Wednesday 19 February 2020

WW 2 - Mejar Brian Urquhart

Kredit: Pencinta Dunia Ketenteraan dan Pertahanan

Mejar Brian Urquhart ialah pegawai risik 1st Airborne Corps ketika Perang Dunia Kedua. Ketika fasa perancangan Operasi Market-Garden, beliau tidak mempercayai anggaran kekuatan musuh yang dikeluarkan markas Grup Tentera Ke-21 dibawah Montgomery. Pada 12 September 1944, 5 hari sebelum Market-Garden dimulakan, beliau menerima maklumat daripada markas Tentera British Ke-2 yang memetik sumber dari dalam Belanda mengatakan terdapat formasi panzer Jerman di kawasan Market-Garden akan dijalankan. Unit-unit Jerman tersebut dalam keadaan teruk kerana mengalami kekalahan di Normandy dan utara Perancis sebelum ini dan berada di sekitar Arnhem untuk berehat dan mengumpul semula kekuatan. Bagaimanapun kerana ketiadaan verifikasi, maklumat tersebut tidak dimasukkan dalam laporan risikan rasmi dari markas Monty ataupun Eisenhower. Ini menghairankan Urquhart kerana beliau turut menerima laporan serupa dari pegawai hubungan Belanda dalam 1st Airborne Corps. Berdasarkan maklumat, beliau menganggarkan terdapat dua divisyen panzer di kawasan Arnhem. Bagimanapun identiti dan kekuatan mereka tidak dapat dikenalpasti malah tidak dapat dipastikan samada mereka sebenarnya berkumpul di Arnhem atau cuma melalui kawasan itu sahaja. Laporan gerila Belanda pula kurang dipercayai sebahagian risikan British kerana mereka telah diperdaya double agent sebelum ini.
Bagaimanapun, Urquhart gusar dengan maklumat tersebut dan menyuarakannya pada pihak atasan. Beliau beranggapan yang perancangan Market-Garden membuat andaian mudah yang pihak Jerman tidak dapat memberi tentangan. malah beliau yakin yang sebenarnya Jerman sedang mengumpul semula kekuatan dan terdapat lebih banyak anggota dan peralatan dari yang disangka. Tetapi perancang operasi seolah-olah beranggapan yang setelah anggota Para menawan jambatan2 di kawasan timur Belanda, kereta kebal XXX Corps akan terus-terusan melalui jalan sempit dikawasan berkenaan seperti ‘pengantin wanita masuk ke gereja’. Dalam sesi-sesi perbincanagn, beliau kecewa dengan kenyataan Lt Jen. Browning (Panglima 1st Airborne Corps) yang mengatakan pendaratan anggota Para dan glider umpama 'menghampar permaidani anggota Para di mana pasukan darat akan melaluinya'. Kekecewaan beliau dizahirkan apabila beliau bertanya samada permaidani tadi terdiri dari anggota yang masih hidup atau yang telah terbunuh. Seluruh pihak staf begitu optimis operasi ini akan menamatkan perang lebih awal sehingga mereka tak mahu menimbang bahaya operasi berkenaan.
Urquhart perlu mendapatkan bukti. Pada hari yang sama (12 September) Urquhart meminta skuadron pesawat Spitfire versi risikan untuk membuat penerbangan aras rendah di Arnhem kerana kenderaan dan tank musuh yang disembunyikan dan dipasang penyamaran tidak mudah dilihat dari aras tinggi. Sekembalinya pesawat, Urquhart segera memeriksa gambar2 yang diambil dan jelas kelihatan kehadiran panzer Jerman berhampiran drop zone 1st Airborne Division. Bagaimanapun Browning mengatakan yang dia tidak risaukan kehadiran panzer kerana kemungkinan dah tak boleh bergerak.lagi. Urquhart membalas dengan menyatakan samada boleh diguna atau tidak, ianya kereta kebal yang mempunyai senjata. Disebabkan semua pihak mahu operasi diteruskan tanpa perubahan, pendapat Urquhart diketepikan. Setelah berjumpa Browning, pegawai perubatan pasukan melawat Urquhart dimana beliau didiagnos mengalami ‘keletihan’ (menyebabkan beliau tak boleh berfikir secara rasional) dan diarah supaya mengambil cuti dan berehat – satu taktik untuk mengelak Urquhart dari terus ‘mengacau’.
Kegagalan Operasi Market-Garden membuktikan yang beliau benar tetapi menyebabkan beliau menjadi murung kerana gagal meyakinkan pihak atasan. Sehubungan itu beliau memohon untuk bertukar ke unit lain.
Nota kaki : selepas perang, Urquhart memasuki perkhidmatan diplomatik dan terlibat dalam membangunkan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ketika krisis Suez 1956, beliau mengetuai usaha mengurus dan mengatur pasukan pendamai PBB, memisahkan tentera Mesir dan Israel. Untuk membezakan pasukan pendamai dengan tentera yang bersengketa, PBB mahukan beret biru dipakai tetapi disebabkan bekalan akan mengambil masa enam minggu, Urquhart mencadangkan supaya helmet standard issue pasukan yang terlibat dicat biru – satu proses yang mudah dan kemudian menjadi identiti pasukan pendamai PBB. Beliau kemudian menjadi salah seorang Setiausaha bahagian di bawah PBB. Beliau kemudian menerima anugerah MBE dan KCMG yang membawa gelaran Sir.
-Hairil Anuar
Copy and paste: 19 Februari 2020 / 25 Jamadil Akhir 1441H : 11.56 am

No comments: