Oleh Hafizah Iszahanid
Berita Harian Online
BANGI: Tidak ramai yang tahu mengenai kedudukan Naning dalam sejarah negara apatah lagi ia dijadikan sebahagian Melaka apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
Sedangkan Naning sebelum tahun 1832 adalah sebuah negeri dan kerajaan Melayu merdeka yang sama statusnya dengan kerajaan Melayu di negeri lain.
Pensyarah Universiti Malaya, Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali, berkata Naning jatuh disebabkan pencerobohan penjajah.
“Pada tahun 1832, angkatan Hindia Timur Inggeris melancarkan serangan kerana mereka pernah dikalahkan Penghulu ke-9 Naning, Dol Said dan orang Melayu Naning pada tahun sebelumnya.
“Peperangan itu turut disertai Rembau dan Sungai Ujung yang menyokong Naning,” katanya dalam Siri Wacana Cendekiawan ATMA, ‘Kerajaan Naning: Antara Lipatan Sejarah & Kelangsungan Kuasa’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tegas Abdullah Zakaria, dalam peperangan 1832, British membawa kekuatan antara 1,200 hingga 1,400 tentera di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Hubert.
Sebelum itu pada 1829, British yang ketika itu menakluk Melaka memaksa Naning membayar cukai tanaman sebanyak 1/10 perolehan. Hal ini ditentang Penghulu Dol Said lalu membawa kepada peperangan 1931.
“Bagaimanapun, setahun selepas itu Naning diserang lagi. Walaupun melawan habis-habisan tetapi British berjaya menawan Naning dan menduduki Taboh pada 15 Jun 1832,” katanya.
Kekalahan Naning ini disebabkan oleh ugutan British kepada Rembau yang didesak untuk menyokong mereka. Rembau di bawah Sayid Shaaban kemudiannya membantu British dengan menerima upah bernilai RM500 (ketika itu) dan sepucuk pistol bernilai RM60 selain dilantik sebagai Yamtuan Muda Rembau.
Kekalahan Naning juga menyebabkan jawatan Penghulu Naning digugurkan dan diganti dengan ‘penghulu mukim’ yang pada dasarnya berkedudukan lebih rendah daripada jawatan sedia ada. Ia adalah jawatan baharu yang diwujudkan British. Kekalahan itu juga menjadikan Naning berada di dalam jajahan takluk Melaka yang pada ketika itu dijajah British.
“Sebelum ditakluk, Luak Naning memiliki kuasa mutlak dengan penghulu adalah pemimpin utama dan dibantu Pembesar Empat Suku.
“Kedudukan Penghulu Naning ketika itu adalah sama dengan raja-raja di negeri Melayu lain,” katanya.
Bagaimanapun Abdullah Zakaria berkata, terdapat usaha untuk memerdekakan Naning apabila British kemudiannya membebaskan Tanah Melayu daripada penaklukan mereka pada 1957.
Penghulu Naning ketika itu menulis surat ke London meminta hak kedaulatan Naning dipulangkan semula selari dengan kesediaan British untuk memerdekakan Tanah Melayu.
Namun sehingga kini, Naning adalah sebahagian Melaka dan kedaulatan Naning sebagai sebuah negeri dan kerajaan Melayu merdeka tinggal dalam lipatan sejarah.
Sumber: BHarianOnline
Copy and paste:
12 Februari 2020 / 19 Jamadil Akhir 1441H - 816 malam
No comments:
Post a Comment