Kredit to: FB Pencinta Dunia Ketenteraan dan Pertahanan
Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) telah membuat perolehan awal pesawat F-5 dari jenis Northrop F-5E Tiger II dan 2 unit pesawat F-5B pada tahun 1972. Pesawat F-5E Tiger II merupakan pesawat pejuang atau pemintas 1 tempat duduk manakala pesawat F-5B merupakan pesawat latihan, 2 tempat duduk. Pesawat Northrop yang diperolehi ini merupakan pesawat supersonik yang pertama dimiliki TUDM.
Mengikut sumber yang boleh dipercayai, pakej pembelian pesawat ini-pesawat Northrop ini melibatkan kos sebanyak USD 39.24 Juta. Perolehan pesawat F-5B Freedom Fighter terpaksa dibuat bagi menampung keperluan latihan bakal-bakal juruterbang F-5E Tiger II sebelum mereka mampu menerbangkan pesawat tersebut secara solo. Pesawat-pesawat F-5E Tiger II dan F-5B Freedom Fighter ini turut digandingkan bersama dengan pesawat Sabre Mk.32 Avon TUDM yang mana gandingan ketiga-tiga variasi pesawat ini telah membentuk No.12 Skuadron, Pangkalan TUDM Butterworth.
Pesawat-pesawat Northrop F-5E Tiger II TUDM ini telah dilengkapkan dengan beberapa jenis persenjataan, antaranya, meriam berputar M39 berkaliber 20mm yang merupakan persenjataan utama bagi pesawat ini. Bagi peluru berpandu anti pesawat pula, pesawat ini dilengkapkan dengan sistem misil AIM9P Sidewinder Security Addistance Missile, manakala bagi misi serangan dari udara ke permukaan, pesawat ini berkeupayaan membawa sehingga 4 unit bom tanpa panduan seberat 1000 paun atau 4 pelancar roket tanpa panduan Bristol CRV-7 buatan Kanada.
Bagi menambahkan keupayaan pesawat untuk terbang pada jangkauan jarak yang lebih jauh, pesawat ini turut dilengkapi dengan sistem tangki bahan bakar luaran yang merupakan peralatan standart bagi pesawat F-5E Tiger II. Bagi memantapkan sistem persenjataan udara-udara, TUDM telah membuat perolehan tambahan peluru berpandu AIM-9P4 Sidewinder.
Pada April 1981, perolehan tambahan pesawat F-5F Tiger II sebanyak 4 unit telah dibuat. Pesawat ini secara asasnya mempunyai dimensi yang sama dengan model pesawat F-5E Tiger II, tetapi terdapat sedikit perbezaan dari segi panjang pesawat. Panjang F-5F Tiger II adalah lebih panjang berbanding model F-5E bagi menempatkan kokpit kedua / tandem seat bagi menempatkan jurulatih penerbangan.
Berbanding model F-5B Freedom Fighter, model F-5F Tiger II mempunyai keupayaan yang lebih baik dan merupakan gandingan mantap bersama pesawat Northrop F-5E Tiger II. Dari segi sistem radar, terdapat sedikit perbezaan antara pesawat F-5E dan F-5F. Bagi Pesawat F-5E ia dilengkapkan dengan sistem radar AN/APQ 153 manakala pesawat F-5F dilengkapkan dengan radar AN/APQ 157. Selain F-5F, sebuah lagi pesawat F-5E Tiger II turut diperoleh bagi menggantikan sebuah pesawat model sama yang terhempas.
Sesuatu yang menarik mengenai seunit pesawat baru ini ini ialah ianya merupakan versi terbaru yang mana terdapat perbezaan profil muncung pesawat yang dikenali sebagai muncung jerung. Pesawat ini dilengkapi dengan sistem tambahan seperti sistem Radar Warning Receiver (RWR).
Perolehan 4 unit pesawat F-5F Tiger II ini adalah bagi menyokong keperluan latihan No.12 Skuadron. Perolehan pesawat-pesawat ini telah membolehkan No.11 Skuadron yang sebelum ini mengoperasikan pesawar Sabre Mk.32 Avon diaktifkan semula sebagai sebuah Unit Peralihan Operasi (Operation Conversion Unit-OCU) kepada No.12 Skuadron.
Dengan pengaktifan semula No.11 Skuadron, maka segala aspek latihan, latihan lanjutan dan kursus refresher tidak lagi dibebankan kepada No.12 Skuadron yang merupakan skuadron pemintasan udara utama ketika itu. Kehadiran 4 unit pesawat Northrop F-5F Tiger II ini telah memantapkan kemahiran para juruterbang pesawat TUDM yang bakal mengoperasikan pesawat Northrop F-5E Tiger II dan juga sebagai platform penyediaan krew udara dan darat bagi No.6 dan dan No.9 Skuadron yang menggunakan pesawat A-4 PTM Skyhawk.
Pada tahun 1983, TUDM telah membuat sekali lagi perolehan baru 2 unit pesawat Northrop RF-5E Tigereye. Secara asasnya, pesawat ini mempunyai sistem yang hampir sama dengan Northrop F-5E Tiger II tetapi tidak dilengkapi dengan meriam berputar M-39 berkaliber 20mm dan sistem radar. Kekurangan sistem-sistem tersebut adalah bagi memberi ruang untuk menempatkan dua sistem kamera yang dipasang pada muncung pesawat bagi melaksanakan misi merakam foto dari udara.
Pesawat RF-5E Tigereye dengan dengan tugas photoreconnaissance telah diserapkan ke dalam No.11 Skuadron TUDM. Pesawat versi ini telah diperolehi terlebih dahulu oleh Arab Saudi sekitar tahun 1980-an sebelum diperolehi TUDM.
#Air2 Air
Copy and paste:
12 Februari 2020 / 19 Jamadil Akhir 1441H
7.35 malam
No comments:
Post a Comment