Tuesday, 18 February 2020

MISI MENYELAMAT MT BUNGA LAUREL DALAM OPS FAJAR 8

Kredit: FB Pencinta Dunia Ketenteraan dan Pertahanan

Pada 20 Jan 2011, jam 11.40 malam (waktu Malaysia), sebuah kapal dagang MT Bunga Laurel milik Jepun yang disewa oleh MISC Berhad telah dirampas oleh sekumpulan 7 orang lanun Somalia. Insiden ini berlaku kira-kira 300 batu nautika di timur Muscat, Oman, setelah kapal MT Bunga Laurel dipisahkan di kawasan 'selamat' setelah diiringi oleh kapal TLDM melalui perairan Teluk Aden di dalam 'Ops Fajar 8'.
Kumpulan lanun tersebut, menaiki sebuah bot laju yang diturunkan dari kapal lain yang telah dirampas oleh lanun sebelum ini. Mereka menyerang kapal 'MT Bunga Laurel' yang didalam perjalanan menghantar minyak pelincir dan bahan kimia dari Asia Barat ke Singapura. Menyedari akan kehadiran lanun-lanun tersebut, anak kapal MT Bunga Laurel sempat mengaktifkan Sistem Amaran Keselamatan (SSAS) sebelum bersembunyi di bilik keselamatan berhampiran dengan bilik jentera kapal. Kesemua lampu dipadam dan enjin utama ditutup.
Tepat jam 11.40 malam, kapal sokongan TLDM Bunga Mas Lima telah menerima panggilan kecemasan daripada MISC yang melaporkan bahawa kapal MT Bunga Laurel telah diserang oleh lanun dan juga terdapat sebuah kapal lanun turut berada disitu. Bertindak di atas panggilan kecemasan tersebut, satu tim Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM diaturgerakkan dari kapal Bunga Mas Lima yang berada kira-kira 14 batu nautika dari tempat kejadian. 2 buah bot RHIB dan 14 orang anggota PASKAL yang diketuai oleh Leftenan Komander Maznan bin Saad bergegas ke lokasi kejadian. Helikopter Fennec TLDM turut diaturgerak bagi melakukan pemantauan dan memberi bantuan tembakan dari udara. Lanun daripada kapalnya cuba menghampiri kapal MT Bunga Laurel bagi memberi bantuan kepada kumpulannya, tetapi tembakan tepat oleh anggota PASKAL yang berada di dalam helikopter Fennec ke arah kapal lanun telah menggagalkan cubaan tersebut. Berlaku pertempuran singkat di atas kapal MT Bunga Laurel setelah anggota PASKAL dari 2 buah bot RHIB berjaya menaiki kapal tersebut. Akhirnya Kapal MT Bunga Laurel berjaya dibebaskan dari lanun kira-kira jam 1.20 pagi.
Kejayaan tim PASKAL menyelamatkan kapal MT Bunga Laurel, telah berjaya membebaskan 23 orang anak kapal warga Filipina dan berjaya mengelakkan kerugian kehilangan kargo bernilai RM30 juta. Walau bagaimanapun status kapal lanun dari segi kerosakan dan kecederaan tidak dapat dipastikan kerana pertempuran berlaku pada waktu malam. 7 orang lanun tersebut telah berjaya ditawan, manakala 3 orang daripadanya mengalami kecederaan. Dipihak anggota PASKAL pula tiada anggota yang cedera. Beberapa laras raifal AK-47 termasuk yang telah diubahsuai, kelopak peluru dan pistol Tokarev TT.33 buatan Soviet telah berjaya dirampas.
-Bob513
Copy and paste: 18 Februari 2020 / 24 Jamadil Akhir 1441H :11.54 am

No comments: