Sunday 30 April 2023

Ada Bala Yang Kita Nampak, Ada Bala Yang Kita Tak Sedar. Kita Sentiasa Diuji Allah

SUMBER: ISLAM ITU INDAH

Bala Yang Disedari Dan Yang Tidak Disedari

Seorang pelajar bertanya kepada gurunya: mengapakah apabila kita banyak melakukan maksiat terhadap Allah, tetapi Allah tidak menimpakan balanya ke atas kita dengan segera?”

Gurunya menjawab “Allah telah menimpakan balanya, tetapi engkau yang tidak menyedarinya!”. Bukankah Allah telah mencabut perasaan indah bermunajat denganNya dari hatimu…!! Tiada bala yang lebih berat ditimpakan ke atas seseorang dengan penyakit “hati yang keras”.

Sesungguhnya seberat-berat bala yang akan ditimpakan ke atasmu ialah Allah akan menyempitkan laluanmu ke arah jalan kebaikan.

Bukankah telah berlaku ke atas dirimu engkau tidak membaca Quran selama beberapa hari?

Bahkan mungkin engkau mendengar firmanNya yang berbunyi

لَو أَنزَلنا هٰذَا القُرءآنَ عَلىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيتَهُ خٰشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّن خَشيَةِ اللهِ ۚ

“Jika Kami turunkan Al-Quran ini ke atas gunung nescaya engkau akan melihatnya khusyuk dan hancur lebur (gunung) kerana takutkan Allah” (Al-Hasyr : 21),

Engkau mendengar ayat ini tetapi engkau tidak merasa apa-apa…!!!

Bukankah berlalu beberapa malam tetapi engkau terhalang daripada bangun berqiyamullail?

Bukankah berlalu peluang-peluang kebaikan seperti: Ramadhan, Enam Syawwal, Sepuluh Zulhijjah. Sedangkan engkau tidak dipermudahkan untuk mengambil peluang-peluang tersebut dengan sewajarnya…..

Adakah bala yang lebih berat dan segera dari semua ini?

Bukankah engkau merasa berat apabila mahu melakukan ketaatan?

Bukankah lidahmu ditahan daripada mengingatiNya?

Bukankah engkau merasa lemah apabila berhadapan dengan bisikan hawa nafsu dan syahwat?

Bukankah engkau telah ditimpakan dengan cintakan harta, pangkat dan perasaan ingin popular?

Adakah bala yang lebih berat dan segera daripada ini semua?

Bukankah dipermudahkan bagimu untuk mengumpat, mengadu domba dan berkata dusta?!

Bukankah engkau disibukkan dengan perkara-perkara yang sia-sia tiada kaitan dengan dirimu?!

Bukankah engkau telah dilupakan tentang akhirat dan segala tumpuanmu dihalakan kepada hal keduniaan?

Semua kehinaan ini tidak lain dan tidak bukan adalah bentuk-bentuk bala yang Allah timpakan ke atas dirimu.

Berhati-hatilah wahai anakku, kerana bala yang paling ringan yang Allah timpakan ialah bala yang boleh disedari seperti bala yang ditimpakan ke atas harta, anak pinak dan kesihatan. Sesungguhnya seberat-berat bala yang ditimpakan ke atas hamba adalah bala yang tidak disedari iaitu “bala di dalam HATI”.

Mohonlah keampunan dan kesejahteraan dari Allah dan beristighfarlah atas dosa-dosamu.

Copy and paste: 30/4/2023 > 9 Syawal 1444H: 7.38 am


Wednesday 26 April 2023

Bagaimana Membezakan Istidraj Dan Kurniaan Allah?

SUMBER: ISLAM ITU INDAH

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Di dalam Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiyah (1/734), disebut maksud istidraj secara bahasa adalah diambil daripada perkataan da-ra-ja (درج) yang ertinya adalah naik dari satu tingkatan ke tingkatan selanjutnya. Manakala istidraj daripada Allah SWT terhadap hamba difahami sebagai ‘hukuman’ yang diberikan sedikit demi sedikit dan tidak diberikan langsung. Allah SWT membiarkan seseorang dan tidak disegerakan azabnya. Firman-Nya:

سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.”
Surah al-Qalam (44)

Al-Hasan berkata: “Betapa ramai orang yang terkena fitnah dengan cara dipuji dan betapa ramai orang yang terpedaya dengan cara ditutupi aibnya.” 
(Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/251 dan Tafsir al-Siraj al-Munir, 4/264)

Sahl bin Abdullah mentafsirkan ayat di atas dengan maksud: “Nikmat-nikmat yang diberikan akan menyebabkan mereka lupa bersyukur.” 
(Lihat al-Bahr al-Madid, 2/581)

Al-Razi berkata: “Istidraj ialah dengan meminta kurnia turun kepadanya satu darjat kepada darjat yang lain sehingga mereka terpedaya. Tatkala mereka melakukan dosa, Allah SWT menambahkan lagi nikmat sehingga melupakan mereka daripada istighfar.” (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 15/77)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Amir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ

Maksudnya: “Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT.”
Riwayat Ahmad (17311), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4220) dan al-Tabarani dalam al-Ausat (8/110)

Mulla Ali al-Qari berkata: Apabila kamu melihat Allah SWT mengurniakan kepada seorang hamba dari kekayaan dunia, sedangkan dia melakukan maksiat, maka asbab yang didapati melalui kurniaan tersebut adalah sebagai istidraj dan tipudaya. Benarlah firman Allah SWT:
  “سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ” 
yang membawa maksud “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” 
(Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 9/396)

Allah SWT berfirman:

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ

Maksudnya: Ketika mereka tidak mengambil pelajaran dari kemiskinan dan sakit yang Kami timpakan kepada mereka, Kami uji mereka dengan rezeki yang banyak. Kami bukakan semua pintu untuk memperoleh rezeki tersebut. Hingga, pada saat mereka senang dan tidak bersyukur dengan apa yang Kami berikan kepada mereka, datanglah azab dengan tiba-tiba. Maka mereka lalu bingung, putus asa, dan tidak mendapatkan jalan keselamatan.
Surah al-An’am (44)


Di dalam Tafsir al-Jalalain disebut, “Ketika mereka meninggalkan peringatan yang diberikan kepada mereka, tidak mahu mengendahkan peringatan tersebut, Allah SWT membuka kepada mereka segala pintu nikmat sebagai bentuk istidraj kepada mereka. Sehinggalah mereka berbangga berkenaan hal itu dengan sombongnya. Kemudian kami seksa mereka dengan tiba-tiba. Lantas mereka pun terdiam dari segala kebaikan.” 
(Lihat Tafsir al-Jalalain, 2/340)

Ibnu ‘Athaillah al-Sakandari dalam kitab al-Hikam berkata bahawa hendaklah seseorang merasa takut jika dia selalu mendapat kurniaan dan kebaikan daripada Allah SWT, sedangkan dia masih tetap melakukan maksiat kepada-Nya. Kata beliau:

خَفْ مِنْ وُجُودِ إِحْسَانِهِ إِلَيْكَ، وَدَوَامِ إِسَاءَتِكَ مَعَهُ أَن يَكُونَ ذَلِكَ إِسْتِدْرَاجًا لَكَ، سَنَسْتَدْرِجُهُمْ مِنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Hendaklah kamu berasa takut jika kamu terus memperoleh kurniaan Allah SWT sedangkan kamu masih berterusan melakukan maksiat kepada-Nya. Ini kerana, ia boleh jadi satu istidraj (pesona dan tipudaya) sepertimana firman-Nya: ““Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” 
(Surah al-Qalam, ayat 44)

Syekh Zarruq berkata, “Wahai para murid, takutlah terhadap kurniaan-Nya kepadamu dalam bentuk kesihatan, kelapangan, rezeki yang melimpah ruah, di tengah-tengah kederhakaanmu terhadap-Nya berupa kelalaian dan kecuaian.” (Lihat Iqaz al-Himam fi Syarh al-Hikam, hlm. 101)

Kesimpulan

Kurniaan Allah biasanya diisi sebelum dan selepasnya dengan ketaqwaan, kebaikan dan ketaatan. Hal ini sepertimana seseorang yang rajin melakukan solat malam, rajin bersedekah, rajin melakukan Solat Dhuha, kemudian Allah SWT melimpah ruahkan rezekinya. Maka itu kita namakan sebagai kurniaan atau karamah.

Namun orang yang tidak mengerjakan sembahyang lima waktu, berterusan melakukan maksiat dan derhaka kepada-Nya, namun dia kelihatan kaya dan rezekinya juga mudah, maka inilah yang dinamakan istidraj.

Justeru, marilah sama-sama kita sentiasa meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT selaras dengan firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Surah Ali Imran (102)

Copy and paste: 25/4/2023 > 5 Syawal 1444H: 4.07 pm

Friday 14 April 2023

Bayaran Zakat Fitrah Secara Atas Talian Tanpa Akad – Apa Statusnya?

SUMBER: ISLAM ITU INDAH

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah bersetuju bahawa kaedah bayaran dalam talian bagi zakat fitrah yang diperkenalkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) adalah untuk meringankan beban umat Islam.

Melihat kepada keadaan semasa dan juga kebolehadaptasi kita terhadap norma baru yang ditekankan kerajaan, kita perlu menjaga diri dan mengamalkan penjarakan sosial bagi mengelak daripada jangkitan wabak COVID-19 ini.

Kurangkan berada di tempat awam tanpa sebab yang mendesak. Ini merupakan salah satu usaha untuk memastikan keselamatan dan kesihatan diri terjaga.

Oleh yang demikian, bayaran zakat fitrah secara atas talian merupakan salah satu cara yang diperkenalkan kerajaan untuk memudahkan proses pembayaran terutamanya ketika berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.Namun, apabila melihat kepada caranya, tiada akad yang dilakukan seperti kebiasaan kita membayar zakat secara terus di tempat bayaran zakat.

Jadi, apakah status bayaran zakat yang dilakukan itu?

Apa Itu Ijab Qabul

Ijab dan qabul adalah suatu perbuatan untuk menunjukkan suatu keredaan dalam berakad antara dua orang atau lebih.

Lafaz ijab sendiri merupakan lafaz yang dinyatakan dalam ungkapan penyerahan. Lafaz qabul pula merujuk kepada ungkapan penerimaan.

Setelah ijab diucapkan oleh pembayar zakat dan diterima melalui lafaz qabul, ia biasanya akan diakhiri dengan bersalaman antara pembayar zakat dan penerima atau amil zakat.

Lafaz yang biasa disebut ialah – “Saya berzakat fitrah sebanyak … (jumlah bayaran) yang wajib bagi diri saya pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.”

