi pengikut kepada kedua-dua jenis nafsu ini (ibid; 36). 

Oleh itu, tidak hairanlah kalau kita dapati aqal sering digunakan untuk melaksanakan sesuatu kebaikan dan pada kebanyakkan masa aqal juga digunakan untuk tujuan yang jahat dan memudaratkan. Ini kerana aqal tertakluk kepada nafsu yang mana paling kuat.

Hati perlu dibersihkan dan diasuh supaya sentiasa tunduk kepada kehendak agama. Kehendak agama yang dimaksudkan di sini bukan hanya semata-mata dari aspek ibadah khususiyah tetapi ianya mencakupi aspek agama yang lain termasuk dalam aspek tauhid, akhlaq dan menerima tanpa keraguan apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah dan rasul-Nya.

Islam agama untuk hidup, dari alam ruh, alam dunia, alam barzakh hinggalah ke alam akhirat. Itulah fasa-fasa kehidupan manusia. Setiap fasa itu ada peraturannya yang telah ditetapkan oleh Allah. 

Fasa kehidupan di dunia, peraturannya adalah al-Din. Al-Din pula mencakupi keseluruhan demensi kehidupan. Justeru, tidak memadai seseorang itu kelihatan soleh dan wara’ tetapi hubungannya dengan alam lain cukup rakus dan takkabur. 

Kita pernah mendengar Nabi Muhammad menyatakan bahawa seorang perempuan yang sempurna melaksanakan ibadah khususiyahnya tetapi dihujam ke dalam neraka hanya kerana menganiayai seekor kucing. Kita juga pernah mendengar bahawa mengalih sesuatu yang boleh memudaratkan orang lain di laluan orang ramai adalah satu daripada cabang iman, malah banyak lagi contoh lain yang menggambarkan maksud yang sama. Oleh itu, hati adalah segala-galanaya. Penentu kesihatan dan arah tuju gerakan jasmani.

4.0 MEDIUM TAZKIYAH

Tazkiyah hakikatnya sentiasa di dalam kitaran taklif ( تكليف ). Proses penyucian jiwa banyak bergantung kepada komitmen terhadap apa yang telah ditaklifkan oleh Allah. Terdapat beberapa medium tazkiyah iaitu:

  1. Melaksanakan perkara wajib.
  2. Meninggalkan perkara yang haram dan shubhat.
  3. Menambahkan kesungguhan untuk melaksanakan perkara yang sunat.
  4. Menjaga adab dan akhlaq.
  5. Pergaulan dengan orang solihin   مجالسة الصالحين ( ).

Walaupun pada kebanyakkan orang Islam perkara yang tersebut di atas lebih ditumpukan dalam hal-hal ibadat dan ritual, namun di sisi pengamal tasawuf yang sebenar ianya mencakupi keseluruhan aspek kehidupan sama ada dari aspek ritual ataupun keduniaan. Kedua-duanya perlu ditimbang supaya menepati perkara yang disebutkan di atas. Oleh itu, dakwaan bahawa orang sufi meninggalkan keduniaan adalah dakwaan yang melampau. 

Golongan ini sebenarnya amat berwaspada dari melampaui ketentuan Allah. Ini kerana Allah sendiri membenci segala yang melampaui batas.

Kefardhuan yang ditetapkan oleh Allah jika dilakukan ianya akan membawa kebahagiaan kepada orang yang melakukannya. Ianya adalah punca kebaikan dan kesejahteraan hidup di dunia mahupun akhirat. Ketaqwaan itu sendiri adalah punca penyelesaian kepada sebarang kesulitan dan kepayahan hidup. Ianya merupakan kedamaian dan kemewahan rezeki. Hal ini diingatkan oleh Allah dalam ayat seribu dinar yang sering menjadi amalan masyarakat niaga. Ibn ‘Ata’illah di dalam al-Hikam ada menyatakan;

أَوْجَبَ عَلَيْـكَ وُجُودَ خِدْمَتِهِ، وَمَا أَوْجَبَ عَلَيْـكَ إِلاَّ دُخُولَ جَنَّـتِهِ

Yang bermaksud, (Allah) jadikan kamu adalah untuk mentaati-Nya dan tidak Dia menjadikannya kecuali supaya kamu masuk ke dalam Syurga-Nya.

Al-Sharnubi mengatakan Allah mewajibkan amalan zahir pada hakikatnya untuk mempastikan hamba-Nya dapat memasuki syurga. Ini kerana Allah menjadikan setiap amalan itu sebagai sebab untuk memasukinya. Kalam hikmah ini juga adalah untuk memberitahu manusia bahawa Allah itu Maha Kaya, ketaatan yang dilakukan  oleh mereka tidak menambahkan kekayaan Allah dan tidak pula mendatangkan kemudaratan kepada-Nya jika mereka mengengkari-Nya. Bahkan segala manafaat daripada taklif itu kembali kepada mereka juga (al-Sharnubi, t.thn. 135).

العِبَادَةُ فِي الهَرْجِ كَهِجْرَةِ إِلَيَّ

Yang bermaksud, Beribadah diketika susah, ianya bagiku seperti berhijrah.

Tazkiyah juga mencakupi usaha untuk meninggalkan larangan dan perkara yang boleh membawa kepada haram.

