Showing posts with label IBADAT. Show all posts
Showing posts with label IBADAT. Show all posts

Friday, 7 April 2023

APAKAH PERBEZAAN ANTARA ZIKIR DAN WIRID?

Guest

tuan,

1 Apa itu zikir?

2 Apa itu wirid?

3 Apa beza antara kedua-duanya? 

sekian

*******
Izrail
Panel Feqh

Bismillah
Wassolatu wassalam 'ala Rasulillah SAW,

1- Zikir dari segi istilah digunakan dengan makna mengingati Allah SWT, samada dengan menyebut zatNya atau sifatNya atau perbuatanNya atau hukumNya atau dengan membaca kitabNya atau dengan memohon dan berdoa kepadaNya atau dengan memujiNya dengan segala jenis puji-pujian. (Mausu'ah Feqhiah Kuwaitiah: 22/221)

2- Wirid ialah amalan zikir harian yang ditetapkan oleh seseorang pada dirinya seperti pembacaan ayat-ayat dan surah-surah Al-Quran yang tertentu atau zikir-zikir tertentu. (Mausu'ah Feqhiah Kuwaitiah: 22/263, Lisanul Arab oleh ibn Mandzur)

3- Perbezaannya umum dan khusus; kerana semua jenis wirid adalah berasal dari zikir dan amalan wirid pula adalah khusus kepada seseorang dengan zikir yang tertentu.

Wallahu a3lam

Tuesday, 4 April 2023

Zikir Diterima Walaupun Tidak Khusyuk, Namun Berusahalah Meraih Kekhusyukan Dalam Ibadah

SUMBER : ISLAM ITU INDAH

Fikiran kita begitu mudah melompat dari satu perkara ke satu perkara. Apabila tangan mula mengangkat takbir dalam solat atau ketika duduk di tikar sejadah membaca doa dan zikir sekalipun, fikiran boleh melayang memikirkan hal-hal yang berlaku hari ini – dihon sewaktu masuk simpang, abang kedai salah beri pesanan dan 1001 macam babak kehidupan lagi.

Sehingga mungkin terbit soalan di benak, bernilaikah zikir yang diucapkan dalam keadaan hati yang lalai. Fikir kita, ia sekadar di bibir, tidak meresap jauh ke dalam diri atau memberi kesan pada sanubari.

Tetapi, sebagai umat Islam, mengingati Allah adalah amalan yang digesa walau dalam keadaan berdiri, duduk, atau berbaring. Bermakna, zikir tidak boleh ditinggalkan. Dalam apa jua keadaan pun kita masih perlu berusaha mengingati Allah.

Syeikh Ibn Ataillah Al-Iskandari Rahimahullah berkata:

Maksudnya: “Janganlah engkau tinggalkan zikir hanya kerana gagal menghadirkan hati bersama Allah ketika berzikir, kerana lalai daripada berzikir lebih bahaya daripada lalai ketika berzikir. Mudah-mudahan (kerana sebab itu) Allah akan mengangkat darjatmu daripada berzikir yang lalai kepada zikir yang sedar”.
(Rujuk Syarah Hikam al-Ataiyyah hal. 55)

Justeru, sebagai umat Islam, kita diingatkan untuk tidak meninggalkan zikir sekalipun hati tidak benar-benar fokus dengan zikir yang diucapkan. Ia adalah lebih baik daripada tidak berzikir langsung.

Tidak mustahil apabila kita melazimi zikir berkali-kali, akhirnya rasa khusyuk datang dan Allah mencampakkan kesedaran dalam hati.

Orang yang berzikir tetap mendapat pahala walaupun tidak mengetahui maknanya, namun sudah tentu jalan yang lebih baik adalah menambah baik kualiti amalan zikir dengan memahami dan menghayati apa yang diucapkan.

Copy and paste: 4/4/2023 > 13 Ramadan 1444H: 12.02 pm


Friday, 29 July 2022

Merebut kelebihan Bulan Muharram

SUMBER: PUSAT PEMBANGUNAN PONDOK BERHAD
Poster: 27 Julai 2022

SUNGGUH tidak terasa masa berjalan dengan begitu cepat, kini kita telah meninggalkan bulan Zulhijjah iaitu bulan terakhir bagi tahun 1443Hijrah dan telah memasuki bulan Muharram bagi tahun 1444 Hijrah. Bulan Muharram ialah bulan pertama dalam kalender Islam atau Taqwim Hijrah. Allah Subhanahu Wata’ala telah menjadikan bulan Muharram sebagai salah satu dari empat bulan haram atau bulan yang dimuliakan dan diagungkan oleh Allah. Pada bulan ini, manusia dilarang keras melakukan pembunuhan, kemungkaran dan maksiat. Allah Subhanahu Wata’ala telah perintahkan supaya menghormati bulan-bulan haram tersebut dan meninggalkan segala perbuatan maksiat dan larangan-Nya. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah At-Taubah ayat 36 yang tafsir-Nya :

”Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan (qamariah) dalam kitab (ketetapan) Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati. Yang demikian itulah (ketetapan) agama yang lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya).”

