Saturday, 24 November 1984

KD SRI REJANG DALAM KENANGAN


KD SRI REJANG
SIBU, SARAWAK
28.3.1983 - 24.11.1984



Sibu terletak di Bahagian ke 3 Sarawak


KD Sri Rejang, adalah sebuah Pengkalan TLDM yang pernah beroperasi di Sibu, Sarawak. Diletakkan di bawah naungan Rajang Area Security Command (RASCOM HQ MIL) kerana Sibu ketika itu adalah sebuah kawasan Hitam dengan kegiatan pengganas Komunis yang mengancam penduduk tempatan.



RASCOM (Rajang Area Security Command) ditubuhkan pada tahun 25 Mac 1972 akibat daripada beberapa insiden pembunuhan, kekacauan dan pemusnahan harta awam yang dilakukan oleh anggota Komunis di Bahagian Ke 3 Sarawak yang dikenali sebagai Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) dikenali juga dengan PARAKU. 
Kawasan operasi RASCOM meliputi keseluruhan Bahagian Sibu, Sarikei dan Kapit. Di tubuhkan dengan tiga komponen yang terdiri daripada unit tentera, Polis dan awam dan Ketua Menteri Sarawak dilantik sebagai Pengarah Operasi  Negeri. Kewujudan RASCOM berjaya  menghakis ancaman komunis di Sarawak dan  bekas komunis telah kembali ke pangkuan masyarakat selepas berlakunya  perletakan senjata dan  penyerahan seramai 585 ahli PKKU yang diketuai oleh Bong Kee Chok dalam Operasi Aman pada tahun 1973 dan  pada tahun 1986,  Ubong anak Nuing beserta 40 orang ahli turut menyerah diri. Ancaman keganasan komunis berakhir pada 17 Oktober 1990 apabila Kerajaan dan PKKU menandatangani perjanjian di Kuching apabila 52 anggota PKKU menyerah diri dan dengan itu  RASCOM dibubarkan mengikut keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 November 1994.




Setelah menamatkan Kursus Laskar Kelas 1 di KD Pelandok, saya telah diarahkan bertukar ke KD Sri Rejang, Sibu, Sarawak. Tak dapat digambarkan betapa gembiranya saya ketika itu kerana ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke bumi Sarawak. Kali pertama tiba di Sibu adalah dengan kapalterbang TUDM dari Kuala Lumpur ke Kuching dan kemudian menaiki kapal MV Sang Fajar dari Kuching ke Sibu. 
Sibu ialah salah satu bandar di bahagian ketiga di Sarawak. Ia terletak di pertemuan Sungai Rajang dengan Sungai Igan, kira-kira 60 km dari laut.




Pegawai Memerintah KD Sri Rejang ketika itu ialah Kdr. Tajuddin Bin Yahya (sekarang Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Cawangan Wangsa Maju KL) , kemudian digantikan dengan KDR Ahmad Kamal. Bagi anggota Komunikasi yang bertugas di KD Sri Rejang akan bertugas di 2 tempat iaitu di Pejabat Semboyan dan juga di Bot Lancang (RCP, LCP dan LCM) secara bergilir-gilir.



Menarik naik Sauh untuk meneruskan pelayaran Rondaan 



Bertugas di Bot Lancang di KD Sri Rejang adalah satu tugas yang mencabar. 3 Jenis bot lancang yang digunakan ketika itu ialah Riverine Craft Personal (RCP), Landing Craft Personal (LCP) dan Landing Craft Merchandised (LCM). Tugas kami ialah melakukan rondaan sungai di samping memberi bantuan logistik kepada unit Tentera Darat terutama dari Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD), Rejimen Renjer, Rejimen Gerak Khas (Komando) dan Pasukan Polis Hutan (sekarang Pasukan Gerakan Am) yang beroperasi di sekitar Sibu, Kanowit, Song, Kapit dan banyak lagi. Ketika itu Operasi Jala Aman 1 telah dilancarkan bagi memerangi Komunis di Bahagian ke 3 Sarawak.
Bertugas di Bot Lancang tidak sama seperti bertugas di Kapal-kapal TLDM yang lain, kerana di sini semua boat crew tidak kira cawangan kena buat semua kerja. Waktu paling menyeronokkan ialah bila waktu makan, kami akan masak bersama-sama kerana tidak ada tukang masak di bot lancang. Krew bot lancang tak ramai, lebih kurang 5-6 orang terdiri dari Skipper (Ketua Bot), 2 anggota Kelasi, 1 anggota TMK (mechanic) dan 1 anggota Radio Operator (Komunikasi).
Pengalaman yang paling unik  bagi anggota yang bertugas dengan bot lancang ini meronda hampir sepanjang batang sungai Rejang bermula dari Kuala Rejang atau Kuala Paloh sehinggalah ke Kapit. Kami sering singgah di beberapa tempat yang sebelum ini namanya begitu asing bagi kami seperti Kanowit, Song, Durin, Kapit, Belaga, Sarikei, Binatang (Sekarang Bintangor) dan banyak lagi yang aku dah tak berapa nak ingat namanya.
Menyusuri sepanjang sungai Rejang memang berisiko tinggi, kerana terdapatnya buaya dan juga ancaman dari pengganas komunis. Bagaimanapun sepanjang aku berkhidmat di Bot Lancang ini... bersyukurlah kerana tidak pernah berlaku bot kami diserang oleh pengganas komunis walaupun ada beberapa tempat yang kami lalui adalah merupakan sarang pengganas komunis seperti Sungai Asan, Sungai Naman dan beberapa lagi.