Ibrahim al-Khawwas menyatakan lima perkara boleh menyucikan hati iaitu:

  1. Membaca al-Quran dan tadabbur.
  2. Mendirikan solat malam.
  3. Mengosongkan perut.
  4. Tadarru’    التضرع( ) di waktu sahur.
  5. Mujalasah   المجالسة ( ) orang soleh.

Menurut Shaykh Ahmad Fathullah al-Jami di dalam kitabnya Sawnih Qalbiyyah ( سوانح قلبية ) menyatakan al-Suhbah ( الصحبة ) atau al-Mujalasah sama kedudukannya dengan ibadah.

5.0   IMPAK TAZKIYAH AL-NAFS

5.1   Peningkatan Tahap Pengabdian Diri Kepada Allah.

Selaras dengan perintah Allah supaya beribadah kepada-Nya maka proses tazkiyah akan menjadikan seseorang itu ringan untuk melakukan ibadah dalam bentuk ritual.

Ibadah yang dilaksanakan mencapai tahap ikhlas sebagaimana yang dituntut oleh Allah. Ini kerana ibadah yang bercampur buar dengan kepentingan lain hakikatnya adalah sia-sia. Akhirnya orang yang melakukannya akan cepat kepenatan lalu meninggalkan ibadah yang dilakukan  dan tidak beristiqamah.

5.2  Peningkatan Kualiti Peribadi.

Orang yang berjaya mentazkiyah jiwanya sudah tentulah akan menjadi manusia yang cemerlang. Mereka lebih mempunyai keyakinan yang tinggi. Ketenangan dalam menghadapi tekanan dan stress. Berlapang dada, mengasihi semua orang dan istiqamah dalam semua pekerjaan. 

5.3  Peningkatan Kualiti Hubungan Sosial.

Orang yang bersih hatinya sudah tentu mempunyai hubungan yang baik dengan manusia lain. Kejernihan hati seseorang adalah merupakan medium hubungan sosial yang paling mantap.

Orang yang di dalam hatinya dilingkari oleh nafs al-Lawwamah sudah tentu tidak mendapat bersosial dengan baik kerana di dalam hatinya bersarang segala bentuk sifat kehinaan seperti dengki, sifat al-Nifaq dan sebagainya.

KESIMPULAN

Tazkiyah al-Nafs adalah amat penting dalam kehidupan manusia yang mahu mencari kesejahteraan hidup di dunia mahupun akhirat. Tazkiyah tidak bermaksud menolak perkembangan kehidupan semasa tetapi mengawal kerkembangan hatinya. Tazkiyah al-Nafs membentuk jiwa manusia yang sebenar dengan melakukan segala yang disyariatkan oleh Islam secara istiqamah dengan bimbingan seorang murabbi. Hati dibersihkan daripada sifat yang tercela dan dihias pula dengan sifat yang indah. Tazkiyah perlu melalui pelbagai kaedah di samping hidayah dan taufiq daripada Allah. Hanya manusia yang hatinya suci sahajalah yang dapat kembali kepada Allah dengan sejahtera.

Copy and paste: 9 Oktober 2025: 2.47 p.m


PENAWAR BAGi HATI : 7 ANGGOTA

MATA
  • Faedah mata di dunia dan akhirat : supaya kita dapat melihat langit, bumi, matahari, bulan, bintang dan alam sekitar > bukti kewujudan Tuhan. 
  • Mensyukuri nikmat mata : memeliharanya daripada segalam perkara yang haram. 
  • Orang yang beriman perlu memejamkan mata daripada segala perkara yang tidak halal untuk mereka memandangnya. 
  • Memelihara mata dan memelihara faraj : bagi membersihkan hati daripada segala dosa dan memperbanyakkan amalan kebajikan. 
  • Melihat wanita yang bukan mahram diumpamakan seperti anak panah daripada panahan iblis. 
  • Sepasang mata itu merupakan punca utama melakukan zina. 
  • Mata diciptakan bagi memandang zat Allah s.w.t di dalam syurga dan tidak sama dengan melihat perkara-perkara yang baru. Tiada nikmat yang lebih besar di dunia mahupun di akhirat, melainkan nikmat dapat melihat Allah s.w.t. 
  • Mata itu anak pintu bagi hati. Oleh itu tahanlah pandangan daripada maksiat dan gunakanlah ke arah taat seperti melihat Al Quran, pemandangan yang indah, renungan kasih sayang kerana Allah semata-mata. 
  • Dari mata jatuh ke hati > dari hati lahirnya lisan dan tindakan. 
  • Mata sangat mempengaruhi hati, usaha ke arah menjadi manusia yang lebih baik mestilah bermula dengan menjaga mata. Kemudiannya akan terjagalah hati. 
  • Kejahatan manusia berpunca daripada kejahatan hati akibat tidak menjaga mata.
TELINGA
  • Nikmat mendengar lebih utama daripada nikmat melihat. Kelebihan melihat adalah untuk dunia, kelebihan mendengar pula lebih kepada akhirat. 
  • Peliharalah pendengaran dengan sebaik-baiknya, setiap perkataan yang didengar oleh telinga ibarat makanan. Sebahagiannya memberi manfaat dan sebahagian yang lainnya memberi kemudharatan. 
  • Perkataan yang didengar boleh juga menjadi penawar dan racun. 
LIDAH
  • Allah s.w.t menjadikan lidah untuk kita membaca Al Quran, hadith Nabi s.a.w, zikir-zikir, menyampaikan ilmu pengetahuan yang bermanfaat, melakukan amar ma'ruf Nahi Munkar dan memberi nasihat kepada umat. 
  • Lidah adalah anggota terbesar yang terjebak dalam dosa dan kejahatan. Kita perlu berdiam dan berkata-kata apabila perlu seperti belajar, mengajar dan memberi nasihat. 
  • Saidina Abu Bakar r.a memegang lidahnya sambil berkata : "Inilah (lidah) yang boleh mendatangkan kebinasaan kepadaku." 
  • Luka dengan sebab lembing sembuh dengan mudah, tetapi tiada sembuh bagi yang dilakukan oleh lidah. (Penyair)
PERUT
  • Mensyukuri nikmat perut perlu bermula dengan memeliharanya daripada makanan yang haram dan syubhah., makanan yang diragui halal dan tidak diyakinkan haramnya. 
  • Orang yang memakan makanan yang haram dan syubhah, tidak akan diberi petunjuk dalam ibadah. 
  • "Allah tidak menerima solat seseorang yang di dalam perutnya ada yang haram." (Jami' Al-Ulum Wa AL-Hikam).
  • Jauhilah sifat makan sehingga kenyang. 
FARAJ
  • Faraj adalah untuk mendapatkan pahala di akhirat, iaitu bagi melahirkan zuriat. 
  • Peliharalah faraj daripada perkara yang haram seperti berzina, liwat dan mengeluarkan air mani menggunakan jari tangan. 
TANGAN DAN KAKI
  • Manfaat di dunia dan akhirat 
  • Menggunakan kaki untuk berjalan ke Masjid, menghadiri majlis ilmu, berjuang di jalan Allah, mengerjakan haji dan umrah dsb. 
  • Menggunakan tangan untuk mencegah kemungkaran dengan tangan, menulis ilmu dsb. 
  • Peliharalah kedua tangan dan kaki daripada maksiat. 
Rujuk:
1. Penawar Bagi Hati - Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Muthalib Al-Mandili. 

Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, KL
9 Oktober 2025 : 2.29 p.m


Monday, 6 October 2025

ANTARA TAHU, TAK TAHU DAN BUAT BUAT TAK TAHU


SALAM PAGI ISNIN
KATA-KATA RENUNGAN BERSAMA
ANTARA TAHU, TAK TAHU & BUAT BUAT TAK TAHU
TAHU
Datangnya dari Ilmu..
Sebab itu disebut Ilmu Pengetahuan
Orang berilmu sentiasa menggunakan akal untuk dimanfaatkan dalam kehidupan harian.
Orang yang makin bertambah ilmu, semakin merendah diri.
TAK TAHU
Bahasa lembutnya JAHIL
Bahasa kasarnya BODOH, BANGANG, BIOL, BONGOK dll
Bodoh masih boleh diajar...
Yang susah nak diajar bila dah jadi JAHIL
Manusia diangkat darjatnya dengan ILMU, bukan HARTA dan PANGKAT
BUAT BUAT TAK TAHU
Yang ini jenis yang Engkar - tak pernah nak mengaku yang dia sebenarnya TAK TAHU....
Berlagak pandai dan rasa macam dah TAHU, tapi sebenarnya TAK TAHU...
Malu nak cakap, jadi dia cakap dia serba TAHU....
Egonya menjadikan dia MANUSIA YANG SOMBONG TAK BOLEH DIAJAR...
Kategori ini yang paling banyak akhir zaman ini.... Kat Malaysia pun melambak.... terutama di MEDSOS....
Yang bukan USTAZ tapi dia punya cakap mengalahkah USTAZ
Yang bukan ENGINEER, tapi content dia kalah ENGINEER...
Yang bukan DOKTOR, tapi content dia lebih DOKTOR DARI DOKTOR....
Itulah dunia hari ini.....

Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, K.L
6/10/2025: 10.31 a.m

NABI MUSA A.S. ATAU FIRAUN


Ustaz Abdul Somad Bertanya kepada Jamaahnya:
UAS : Andai kata kita hidup pada zaman Firaun, adakah kita akan mengikuti Firaun atau Nabi Musa a.s.
JAMAAH: Nabi Musa a.s.
UAS : Yakin?
JAMAAH : Yakin Ustaz.
UAS:
Firaun membangunkan kota Mesir
Firaun membangunkan infrastruktur...
Firaun membangunkan Piramid
Firaun kaya dan berkuasa
Firaun mempunyai tentera yang ramai dan kuat
Tapi Nabi Musa a.s
Hanya seorang pengembala Kambing
Bertutur pun gagap...
Hanya memiliki sebatang tongkat yang usang...
Tiba-tiba mahu mengajak orang menyeberangi lautan tanpa perahu atau kapal....
Yakin yang kamu akan ikut Musa masa itu...
JAMAAH : semua terdiam...
UAS: Manusia zaman Firaun dengan manusia hari ini tiada bezanya...Hanya berubah wajah dan bentuk...
Manusia hari ini majoriti tergila-gila pada harta, kuasa, pangkat, jabatan, gila pujian dan sanjungan (Al Wahn)..
Firaun itu tetap hidup hingga akhir zaman... hanya wajah saja berubah...tapi perangai tetap sama....
************
Ambil tauladan dari ceramah UAS ini.... betul kata UAS itu.... apakah kita benar benar yakin nanti kita akan terselamat dari Fitnah Dajjal sekiranya Dajjal muncul sekarang.....
Dajjal merupakan fitnah yang paling dahsyat yang akan berlaku di akhir zaman. Oleh itu, Nabi SAW sentiasa memberi pesanan kepada umatnya agar berjaga-jaga dengan fitnah ini.
Dajjal nanti akan menjanjikan pelbagai kesenangan hidup bagi manusia, yang pastinya manusia akan terpedaya dengan janji janji manis dari Dajjal....
Malah dengan bantuan Syaitan, Dajjal berjanji boleh menghidupkan kembali ibu atau ayah atau mana mana orang yang kita kasih atau sayangi yang telah meninggal dunia.... tidakkah nanti kita akan termakan dengan pujuk rayu Dajjal seperti ini....
Sedangkan Ahli Politik ramai yang kencing pun ramai yang tadah mulut.... inikan fitnah Dajjal yang dikatakan fitnah paling dasyat ....
Semoga kita dijauhi dari Fitnah Dajjal....
Namun, tidak semua orang akan tertipu oleh Dajjal. Rasulullah ﷺ telah memberi amaran bahawa sesiapa yang membaca sepuluh ayat pertama Surah Al-Kahfi akan dilindungi daripada fitnahnya. Baginda bersabda: "Barang siapa yang menghafal sepuluh ayat pertama dari Surah Al-Kahfi, dia akan selamat dari fitnah Dajjal." (HR Muslim, No. 809).
Oleh itu, setiap Muslim disarankan untuk mengamalkan bacaan Surah Al-Kahfi, terutama pada hari Jumaat, sebagai perlindungan daripada fitnah akhir zaman.
Allahuakbar....

Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, K.L
6/10/2025: 10.26. a.m


Sunday, 2 March 2025

KUPASAN ISI KITAB HIDAYATUS SALIKIN

 Sumber : Hidayatus Salikin

(Pada akhir tahun lalu, Syeikh Dr Muhammad Uthman El-Muhammady diminta menyumbang buah fikiran pada Seminar Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani sempena Pengajian Akbar Kitab Hidayatus Salikin di Banjarbaru, Kalimantan Selatan. Bagaimanapun, beliau tidak dapat hadir. Hanya rakaman bicara beliau yang ditayangkan dan diperdengarkan kepada peserta pengajian. Beliau juga mengirim kertas kerja yang berbicara secara khusus mengenai kitab Hidayatus Salikin sebagai teks pengajian dan bagaimana besarnya pengaruh kitab ini dalam membentuk keperibadian dan aspek kerohanian masyarakat Islam sejak dahulu, sekarang dan insya-Allah pada masa akan datang. Di bawah ini petikan kupasan beliau.)
Semenjak dahulu hingga sekarang, kita tidak tahu berapa kali sudah kitab Hidayatus Salikin ini dicetak, oleh siapa dan di mana; ia dicetak di Mesir, di India, Singapura, Indonesia, Selatan Thailand (yang berada di tangan saya sekarang adalah terbitan Maktabah wa Matba'ah Muhammad al-Nahdi dan anak-anaknya di Selatan Thailand). Apa pun juga, jelas bahawa kitab ini tersebar semenjak dahulu hingga sekarang ini.
Ini membuktikan ia bertuah dan diberkati Allah serta berkesan mendidik umat dalam bidang ini dahulu hingga sekarang; di pondok-pondok di Malaysia, Thailand, Kemboja, Indonesia, Jawa, Sumatera, Bentan dan lainnya, malah di Kalimantan ia digunakan sebagai teks pengajian. Di masjid-masjid, madrasah-madrasah, ia dijadikan teks pengajian oleh mereka yang menekuni ilmu akhlak dari segi kerohanian yang berdasarkan ajaran Imam Hujjatul Islam al-Ghazali radhiallahu anhu.
MENGEMBANGKAN AJARAN IMAM AL-GHAZALI
Melalui Hidayatus Salikin dan Sairus Salikin (yang sedang dikembangkan di rantau ini oleh rakan karib kita Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam an-Nadwi) ajaran Imam al-Ghazali dikembangkan. (Berkatkanlah usaha ini ya Allah. Amin.)
KEPENTINGAN HIDAYATUS SALIKIN
Kepentingan kitab ini boleh difahami daripada isi kandungannya yang disebutkan sebagai terjemahan kitab Imam al-Ghazali, Bidayatul Hidayah, yang isinya mengandungi "ilmu yang bermanfaat di dalam dunia dan di dalam akhirat, maka tidak dapat tiada bagi setiap orang Islam yang mukallaf daripada mengenal akan dia" (muka surat 3). Maka untuk membentangkan ilmu Imam al-Ghazali (berdasarkan kepada Quran, Sunnah, ijmak dan pengalaman mereka yang muktabar dalam umat ini. - penulis) beliau menyatakan, "kasih aku bahawa aku bahasakan akan beberapa masalahnya di dalam kitab ini dengan bahasa Jawi Melayu serta kutambah daripadanya beberapa masalah yang baik-baik tak dapat tiada daripadanya supaya manfaat dengannya orang yang tiada mengetahui baginya bahasa Arab" (muka surat 3).
Dengan ini beliau membentangkan ajaran Imam al-Ghazali dengan beberapa tambahan yang telah dibuatnya. Kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam al-Ghazali saya dapati sudah diterjemahkan oleh rakan kita Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam an-Nadwi dan diterbitkan di Kedah; maka gabungan menekuni kitab Bidayatul Hidayah dan Hidayatus Salikin adalah usaha yang amat bermanfaat sekali bagi menyampaikan pendidikan akhlak dan kerohanian cara Ahli Sunnah wal-Jamaah di kalangan kita. Amin. Dan beliau menyebutkan (muka surat 4) bahawa diharapkan ia "memberi manfaat dengannya seperti manfaat dengan asalnya (yakni Bidayatul Hidayah - penulis)." Amin.
Kepentingannya boleh difahami daripada isi kandungannya yang berupa ajaran daripada imam utama dalam Ahli Sunnah wal-Jamaah ini.
PERINCIAN ISI KANDUNGAN HIDAYATUS SALIKIN
(Syeikh Dr Muhammad Uthman El-Muhammady seterusnya mengulas isi kitab Hidayatus Salikin. Ulasan ini membantu kita untuk mengenal lebih dekat dan menyelami apa yang terkandung di dalam kitab yang sangat berkat ini. - Admin)