Empat bulan yang dihormati (bulan Haram) itu ialah Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah sebagaimana dihuraikan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Abu Bakrah bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

”Sesungguhnya zaman itu berputar semenjak mula-mula Allah menciptakan langit dan bumi, setahun mengandungi dua belas bulan, daripadanya empat bulan haram, tiga daripadanya bulan itu berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan, iaitu Rejab di antara Jamadilakhir dan Syaa’ban.”

Muharram ertinya diharamkan. Pada bulan ini, umat Islam digalakkan untuk melakukan berbagai macam ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya ganjaran pahala bagi mereka yang beramal ibadat di bulan ini adalah sangat besar sebaliknya jika melakukan maksiat di bulan ini akan mendatangkan dosa yang besar.

Dalam bulan Muharram ini umat Islam juga sangat dianjurkan untuk memperbanyakkan berpuasa. Puasa paling utama di bulan ini ialah puasa pada hari ‘Asyura, iaitu puasa pada hari kesepuluh Muharram. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri berpuasa pada hari tersebut sebagaimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma beliau telah berkata :

”Ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tiba di Madinah, baginda melihat kaum Yahudi melakukan puasa Asyura. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya kepada mereka : ”Mengapa kamu melakukan puasa pada hari itu?” Mereka menjawab : Ini adalah hari baik, yang mana pada hari ini Allah Subhanahu Wata’ala menyelamatkan Nabi Musa ‘alaihissalam dan Bani Israil daripada musuh mereka, oleh kerana itu Nabi Musa ‘alaihissalam melakukan puasa pada hari ini.” Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : ”Sesungguhnya kami lebih berhak terhadap Nabi Musa ‘alaihissalam dibandingkan kalian.” Maka Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memerintahkan kaum Muslimin untuk berpuasa pada hari itu.

Galakan berpuasa pada hari ‘Asyura ini juga berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Ibn Abbas Radhiallahu ‘anhuma beliau telah berkata :

”Aku tidak melihat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengutamakan hari puasa yang dilebihkan atas hari lain kecuali hari ini, iaitu hari ‘Asyura dan bulan Ramadan.”

Dalam hadis lain diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha ia berkata :

”Kaum Quraish pada masa Jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura dan Rasulullah Sallallahu AlaihiWasallam juga berpuasa pada hari itu. Maka ketika Baginda telah tiba di Madinah maka Baginda tetap mengerjakannya dan memerintahkan umatnya untuk berpuasa. Apabila puasa Ramadan telah diwajibkan Baginda pun meninggalkan (kewajiban) puasa ‘Asyura, lalu bersabda, ”Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa (pada hari ‘Asyura), dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya.”

Hal ini juga disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu ‘anhuma ia berkata :

”Bahawa kaum Jahiliyah dulu berpuasa ‘Asyura dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta kaum Muslimin juga berpuasa sebelum diwajibkan puasa Ramadan, Baginda bersabda : ”Sesungguhnya hari ‘Asyura termasuk hari-hari Allah, barangsiapa ingin maka berpuasalah dan siapa yang ingin meninggalkan maka boleh.”

Daripada hadis-hadis di atas dapat difahami bahawa hukum berpuasa pada hari ‘Asyura adalah disunatkan bukannya satu kewajipan. Ini kerana puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum difardukan puasa Ramadan. Apabila difardukan puasa Ramadan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun puasa pada hari ‘Asyura tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut.

Berpuasa pada bulan ini pada dasarnya dijanjikan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan pahala yang besar sebagaimana diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Abu Qatadah berkata yang maksudnya :

”Berpuasa pada hari ‘Asyura akan termasuk dalam hitungan Allah bahawa puasa itu akan menutup dosa setahun sebelumnya.”

Amatlah rugi kepada sesiapa yang tidak mengambil peluang berpuasa pada hari tersebut kerana kelebihannya sangat besar. Maka itu manfaatkanlah kelebihan yang disediakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala ini. Jangan jadikan pelbagai alasan untuk mengabaikannya.

Selain daripada berpuasa pada hari ‘Asyura ini, kita juga digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya, iaitu pada 9 Muharram atau sehari selepasnya, iaitu pada 11 Muharram bagi membezakan antara puasa kaum Muslimin dengan kaum Yahudi yang berpuasa pada hari ‘Asyura tersebut. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma ia berkata :

”Ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memerintahkan untuk puasa pada hari ‘Asyura para sahabat berkata : ”Itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani, lalu RasulullahSallallahu Alaihi Wasallam bersabda : ”Jika datang tahun depan insyaaAllah kita akan berpuasa hari kesembilan akan tetapi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam meninggal pada tahun tersebut.”