Kemudian, ia akan disambut oleh penerima atau amil zakat dengan ungkapan – “Saya terima zakatnya sebanyak … (jumlah diterima) yang wajib bagi diri tuan tahun ini kerana Allah Ta’ala.”

Namun, berbalik kepada persoalan di atas, iaitu bayaran zakat secara atas talian – hukumnya adalah sah. Bayaran zakat tanpa ijab dan qabul serta bersalaman antara penerima dan pembayar adalah sah.

Hal ini adalah melihat kepada pendapat Mazhab Imam Syafi’e yang menyebut – “wajib berniat di dalam hati dan tidak disyaratkan dengan kata-kata.” (Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 3/1811)

Menurut Dr. Wahbah Zuhaili, syarat-syarat sah pemberian zakat itu ialah dengan sekadar berniat di hati. Ia cukup untuk menjadikan kewajipannya tertunai. (Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 3/1796)

Tambah Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Abdul Halim Ismail berkata – Menunaikan zakat secara atas talian, ia adalah sah kerana niat sudah berlaku ketika itu dan pemindahan pegangan harta, iaitu wang juga sudah berlaku.

Kesimpulan

Tuntasnya, pembayaran zakat secara atas talian tanpa ijab dan qabul serta bersalaman adalah sah kerana sudah memenuhi syarat sah bayaran zakat, iaitu niat dan pindahan harta.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah

Copy and paste: 14/4/2023 > 23 Ramadan 1444H: 6.43 pm

Thursday 13 April 2023

21 AMALAN PADA SEPULUH AKHIR RAMADHAN

SUMBER: Zaharuddin.net

Disebutkan di dalam sebuah hadith :-
Ertinya : Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain" ( Riwayat Muslim, no 1175 )
Sebuah lagi hadis menyebut :-
انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها
Ertinya : "Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)" ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره
Ertinya : " Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
APA AMALAN YANG PERLU DILAKUKAN?
Semua jenis amalan soleh dan ikhlaskan niat sedaya mungkin, antara amalan:-
1. Solat fardhu berjemaah setiap waktu.
2. Solat sunat Rawatib
3. Jangan tinggal solat sunat Fajar ( 2 rakaat sebelum solat Subuh )
4. Iktikaf di masjid bagi yang mampu.
5. Memperbanyak tilawah Al-Quran, sekurang-kurangnya lebih banyak daripada bacaan sebelum 10 akhir Ramadhan
6. Memperbanyakkan Sedeqah, khususnya yang beri impak tinggi.
7. Membantu orang dalam melaksanakan kebaikan dan melepaskan kesukarannya.
8. Banyakkan berdoa dan yakin akan kemaqbulannya.
9. Basahi lidah dengan zikir yang dilafazkan, bukan sekadar dalam hati.
10. Taati dan berkhidmat kepada ibubapa.
11. Taati dan tambahkan khidmat kepada suami dan anak-anak.
12. Tambah khidmat pada isteri dan anak-anak.
13. Menjaga pandangan mata dari yang diharamkan.
14. Hentikan mengadu domba dan mengumpat serta cerca maki.
15. IKHLASKAN DIRI bila laksana semua di atas kerana Allah bukan manusia.
16. Banyakkan taubat dan istighfar SERTA mencari fadhilat Lailatul Qadr.
17. Selesaikan hutang yang tertunggak (yang sudah due date)
18. Mohon maaf atas kesalahan terhadap mangsa (jika ada) dan pulangkan wang dan harta yang diambil tanpa izin dan tanpa
19. Hidupkan akhir malam (1 jam sebelum subuh) dengan ibadah dan solat sunat.
20. Membersihkan harta subhat dan haram dengan salurkan kepada faqir miskin dan kebajikan awam.
21. Mengeluarkan zakat harta dan fitrah.
Hadith Nabi menyebut berkenaan Laylatul Qadr:-
التمسوها في العشر الأواخر من رمضان
Ertinya : " Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Selain dari itu, berdasarkan dalil hadith al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan sabdaan Nabi SAW:-
أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر ، فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر
Ertinya : Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir" ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim)
Dari tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramdhan adalah yang paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam (terutamanya di negara Arab) dan ia juga dipegang oleh kebanyakan Sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia adalah malam ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadith yang menyebut:-
ليلة القدر ليلة سبع وعشرين
Ertinya : "Malam al-Qadar dalah malam ke dua puluh tujuh" (Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )
DOA TERPENTING MALAM AL-QADAR
Allah s.w.t pernah menegur manusia yang lupa doa untuk akhirat mereka di masa puncak kemakbulan doa. Anataranya seperti hari Arafah, sebagaimana dinyatakan dalam firmanNya :-
فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ
Ertinya : Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat ( Al-Baqarah : 200 )
Jelas dalam ayat ini Allah s.w.. t menegur manusia yang lupakan kebaikan akhiratnya.
Lalu Allah s.w.t mewartakan bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang merangkumi kebaikan dunia dan akhirat..dan dilebihkan 'portion' atau bahagian akhirat apabila di tambah "selamatkan dari api neraka". Beerti doa untuk bahagian akhirat perlu lebih dari dunia.
Lihat doa yang diingini Allah s.w.t :-
وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Ertinya : "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: ""Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" ( Al-Baqarah : 201 )
Di malam-malam akhir ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah s.w.t. Inilah yang disebut dalam jawapan nabi s.a.w kepada Aisyah r.a :-
وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
Ertinya : "Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : " Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan"
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Jom sertai group saya di

Copy and paste:
13/4/2023 > 22 Ramadan 1444H: 5.40 pm

Sunday 9 April 2023

HARAM SAMAKAN ISLAM DENGAN AGAMA LAIN

Oleh : Lebai Kampung > Institute of Traditional Islamic Studies.

