Wednesday 30 August 2023

Gerakan jihad Melayu Aceh menentang tentera salib Portugis di Melaka

Kredit: Rozza Zainal > PERISTIWA N' SEJARAH

admin Jun 15, 2021
Kehadiran tentera salib Portugis di Melaka yang bukan sekadar bertujuan menguasai jalur perdagangan bahkan bercita-cita besar menghancurkan kekuatan Melaka sebagai pusat dakwah Islamiah di rantau alam Melayu.
Portugis cukup jelas dengan keghairahan mereka meneruskan perang salib yang tercetus di Jurussalem beberapa abad sebelum itu kerana mahu membalas dendam setelah diaibkan oleh kejayaan Sultan Salahuddin Ayyubi menghambat keluar tentera salib dari kota ketiga paling suci bagi kaum Muslimin itu.
Kejayaan kerajaan-kerajaan Kristian Eropah menghancur lumat ketamadunan umat Islam di Sepanyol pada tahun 1492 masihi memacu kembali semangat mereka meneruskan misi perang Salib sehingga ke rantau alam Melayu.
Melaka 1511
Tumbangnya kota Melaka bukan hanya mendapat perhatian Kerajaan Demak, tetapi juga Kerajaan Johor-Riau dan Aceh. Tapi sayang sekali, kerana buku-buku sejarah sekolah menutup maklumat gerakan jihad orang Melayu di Melaka menentang Portugis sekitar tahun 1511 masihi sehingga 1641 masihi yang melibatkan lebih 40 kali perperangan dan pertempuran. Ianya juga melibatkan lebih sepuluh buah kerajaan Kesultanan Melayu Islam seperti Demak, Cirebon, Banten, Jepara, Siak, Johor-Riau, Kampar, Champa, Aceh dan lain-lain dalam menebus kejatuhan kota Melaka. Ini menunjukkan bahawa orang Melayu tidak melihat sahaja tanah pusaka mereka dijarah, melainkan mereka bangkit mempertahankannya.
Kesultanan Islam Aceh adalah salah sebuah Kerajaan Islam yang berang dengan serangan Portugis ke atas Melaka, menyeru seruan jihad seluruh Nusantara bangkit memerangi tentara salib Portugis. Mereka tidak pernah bekerjasama dengan Portugis, bahkan menjadi sayap kekhalifahan Uthmaniyah bagi Nusantara. Atas asas itu, bagi membebaskan Melaka dan menghalau Portugis, Kesultanan Aceh telah menyerang Melaka sebanyak tujuh kali (1537, 1547, 1568, 1571, 1578, 1587 dan 1629M), selain turut menyerang Johor-Riau sebanyak sembilan kali (1537, 1564, 1568, 1582, 1613, 1617, 1623, 1630 dan 1634 masihi) kerana bersekutu dengan Portugis. Sebab utama serangan-serangan ini dilancarkan adalah untuk membebaskan Melaka, menyekat gerakan Kristianisasi dan persaingan perdagangan.
Walaupun serangan-serangan telah berlaku ke atas Portugis di Melaka sejak 1537 masihi tetapi serangan besar-besaran dibuat oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang memerintah Acheh dari 1607 sehingga 1636 masihi dan serangan ketika zaman baginda dikira yang paling berkesan. Selain faktor kepahlawanan Sultan Mahkota Alam, peranan para ulama di Aceh sangat mempengaruhi tindakan-tindakan ke atas Portugis di Melaka. Tokoh ulama terbesar di Aceh ketika ini ialah Sheikh Syamsuddin as-Sumatraie yang merupakan Sheikhul Islam Aceh. Sheikh Abdul Samad al-Falembani di dalam Siyarus Salikin mencatatkan bahawa beliau adalah Perdana Menteri Aceh.
Jihad Aceh di Melaka