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

”Puasalah pada hari ‘Asyura, dan berbezalah dengan Yahudi dalam masalah ini, berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya.”

Secara umum, berpuasa pada bulan Muharram dapat dilakukan dengan beberapa pilihan. Pertama, berpuasa tiga hari, pada hari ‘Asyura diikuti sehari sebelum dan sesudahnya, iaitu puasa pada 9, 10 dan 11 Muharram. Kedua, berpuasa pada hari ‘Asyura dan sehari sesudah atau sebelumnya, iaitu puasa pada 9 dan 10, atau 10 dan 11. Ketiga, puasa pada 10 atau pada hari ‘Asyura sahaja.

Berpuasa di bulan Muharram tidak hanya disunatkan berpuasa pada 10 Muharram sahaja tetapi berpuasa penuh di sepanjang bulan Muharram adalah juga sangat digalakkan kerana ianya adalah sebaik-baik ibadah puasa setelah puasa bulan Ramadan sebagaimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

”Sebaik-baik puasa setelah bulan Ramadan adalah puasa di bulan Allah, iaitu bulan Muharram. Dan sembahyang yang paling utama setelah sembahyang wajib adalah sembahyang malam.”

Oleh itu, marilah kita merebut peluang kelebihan yang ada di bulan yang mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan berpuasa sunat khususnya pada pada hari ke-10 Muharram agar segala dosa-dosa kita akan dihapuskan. Sesiapa yang berpuasa pada bulan Muharram ini khususnya pada hari Asyura’ maka dia telah menyempurnakan satu sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, iaitu berpuasa pada bulan haram.

Bulan Muharram merupakan bulan kebaikan, maka isilah bulan ini dengan amalan-amalan soleh dengan melakukan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata’ala supaya kita menjadi hamba-hamba-Nya yang mendapatkan keredaan-Nya. Semoga Allah merahmati dan memberi petunjuk kepada kita agar dapat berpuasa pada hari ‘Asyura serta membimbing kita ke jalan yang diredai-Nya.

Copy and paste: 29/7/2022 > 29 Zulhijjah 1443H: 5.27 pm



Wednesday, 27 July 2022

RUPANYA SUDAH 15 TAHUN IBADAHNYA TAK SAH…

OLEH : USTAZAH ASMA' HARUN

Baru-baru ini saya ada terima soalan dalam inbox berkaitan mandi wajib. Ada yang bertanya bagaimana jika ada anggota yang tidak terkena air seperti celah pelipat, sebahagian rambut, kulit kepala, dll.
Kemudian seorang wanita ceritakan bahawa ahli keluarga beliau ada yang tidak mandi wajib dengan betul dan sempurna. Rupanya dah 15 tahun begitu, Allahu Akbar.
Sebenarnya ramai yang masih tak sedar atau buat-buat tak perasan tentang perkara ini. Belum lagi kita bincang tentang anak remaja yang sudah baligh tapi tak diajar tentang cara mandi wajib yang betul.
Sungguh, kesannya bukan kecil. Ibadah yang dilakukan akan menjadi tidak sah kerana diri dalam keadaan hadas besar.
Dalam persoalan ini, saya kongsikan dahulu maksud hadas dan pembahagiannya supaya ia lebih mudah difahami.
Hadas: Keadaan seseorang yang tidak bersih atau suci yang menyebabkan terhalang daripada melakukan ibadah tertentu.
Hadas terbahagi kepada 2 iaitu hadas kecil dan hadas besar.
Hadas kecil: Keadaan seseorang yang tidak suci sehingga menghalanginya daripada melakukan ibadah tertentu melainkan dengan mengambil wudhu atau bertayammum (jika tiada air).
Sebab-sebab berlakunya hadas kecil adalah:
1. Keluar sesuatu daripada qubul atau dubur.
2. Menyentuh kemaluan dengan tapak tangan yang tidak berlapik.
3. Hilang kewarasan akal akibat daripada mabuk, gila, pitam atau tidur kecuali jika seseorang itu tidur dalam keadaan tetap punggung pada tempat tidurnya.
4. Bersentuhan kulit di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Hadas besar: Keadaan seseorang yang tidak suci yang mewajibkannya untuk mandi hadas (mandi wajib) atau tayammum (jika tiada air) bagi melakukan ibadah tertentu.
Sebab-sebab berlakunya hadas besar adalah:
1. Junub.
Janabah bermaksud air mani yang terpancut atau persetubuhan. Oleh itu, orang yang berjunub ialah tidak suci disebabkan keluar mani atau persetubuhan.
a) Keluar air mani (lelaki atau perempuan).
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., Rasulullah SAW bersabda:
الْمَاءُ مِن الْمَاءِ
Maksudnya: “Air itu kerana air (wajibnya mandi kerana keluarnya air mani).”
(HR Muslim, hadis sahih)
b) Bersetubuh.
Rasulullah SAW bersabda:
إذَا جَلَسَ بَيْنَ شُعَبِهَا الْأَرْبَعِ وَمَسَّ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ وَإِنْ لَمْ يُنْزِل
Maksudnya: “Bila seorang lelaki duduk di antara empat potongan tubuh wanita (dua tangan dan dua kaki) dan tempat khitan bertemu (lelaki dan wanita) maka sungguh wajib mandi meskipun dia tidak mengeluarkan mani.”
(HR Muslim, hadis sahih)
2. Terhenti darah haid.
Firman Allah SWT:
وَيَسْأَلُونَك عَنْ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّى يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللهُ
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: "Haid itu adalah suatu kotoran". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haid; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah (bergaul) mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu,”
(Surah al-Baqarah 2: 222)
3. Terhenti darah nifas.
4. Melahirkan anak.
5. Meninggal dunia kecuali mati syahid.