Kita sebagai umat akhir zaman bukan hanya didepani dengan masalah propaganda dari kaum kafirun dan umat yang mahu murtad tetapi jauh daripada itu agenda halus yang mahu mempluralkan segalanya, sebagai contoh; propaganda pluralisme bangsa dengan mengatakan semua bangsa adalah sama dan menyamaratakan semua walaupun berlainan kulit, bahasa dan latarbelakang tetapi diwar-warkan sebagai bangsa Malaysia.
2. Terbaru, agenda mempluralkan parti - tanpa peduli soal ideologi dan matlamat parti, dikatakan sama kerana semua mahu membangunkan negara. Kebelakangan ini kelihatan ketara agenda pluralkan agama. Walaupun asalnya ia merupakan agenda pertama dan utama namun golongan Islam adalah kumpulan yang paling sukar namun tidak mustahil untuk menerima ajaran satu kepercayaan ini.
3. Soal mempluralkan agama, mungkin boleh dimulakan dengan perkara paling fundamental bagi semua agama yang menjadi tembok tebal mengapa agenda pluralisme pasti gagal. Kita beriman dengan ayat: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka.” (Surah Ali Imran: ayat 19)
4. Rukun Iman dalam Islam kita percaya (1) kepada Allah (2) kepada para Malaikat (3) kepada kitab-kitab (4) kepada para Rasul (5) kepada Hari Kiamat (6) kepada Qada dan Qadar. Manakala Kristian cukup dengan percaya “Jesus adalah anak tuhan”.
5. Bagi umat Islam “solat” adalah wajib dan berdosa meninggalkannya malahan boleh murtad siapa yang mengatakan tidak wajib. Kewajiban mendirikannya pada setiap hari sebanyak 5 waktu. Manakala agama Kristian tidak ada solat, mereka cuma menjadikan rutin berkumpul di gereja seminggu sekali pada hari Ahad dengan berdoa beramai-ramai.
6. Ibadat “puasa” pula, Islam telah menetapkan puasa sebulan di bulan Ramadan. Dalam agama Kristian ia tiada ketentuan. Sesiapa boleh berpuasa pada bila-bila masa yang disukai. Ada juga yang mengamalkan berpuasa (menahan diri daripada) makanan tertentu seperti tidak makan daging, susu dan sebagainya. Begitu juga dalam agama Kristian tidak ada “zakat fitrah atau zakat harta”. Mereka juga tidak ada ibadat menunaikan “Haji dan Umrah”. Justeru, bagaimana boleh seorang itu mengatakan ada persamaan Islam dengan Kristian?
7. Dalam bab “Tauhid” pula, amat jelas sekali pencanggahannya; umat Islam bertauhidkan Allah itu Maha Esa (Tunggal) manakala agama Kristian berimankan kepada “Trinity” (tuhan dalam tiga), atau tuhan itu satu dengan 3 entiti iaitu bapa, anak dan roh kudus (holy spirit). Secara asasnya Kristian berkeyakinan bahawa tuhan mereka itu beranak-pinak, dengan percaya bahawa Jesus adalah anak Tuhan. Tuhan telah menjelma sebagai roh kudus masuk ke rahim Mary (Maryam) kemudiannya menjadi anggota (flesh) yang membesar sebagai Jesus yang juga tuhan tetapi anak tuhan.
8. Tentang “Kitab Suci” pula, umat Islam wajib beriman kepada kitab suci Al-Qur'an iaitu kitab yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan mukjizat di mana mendapat pahala jika membacanya. Antara keistimewaannya berbanding kitab yang lain ialah Al-Qur’an masih kekal asli hingga ke hari ini. Semua isi kandungannya tiada yang berubah sedikitpun dan bebas daripada penyelewengan sejak zaman Rasulullah SAW hingga ke hari ini.
9. Namun orang Kristian mengatakan bahawa Kitab Suci Al-Qur'an juga sudah diubah, tapi tidak dapat memberi bukti di mana perubahannya. Injil atau Holy Bible ialah kitab suci bagi orang Kristian. Perkataan Bible diambil daripada perkataan Greek ‘Byblos’ yang membawa maksud 'buku'. Terdapat banyak versi Bible yang boleh didapatkan pada hari ini. Secara umumnya, kitab Bible bagi penganut Kristian terbahagi kepada 2 iaitu: Old Testament dan New Testament.
10. Banyak perbezaan antara Islam dengan Kristian baik dari segi amalan ibadat dan juga konsep ketuhanan; antaranya mandi wajib/junub, bersunat/khatan sedangkan Nabi Isa AS sendiri berkhatan, amalan azan dan iqamah pada bayi baru lahir, solat sunat, berzanji, marhaban, berselawat dan seumpamanya. Termasuk amalan mengadakan tahlil, cara mandi mayat dan solat jenazah, berkahwin yang mana golongan paderi tidak berkahwin. Sepatutnya orang yang alim agama harus ada isteri dan ramai anak. Islam ada hukum makanan halal dan haram. Islam membenarkan poligami.
11. Islam menganggap air zamzam ada keberkatannya. Manakala Kristian percaya kepada Holy Water. Kristian tidak melarang dan mengharamkan umatnya minum arak dan seumpamanya. Lebih dari itu paderi mereka pun minum arak. Bagi Islam babi itu najis dan haram tetapi Kristian menghalalkan makan babi.
12. Yang paling fundamental sekali ialah Islam beriktikad bahawa Nabi Isa AS sebagai seorang Nabi dan juga Rasul yang diberi kitab Injil. Baginda bukan anak Allah dan belum lagi wafat. Baginda tidak disalib dan telah diangkat oleh Allah ke langit kedua. Al-Qur'an menyebut: “Mereka tidak membunuh Isa dengan sesungguhnya”. Bertentangan dengan iktikad agama Kristian yang beranggapan Nabi Isa AS (Jesus) disalib bagi tujuan untuk menebus dosa seluruh umat Kristian. Oleh itu, semua umat Kristian tidak atau tiada dosa kerana semua dosa ditanggung oleh Jesus, termasuk pembunuh, perogol dan semua yang melakukan kesalahan.
13. Nabi Muhammad SAW tidak sesekali menanggung dosa-dosa umat Islam. Secara ilmiahnya, seseorang menanggung dosanya sendiri. Paderi boleh mengampunkan dosa. Mereka dianggap suci sehingga mampu dan boleh mengampun dosa-dosa penganut Kristian termasuk ibu-bapanya sendiri.
14. Kristian termasuk semua agama menolak peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku ke atas Nabi Muhammad SAW, mereka tidak percaya dan mengatakan ia karut-marut dan tak masuk akal (menafikan Sifat Allah Maha Berkuasa) dan dalam Islam ada hukum terhadap mereka yang murtad. Banyak lagi yang boleh dikarang untuk membahaskan perbezaan antara Islam dengan Kristian.
15. Maka dari itu, di manakah yang dikatakan ada banyak persamaan dan amalan pluralisme itu suatu yang suci dan mulia kerana toleransi dengan semua agama atas kepercayaan tuhan yang satu. Inilah kesesatan paling besar kerana mengatakan semua agama itu sama. Meletakkan semuanya sama adalah pegangan sesat fahaman komunis dengan menjadikan slogan “demi rakyat, untuk rakyat” adalah propaganda komunis era 50’an dahulu yang nampaknya digunapakai kembali oleh tokoh bergelar Bapa Pluralisme.
Wallahu a'lam.
Haji Rashidi bin Haris
@ Lebai Kampung