Ketika Kerajaan Aceh Darussalam ditubuhkan pada 1514 masihi, Sultan Ali Mughayat Syah yang memerintah dari tahun 1496 masihi sehingga 1528 masihi tidak memberikan perhatian kepada Portugis di Melaka kerana Kerajaan Samudera-Pasai masih wujud. Tetapi, apabila Portugis berjaya menakluk Samudera-Pasai pada tahun 1521 masihi, Sultan Ali Mughayat Syah telah mengukuhkan gabungan semua kerajaan kecil membentuk Aceh Darussalam untuk menghadapi Portugis. Melihat kegelojohan Portugis dalam menyebarkan Kristian dan menguasai perdagangan rempah, Sultan Alauddin al-Qahhar yang berkuasa dari tahu 1537 masihi sehingga 1568 masihi telah melancarkan serangan ke atas Melaka beberapa kali mulai 1537 masihi dan kemuncaknya pada 1568 masihi. Ia berpunca daripada daripada tindakan kerajaan Johor-Riau yang marahkan Kesultanan Aceh kerana menakluk Aru pada tahun 1539 masihi. Perbalahan panjang ini menyebabkan Aceh menyerang Johor-Riau pada tahun 1564 masihi. Kesannya, ketika Aceh menyerang Portugis di Melaka pada 1568 masihi dengan bantuan Khilafah Uthmaniyah, Johor-Riau telah bertindak membantu Portugis. Tindakan Johor-Riau ini menggagalkan usaha menghalau Portugis. Lantaran pengkhianatan ini, kerajaan Aceh menyerang Johor-Riau sekali lagi pada 1568 masihi.
Ekoran itu, pada 1569 masihi, Portugis telah mengepung Aceh di pantai Sumatera pada zaman Sultan Hussein Ali Riayat Shah yang memerintah pada 1568 masihi sehingga 1575 masihi, tetapi gagal mengalah Aceh. Sebagai tindak balas, Aceh telah menyerang Portugis pada 1571 masihi namun tidak berjaya. Serangan ke atas Portugis digiatkan semula oleh Sultan Alauddin Mansur Syah yang berkuasa dari tahun 1577 masihi sehingga 1589 masihi, sebanyak dua kali serangan dilancarkan, iaitu pada tahun 1578 masihi dan 1587 masihi. Serangan juga dibuat ke atas Johor-Riau pada 1582 masihi, ekoran tindakan Johor-Riau bersekutu dengan Portugis, tetapi serangan ini gagal mengalahkan Johor-Riau apabila Portugis membantu Johor-Riau. Era inilah dari tahun 1533 masihi sehingga tahun 1587 masihi disebutkan Perang Tiga Segi Johor-Aceh-Melaka.
Setelah usaha beberapa orang Sultan Aceh ini tidak berjaya, pada zaman Sultan Ali Riayat Syah yang mengambil tampuk pemerintahan dari tahun 1604 masihi sehingga 1606 masihi, Portugis meningkatkan tekanan ke atas Aceh untuk mengawal laluan perdagangan, lalu Putera Mahkota Alam telah berjaya menghalau Portugis dan baginda dilantik menjadi Sultan Aceh bergelar Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang bertakhta pada tahun 1606 masihi sehingga tahun 1636 masihi. Sultan Iskandar Muda sangat tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan Johor-Riau yang mengadakan perjanjian damai pada 6 Oktober 1610 masihi yang mana telah menguntungkan ekonomi Portugis, Baginda telah menyerang Johor di Batu Sawar pada 6 Jun tahun 1613 masihi sehingga dapat menawan adinda Sultan Johor dan Bendahara Tun Seri Lanang. Pada tahun 1623, Aceh sekali lagi menyerang Johor-Riau di atas sebab persekongkolan mereka dengan Portugis.