RUKUN MANDI WAJIB
Di dalam kitab Safinatun Najah karya Syeikh Salim bin Sumair Al-Hadhrami menyebutkan, ada 2 perkara yang menjadi RUKUN mandi wajib iaitu:
1. Niat.
2. Meratakan air ke seluruh tubuh badan.
Dalam kitab tersebut beliau menuliskan:
فُرُوضُ الْغُسْلِ اثْنَانِ النِّيَّةُ وَتَعْمِيْمُ الْبَدَنِ بِالْمَاءِ
Maksudnya: “Fardhu atau rukun mandi ada dua, iaitu niat dan meratakan air ke seluruh tubuh badan.”

CARA MANDI WAJIB
Syeikh Muhammad Nawawi Al-Bantani Al-Jawi dalam kitabnya Kasyifatus Saja menerangkan tatacara melaksanakan kedua rukun tersebut.
1. Niat mandi wajib berlaku sewaktu siraman air yang pertama jatuh ke anggota badan.
Niat Mandi Wajib
نَوَيْتُ الْغُسْلَ لِرَفْعِ اْلحَدَثِ اْلأَكْبَرِ مِنَ اْلِجنَابَةِ فَرْضًا لِلهِ تَعَالَى
Maksudnya: "Aku niat mandi untuk menghilangkan hadas besar dari janabah, fardhu kerana Allah Ta'ala."
2. Meratakan air ke seluruh anggota badan seperti celah-celah jari tangan, kaki, pangkal rambut (yang terikat hendaklah diuraikan), janggut, cuping telinga, lubang hidung, pusat dan lubang dubur.
Sekiranya terdapat sedikit bahagian tubuh yang belum terkena air maka mandi yang dilakukan itu dianggap TIDAK SAH dan orang tersebut sebenarnya masih dalam keadaan berhadas.

ADAB MANDI WAJIB
Imam Ghazali menjelaskan dalam kitab Bidayatul Hidayah secara terperinci mengenai adab mandi wajib, antaranya:
1. Sewaktu masuk ke bilik mandi ambil air terlebih dahulu, basuh kedua tangan sebanyak 3 kali.
2. Bersihkan segala kotoran atau najis yang masih melekat di badan.
3. Berwudhuk.
4. Ratakan air di kepala sebanyak tiga kali disertai dengan niat.
5. Ratakan air ke bahagian badan sebelah kanan 3 kali, kemudian bahagian badan sebelah kiri 3 kali.
6. Gosokkan bahagian depan dan belakang badan 3 kali.
7. Selakan jari di celah rambut dan janggut (sekiranya ada). Pastikan air mengalir ke setiap lipatan kulit dan pangkal rambut.
Dalam bab bersuci, mungkin masih ramai yang ambil mudah, namun jika tidak difahami dengan baik bimbang akan menjejaskan ibadah kita untuk tempoh jangka masa yang panjang, kerana bersuci ini selalu diguna pakai oleh kita setiap hari.
Semoga panduan ini membantu dalam persoalan tatacara mandi wajib supaya ibadah yang dilakukan sah dan diterima Allah SWT.

Rujukan:
1. Kitab Safinah Najah, karangan Syeikh Salim bin Sumair Al-Hadhrami.
2. Kitab Kasyifatus Saja, karangan Syeikh Muhammad Nawawi Al-Bantani Al-Jawi.
3. Kitab Fiqhul Manhaji, karangan Dr Mustafa Al-Khin & Dr Mustafa Al-Bugha 'Ali Asy-Syarbaji
Wallahua'lam.
Asma' binti Harun
Copy and paste: 27 Julai 2022 > 27 Zulhijjah 1443H: 11.38 am