Isinya adalah berkenaan dengan tiga ilmu utama yang mesti difahami dan dihayati setakat fardu ain terlebih dahulu, iaitu ilmu aqidah, ilmu fiqh dan ilmu tasawuf (muka surat 4-8). Ilmu aqidah adalah untuk membetulkan aqidah dan penghayatannya; ilmu fiqh adalah untuk membetulkan ibadah dan amalan-amalan dalam kehidupan dan penghayatannya; ilmu tasawuf adalah untuk mengenali ilmu membersihkan batin dan zahir manusia supaya amalannya diterima oleh Allah dan tidak ditolak-Nya.
Ini diikuti dengan perbincangan tentang menuntut ilmu yang bermanfaat dan mengelak daripada ilmu yang tidak bermanfaat (muka surat 9-16). Ini diikuti dengan pendedahan dan huraian tentang aqidah Ahli Sunnah wal-Jamaah (muka surat 17-23) yang menyentuh 20 sifat ketuhanan. Kemudian sifat-sifat Nabi Sallallahu alaihi wasallam dan kedudukan nabi-nabi dan rasul alaihussalam.
Kemudian disentuh juga soal kiamat dan akhirat, dan berakhir dengan perbincangan tentang kedudukan para Sahabat dan Khulafa ur-Rasyidin; Allah meredhai mereka semua, amin.
Ini diikuti dengan segi-segi ketaatan yang zahir untuk membawa manusia kepada taqwa dengan adab-adab dan aturan-aturan menjaga gerak-geri anggota badan supaya selari dengan hidup dalam ketaqwaan (muka surat 23-26), dan ia disusuli dengan adab-adab membersihkan dan menyucikan diri untuk beribadah kepada Allah (26-28), adab-adab berwuduk (29-36) dengan menjaga hukum-hukumnya, yang wajib dan sunatnya, yang adab dan doanya; ini diikuti dengan hukum dan adab mandi wajib (36-37), adab dan hukum tayamum (37-38), adab keluar pergi ke masjid (39-41), masuk ke dalam masjid (41-53), dengan doa-doa dan wirid-wirid di dalamnya; kemudian adab-adab menjaga masa selepas naik matahari hingga ke waktu condong matahari (53-66) dengan menjaga ibadah seperti sembahyang Isyraq, Dhuha dan wirid-wiridnya.
Kemudian persiapan untuk sembahyang-sembahyang seterusnya (66-86) dengan menjaga hukum-hukum sembahyang dan doa-doa serta wirid-wiridnya, dan menjaga keikhlasan dalam sembahyang dan adab-adab batin di dalamnya selain daripada menjaga hukum-hukum dan adab-adab yang zahir. Ini diikuti dengan cara dan adab sembahyang Tasbih (86-102), adab-adab dan hukum-hukum tentang sembahyang Istikharah (102-105), sembahyang Hajat (105-108), adab-adab dalam sembahyang (108-117), diikuti dengan menjadi imam dan mengikut imam (117-122), sembahyang Jumaat (122-139) dengan hukum-hukum, adab-adab, wirid-wirid dan doa-doa pada hari itu.
Ia turut diikuti dengan hukum-hukum dan adab-adab melaksanakan ibadah puasa (14-151) dengan menjaga anggota zahir daripada membatalkan puasa, menjaga hati supaya tidak rosak dengan sifat-sifat yang jahat. Ini diikuti dengan panduan tentang hukum-hukum dan adab-adab menjauhi maksiat yang zahir dengan anggota-anggota badan (151-185) tentang menjaga mulut dan lidah, kaki tangan, telinga, kemaluan dan seterusnya supaya berada dalam ketaatan; termasuk ke dalam ajaran tentang mengelakkan diri daripada dosa-dosa yang melibatkan anggota-anggota zahir itu.
Ini diikuti dengan perbincangan tentang menjauhkan diri daripada maksiat yang batin (185-186), mengelak daripada ketamakan kepada makan minum (186-188), kebinasaan percakapan, termasuk etika atau akhlak berbahasa (188-189), menjauhi sifat marah yang tercela (189-190), dengki (190-193), sifat gilakan kedudukan (194-195), gilakan dunia (195-198), mengelak daripada takabur (198-201), sifat tercengang dengan kebaikan diri sendiri (201-203), sifat riyak (203-220) dengan menukil riwayat hadis yang panjang daripada Muadz bin Jabal, kemudian fasal berkenaan dengan hukum-hukum dan adab-adab tentang ketaatan batin (220-221); tentang bertaubat (221-224), sifat takut kepada Allah (224-225), sifat zuhud (225-227), sabar (228-231), syukur (231-234), sifat ikhlas dan benar (234-237), tawakkal (237-244), redha dengan qadha Allah (247-251), dan mengingati mati (251-253), fadilat dan adab-adab berzikir (253-269), khas tentang adab zikir (269-274), kaifiat zikir (274-276), disusuli dengan adab dengan Allah (276-281), adab ahli ilmu (271-283), adab orang belajar (283-285), adab dengan ibu bapa (285-287), adab bersahabat (287-293), dan adab umum dengan Muslimin yang dikenali atau tidak dikenali (293-307).