Bintangor ketika saya bertugas di KD Sri Rejang ianya dikenali dengan nama Binatang
Bintangor Kini 


Sarikei Kini....Kelihatan hotel yang sama masih berdiri gagah di Bandar Sarikei..




Antara pekan-pekan yang kami pernah singgah sepanjang menyusuri Sungai Rejang dari Kuala Sungai sehinggalah ke Pekan Kapit.... banyak nama-nama pekan ini begitu asing bagi ku sebelum ini...syukur Alhamdullilah... pengalaman bertugas di KD Sri Rejang adalah suatu yang tidak dapat ku lupakan....







Pejabat Semboyan KD Sri Rejang
Antara perayaan tahunan di Sarawak ialah Hari Gawai Dayak yang disambut pada 1 Jun setiap tahun. Gambar ini diambil ketika perayaan Gawai Dayak di Rumah Jala, sebuah rumah Panjang yang moden dan lengkap serba serbi.  Difahamkan dari Ketua rumah panjang, Ratu Sarawak pada tahun itu lahir di rumah ini. Dalam gambar itu ialah RO Savirimuthu, RO Ismail Md Ali, anggota cawangan store (tak ingat namanya) dan COXN Bakar. 
RO Savirimuthu dulu pernah bertugas satu kapal dengan saya di KD Raja Jarom yang ketika itu berpengkalan di Woodlands, Singapura.





Sambutan Maulidur Rasul di Sibu, Sarawak tahun 1984

KEJADIAN LETUPAN BOT RCP


Satu kejadian yang tidak diingini telah berlaku pada bulan November 1983 dimana sebuah bot RCP telah meletup akibat kebocoran gas dan tenggelam di Jeti Sri Igan. Dua anggota tercedera dimana seorang anggota, LK1 PPP Montaza Hj Amin telah dimasukan ke wad Hospital Lau King Howe, Sibu kerana mengalami kecederaan parah (second degree burn) dan seorang lagi cedera ringan dan diberi rawatan sebagai pesakit luar. Bagaimanapun Syukur Alhamdullillah Montaza dapat diselamatkan dan sembuh tidak lama kemudian. Berikut kejadian itu, Pegawai Memerintah telah mengeluarkan arahan langkah keselamatan diperketatkan di bot - bot lancang agar kejadian yang sama tidak akan berulang lagi.

TRAGEDI KD SRI PERAK 
Satu lagi tragedi hitam berlaku dalam Sejarah TLDM pada tahun 8 Januari 1984 iaitu tenggelamnya kapal KD Sri Perak di perairan Laut Cina Selatan. KD Sri Perak ketika itu belayar bersama KD Hang Tuah dan KD Sri Terengganu. 
Akibat keadaan laut yang bergelora dan tidak selamat kapal KD Hang Tuah dan KD Sri Terengganu diarahkan bertambat di Jeti Sri Igan, Sibu  (jeti dimana bot lancang bertambat) selepas tragedi hitam itu. Anggota-Anggota Bot Lancang KD Sri Rejang ketika kejadian itu telah diarahkan bersiap sedia dalam masa 24 jam sekiranya bantuan diperlukan. Untuk mengetahui kisah lanjut KD Sri Perak, boleh layari laman blog Catatan Pak Mail kerana Pak Mail adalah seorang anggota Komunkasi KD Sri Perak ketika tragedi tersebut berlaku.
KD Hang Tuah dan KD Sri Trengganu ketika merapat di Jeti Sri Igan, KD Sri Rejang, Sibu Sarawak selepas tenggelamnya KD Sri Perak (8.1.1984)