Saturday, 23 July 2022

AMALAN HARI JUMAAT

OLEH: USTAZAH ASMA' HARUN

ALHAMDULILLAH.. HARI JUMAAT DATANG LAGI
🤲😊
KITA SAMBUT DENGAN AMALAN DIBAWAH
🌹
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ فِيهِ خُلِقَ آدَمُ وَفِيهِ أُدْخِلَ الْجَنَّةَ وَفِيهِ أُخْرِجَ مِنْهَا وَلَا تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ
Maksudnya: "Sebaik-baik hari ialah hari Jumaat, kerana pada hari itulah Adam diciptakan. Pada hari itu pula ia dimasukkan ke dalam syurga dan pada hari itu pula ia dikeluarkan daripadanya. Dan hari kiamat tidak terjadi kecuali pada hari Jumaat."
(HR Muslim, Hadis Sahih)
Bersempena hari yang mulia ini, mari lakukan beberapa amalan sunnah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.
1. MEMBACA SURAH AL-KAHFI
Daripada Abu Darda’ r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal.”
(HR Muslim, Hadis Sahih)
Dalam riwayat yang lain, daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a.:
مَنْ َقَرَأَ سُوْرَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمْعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ فِيْمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيْقِ
Maksudnya: “Barangsiapa membaca surat al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dan Baitul ‘atiq.”
(HR ad-Darimi, Sahih)
2. MEMBACA SURAH AL-SAJADAH DAN AL-INSAN PADA PAGI JUMAAT
Daripada Abu Hurairah r.a.:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ فِي الصُّبْحِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ بِ الم تَنْزِيلُ فِي الرَّكْعَةِ الْأُولَى وَفِي الثَّانِيَةِ هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنْ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا
Maksudnya: “Sesungguhnya dalam solat Subuh pada hari Jumaat biasanya Nabi SAW membaca “الم تَنْزِيلُ” (Surah al-Sajadah) pada rakaat pertama, manakala pada rakaat kedua pula “هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا” (Surah al-Insan) .”
(HR Muslim, Hadis Sahih)

3. MANDI SUNAT HARI JUMAAT
Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا أَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْتِىَ الْجُمُعَةَ فَلْيَغْتَسِلْ
Maksudnya: “Sesiapa yang hendak mendirikan solat Jumaat dia hendaklah mandi”.
(HR Muslim, Hadis Sahih)
Waktu mandi sunat Jumaat bermula apabila masuknya waktu solat Subuh, namun jika mandi ketika hampirnya waktu mendirikan solat Jumaat adalah lebih baik.

4. MEMOTONG KUKU DAN MENCUKUR BULU
Menurut Imam al-Sakhawi, tiada hadis yang sahih daripada Nabi SAW yang menerangkan tentang tatacara dan penetapan hari-hari tertentu untuk memotong kuku.
Bagaimanapun, Imam Nawawi menyatakan di dalam kitab Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzab: “Imam Syafie dan para ulama Mazhab Syafi’iyyah menegaskan, dianjurkan memotong kuku dan mencukur rambut pada badan (misai, bulu ketiak dan bulu kemaluan) pada hari Jumaat.”

5. MEMAKAI PAKAIAN YANG TERBAIK
Imam Syafie menjelaskan dalam kitab al-Umm:
“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.”

6. DATANG AWAL KE MASJID UNTUK TUNAIKAN SOLAT JUMAAT
Nabi SAW bersabda:
مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الجُمُعَةِ غُسْلَ الجَنَابَةِ ثُمَّ رَاحَ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الخَامِسَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ حَضَرَتِ المَلاَئِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ
Maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi janabah lalu segera pergi ke masjid, maka seakan-akan berkorban dengan unta, sesiapa yang pergi pada masa yang kedua, maka seakan-akan dia berkorban dengan lembu, dan sesiapa pergi pada masa yang ketiga, maka seakan-akan dia berkorban dengan biri-biri jantan yang bertanduk, dan sesiapa yang pergi pada masa yang keempat seakan-akan dia berkorban dengan seekor ayam, dan sesiapa yang pergi pada masa kelima, maka seakan-akan dia berkorban dengan sebiji telur dan apabila imam telah keluar (untuk berkhutbah) maka para malaikat turut hadir untuk mendengar peringatan (khutbah)”.
(HR al-Bukhari dan Muslim, Hadis Sahih)
Menurut kitab al-Muktamad dalam mazhab al-Syafie, masa pertama dan kedua bukanlah dimaksudkan dengan tempoh masa tertentu, namun ia dikira dengan siapa yang datang dahulu akan mendapat kelebihan tersebut daripada yang datang kemudian.

