Credit to : Muhammad Ridzuan Zulkifly
Kisah mahu sihat sejahtera mengingatkan saya kepada banyak kisah kesungguhan manusia mahu Allah S.W.T mengampunkan dosa-dosa mereka dan meninggalkan dunia ini dalam keadaan bersih suci. Kisah atau warkah ini terlalu signifikan untuk dikongsi bersama khayalak pembaca. Ia tulisan saudara Muzaffar yang dituju kepada saya pada 31.10.2010:
Apa khabar Prof.?
Masih ingat lagi? Sudah lama saya tidak menulis pada Prof. Saya hendak memanjatkan rasa syukur kepada Allah S.W.T kerana Prof. dan Kak Roza merupakan antara insan dipilih Allah untuk mendorong saya lebih mendekati-Nya.
April 2009, saya diperkenalkan dengan buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman oleh sahabat. Beliau juga banyak membantu dalam usaha saya mendekatkan diri dengan Allah. Saya tidak tahu sama ada sempadan itu telah saya rentas atau tidak. Walau bagaimanapun pada Jun 2009 -dengan izin Allah- saya dan isteri telah selamat mengerjakan umrah.
Pulang sahaja dari Tanah Suci, dengan perasaan meluap-luap, dada berdebar-debar dan Kaabah masih terasa-rasa di depan mata -lalu pada 6 Julai 2009- saya terus membuka akaun Tabung Haji. Saya mendaftar untuk menunaikan fardu haji dengan bermodalkan RM1,800.
Saya dimaklumkan oleh pengawai bertugas, “Giliran encik menunaikan fardu haji pada tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi.”
Kelihatan ia kenyataan yang keluar tanpa perasaan. Namun saya yang mendengar terasa seperti ada kapal terbang terhempas di kepala. Sesak nafas di buatnya. Namun jauh di sudut hati, saya yakin Allah S.W.T yang menentukan pergi atau tidak saya ke Tanah Suci.
Saya bertawakal dan berusaha mengikut jejak langkah Prof. Berpucuk surat rayuan saya tulis. Ketetapan Allah tidak ada siapa yang dapat menghalang. Tanggal 20 Ogos 2010 ketika dalam perjalanan ke Melaka saya di beritahu "Encik Alhamdulillah, tahniah. Encik dan suami isteri telah terpilih untuk mengerjakan haji tahun 2010".
Air mata berderai. Saya tidak menghiraukan kereta di sisi. Siapa menduga, saya baru membuka akaun setahun sebelumnya dan hanya berbekalkan RM1,800 terpilih mengerjakan haji secara muassasah.
“Aja, kita terpilih untuk pergi haji tahun ini” tersekat suara saya di kerongkong. “Betul ke ni bang? Ya Allah, Alhamdulillah,” isteri seperti tidak mahu percaya.
Tangan saya terus mendail nombor seorang sahabat, “Din aku dapat pergi haji tahun ini, terima kasih banyak-banyak. Ia berkat doa kau, aku terpilih.”
Suara tersekat dan talian pula terputus. Ia seolah-olah memberikan ruang kepada kami berdua bertafakur. Tidak lama kemudian isyarat SMS masuk berbunyi. Ia benar-benar pesanan ringkas daripada seorang sahabat yang terkesan, “Sukanya aku. Menitik air mata aku. Syukur alhamdulillah.”
Namun kegembiraan tidak bertahan lama. Dugaan Allah hadir dalam pelbagai rupa. Majikan tidak membenarkan saya pergi atas alasan notis makluman terlalu suntuk, kekurangan staf serta pembukaan syarikat dan produk baharu. Hanya Tuhan mengetahui perasaan kami. Tabung Haji menolak permohonan menunda pemergian kami ke tahun hadapan.
Saya pasrah.
Allah memberi -saya fikir- Dia juga boleh memgambilnya semula. Saya melangkah longlai ke bangunan 30 tingkat Tabung Haji menyerahkan sendiri surat penolakan. Saya terhenti seketika. Sambil menyandar di dinding kaca, jari menekan nombor telefon majikan.
