Oleh : Amir Asyraf Alwi
FB Pencinta Dunia Ketenteraan dan Pertahanan
Laksamana Jepun Yang Lebih Amerika Berbanding Orang Amerika Sendiri
"Mendekati dan mengenali musuh adalah lebih baik berbanding mengenali sahabat sendiri"
- The Art Of War, Sun Tzu
Laksamana Isoroku Yamamoto yang mengetuai serangan udara Jepun terhadap Pearl Harbor pada bulan Disember 1941, merupakan pelajar lepasan khas di Harvard dari 1919 hingga 1921. Seorang pensyarah universiti, Seymour Morris Jr. '68, MBA '72, dari New York City, membentangkan teori yang mendakwa apa yang dipelajari Yamamoto di Universiti mendorong beliau untuk melancarkan serangan itu, dan sekiranya tentera Amerika Syarikat telah mengenali musuh mereka sebagaimana dia mengenal mereka, mereka mungkin tidak akan terperangkap dengan andaian bahawa dia akan menyerang Filipina terlebih dahulu.
Berdasarkan petikan dari 'American History Revised : 200 Startling Facts That Never Made It Into Textbooks' (Broadway Books), Morris berpendapat bahawa sekiranya Washington telah melakukan pemeriksaan yang serius terhadap latar belakang pendidikan Yamamoto, mereka akan menemui petunjuk berguna di sebalik psikologi nya. Rakan sekelas Yamamoto masih mengingati beliau dengan baik sekali, mereka berpandangan Yamamoto seorang yang rajin tetapi sukar untuk menghafal, bersikap ingin tahu yang kuat dan imaginatif. Apabila mereka memperkenalkan permainan poker kepadanya, dia menjadi pemain yang fanatik hingga sanggup berjaga sepanjang malam bagi memenangi setiap pusingan.
Jadi, apa yang dia dapat melalui kemenangan dalam permainan poker? Kehidupannya bertambah lebih baik ke? Tidak, tidak sama sekali, dia bahkan menumpang kenderaan orang untuk meneroka ke seluruh negeri di Amerika pada musim panas. Beberapa tahun kemudian, sebagai seorang perwakilan angkatan laut di kedutaan Jepun di Washington, D.C. dan pemain poker yang handal dan kompulsif, Yamamoto sering berjudi dengan anggota tentera Amerika Syarikat. Didorong oleh kemenangannya, dia sering memandang rendah tahap daya kecerdasan mental orang Amerika di meja poker.
Yamamoto menentang sekeras-kerasnya penglibatan Jepun ke kancah perang kerana dia menyedari Jepun belum mampu menyaingi kekuatan militari Amerika Syarikat Tetapi apabila menerima perintah serangan, dia akan mematuhinya, bahkan tugasan awalnya diselesaikan dengan cemerlang. Sebagai komander Armada Gabungan, beliau mengira bahawa, untuk mengalahkan Amerika Syarikat, sekaligus mencegah Amerika Syarikat daripada melakukan serangan balas, Jepun perlu menyerang dan menghapuskan kapal induk Amerika terlebih dahulu supaya Amerika tidak berpeluang melakukan serangan balas. Jelaslah saat mengatur serangan Pearl Harbour, Yamamoto membuktikan bahawa kemahiran bermain poker bukanlah sekadar permainan semata-mata.
Dia mengatur strategi seperti bermain poker, iaitu dengan strategi 'menghapuskan pendekar musuh yang paling kuat terlebih dahulu' apabila berhadapan dengan musuh dalam jumlah yang besar. Apa yang memalukan ketua-ketua Armada Gabungan dari kapal-kapal lain adalah mereka kekurangan daya imaginasi dalam meneka sifat pesaing mereka. Mereka menyangka Yamamoto adalah sama sahaja seperti patriot Jepun lain yang secara tradisinya bersedia dan sanggup melakukan apa saja yang mereka mampu demi maruah bangsa. Mereka gagal untuk melihat bahawasanya Laksamana Isoroku Yamamoto itu mungkin lebih Amerika daripada orang Amerika sendiri.
Isoroku Yamamoto sangat berbeza dengan pegawai Jepun yang lain kerana dia sangat biasa dengan orang Amerika pada secara peribadinya Beliau menuntut ilmu di Harvard University dan fasih berbahasa Inggeris. Semasa di Amerika, beliau gemar mengembara, dan mempelajari tradisi, budaya dan adat Amerika.