7. SEDEKAH WALAU SEDIKIT
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏
Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya."
(HR Muslim, Hadis Sahih)

8. TETAPKAN BILANGAN SELAWAT UNTUK DIBACA DAN BERUSAHA CAPAI TARGET TERSEBUT
Daripada Abu Umamah r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ؛ فَإِنَّ صَلَاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ، فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً
Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).”
(HR al-Baihaqi, Hadis Hasan)

9. MEMPERBANYAKKAN DOA
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:
فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ سَاعَةٌ، لاَ يُوَافِقُهَا مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ
Maksudnya: “Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada Allah SWT, pasti Allah SWT akan memperkenankan permintaanya itu.”
(HR al-Bukhari, Hadis Sahih)
Dalam riwayat lain, ada disebutkan satu waktu yang mustajab pada hari Jumaat. Daripada Abu Burdah bin Abu Musa Al Asy'ari beliau berkata;
قالَ لِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ أَسَمِعْتَ أَبَاكَ يُحَدِّثُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَأْنِ سَاعَةِ الْجُمُعَةِ قَالَ قُلْتُ نَعَمْ سَمِعْتُهُ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الْإِمَامُ إِلَى أَنْ تُقْضَى الصَّلَاةُ
Maksudnya: “Abdullah bin Umar bertanya padaku: “Adakah kamu pernah mendengar ayahmu meriwayatkan hadis dari Rasulullah SAW mengenai satu waktu (yang mustajab) pada hari Jumaat?” Abu Burdah berkata; Saya menjawab, “Ya, aku mendengarnya berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Waktunya ialah antara imam duduk (di mimbar) sehingga selesai solat Jumaat.”
(HR Muslim, Hadis Sahih)

10. MELAZIMI ISTIGHFAR
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”.
(HR Bukhari, Hadis Sahih)
SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA.
🌹
ASMA' BINTI HARUN

Copy and paste> 23 Julai 2022 : 23 Zulhijjah 1443H: 19,52 am

Friday, 3 June 2022

HATI YANG SERING BERBOLAK BALIK

SUMBER: FB BERSAMA MENUJU ALLAH

Manusia dari masa ke semasa akan mengalami perubahan dan penggantian. Bermula dari seorang bayi, kemudian berkembang menjadi seorang anak dan dari seorang anak berubah menjadi remaja. Dari remaja berubah menjadi dewasa dan akhirnya menjadi tua renta hingga ajal menjemput nyawa.

Ini bererti manusia adalah makhluk yang sentiasa mengalami perubahan. Perubahan sangat dekat dengan fitrahnya serta sangat dipengaruhi oleh berbagai faktor seperti :
◇ Pengetahuan.
◇ Keyakinan.
◇ Pergaulan.
◇ Pengalaman dan sebagainya.

Sangat jarang kita menjumpai manusia yang tetap tanpa perubahan kerana perubahan pada diri manusia merupakan suatu kelaziman.

Pada asasnya, manusia memerlukan perubahan dan kehidupan akan terasa jemu tanpa adanya perubahan. Seorang karyawan merasa jemu melakukan pekerjaan yang tidak berubah. Setiap orang mengalami kejemuan dengan sesuatu yang bersifat ‘monotonous’.

Begitu juga dengan hati kita, ia akan sentiasa berubah-ubah dan tidak tetap. Kadang-kadang hati ini lembut, namun kadang-kadang, sebaliknya ianya mengeras.

Kadang-kadang hati ini bercahaya dan kadang-kadang ianya gelap. Kadang-kadang hati begitu tawadhu’ manakala di masa lain ia berubah menjadi angkuh.

Suatu ketika, hati ini boleh sabar, manakala di waktu yang lain ia cepat marah dan langsung menjadi tidak sabar. Suatu waktu, hati ini terasa tenang, namun di waktu yang lain ianya terasa kosong dan bingung.

Hati boleh taat kepada Allah dan boleh pula durhaka kepadaNya. Dalam beribadah, hati mampu mencapai darjat khusyu’ dan boleh pula dengan mudah menjadi lalai.

Firman Allah swt : “Dan Kami bolak-balikkan hati mereka dan penglihatan mereka.”(QS Al-An’am: 110)

Iman yang ada di dalam hati pun boleh berubah-ubah.
Pagi hari beriman, petang hari ingkar. Petang hari beriman, pagi hari kufur.

Begitulah sifat hati manusia. Perubahan hati sangat cepat dan kadang-kadang tidak mampu dikendalikan dengan baik.

Boleh jadi, Hati dihiasi oleh sifat-sifat yang luhur, namun dalam masa yang sama, ia boleh dililit dengan sifat-sifat yang tercela.

Hati dapat merasakan ketenangan ketika bersama Allah namun, ia juga boleh merasa resah ketika menghadap Allah kerana ia merasa banyak dosa saat menghadapNya.

Hati dalam bahasa Arab disebut dengan ‘qalb’ yang ertinya bolak-balik kerana memang sifatnya yang cepat berbolak-balik (berubah). Hati bagaikan bulu ayam yang tergantung di atas pokok yang dibolak-balikkan oleh angin sehingga bahagian atas terbalik ke bawah dan bahagian bawah terbalik ke atas.

Demikianlah yang di sabdakan oleh Rasulullah saw :
“Hati dinamakan ‘qalb’ kerana sifatnya yang cepat berubah.