Copy and paste:
9/4/2023 > 18 Ramadan 1444H: 5.12 pm

KEKAYAAN HASIL BUMI KEDAH TUA MENURUT CATATAN ARAB

SUMBER: HASANUDDIN YUSOF OFFICIAL

Saya tidak mahu menyentuh tentang pengumuman Menteri Besar Kedah berkenaan penemuan hasil bumi Kedah yang bernilai tinggi. Apa yang saya mahu kongsikan ialah catatan pengembara-pengembara Arab abad ke-9 hingga abad ke-12 tentang kekayaan hasil bumi Kedah dan Semenanjung Tanah Melayu.
Abu Dhulaf al-Muhalhil mencatatkan dalam Risalatul ula seperti berikut:-
فخرجت على الساحل أريد كله....و وجدت بها معدناَ للرصاص القلعى, لا يكون إلا في قلعتها من سائر الدنيا
“Maka aku pun keluar menuju ke tepi laut dengan hasrat untuk ke Kalah (Kedah Tua).....Dan di sana aku dapati lombong timah qala’i yang tidak didapati di mana-mana tempat di dunia melainkan di kubu (Kedah Tua) itu.
Al-Mas’udi pula menulis dalam Muruj az-Zahab seperti berikut:-
و بين هذه الأمة و بين بلاد كلة جبال معادن الرصاص الأبيض و جبال من الفضة, و فيها أيضاَ معادن من الذهب, و رصاص لا يكاد يتميز منه.
"Antara penduduk di sini dan negeri Kedah terdapat gunung-gunung dan lombong-lombong bijih timah putih dan perak. Dan terdapat juga lombong emas. Dan timah-timah hampir tidak dapat dibezakan.”
Muhammad al-Idrisi menulis dalam Nuzhat al-Musytaq seperti berikut:-
و من جزيرة لنكبالوس إلى جزيرة كله خمسة أيام و هي جزيرة كبيرة يسكنها ملك يسمى جابة الهندي و بهذه جزيرة معدن الرصاص القلعي و هو بها كثير صافي الجوهر....
“Dan pelayaran dari Pulau Lankabalus ke Kedah Tua mengambil masa selama lima hari. Kedah Tua merupakan pulau yang besar yang dihuni oleh seorang raja yang dipanggil sebagai Jabah al-Hind. Di wilayah pulau tersebut terdapat lombong logam bijih timah dan juga terdapat banyak permata yang asli"
Ternyata Kedah memang kaya dengan hasil galian bumi dan kekayaannya telah disedari oleh orang-orang Arab selewat-lewatnya pada abad ke-9 Masihi.
Walau bagaimanapun, saya secara peribadi menyeru kerajaan negeri Kedah untuk memelihara hutan sekiranya benar sumber galian baru telah ditemui. Di zaman kerosakan alam sekitar ini, memelihara hutan lebih aula dari meneroka hasil bumi.
Di hari Jumaat yang mulia ini, mari kita renungkan kalamullah :-
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Ar Rum : 41)
Gambar lima tahun lalu di Padang Tok Syeikh Gunung Jerai bersama kekanda Cikgu Kuazmi
Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam

Copy and paste:
9/4/2023 > 18 Ramadan 1444H: 5.00 pm

KEDAH IBU KOTA PEMERINTAHAN SRIVIJAYA

OLEH : DINO ZAIN > FORUM JEJAK SEJARAH KEDAH : 9 JANUARI 2021

Tahu tak kalian, nama Srivijaya lebih dulu disebutkan dalam rekod dinasti China pada tahun 638M, jauh sebelum keberadaan Srivijaya di Palembang dan Sumatera pada tahun 683M di abad ke 7 masehi :
"The History of Ming Dynasty (the Ming Shih) says that San-fo-chi (三佛斉 - Srivijaya) was formerly called Kan-da-li(or Kan-tuo-li,干陀利 - Kedah) and started tributary mission in the Liang times."
「三佛斉、古名干陀利。劉宋孝武帝時、常遣使奉貢。梁書武帝時数至。宋名三佛斉、修貢不絶。」
Sumber rekod China itu tidak mampu dibantah yang mengesahkan bukti Srivijaya diasas mula oleh Kan-da-li iaitu Kedah.
Kata 'Srivijaya' juga awalnya dari nama seorang Raja Melayu beragama Budha bernama Qu-tam (Chudam) yang memerintah kerajaan Tanah Merah (Chih-tu) yang menguasai wilayah utara 'semenanjung Melayu asal' mengitari Kedah, Kelantan hingga Segenting Kra.
Penemuan prasasti Budhagupta di Seberang Prai yang dulunya wilayah Kedah, menguatkan bukti bahawa kerajaan Chih-tu bertempat di utara Malaysia berdiri sekitar abad ke 4 hingga 5 Masehi.
Sejarawan J Laidlay pada tahun 1848 menterjemahkan teks prasasti itu yang ditulis dengan huruf Pallava (400-500M) dan bahasa Pali mengandungi ajaran Budha dan menyatakan kejayaan pelayaran oleh seorang nakhoda kapal bernama Budhagupta, seorang penduduk Negeri Tanah Merah (Chih-tu).
Chih-tu adalah satu-satunya kerajaan di Asia Tenggara yang menerima kedatangan utusan dari Maharaja China pada abad ke 6 Masehi bagi memulakan hubungan perdagangan dengan negara tembok besar itu. Dinasti Sui memilih kerajaan Chih-tu sebagai rakan dagang kerana kekuatan dan kekayaan kerajaan itu, termasuk menguasai laluan maritim dan perdagangan di rantau ini.
Dalam "Meridionaux", Matounlin menyatakan, Chih-tu di tahun 638M telah menghantar ufti bersama-sama dengan tiga negara lain ke China. Untuk mengesahkan rekod tersebut, bukti diperoleh dari rekod China yang lain:
Catatan Weng-Hsien Tung-Pao merekodkan bahawa Chieh-Cha (Kedah) telah menghantar ufti ke China pada tahun 638 Masihi.
Para sarjana dan sejarawan mengenalpasti Kedah juga dikenal dalam beberapa sumber sebagai Kandali, Kantouli, Kadari, Kataha, Cheh Cha, Khe da dan Kadaram.
Catatan China, Chi tu guo ji menyebut perjalanan (jalan kaki) selama 1 bulan menuju ke hulu sungai untuk sampai ke kerajaan Chih-tu. Sementara pelayaran mengambil masa 100 hari :
“By sea one reaches it more than a hundred days. The color of the soil of the capital is mostly red, whence is derived the name of the state. Eastwards is the kingdom Po-lo-la (波羅剌), to the west that of Po-lo-suo(婆羅娑), and to the south that of Ho-lo-tan (訶羅旦). Northwards it fronts on the ocean. The country is several thousand li in extent. The king’s family name is Qu-tan (瞿曇 Gautama), his personal name is Li-fu-to-se (利冨多塞 - Srivijaya).” (Chi bererti merah, Tu bererti bumi).
Jadi perjalanan 30 hari lebih sesuai memudiki sungai kelantan dari pantai timur Malaysia menuju ke Kedah.
Sementara pelayaran 100 hari lebih sesuai belayar mengelilingi semenanjung Malaysia hingga sampai ke Kedah.
Berdasarkan sumber China, rekod Dinasti Sui menyebut nama peribadi bagi Raja Chudam yang memerintah kerajaan Chih-tu adalah 'Li-fo-shi' (Srivijaya) :
"Nama keluarga raja Chih-tu adalah Qu-tam (Chudam), dan nama peribadinya adalah Li-fo-shi (Srivijaya). Sejak bila sejarah putera ini bermula kami tidak tahu. Kami hanya diberitahu bahawa ayahnya, selepas meninggalkan takhta untuk menjadi seorang biarawan, dihantar kepadanya kedudukan kerajaan, kedudukan yang telah diadakan selama enam belas tahun. Raja ini Li-fu-to-Hsi (Srivijaya) mempunyai tiga isteri, yang semuanya puteri gerbang yang sekitar seratus langkah berasingan. Pada masing-masing gerbang, diselubungi dengan loceng emas kecil, yang dicat Bodhisattva dan abadi yang menjulang tinggi di udara..."