Yamamoto sangat unik di kalangan pegawai-pegawa tinggi angkatan laut Jepun kerana dia memahami dan menghormati orang Amerika kerana dari awal lagi dia menyedari betapa Amerika Syarikat mampu melakukan sesuatu yang di luar jangkaan jika perlu. Dia menentang rancangan Jepun untuk berperang melawan Amerika atas alasan ini. Dia tahu bahawa semangat kebangsaan orang Jepun semata-mata tidak mampu mengalahkan Amerika Syarikat terutamanya dalam perang yang besar.
"Dalam enam hingga dua bulan pertama peperangan dengan Amerika Syarikat dan Britain saya akan memperoleh kejayaan demi kejayaan yang besar, tetapi jika perang tidak ditamatkan selepas itu, saya tidak menjangkakan Jepun akan terus meraih kejayaan." - Isoroku Yamamoto, 1941
Laksamana Yamamoto menyampaikan kenyataan berdasarkan ramalan beliau sendiri kepada perdana menteri Jepun Fumimaro Konoe sejurus sebelum bermulanya permusuhan dengan barat pada tahun 1941. Kata-kata beliau melalui surat itu terbukti menjadi nyata, ketika Jepun meraih banyak kemenangan di China, Filipina, Guam, Wake Islands, Tanah Melayu dan Singapura sebelum dihentikan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat di Pertempuran Midway - tepat enam bulan selepas Serangan Pearl Harbour
Yamamoto tidak terpengaruh oleh keangkuhan yang ditunjukkan Jeneral Jepun yang lain. Lebih-lebih lagi, berdasarkan pengalaman masa lampau beliau bersama Tentera Laut dan berjuang dalam Pertempuran Tsushima mengalahkan Rusia, dia menganggap kemenangan Jepun itu adalah kerana ketika itu kebetulan Russia sedang menghadapi revolusi. Dari kemenangan itu membuatkan Yamamoto lebih berhati-hati dalam setiap keputusan, supaya Jepun tidak menerima nasib yang sama seperti Empayar Russia.
Berdasarkan pengalaman antarabangsa Yamamoto juga menyebabkan beliau menolak tawaran menyertai Tripartite Pact dengan Jerman dan Itali yang kemudiannya menjadi pakatan Axis. Beliau beranggapan, menjalinkan hubungan dengan Jerman ibarat menempah bencana terhadap Jepun sendiri kerana secara tidak langsung ia akan menimbulkan krisis dengan Amerika Syarikat, pintu perdagangan antara Jepun dan Amerika pasti akan ditutup, lebih-lebih lagi Amerika merupakan pembekal bahan mentah utama untuk Jepun terutamanya arang batu dan bijih besi, jika perlu berperang dengan dengan Amerika Syarikat sekali pun, Jepun memerlukan bekalan bahan mentah yang tinggi untuk mobilsasi jentera dan bekalan tentera mereka, namun pegawai Jepun yang lain masih dengan sikap kauvanis yang suka bertempur membabi buta hingga mati katak. Dek kerana permasalahan bahan mentah asli itu lah menjadi antara faktor utama Jepun menceroboh negara-negara asing seperti China, Sumatera, Indochina, Tanah Melayu, Singapura dan Filipina.
Walau bagaimanapun, berkat pengalamannya di Amerika Syarikat di mana dia pernah melawat pusat memproses minyak di Texas dan mempelajari penerbangan transatlantik solo pertama Charles Lindbergh, Yamamoto yakin bahawa dunia sedang beralih dari arang batu ke minyak dan besi ke logam ringan. Oleh itu, beliau menjadi yang terawal menyokong usul mengalihkan sumber laut dari kapal perang ke kapal terbang dan membantah pembinaan kapal perang gergasi Yamato dan Musashi. Pendiriannya umpama satu penghinaan terhadap perkhidmatan cemerlang angkatan laut dalam tradisi Jepun sebelum itu. Tetapi seperti yang diramalkan Yamato, kedua-dua kapal yang "tidak akan tenggelam" itu sebenarnya telah tenggelam dibom pesawat Amerika.
Yamamoto juga menolak rancangan angkatan laut konvensional untuk menyerang Amerika Syarikat, yang mengusulkan pelan untuk mengumpan keluar armada Pasifik Amerika ke Filipina. Sebaliknya, beliau mencadangkan serangan kejutan "do-or-die" ke Pearl Harbor. Ketika mula-mula dicadangkan, rancangan itu ditentang hampir semua pegawai staf Armada Gabungan. Tetapi Yamamoto yakin bahawa keunggulan teknologi Amerika boleh diimbangi hanya dengan satu permulaan, yang bermaksud satu pukulan padu, dia juga memberitahu pegawai pemerintahnya bahawa dia lebih rela mengundurkan diri daripada memerintahkan serangan konvensional yang pasti akan gagal.