Di akhirnya dinyatakan bahawa kitab ini ditashihkan oleh Muhammad (mudah-mudahan yang benarnya ialah Ahmad bin Muhammad Zain - penulis) bin Muhammad Zain al-Fatani, dan disebutkan ia "mencemerlangkan rahsia-rahsia orang yang beramal dengannya pada berbuat ibadah bagi ma'budnya dan adalah ia sangat nyata berkatnya, dan sangat rata manfaatnya dan sangat banyak yang menuntutnya... Kitab ini dikeluarkan di Mesir berhampiran masjid al-Jami' al-Azhar. Ia merupakan kitab Melayu yang pertama dikeluarkan negeri Mesir. Dan adalah hamba me[ng]amat-amati pada mentashihkan dia sekira-kira yang mudah bagi hamba ... ."
Dan memang benar bahawa kitab ini "sangat rata manfaatnya", "sangat nyata berkatnya", "mencemerlangkan rahsia orang yang beramal dengannya". Memang benarlah kenyataan-kenyataan itu hingga sekarang, melainkan pada sisi orang yang akal dan rohnya terkena racun aliran yang memudaratkan Ahli Sunnah wal-Jamaah. Allahumma sallimna wal-Muslimin.
Minat Dunia Melayu terhadap Bidayatul Hidayah jelas kelihatan. Antaranya huraian Syeikh Nawawi al-Bantani dalam bahasa Arab terhadapnya dalam kitab yang berjudul Miraqil 'Ubudiyah yang sangat tinggi nilainya dalam menghuraikan maksud matan Bidayatul Hidayah ini. Ia tidak perlu ditambah lagi pengamatan-pengamatan tentangnya sebab memang diketahui kepentingan kedudukan kitab ini di kalangan mereka yang ahli di dalamnya.
Saya sendiri, dengan kedaifan saya ini, sempat menelaah kitab ini bersama rakan-rakan dalam tahun 1980-an, dan catatan-catatan mengenainya masih terdapat dalam simpanan saya sehingga ini (2012). Syeikh Abdus Shamad, sebagaimana yang dinyatakan dalam tulisannya itu, bukan sahaja menterjemahkan isi kitab Bidayatul Hidayah itu bahkan beliau membuat beberapa tambahan yang sangat berguna dan mencerahkan untuk kita memahami isi kandungan kitab asal Imam Ghazali itu.
ANTARA TAMBAHAN YANG DIBUAT OLEH SYEIKH ABDUS SHAMAD
Antaranya, kita boleh perhatikan tambahan-tambahan itu terdapat pada beberapa bahagian seperti berikut.
Tambahan tentang ilmu yang memberi manfaat mulai muka surat 4. Sememangnya bab yang ditambahinya itu tidak terdapat dalam kitab Bidayatul Hidayah; iaitu bab hal kelebihan ilmu yang bermanfaat mulai muka surat 8 tidak terdapat di dalam kitab Bidayatul Hidayah; kelebihan orang yang menuntut ilmu yang bermanfaat juga tidak terdapat dalam Bidayatul Hidayah mulai muka surat 9; bab yang menyatakan aqidah Ahli Sunnah wal-Jamaah pun tidak terdapat dalam kitab itu, mulai muka surat 17; manakala sebutan tentang berusahalah untuk penghidupan bagi menampung keperluan anak isteri juga tidak terdapat dalam kitab yang baik itu (Bidayatul Hidayah).
Mulai muka surat 63-64, hal kelebihan membaca surah al-Kahf, mulai muka surat 128, membaca surah al-Ikhlas mulai muka surat 121, surah Yasin mulai muka surat 134, ad-Dukhan, alif lam tanzil dan Tabarakalladzi biyadihil-mulk mulai muka surat 135; semua itu tidak tertulis di dalam kitab Bidayatul Hidayah termasuk sebutan tentang mengumpat yang dibenarkan dalam enam keadaan mulai muka surat 161. Bagaimanapun, bab an-nasihat dengan adab-adabnya nampaknya tidak terdapat dalam Hidayatus Salikin tetapi ditulis dalam Bidayatul Hidayah di tepi Miraqil 'Ubudiyyah muka surat 68, terbitan Sulaiman Marie, Singapura, tanpa tahun.
ANTARA HIDAYATUS SALIKIN & BIDAYATUL HIDAYAH
Sememangnya Hidayatus Salikin adalah kitab yang memenuhi isi dan tujuan Bidayatul Hidayah karangan Imam al-Ghazali. Ia memberi peluang untuk kita melihat bagaimana mesej atau pengajaran Bidayatul Hidayah menjadi lebih penuh daripada karangan asalnya melalui usaha Nawawi al-Bantani dalam Miraqil 'Ubudiyyah dan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani melalui Hidayatus Salikinnya (adapun Sairus Salikinnya itu terjemahan bahagian Ihya' Ulumiddin, juga dengan beberapa tambahan yang berfaedah, dan saudara kita Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam an-Nadwi menerbitkannya juga. - penulis).