Kemuncak kepada gerakan jihad ke atas Portugis ini, pada November 1628 masihi, Sultan Iskandar Muda telah mengirimkan 236 buah kapal bersama 20,000 tentera untuk mengepung Melaka. Armada Portugis yang diketuai oleh Deigo Lopez de Francesca telah tersepit dengan kepungan selama lima bulan ini, kerana kebanyakan kekuatan Portugis di Nusantara telah dimusnahkan oleh Belanda, menyebabkan mereka kesukaran mendapat bantuan. Akhirnya, Portugis terpaksa berundur dan Aceh dapat menguasai Melaka selama lapan bulan. Dalam bulan Februari 1630 masihi, Raja Bujang (Sultan Abdul Jalil III), Sultan Pahang telah menyerang Melaka untuk membantu Portugis dan menyerang Aceh. Terkejut dengan serangan dari Pahang ini dan juga ketibaan bantuan dari Portugis di Goa, Aceh terpaksa berundur dan Portugis kembali berkuasa di Melaka.
Sheikh Syamsuddin as-Sumaterani: Tokoh ulama penggerak Jihad Aceh
Sheikh Syamsuddin as-Sumaterani adalah adalah ulama besar Nusantara pada abad ke-17 masihi, sezaman dengan Sheikh Nuruddin ar-Raniri dan Sheikh Abdul Rauf al-Singkili. Beliau dilahirkan sekitar awal 1500 masihi di Pasai. Ayahnya, Sheikh Abdullah as-Sumatrani juga seorang ulama. Setelah belajar dengan ayahnya dan beberapa ulama Pasai, Sheikh Syamsuddin dikatakan belajar dengan Sunan Bonang di Jawa dan menjadi murid utama Sheikh Hamzah Fansuri. Beliaulah yang dikatakan mewarisi pemikiran tasawuf Fansuri yang kemudiannya bertembung dengan ar-Raniry, walaupun tidak sempat bertemu dengannya.
Sebagai seorang ulama muda, Sheikh Syamsuddin as-Sumaterani diberikan peranan besar dalam Kerajaan Aceh di mana beliau dilantik sebagai Qadhi Malikul Adil (Ketua Hakim Negara), sekali gus sebagai Ketua Balai Gading Kerajaan Aceh. Qadhi Malikul Adil merupakan jawatan kedua tertinggi di Aceh, di mana pada akhirnya beliau menjadi Sheikh al-Islam Aceh. Beliau juga disebutkan sebagai Penasihat Sultan kepada Sultan Alauddin Riayat Syah IV dan Sultan Iskandar Muda, sekali gus menjadi Perdana Menteri Aceh. Dengan kedudukan dan pengaruhnya itulah, beliau memainkan peranan besar dalam gerakan jihad yang berlaku, terutama untuk menyekat pengaruh Portugis dan membebaskan Melaka.
Sebagai seorang ulama besar, beliau telah menghasilkan sejumlah kitab yang kebanyakannya adalah kitab tasawuf aliran Sheikh Hamzah Fansuri sekitar 20 buah, di mana Sheikh Abdul Samad al-Falembani turut memetik pandangan dalam kitabnya, Jawahirul Haqaaiq dan Tanbiihut Thullab. Ar-Raniri yang tidak sejalan dengan beliau dalam ilmu tasawuf turut mengakui di dalam Bustanus Salatin bahawa “Adalah Sheikh (Syamsuddin) itu alim pada segala ilmu dan ialah yang termasyhur dengan pengetahuannya pada ilmu tasawuf dan beberapa kitab yang ditulisnya.”
Jihad Dikhianati: Temui Syahid di Melaka