Sekiranya orang Amerika lebih teliti mengkaji personaliti karekter Laksamana Yamamoto dari sekecil-kecil hobi berjudi nya hingga ke kebergantungan yang tinggi terhadap taktik berebut dalam permainan shogi Jepun, Amerika mungkin boleh menduga lebih awal bahawa dia akan memulakan peperangan dengan serangan secara mengejut.
18 April 1943
Sepasukan Angkatan Tentera Udara Amerika Syarikat, A-P-38 P-38, Rex T. Barber, dan lain-lain, memintas dan menembak pesawat Tentera Laut Imperial Jepun. Laksamana Isoroku Yamamoto turut terkorban dalam serangan itu.
Ops Vengeance telah dilancarkan semasa Kempen Kepulauan Solomon di Teater Pasifik untuk membunuh Laksamana Isoroku Yamamoto, komander Armada Gabungan Angkatan Laut Imperial Jepun. Selepas perisikan Tentera Laut Amerika mengetahui bahawa Yamamoto yang bertanggunjawab merancang serangan ke atas Pearl Harbor sekaligus mendapat maklumat bahawa Yamamoto dan kakitangannya akan melakukan lawatan pemeriksaan tentera Jepun di Solomon, para komandan Amerika merancang untuk menyerang hendap penerbangannya yang menaiki dua pesawat pengebom dan enam pesawat pengiringnya melalui pulau Bougainville.
Satu-satunya jenis pesawat yang tersedia dengan jarak penerbangan yang memadai dan senjata api berpengkalan di Guadalcanal adalah pesawat pejuang P-38G milik USAF 339th yang dikendali oleh Fighter Group 347, dan di bawah arahan Major John W. Mitchell.
Lapan belas buah P-38 ditugaskan dengan satu penerbangan di mana empat buah ditetapkan sebagai pasukan "pembunuh", yang lain - termasuk grup simpanan - ditugaskan sebagai "pelindung utama" untuk menguruskan pesawat pengiring Jepun, P-38 berlepas pada jam 0745. Tiba di kawasan yang ditetapkan pada 0934, hanya satu minit menjelang penerbangan Yamamoto, para pejuang melepaskan tangki minyak luaran mereka. Mitchell mengarahkan Kapten Thomas G. Lanphier, Jr dan pasukan "pembunuh" untuk menyerang dan menghapuskan dua pesawat pengebom Mitsubishi G4M1 "Betty" ketika mereka memulakan pendaratan. Sementara yang lain bertempur dengan enam pesawat pengiring Mitsubishi A6M2 "fighter" Zero.
1LT Rex T. Barber menyasarkan salah satu pesawat pengebom. Selepas tembakan mengenai fuselage, ekor dan enjin starboard, ia berpusing-pusing dan terhempas ke dalam hutan. Sementara pasukan pembunuh sedang berjuang melawan beberapa pengiring Zero, Barber kemudian menyerang pesawat pengebom kedua yang sudah rosak teruk sedang terbang rendah berhampiran air, lalu memusnahkan nya sekaligus. Bekalan bahan api mulai kehabisan, pesawat pejuang Amerika beransur meninggalkan lokasi pertempuran dan kembali menuju ke pangkalan. Salah satu daripada P-38 telah ditembak jatuh, satu lagi terpaksa mendarat di Kepulauan Russell sebelum kehabisan bahan api, sementara yang lain tiba dengan selamat di Guadalcanal.
Amerika kemudian diberitahu bahawa semua yang berada di dalam pesawat pengebom pertama, termasuk Yamamoto dan beberapa kakitangannya, meninggal dunia dalam serangan di pulau itu, manakala ketua stafnya, Naib Laksamana Matome Ugaki, dan dua lagi yang berada di dalam sebuah lagi pesawat Betty terselamat dalam nahas itu. Walaupun Barber dan seorang lagi juruterbang mendakwa telah menembak jatuh pesawat Zero, tetapi ia tidak disahkan, sementara pihak Jepun melaporkan tidak ada pesawat pejuang mereka yang hilang. Amerika Syarikat telah membalas dendam untuk Pearl Harbor dengan membunuh dalangnya, tetapi yang lebih penting, kehilangan Yamamoto adalah satu pukulan teruk kepada moral Jepun.
Rujukan :
Copy and paste: 14 Februari 2020 / 21 Jamadil Akhir 1441H : 10.21 pm
No comments:
Post a Comment