Hati itu bagaikan bulu (ayam) yang tergantung di atas sebuah pokok, yang dibolak-balikkan oleh angin sehingga bahagian atas terbalik ke bawah dan bahagian bawah terbalik ke atas.” (HR Ahmad)

Bahkan dalam hadits lain hati berubah sangat cepat melebihi perubahan air yang sedang mendidih. Rasulullah saw pernah bersabda : “Sesungguhnya hati anak cucu Adam lebih cepat perubahannya dari periuk yang berisi air mendidih.” (HR Ahmad)

Perubahan hati terserlah pada tutur kata dan kewujudan perbuatan yang dilakukannya. Oleh yang demikian, kita tidak perlu hairan, jika kita menjumpai orang yang sering bersilat lidah atau orang yang tidak memberi sepenuh komitmen dengan janji yang ia ucapkan.

Namun, walaupun keberadaan hati sentiasa berubah terus, bagi seorang mukmin, hendaknya ia berusaha menjaga dan merawat kebersihan hati dari penyakit yang hendak merusakkannya.

Hati boleh berubah-ubah selama mana perubahan itu tidak menjurus kepada maksiat atau durhaka kepada Allah. Tidak ada seorang pun yang dapat menjamin hatinya tetap dalam sesuatu keadaan di mana hati akan berubah mengikut perkara yang sedang di hadapi.

Perbezaan perkara yang dihadapi boleh menyebabkan berlakunya perubahan hati. Misalnya dalam bekerja, jika pekerjaannya banyak membawa keuntungan, hati akan tenang dan terasa mudah untuk bekerja namun, apabila pekerjaannya muflis, maka hati akan mula resah dan berpaling darinya. Hati akan condong kepada perkara yang disukai dan berpaling dari perkara yang tidak disenangi.

Dari sinilah, dapat diketahui bahwa perbezaan niat atau motivasi seseorang dalam melakukan pekerjaan ditentukan oleh sudut pandang yang berbeza-beza.

CONTOH 1 : Orang yang solat, di saat ‘takbiratul ihram' ia niat ikhlas kerana Allah, tetapi ketika berada di tengah-tengah semasa melakukan solat, hati boleh berubah sewaktu-waktu, kerana ia mengingati sesuatu atau kerana ia terlena dengan pujuk rayu syaitan.

CONTOH 2 : Orang yang bersedekah, di permulaan niatnya adalah kerana Allah, tetapi setelah mendapat sanjungan dan pujian, niatnya berubah menjadi bangga serta ingin mendapat pujian.

Perubahan-perubahan ini yang semestinya dijauhi dan ditinggalkan oleh orang yang rindu akan rahmat Allah. Rahmat dan ridha Allah akan diberikan kepada orang yang beramal kerana Allah semata-mata mulai dari awal hingga akhir amalnya serta ia tidak dapat menjaga niat ini kecuali ia menyerahkan urusannya kepada Allah sebelum beramal. Kita mestilah mengetahui bahwa hati berada dalam genggaman Allah.

Firman Allah swt : “Sesungguhnya Allahlah yang membatasi antara manusia dan hatinya.” (QS Al-Anfal : 24)

Dengan kata lain hanya Allah yang menguasai hati manusia. Allah swt tidak akan menerima amal kecuali orang yang hatinya bersih (ikhlas). Firman Allah swt : “Kecuali yang datang kepada Allah dengan hati yang bersih.” (QS Asy-Syu’araa’ : 89)

Hati juga boleh mengeras disebabkan :

Banyak melakukan larangan Allah dan sering meninggalkan perintahNya.
◇ Menjauhkan diri dari ulama’.
◇ Sering ketawa.
◇ Mengambil makanan yang haram.
◇Melakukan dosa besar misalnya boleh menyebabkan hati menjadi beku.
◇ Hati yang beku akan sukar untuk menerima sentuhan hidayah Ilahi dan jauh dari rahmat Allah swt.

Allah swt berfirman : “Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka yang hatinya telah membatu untuk mengingati Allah.” (QS Az-Zumar : 22)

Sebaliknya Allah swt bakal mengampuni dosa orang yang takut pada azabNya dan ia datang dengan hati yang bertaubat di mana Allah menggolongkan mereka di kalangan hamba-hambaNya yang beruntung dan terus terpaut denganNya.

Allah swt : “Bagi orang yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, sedang dia tidak kelihatan (olehnya) dan ia datang dengan hati yang bertaubat.” (QS Qaaf : 33)

Seorang mukmin mesti mengetahui : Keadaan hatinya yang sentiasa berubah-ubah. Penyebab hati yang menjadi rusak. Usaha-usaha pencegahan hati dari kerusakan. Jalan-jalan penyelesaian untuk menyelamatkan hati.

Jika kita mengetahui hati mulai terasa sakit, ia mestilah cepat-cepat mengubati hatinya sebelum ia tertutup yang pada akhirnya akan membuat dirinya akan hancur.