Dinasti Sui;
Misi oleh Tchan Sun dan Wang Kiun Tching.
Para sejarawan sepakat bahawa nama China "San-fo-chi", "Li-fu-to-Hsi" atau "Shi-li-fo-shi" adalah transkripsi kepada Srivijaya.
Rekod Dinasti Sui juga menyebut pengasas kerajaan Chih-tu besar kemungkinan adalah Kan-tuo-li (Kedah).
Menurut rekod itu lagi, nama keluarga raja Kan-tuo-li adalah Qu-tam, adalah sama dengan raja Chih-tu :
Sui Dynasty,
"The predecessor of Chi-tu (Tanah Merah) might be Kan-tuo-li (干陀利 - Kedah). According to the Liang-shu, the king’s family name of Kan-tuo-li is Qu-tam (瞿曇), same as of Chi-tu’s king."
Ini menunjukkan bahawa Maharaja Chudam juga dikenal dengan nama sampingan Srivijaya yang memerintah kerajaan Chih-tu yang diasaskan Kedah (Kan-tou-li/Kan-da-li/Cheh cha).
Boleh jadi kerajaan Srivijaya mendapat namanya dari nama peribadi atau sampingan Maharaja Chu-dam yang sebelumnya memerintah kerajaan Chih-tu kerana kerajaan itu saja yang mampu membentuk konfederasi bersama kerajaan lain di rantau ini dibawah kesatuan kerajaan baru Srivijaya kerana merupakan kerajaan paling berprestij di rantau ini hingga diiktiraf oleh dinasti Sui.
Bagi mengukuhkan penguasaan ke atas laluan maritim di Asia Tenggara untuk menguasai perdagangan dari Barat, Arab dan India, kerajaan Chih-tu mula menjalin kerjasama dengan kerajaan-kerajaan lain di sebelah selatan iaitu Sumatera dan Pulau Jawa melalui sistem 'federation'.
Dengan itu semua kerajaan dan tanah di Asia Tenggara bergabung dibawah satu empayar dengan bernaung di bawah raja-raja Melayu melalui kerajaan baru iaitu Srivijaya, untuk bersama-sama menyertai perdagangan maritim yang dibuka oleh Srivijaya.
Ini kerana Srivijaya bukan kerajaan yang berkonsep imperialisme seperti Barat. Tetapi mempraktikkan konsep 'perdagangan maritim', tanpa di atas penguasaan tentera dan peperangan tetapi lebih kepada hegemoni perdagangan dan prestij.
Mulai abad ke 7 hingga 13 masehi, Srivijaya mempunyai lima belas (15) negeri konfederasi dengan wilayah yang mengitari dari selatan Thailand hingga ke Sumatera dan pulau Jawa :
Dinasti Song (960-1279M);
"Di laut selatan (merujuk Asia Tenggara) sebuah kerajaan bangsa liar dikenal dengan nama Kerajaan San-fo-tsi (Srivijaya). Ia memerintah 15 macam negeri. Letak San-fo-tsi ada di antara Chenla dan Shepo."
Para sejarawan mendapati Chenla adalah kerajaan Khmer yang menduduki Chaiya atau Grahi selatan Thailand pada tahun 745M yang merupakan wilayah Srivijaya. Sementara Shepo dipercayai kerajaan Moloyu di Sumatera.
Sumber rekod China dalam Ling-wai-tai-ta dan Chu-fan-chi juga menyebut Grahi sebagai Kia-lo-hi (Kedah) adalah satu dari lima belas (15) negeri dalam wilayah kerajaan Srivijaya.
Namun kerajaan Chih-tu telah mendirikan konfederasi Srivijaya lebih dulu dengan rekod pertama kali mengirim utusan ke China pada tahun 670M, sebelum Sumatera dan Pulau Jawa menjadi bahagian dari 15 negeri konfederasi Srivijaya pada tahun 683M seperti catatan prasasti Kedukaan Bukit di Palembang dan prasasti Kota Kapur di pulau Jawa pada tahun 686M.
Seorang Rahib dari China, i-tsing juga mengesahkan kewujudan kerajaan Srivijaya sebelum keberadaan kerajaan itu di Palembang dan pulau Jawa melalui tulisan perjalanannya di tahun 671M, ketika singgah di negeri Srivijaya setelah belayar dari Canton sekitar 20 hari dan negeri Srivijaya saat itu tidak bertempat di Sumatera kerana i-tsing harus belayar semula menuju ke negeri Moloyu (Sumatera).
Bukti juga diperoleh dari sumber rekod China yang mengesahkan bahawa Palembang dan Jambi adalah bahagian dari lima belas (15) negeri konfederasi Srivijaya :
- Catatan King Wai Tai Ta yang mencatat Palembang adalah wilayah jajahan San Fo Tsi (Srivijaya).
- Menurut Zhu-yuan-Zhi (Rekod Negara Babar) yang ditulis oleh Chau-Ju-ka (1225M), Palembang adalah salah satu daripada 15 jajahan San-fo-chi (Srivijaya) dan bukan San-fo-chi sendiri.
Maka tidak heran jika Palembang dan Jambi yang dikatakan pusat pemerintahan Srivijaya oleh ahli sejarah asing dari Perancis, Georges Coedès pada tahun 1920 dan dipersetujui beberapa sejarawan, tidak meninggalkan sebarang tanda tamadun manusia yang menunjukkan sebuah pemerintahan, melainkan hanya terdapat beberapa buah candi.
Palembang dan Jambi juga tidak pernah disebut dalam mana-mana catatan para pedagang luar negara sebagai kota pelabuhan kerana sebelum abad ke 7 masehi hubungan perdagangan antara China, India dan Arab dengan Sumatera tidak begitu maju.
Sebaliknya Kedah yang terletak diutara Malaysia masih menyimpan ruins kota pemerintahan dan kota perdagangan Srivijaya yang berpusat di Sungai Batu, kini diiktiraf oleh para ahli arkeologi luar negara dari lima tamadun besar dunia sebagai kota tamadun manusia tertua di Asia Tenggara!
Kedah yang terkenal dengan kota pelabuhan entrepot di Sungai Batu sering dicatat oleh para pedagang dan pengembara dari Arab, India dan China sejak dari abad ke 3 masehi lagi.
Malah dalam daerah Lembah Bujang di Kedah, masih terdapat banyak ruins candi Budha dan Hindu yang pernah digunakan oleh para pedagang dari China dan India sebagai penginapan ketika datang berdagang di pelabuhan Srivijaya sejak dari 4 masehi.
Di abad ke 9 masehi ketika Maharaja Balaputra pulang ke Kedah setelah kemangkatan ayahanda nya Maharaja Samaratunga di pulau Jawa pada tahun 850M, Kedah tetap disebut dalam rekod China sebagai 'San-fo-chi' iaitu Srivijaya.
Sehingga abad ke 11 masehi Kedah masih merupakan ibu kota pemerintahan Srivijaya, yang dibuktikan sumber rekod di India :
- Catatan pada prasasti Kepingan Leiden Besar tahun 1006 Masehi yang mencatat pengiktirafan kerajaan Chola iaitu Raja Rajaraja I kepada pemerintah Srivijaya, Maharaja Chulamanivarman yang disebut sebagai "Pemerintah Srivijaya yang menjalankan pemerintahan di Kedah" dengan gelar "Makara Dhvaja" diberikan kepada Maharaja Srivijaya sebagai penguasa laluan maritim.
Malah, Prastasi Tanjore di India yang mencatat peristiwa penyerangan ke atas Kedah oleh kerajaan Chola dibawah pemerintahan raja Rajendra Chola 1 pada tahun 1025M, juga mengesahkan ibu kota pemerintahan Sriwijaya di Kadaram iaitu Kedah.