Di sebalik kemasyhurannya sebagai seorang ulama dan tokoh negarawan yang penting ketika Aceh berada di kemuncak kemasyhurannya, Sheikh Syamsuddin sangat giat mendukung gerakan-gerakan jihad ke atas Portugis di Melaka. Tidak berpuas hati dengan kegagalan Aceh untuk menghalau Portugis sejak 1537 masehi, pada bulan November 1628 masehi, Sheikh Syamsuddin telah turun sendiri untuk memimpin jihad di Melaka sehingga Portugis berjaya ditewaskan. Ia bermula pada November tahun 1628 masehi apabila satu ketumbukan armada Aceh seramai 20,000 orang bersama 236 buah kapal diketuai oleh sebuah kapal perang terbesar, sepanjang 100 meter dan mempunyai tiga layar serta puluhan meriam. Kapal ini dinamakan Cakra Dunia yang bermaksud “Penggegar Dunia.” Mereka bergerak dari Aceh dan menyerbu Melaka.
Dalam perang ini, Sungai Melaka berjaya dikuasai oleh Aceh sehingga tentera Portugis terkeluar dari benteng pertahanan St John. Kemudian kubu Portugis di sebuah gereja bernama Madre de Dios, di atas Bukit Kota Melaka pula pecah setelah dua bulan dikepung. Portugis kemudiannya lari ke benteng terakhir mereka, di Bukit St Paul atau Bukit Cina. Kepungan terus berlangsung selama tiga bulan lagi, dan pada Mei 1629 masehi, Portugis terpaksa berundur dari Melaka setelah bekalan mereka habis. Melaka jatuh ke tangan Aceh selama lapan bulan. Portugis cuba mendapatkan bantuan dari Wizurai di Goa, India dan mencari sekutu dari kalangan raja-raja Melayu. Setelah lapan bulan Aceh menguasai Melaka, pada Februari 1630 masehi, sekutu Portugis dari Pahang telah datang membantu, serentak dengan ketibaan kapal Portugis dari Goa.
Pengkhianatan Raja Bujang (Sultan Abdul Jalil III), Raja Pahang ketika itu, telah membuatkan keadaan pertahanan Aceh menjadi huru-hara kerana serangan luar jangka ini. Pertahanan Aceh yang dipimpin oleh Orang Kaya Laksamana berada dalam keadaan leka ketika diserbu oleh tentera dari Pahang sehingg kubu Aceh pecah. Di sinilah berlakunya perselisihan antara Orang Kaya Maharaja Sri Maharaja dengan Orang Kaya Laksamana yang disebut oleh ar-Raniri dalam Bustanus Salatin. Akibatnya Kota Melaka tak terkawal lalu diserbu oleh musuh, sehingga ramai tentera Aceh telah syahid, termasuk Sheikh Syamsuddin sendiri. Selepas itu, kedua-dua Orang Kaya yang memimpin tentera Aceh ini terpaksa berundur dari Melaka pada akhir Februari 1630M.
Sejak itu juga, Sultan Iskandar Mudab tidak lagi menyerang Melaka sehingga baginda wafat pada 1636M, kecuali menyerang Pahang di atas pengkhianatan itu pada 1630M dan 1634M. Tarikh kematian Sheikh Syamsuddin dicatatkan oleh ar-Raniry dalam Bustanus Salatin. Raniry mengatakan beliau syahid dalam perang ini pada Isnin, 12 Rejab 1039H, iaitu bersamaan 24 Februari 1630M. Walaupun beliau lahir di Pasai dan berkhidmat sebagai pembesar utama Kerajaan Aceh, tetapi Allah mentaqdir beliau syahid di Melaka. Maqam as-Syahid Sheikh Syamsuddin al-Sumatra-i terletak di Kg Ketek, Melaka. Kematian Sheikh Syamsuddin ternyata memberi kesan yang agak besar terhadap gerakan jihad di Melaka, walaupun selepas itu Sheikh Abdul Rauf Singkel dan ar-Raniry menjadi tokoh ulamak utama dalam Kerajaan Aceh pada abad ke-17M.
Institut al-Balaghul Mubin
Copy and paste:
30 Ogos 2023 > 13 Safar 1445H: 1.18 pm

Monday 28 August 2023

Sejarah Pengangkutan Rel di Malaysia



Posted by : Nizam Ali > PERISTIWA N' SEJARAH

Landasan kereta api pertama di Malaysia dibina untuk memindahkan bijih timah dari lombong di pedalaman negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia ke pelabuhan di pantai.
Laluan kereta api pertama, yang dibuka pada 1 Jun 1885, sepanjang kira-kira 13 km dan berjalan antara Port Weld dan Taiping, yang terletak di tengah-tengah Lembah Larut yang kaya dengan bijih timah di negeri Perak.
Laluan kedua dibuka setahun kemudian untuk menghubungkan Kuala Lumpur, yang sekali lagi menjadi pusat perlombongan bijih timah di Lembah Klang, ke Klang dan kemudian ke Pelabuhan Swettenham (Pelabuhan Klang hari ini).
Garis Masa
1. 1 Jun 1885: landasan kereta api pertama di Tanah Melayu dibuka antara Taiping dan Port Weld.
2. 1886: Laluan antara Kuala Lumpur dan Klang dibuka.
3. Julai 1888: Kemalangan kereta api pertama di negara ini berlaku berhampiran Teluk Anson, Perak, di Sungai Kerawai.
4. 1891: Laluan antara Seremban dan Port Dickson dibuka kepada orang ramai. (Tinggalkan)
5. 1893: Laluan dari Teluk Anson ke Tapah Road dibuka. (Tinggalkan)
Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dibuat pada tahun 1896, menggabungkan operasi empat laluan pertama.
6. 1900: Jambatan Kereta Api Victoria dibuka di atas Sungai Perak di Perak. (Jalur kimpalan antara Taipei dan Pelabuhan)
7. 1903: Di Singapura, garisan antara Tank Road dan Woodlands mula berjalan.
1909: Laluan Pantai Barat telah siap dan dibuka antara Seberang Perai, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
8. 1910: Antara Gemas dan Bahau, bahagian pertama Laluan Pantai Timur dibuka
9. 1923: Tambak Johor-Singapura dibuka, menghubungkan rangkaian kereta api Singapura ke seluruh Tanah Melayu.
10. 1931: Bahagian terakhir Laluan Pantai Timur antara Gua Musang dan Kuala Gris di Kelantan dibuka. Ini adalah bahagian terakhir garisan antara Tumpat dan Gemas.
11. 3 Ogos 1995: tren KTM Komuter elektrik pertama mula beroperasi antara Kuala Lumpur dan Rawang. Ini adalah kereta api elektrik pertama di Malaysia. Pada 18 Disember 1995, bahagian terakhir rangkaian tren komuter yang menuju ke Seremban dibuka kepada orang ramai.
12. 14 April 2002: KLIA Ekspres mula beroperasi antara KL Sentral dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Ia merupakan kereta api berkelajuan tinggi pertama di Malaysia. Terminal Udara Bandaraya Kuala Lumpur di KL Sentral juga dibuka pada masa yang sama.
13. 1 Julai 2011: Stesen kereta api Tanjong Pagar dan Bukit Timah di Singapura telah ditutup. Semua yang biasa dilakukan di Singapura telah dipindahkan ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands.
14. 2013: Rel antara Seremban dan Gemas mendapat dua landasan dan bekalan elektrik. Pada tahun yang sama, perkhidmatan ETS dijalankan.
15. 2014: Bahagian rel antara Ipoh dan Padang Besar mendapat dua landasan dan kuasa elektrik. Pada tahun berikutnya, perkhidmatan ETS bermula.

Copy and paste:
28 Ogos 2023 > 11 Safar 1445H: 6.44 am

Friday 25 August 2023

MUKJIZAT AL QURAN TERSERLAH

Posted by : Johan Ariff > TAMADUN MELAYU SUNGAI BATU 788 SM

Mek Keldung (wanita tua) berusia 14000 tahun….. lebih tua dari rangka artifak di Gua Cha dan lebih tua dari Perak Man (11000) dan Perak Woman (8000) yang ditemui di Lenggong Perak.