Percubaan terakhir digerakkan oleh Allah S.W.T. Subhanallah, siapa sangka majikan berbangsa Jepun tidak beragama menyatakan, “Saya tidak tahu betapa pentingnya perjalanan haji ini kepada seseorang Muslim. Saya beri kebenaran tetapi kamu pastikan semua kerja berjalan lancar sebelum berangkat.”
Labbaikallah! Labbaikallah! Labbaikallah!
Lidah saya kelu, hanya permulaan talbiah bergema di dalam hati.
Hamba-Mu datang ya Allah! Hamba-Mu datang ya Allah!
Lalu air mata menitis, hilang malu pada mereka yang lalu lalang.
Maka yang mana satu antara nikmat Tuhan kamu yang kamu hendak dustakan.
Itulah makna surah ar-Rahman yang kerap Prof. ungkapkan di dalam buku Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman. Ia terngiang-ngiang di telinga.
Prof., warkah ini saya sampaikan kerana ingin berkongsi kegembiraan bersama-sama Prof., salah seorang insan yang Allah datangkan bagi membuka mata hati yang telah lama tertutup dek karat dosa-dosa yang telah saya lakukan.
Allah mahu saya datang kepada-Nya, merasai sendiri dengan seluruh anggota badan ini betapa Agung, Besar dan Mulianya Allah dan betapa hinanya pula saya sebagai hamba-Nya.
Ada sahabat berkata perjalanan haji saya mirip Prof. Saya juga tidak sempat mengikut kursus haji bersiri dan intensif. Segalanya berbekalkan pembacaan sendiri dan ilmu yang diajar oleh ayah, ibu dan sahabat yang pernah ke sana.
Insya-Allah, saya bakal masuk ke Makkah terlebih dahulu. Saya juga pergi dengan pakej muassasah. Saya malu disamakan begitu kerana Prof. telah jauh pergi meninggalkan saya. Hakikatnya, saya masih merangkak mendekati-Nya.
Namun saya percaya, tidak ada perkara berlaku secara kebetulan. Kesemuanya atas ketentuan Allah dan hanya Dia Maha Mengetahui hikmat di sebaliknya.
Buat diri saya ... saya menghayati setiap rentetan peristiwa di dalam buku Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman. Saya hayati sungguh-sungguh dan kami suami isteri benar-benar mendambakan diri agar terpilih sebagai tetamunya yang paling, paling, paling istimewa.
Perjalan haji kami masih jauh. Pelbagai perkara boleh berlaku. Doakan agar kami diberi kelapangan masa secukupnya, dipermudah urusan haji dan dikurniakan haji mabrur.
Wassalam
*Muzaffar Bin Hj Adnan*
~~~
Allah ya Allah ... Muzaffar selamat menunaikan fardu haji bersama isteri pada 2010 dan meninggal dunia pada tahun 2012 ketika berusia 40 tahun. Warkah ini ditulis pada 2010 dan hanya dibaca selepas dua minggu beliau dipanggil pulang. Nun jauh di sudut hati saya berdoa agar Allah S.W.T mengampunkan segala dosa beliau dan perginya dalam keadaan sihat sejahtera di sisi-Nya.
Saya fikir beliau telah discaj dari rumah sakit dunia ketika beliau benar-benar sihat sejahtera. Mereka yang menunaikan ibadat haji -kebiasaannya- sentiasa memohon keampunan Allah S.W.T. dan Muzaffar -insya-Allah- telah menelan ubat paling mustajab.
Insya-Allah ... Semoga roh beliau aman di sana dan moga kami saling dapat memberi ucap selamat di Firdaus pada ketika dan saatnya.
Allahuakbar.
(Petikan dari buku RUMAH SAKIT: DIA Mahu Saya Menangis, Prof Muhd Kamil Ibrahim, Galeri Ilmu, 2016)
Copy and paste:
6 Februari 2020: 7.18 am
No comments:
Post a Comment