KD Sri Trengganu yang kini diabadikan di Muzium TLDM di Bandar Hilir, Melaka




Anggota Komunikasi yang bertugas KD Sri Rejang ketika itu telah dilatih untuk mengendalikan alat switchboard telephone operator. Ini ialah kerana sekiranya anggota telefonis bercuti, tugas telepon operator akan diambil alih oleh anggota Komunikasi di waktu malam hingga pagi. Apalagi bila larut malam ... bergayut sakan lah dengan awek Sibu...  antara kenangan yang tidak dapat dilupakan.

RO MAHMUD, RO ZULHEIMY, LTO SHAHRUM & RO NORDIN




Menyambut Aidilfitri di Sarawak adalah satu pengalaman yang sukar dilupakan. Sepanjang 2 tahun di sana , 2 kali aku tak dapat berhari raya di kampung bersama keluarga di Semenanjung. Mujurlah ada beberapa anggota TLDM di Pengkalan ini yang merupakan anak tempatan Sibu. Jadi dapat jugalah merasakan suasana Hari Raya walaupun berjauhan dari keluarga. Kami akan turut mengunjungi anggota-anggota yang berkeluarga di sini.

Aku agak terkilan juga tak dapat berhari raya di Kampung ku selama 2 tahun di KD Sri Rejang kerana ketika bertugas di sinilah , bapa ku Allahyarham Maamor Bin Sudin meninggal dunia pada 18 Disember 1984 ..... AL FATIHAH




Salah satu jasa yang aku tinggalkan di bumi Sibu Sarawak ialah terlibat dalam gotong royong membersihkan Masjid An Nur yang baru siap dibina sebelum tiba Hari Perasmian. 
InsyaAllah jika ada rezeki kalau aku berpeluang menziarahi Sibu suatu masa nanti... satu dari hajat ku ialah untuk bersolat di Masjid ini dimana aku dan rakan-rakan terlibat secara tidak lansung dalam Perasmian Masjid Baru di Bandar Sibu ketika itu.




Sepanjang berkhidmat di Sibu, seorang sahabat kami bertemu jodoh dengan gadis tempatan. Majlis perkahwinan diadakan disebuah hotel terkemuka di Sibu, Sarawak. Turut hadir ialah Pegawai Memerintah KD Sri Rejang, Kdr.Tajudin Yahya (berkaca mata hitam) dan Pegawai Bekalan (sebelah CO).

Kini KD Sri Rejang hanya tinggal kenangan. Pengkalan ini telah ditutup dan diserahkan kepada Tentera Darat selepas perletakan senjata oleh Komunis pada tahun 1989.
Bagi mereka yang pernah berkhidmat di Pengkalan ini, banyak kenangan pahit manis yang tidak mungkin dapat kita lupakan kerana bagi saya bertugas di KD Sri Rejang telah banyak mengajar saya erti kehidupan sebagai anggota Tentera Laut. Tentera Laut selalu digambarkan sebagai anggota yang bertugas di atas kapal-kapal besar yang meredah lautan yang luas, namun kita lupa ada sebahagian anggota TLDM ketika itu yang bertugas meredah sungai-sungai di bahagian pendalaman Sarawak yang penuh dengan duri dan ranjau dengan mara bahaya yang sentiasa berada di depan mata..... KD SRI REJANG TETAP DALAM INGATAN KU.....




KD SRI REJANG KINI
KD Sri Rejang kini telah diambil oleh Rejimen 510 Askar Wataniah (Tentera Darat) selepas ianya ditutup. 



 Tempat yang menjadi kenangan ku... disinilah saya bersama rakan menaikkan bendera setiap pagi dan menurunkannya selepas matahari terbenam



Di sepanjang Sungai Rejang... dari Hulu Rejang/ Kuala Paloh hingga ke Kapit... pernah aku harungi suatu ketika dulu.... yang ada kini hanyalah kenangan... 


Yang tinggal kini.... Hanya Memori usang yang tidak mungkin akan datang lagi... KD SRI REJANG tetap dalam ingatan ku...