Saya (jai) gelarkan rangka manusia wanita tua ini sebagai Mek (gelaran kepada wanita tua kelantan) dan Keldung sebuah gua di sepanjang Sungai Nenggiri di mana rangka artifaks manusia ditemui oleh Para penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai Felo Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli semasa menjalankan kerja-kerja Ekskavasi Arkeologi Menyelamat untuk Projek Hidroelektrik Lembah Nenggiri Gua Musang Kelantan.
Apa yang menarik perhatian saya ialah usia artifak yang berusia 14000 tahun setelah menjalani ujian ‘radio karbon dating’ menunjukkan ia lebih lama dari Tempoh ketamaddunan manusia iaitu al insan (Manusia pertama iaitu Nabi Adam AS) sekitar antara 5000 hingga 10000 (data spekulatif ) tahun iaitu tempoh masa dari Nabi Adam AS hingga kini.
Tempoh 14000 tahun ini lebih lama dari lokasi penempatan manusia di atas muka bumi iaitu di Jericho Palestine iaitu 10000 tahun.
Persoalannya ialah siapakah Sosok Rangka Mek Keldung ini……. Adakah rangka prasejarah 14000 tahun ini …. Berkait dengan soalan/dialog Malaikat kepada Allah dalam surah Al Baqarah
Allah SWT berfirman kepada malaikat:
*"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Kemudian, malaikat menjawab dengan katanya: Adakah Engkau (Ya Tuhan) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Lalu, Allah menjawab persoalan itu dengan menyatakan: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya." (Surah al-Baqarah, ayat 30)*
Soalan Malaikat ini seolah olah memberi maklumat awal kepada kita bahawa malaikat berpengalaman melihat persengketaan makhluk terdahulu yang dijadikan Allah hingga membawa kepada pertumpahan darah sehinggalah makhluk sebelum Adam AS ini pupus sepenuhnya .
Persoalannya adakah Wujud Adam sebelum Adam………
Penemuan rangka2 ini di Lenggong, Gua Cha dan terkini iaitu di Lembah Nenggiri ini telah membuka sebuah penemuan yang lebih luas akan Mukjizat Al Quran…….. untuk kita fikirkan…..
Allah jadikan Jin dan Al Insan adalah untuk beribadah kepadaNya sebagaimana firman Allah dalam Surah Al Dzariat ayat ke 56
Oleh itu kalau Rangka dan tengkorak yang ditemui berusia 14000 tahun ini di Lembah Nenggiri iaitu di Gua Keldung ini lebih tua dari Nabi Adam AS……. Adakah ia yang digelar SAPIENS yang tidak berakal yang saling berbunuhan sesama sendiri…… sebagaimana yang disoal oleh Malaikat kepada Allah itu……?
Sebagaimana Allah pupuskan makhluk2 Dinosor yang lain …. Begitu juga Allah pupuskan Makhluk seperti manusia ini yang digelar SAPIEN supaya mereka tidak berevolusi sehinggalah Allah mencipta Khalifah yang mempunyai akal menggantikan tempat SAPIEN ini.
Allah lebih Mengetahui akan apa yang Malaikat tidak ketahui………
Mukjizat Al Quran semankin diyakini dan terungkai…….. Penemuan Mek Keldung di Lembah Nenggiri ini sebenarnya adalah mesej dari Langit yang membenarkan Al Quran yang diturunkan 1400 tahun lalu.
Begitu jua halnya penemuan rangka Firaun yang masih sempurna di dasar Laut Merah adalah Mukjizat Al Quran yang tidak dapat dinafikan lagi …..ialah untuk membukti dan memperlihatkan kepada manusia Zaman ini akan apa yang disebut 1400 tahun lampau adalah wahyu Allah.
Oleh itu Siapakah SAPIEN dan HOMOSAPIEN dan Kaitannya dengan Artifak rangka manusia (Mek Keldung) yang ditemui…… inshaAllah saya akan cuba mencari jawapannya dan semoga Allah permudahkan…….
Opss jangan terpengaruh dengan Teori Evolusi Darwin……… kerana ia ISU aqidah…..
Terima kasih Majlis Daerah Gua Musang khususnya Tuan Ruzuke Abdul Aziz…… kerana banyak membantu saya dalam kerja2 dokumentasi Mek Keldung berusia 14000 tahun ini.
Tulisan di atas tiada kaitan dengan sesiapa dan ia adalah dari buah fikiran saya 100% melainkan rujukan dari ayat ayat Suci Al Quran dan Qishashul Anbia kisah para Nabi khususnya yang melibatkan keabsahan tarikh para Nabi.
Wallahuaklam…….
KONGSILAH AGAR MEMBERI MANFAAT
Kelantan bukan sahaja Gedung Warisan……
Malah ia adalah Gedung PRASEJARAH
Copy and paste:
25 Ogos 2023 > 8 Safar 1445H: 3.45 pm