Copy and paste: 9/4/2023 > 18 Ramadan 1444H: 2.13 pm

Kedah Dalam Rekod Kitab Lama Arab dan Kepentingan Sejarahnya

OLEH: IBNU RUSYDI > SEJARAH KEDAH TUA : 10 MARCH 2021

1. Menurut seorang sarjana barat bernama G. R. Tibbetts (1979) yang banyak mengkaji teks-teks lama Arab, Kalah (Kedah) merupakan tempat di Asia Tenggara yang paling banyak disebut dalam kitab-kitab lama Arab selepas Zabaj.
2. Menurut beliau lagi, nama 'Qlh' berkemungkinan telah muncul seawal tahun 650 masihi dalam akaun Nestorian Christians.
3. Dalam banyak-banyak kitab lama Arab yang ada menyebut mengenai Kedah, antara yang menarik adalah kitab bernama Rihlatus Silafi. Antara maklumat menarik di dalam kitab berkenaan, disebut bahawa sebuah tempat dipanggil Kalah-Baar. Seluruh kerajaan dan pantai di situ semuanya dipanggil Kalah-Baar, yang mana ia itulah kerajaan Zabaj.
4. Zabaj ini merupakan sebutan Arab bagi Javaka, yang dipercayai merujuk kepada Srivijaya. Dan menariknya Maharaja Srivijaya memang pernah seketika berpusat di Kedah.
5. Berdasarkan sebuah lagi kitab lama Arab bernama Ajaib Al-Hind karya Buzurg Ibn Shahriyar yang dipercayai telah ditulis pada sekitar tahun 1000 Masihi, nama Raja Zabaj di dalam kitab berkenaan disebut sebagai 'Sri Nata Kalah'. Lihat penggunaan nama Kalah yang sinonim merujuk kepada Kedah.
6. Selain itu, satu bukti yang menunjukkan bahawa Kalah/Zabaj/Srivijaya adalah leluhur kepada bangsa Melayu adalah mengenai pengunaan perkataan 'Bersila' yang terdapat dalam kitab lama berkenaan.
7. Dinyatakan di dalam kitab Ajaib Al-Hind, "di antara adat Raja-raja Zabaj, bahawa tidak dibenarkan seorang pun, baik dia ini orang Muslim, orang asing atau rakyat tempatan, duduk dihadapan mereka melainkan dengan cara melipatkan kaki, iaitulah yang dinamakan oleh mereka sebagai 'Bersila'."
8. Nampaknya adat duduk bersila dan perkataan 'Bersila' ini masih kekal digunakan oleh kita pada hari ini yang diwarisi sejak zaman pra-Islam era Srivijaya.
9. Maka adakah kita masih ingin bersikap lewa dan mengabaikan tapak-tapak tinggalan arkeologi di Kedah yang berusia jauh lebih tua lagi dari era Srivijaya di Kedah?
Baca juga catatan lama :
Raja Ho-Lo-Tan bernama Shi-li P'i-jia-ya
Copy and paste: 9/4/2023 > 18 Ramadan 1444H: 2.02 pm