Masalah ini sangat penting kerana Allah swt telah mengingatkan kita akan bahaya hati yang keras, lalai, sakit, buta, tertutup, terbalik dan terkunci mati. Tanpa menyedari bahwa hati itu sentiasa berubah-ubah, seringkali ia tidak bersedia menerima masalah yang di hadapi.

Dengan menyedari bahwa hati yang sentiasa berubah-ubah, seseorang akan lebih bersedia menjalani kehidupan di bawah ketetapan Allah swt.

Perhatikan anjuran Rasulullah saw di kala kita menyukai sesuatu. Rasulullah saw pernah bersabda :

“Cintailah apa yang kamu cintai sekadarnya sahaja, boleh jadi apa yang kamu cintai itu menjadi sesuatu yang paling kamu benci pada suatu hari nanti. Bencilah sesuatu yang kamu benci sekadarnya sahaja, boleh jadi ia akan menjadi sesuatu yang paling kamu sukai pada suatu hari nanti.” (HR Tirmizi)

Hadits ini menganjurkan kepada kita sikap bersederhana dalam menghadapi permasalahan hidup serta melarang kita dari berlebih-lebihan dalam setiap perkara kerana Rasulullah saw sangat mengetahui bahwa hati manusia sentiasa berbolak-balik.

Sekarang mungkin ia cinta, besok sudah lupa, kelmarin sangat benci, sekarang begitu rindu ingin bertemu. Maka, hendaklah kita jangan berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara kerana ianya termasuk perbuatan yang dilarang dan merupakan perbuatan syaitan.

Mengapa hati sentiasa berubah-ubah? Ini adalah kerana ia merupakan muara dari segala tujuan.

Misalnya, jika sesuatu ‘A’ menyentuh hati dan berpengaruh kepadanya, maka dari arah lain ada pula sesuatu ‘B’ yang meresap ke dalam hati yang berlawan dengan sesuatu ‘A’, hinggakan hatinya menjadi berubah.

Demikianlah yang berlaku ketika syaitan turun ke hati dan mengajaknya untuk memperturutkan keinginan nafsu, maka malaikat akan turun ke hati untuk menghalau syaitan dari hati.

Jika syaitan menarik hati untuk berbuat keburukan, maka malaikat menarik hati untuk berbuat kebaikan. Dengan yang demikian, dalam suatu waktu, akan berlaku perebutan antara syaitan dan malaikat untuk menguasai hati.

Hati akan penuh dengan sifat-sifat keburukan jika ia mengikuti bisikan syaitan dan memperturutkan bisikan itu manakala hati akan penuh dengan sifat-sifat yang baik, jika ia mengikuti bimbingan malaikat dan merealisasikan dalam perbuatannya kerana sifat hati itu sentiasa berubah-ubah.

Meskipun hati sentiasa berubah, ada perkara yang tidak boleh berubah, iaitu : Keimanan kepada Allah. Ketaatan kepadaNya. Janganlah sampai iman dan taqwa kita berubah-ubah kerana kedua-duanya adalah tiang kebahagiaan kita di dunia dan di akhirat kelak.

Baik dan buruk, bahagia dan susah, pahala atau siksa, syurga atau neraka bergantung pada kedua-duanya. Begitu pentingnya perkara di atas sehingga keduanya menjadi kayu ukur diterima atau ditolaknya amal perbuatan oleh Allah swt.

Oleh kerana itu, Rasulullah saw sentiasa berdoa agar diberikan ketetapan hati untuk mentaati Allah swt.: “Wahai Zat Yang Memalingkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan kepadaMu!”(HR Muslim)

Keikhlasan mesti tetap terjaga kualitinya pada saat kita beramal. Jika ia rusak, maka cederalah amalnya. Ikhlas beramal kerana Allah tidak boleh berubah, kerana ia adalah ruh ibadah. Tanpanya, amal akan menjadi sia-sia.

Begitu juga dalam kita tetap berpedoman kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Ianya tidak boleh berubah atau berpindah kepada pedoman-pedoman yang lain. Kedua-duanya adalah pelita hidup dan penuntun menuju syurga Allah swt.

Orang yang berpijak pada keduanya akan selamat di dunia dan di akhirat. Akhirnya kita hanya mampu berusaha dan berharap semoga Allah swt berkenan memberikan kemantapan iman, ketaqwaan, keikhlasan dan ketetapan untuk berpedoman dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah kerana dengan ketetapan hati pada perkara-perkara tersebut merupakan modal awal untuk kita sentiasa dapat bersama Allah swt. Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang membolak-balikkan hati-hati, maka tetpkanlah hati kami di atas agamaMu dan lindungilah hati kami dari sifat lalai, lupa dan buta sehingga kami mampu menangkap keagungan dan kebesaranMu.
Wallahu'alam

Copy and paste:
3/6/2022 > 3 Zulkaedah 1443H: 3.51 pm