Teruskan bongkar sejarah Melayu

Oleh: Muhamad Adham Shadan > KOSMO
11 Ogos 2023

Jika mengikuti TikTok atau YouTube mutakhir ini pasti ramai yang menemukan nama seorang profesor dari Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Solehah Yaacob. Kenyataan-kenyataannya berbunyi kontroversi, tetapi tidak mustahil ada kebenarannya.

Beliau pakar dalam falsafah nahu bahasa Arab dan pemikiran linguistik. Penulis percaya tiada ahli sejarah berkepakaran bahasa Arab yang mengkaji sejarah Melayu hasil daripada penerokaan sumber-sumber kitab Arab kuno, tetapi prof. ini telah melakukannya.

Jika selama ini kita hanya taklid melongo dengan sejarah ditulis orientalis Barat tentang kita, kini ada juga orang Melayu mengkaji asal usul bangsanya sendiri berteraskan al-Quran, kitab-kitab agama samawi dan buku-buku Arab klasik. Justeru, kehadiran pengkaji sepertinya haruslah dialukan-alukan bangsa Melayu.

Ketika dunia Eropah silam kita tahu mengalami zaman kegelapan tanpa ilmu, sudah tentulah sumber sejarah daripada kitab-kitab purba Bani Israel atau kitab Arab zaman khalifah yang lebih dulu menyimpan kisah sebenar dunia. Ada sesiapa mahu menyangkal?

Dakwaannya seperti Melayu berasal dari keturunan Sam bin Nuh, Keturah yang merupakan isteri ketiga Nabi Ibrahim merupakan ibu orang Melayu, Melayu dahulu kala beragama hanifa (agama tauhid sebelum Islam), maharaja Srivijaya sudah beragama Islam berdasarkan surat kepada khalifah Islam cukup asing dan bertentangan daripada kebanyakan kita tahu.

Walaupun kurang dikenali di Malaysia sebelum ini tetapi Professor ini bukan calang-calang. Karya-karyanya lebih banyak diterbitkan di luar negara bahkan pada 2019 menerima anugerah Best Research Peace Award menerusi kertas kerjanya The Contradictory Views on Ancient Literary Works as a Foundation of World Historical Development oleh Rula Awards & Ijrula.

Jika diselami, kata-katanya tidaklah begitu kontroversi kerana sebelum ini banyak ustaz lain yang bercakap hampir sama jika diselongkar di YouTube misalnya mengenai kaitan Keturah dan Melayu, namun kehadiran Solehah diperkukuh dengan pembuktian.

Prof. ini mengupas dari sudut lebih ilmiah. Bagaimana dia mengaitkan Keturah yang bermaksud kayu gaharu dengan satu tempat lama dalam kerajaan Melayu pertama, Champa yang dahulunya bernama ‘Keturah’.

Wikipedia membuktikan benar dakwaannya bahawa Nha Trang yang mengeluarkan gaharu berkualiti di Vietnam itu dahulunya bernama Kauthara ketika kerajaan Champa yang mungkin bunyinya mirip Keturah dalam lahjah Arab.