Hadis panjang berkenaan dengan kejinya riyak, mengumpat, dengki dan takabur ada disebut dalam Hidayatus Salikin pada muka surat 206-215, dan ini memang ada dalam Bidayatul Hidayah oleh Imam al-Ghazali muka surat 80-83; dan ia tercatat dalam Ithaf al-Sadat al-Muttaqin syarah kepada Ihya' jilid 8 muka surat 266 bahawa hadis ini diambil dari riwayat Muadz bin Jabal dari Khalid bin Ma'dan, yakni Abu 'Abdullah al-Kala'i al-Shami, dia tsiqah 'abid orang kepercayaan, ahli ibadah, disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar halnya dalam at-Tahdhib. Lihat Ithaf al-Sadat al-Muttaqin, jilid 8 muka surat 266.
Sebagaimana yang menyentuh hadis-hadis lain yang riwayatnya mungkin dhaif, tetapi kalau tidak menyentuh perkara hukum haram-halal dalam syariat, maka muhaddisin memberi ruang kepada penggunaan hadis-hadis yang tidak kuat sandaran; bagaimanapun kandungan hadis yang berkenaan ada sokongannya daripada hadis-hadis yang sahih dalam kitab-kitab hadis sahih yang muktabar seperti Bukhari-Muslim dan lainnya.
MENGENAI KEMULIAAN, KEMEGAHAN DAN KELEBIHAN ZIKIR
Antara isi kemuncak dalam kitab Hidayatus Salikin (sudah tentu yang kemuncaknya adalah yang menyebut peringkat kesedaran kemuncak dalam sembahyang dalam munajat dengan Allah. -penulis) adalah kelebihan tentang berzikir yang dinyatakan bahawa di dalamnya ada 30 perkara kepujian dalam zikir itu berbanding dengan amalan-amalan lainnya.
Disebutkan bahawa ini adalah mengikut apa "yang disebutkan oleh Syeikh 'Ali al-Mursafi di dalam kitabnya yang bernama Minhaj al-Salik ila Ashrafil-Masalik mukhtasar Risalah al-Qushairi. Beliau menaqalkan daripada sesetengah orang yang 'arifin bahawa kemuliaan zikir dan kemegahan dan kelebihannya atas yang lainnya daripada segala ibadah iaitu berhimpun di dalam zikir itu 30 perkara yang kepujian (mulai muka surat 257-266) bermula dengan mengikut suruhan Allah dalam Quran supaya berzikir menyebut Allah dengan sebutan yang banyak di waktu pagi dan petang hingga kepada zikir khafi (muka surat 266) yang berlaku dalam kalbu orang ahli yang 'arif pada hadrat Allah Taala yang dipertaruhkannya oleh Allah Taala sebagai perbendaharaan di sisi-Nya hingga hari kiamat dan apabila masuk ke dalam syurga, Allah akan kurniakan kepadanya, inilah zikir khafi yang tidak ada siapa yang tahu [pahalanya]." Allahummaj'alna mina' dhaakirin, amin. Ini tidak terdapat di dalam kitab Bidayatul Hidayah tetapi tertulis di dalam kitab Syeikh Abdus Shamad.
Allah, cucurkan rahmat atas rohnya dan berikanlah rahmat kepada kami semua. Amin.
Beliau melengkapkan maksud Bidayatul Hidayah dengan Hidayatus Salikin ini. Masya-Allah. Isi kandungan kitab Hidayatus Salikin perlu diperteguhkan oleh orang-orang yang mengetahui dan menguasai isinya, merealisasikannya, dan mampu mempertahankannya dengan hujah dan amalan mendepani kebencanaan dan kecelaruan pemikiran masa kini yang mufli dari segi hidup kerohanian yang betul dan terpandu dalam ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah yang benar. Amin.
JALAN SELAMAT
Itulah jalan selamat bagi kita di Dunia Melayu dan Islam di mana Muslimin berada di dalamnya. Ia adalah bekal yang mahal bagi manusia yang disuruh oleh Allah jalla jalaluhu untuk menjadi shuhada' 'alannas, bukan orang yang masuk ke dalam khemah orang lain dan di'jual' olehnya. La haula wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'azim.
Mungkin ada sebahagian daripada apa yang disebutkan dalam kitab penting ini menjadi masalah pada sesetengah pihak; misalnya hal memandang wajah guru sebelum daripada berzikir, dan mendapatkan kekuatan daripada himmah gurunya dengan perbuatan itu; perkara ini sepatutnya tidak menjadi masalah sebab ia bukannya berlaku semasa mengingati Allah tetapi sebelumnya. Ia adalah berdasarkan kepada hadis yang bermaksud bahawa orang yang sebaik-baiknya dalam kalangan kamu ialah orang yang apabila dia dilihat oleh orang menyebabkan orang ingat kepada Allah. Amalan-amalan zikir yang sangat banyak itu disebut dalam Quran, hadis dan teks-teks kerohanian Islam semenjak awal lagi seperti Risalah Qusyairiyyah misalnya.
Demikian pula cara-cara zikir yang disebut itu adalah hasil pengalaman mereka yang mempunyai kewenangan dari segi kerohanian dan keagamaan dalam umat ini; sepatutnya itu juga tidak menjadi masalah. Demikian juga sepatutnya tidak timbul sikap memandang ajaran sedemikian sebagai ajaran yang tidak mengikut sunnah Nabi Sallallahu alaihi wasallam sebab ajarannya adalah berdasarkan Quran, sunnah dan pengalaman mereka yang muktabar dalam Ahli Sunnah wal-Jamaah.
Ringkasnya, dalam zaman kegawatan rohaniah dan akhlak, kitab seperti ini perlu dijadikan bahan pengajian dan amalan masyarakat. Sudah tentu orang yang memberi pengajaran itu adalah peribadi yang mempunyai persiapan yang sewajarnya supaya tidak timbul salah penafsiran terhadap isi kandungannya.
BUKAN HANYA UNTUK ORANG ZAMAN DAHULU
Termasuk dalam perkara yang perlu diawasi adalah tanggapan bahawa ajaran yang sedemikian adalah untuk orang zaman dahulu yang banyak masa lapang untuknya beramal; zaman sekarang keadaannya sudah berubah. Ini juga tidak perlu timbul sebab memang diajarkan oleh syeikh ini (dalam Sairus Salikin) bahawa amalan-amalan wirid seseorang itu hendaklah sesuai dengan cara hidupnya. Jika dia sebagai guru maka jagalah tugasnya dalam pengajaran yang mesti dilaksanakan, lalu dia menyusun masanya untuk zikir-zikir dan wirid-wiridnya. Jika seseorang itu sebagai murid yang mempelajari ilmu yang berguna, sama ada ilmu agama atau ilmu umum yang bermanfaat, cari dan susunlah masa untuk zikir dan wiridnya. Kalau dia orang yang berkeluarga dan mempunyai pekerjaan untuk saraan mereka, maka susunlah masa dan carilah peluang supaya kerjanya berjalan dan zikir serta wiridnya terlaksana dengan baik.
Sekiranya dia seorang penjawat awam yang mempunyai urusan dengan masyarakat, carilah masa dan susunlah masa yang sesuai dengan keadaan hidupnya. Asal jangan hidup dalam kelalaian. Kalau dia seorang yang ahli dalam bidang tauhid yang tenggelam dalam pengalaman ketauhidannya, atau ia 'abid yang mempunyai peluang sebesar-besarnya untuk ibadah, dan tidak diganggu oleh perkara-perkara lain dan tidak menyusahkan orang lain, maka dia hidup dengan melaksanakan wirid-wirid dan zikir-zikir yang munasabah dengannya.
Apa yang penting, kita mahu ahli masyarakat Islam hidup dalam keadaan ingat kepada Allah sama ada dia guru, atau murid, atau orang berkeluarga dengan kerjanya, penjawat awam, atau 'abid, atau ahli tauhid yang tenggelam dalam pengalaman rohaninya yang sahih. Mudah-mudahan Allah menjadikan kita semua dalam kalangan mereka yang taat kepada-Nya, yang mengingati-Nya dan yang melakukan amal kebaikan kepada sekalian makhluk-Nya. Amin.
KITAB YANG DIPERLUKAN DAHULU, SEKARANG DAN AKAN DATANG
Kembali kepada isi kandungan kitab ini yang sedemikian kental, padat tetapi mencakupi tarbiyah dan ta'dib bagi insan Muslim, ia adalah kitab yang perlu dihadamkan isi kandungannya dan diamalkan ajarannya. Ia diperlukan dahulu, sekarang dan akan datang, sebab risalah ajarannya benar dari dahulu, sekarang dan akan datang, kerana dasar-dasar ajaran dan nilai-nilainya adalah kekal abadi dan serasi dengan ajaran dan fitrah agama dan diri manusia.
UBAT MUJARAB MENDEPANI KEROSAKAN ZAMAN
Ia bagaikan ubat mujarab bagi penyakit kerohanian yang melanda manusia zaman ini, apa lagi ditambah dengan pelbagai falsafah yang mengelirukan seperti falsafah dalam Islam liberal, Islam inklusif dan pelbagai macam bid'ah dhalalah yang sedang melanda umat masa kini.
Maka ajaran kerohanian dan akhlak dalam kitab Hidayatus Salikin dan seumpamanya adalah ubat yang mujarab untuk membantu kita mendepani kerosakan zaman seperti ini.
Kita perlu menyokong penerusan pengajaran dan pengembangan ajarannya, malah menyokong institusi-institusi yang menjayakannya sama ada yang melibatkan tarikat atau tidak.
Mudah-mudahan ajaran seperti ini berada di dalam kerangka Ahli Sunnah wal-Jamaah yang mengembalikan rasa persaudaraan antara Muslimin sesama Muslimin, Muslimin dengan para a'immah dan ulil amri mereka, mengelakkan diri daripada budaya benci-membenci, dalam rangka al-din al-nasihat bi'a'immatil Muslim wa li'ammatihim serta Muslimin dengan pihak lain dalam memberi contoh tentang kecantikan Islam dan keunggulannya. Amin. Wallahu a'lam.
(Al-Fatihah kepada tokoh pemikir dan ilmuwan Islam yang sangat berjasa, Syeikh Dr Muhammad Uthman El-Muhammady yang kembali ke rahmatullah pada 26 Mac 2013 dalam usia 70 tahun. AL-FATIHAH.)

Copy and paste:
2/3/2025 : 1 Ramadan 1446H: 5.52 p.m