Tular juga baru-baru ini penemuan cukup mengejutkan oleh seorang profesor wanita dari Universiti Sains Malaysia berkepakaran sains forensik.

Dapatan Prof. Madya Zafarina Zainuddin mendapati DNA mitokondria orang berketurunan rumpun Melayu seperti Kelantan, Banjar, Bugis, Jawa, Champa, Patani dan lain-lain jauh lebih tua berbanding DNA orang Cina di Asia Timur dan tua sedikit daripada orang India! Ia sekali gus menolak teori yang diuar-uarkan selama ini bahawa orang Melayu berasal dari Taiwan atau Yunan sebaliknya orang Melayu memang sudah ada di sekitar Nusantara ini sejak 60,000 tahun lalu. Kajiannya disokong profesor Oxford, Dr. Stephen Oppenheimer.

Copy and paste: 25 Ogos 2023 >  8 Safar 1445H: 3.34 pm



Monday 21 August 2023

Perang Salib 1511 : Kita kalah kerana tidak guna senjata api?

Kredit: Rozza Zainal > PERISTIWA N' SEJARAH

15 Ogos 1511 atau juga 24 Ogos 1511 (perbezaan sumber menyatakan tarikh yang berbeza) adalah detik yang sangat memilukan bagi umat Melayu. Pada hari tersebut, jatuhnya Kota Melaka kebangaan umat Melayu keseluruhannya.
[Rujuk Research on the Early Malay Doctors 1900-1957 Malaya and Singapore dan juga The Voices of Macao Stones: The Nanjing Massacre Witnessed by American and British Nationals untuk tarikh 15 Ogos 1511]
[Untuk tarikh 24 Ogos 1511, boleh rujuk Dictionary of Battles and Sieges: F-O, The Cambridge World History, Volume 3 dan The Portuguese in Malay Land oleh Geraldo Affonso Muzzi]
Sebenarnya apakah yang berlaku dalam peristiwa 1511 ini dan bagaimanakah gambaran sebenar detik-detik Kota Melaka mempertahankan dirinya dari diperkosa Portugis?
Hakikat yang sebenarnya ramai tidak tahu adalah Melaka sudah mencapai kedudukan politik yang unggul sementara perdagangannya juga terus berkembang, dan pelabuhannya menggamit pelbagai bangsa datang singgah dari segenap pelusuk dunia. Imej bandar terapung seperti Venice dan Genoa serta pasar dan rumah yang tidak berputusan hingga Muar bukanlah satu khayalan atau cakap-cakap kosong sahaja.
Walaupun memang wujud kepincangan dalam pemerintahan, pergeseran, perebutan dan pelbagai lagi konflik dalaman yang sering kita dengar namun ianya belum cukup parah untuk menjatuhkan Melaka jika dibandingkan dengan serangan Portugis. Tambahan lagi oleh sebab begitu makmurnya Melaka maka banyaklah kaum-kaum ‘asing’ yang mula dengki, hasad dan cemburu akan kekayaan Melaka. Pembelotan kaum-kaum asing ini juga ibarat gunting dalam lipatan yang memudahkan lagi kemaraan Portugis.
Sesungguhnya tidak semua persoalan tentang kejatuhan Melaka dapat kita rungkaikan disini. Namun memadai rasanya untuk kita membuka perbincangan dalam hal kesungguhan dan semangat juang Melaka bagi mempertahankan maruah dan kedaulatannya daripada dinodai oleh Portugis.
Sebelum itu yang paling penting ialah pandangan kita bahawa Melaka ketinggalan dari segi teknologi meriam, senapang atau istinggar dan peluru serta lain-lain senjata api perlu diubah dan dibuang sejauh mungkin. Seperti yang pernah sebut dahulu angkatan Portugis dicatatkan membawa pulang ribuan pucuk meriam dan senapang yang dirampas dari Melaka. Teknologi pembuatan dan penggunaannya juga adalah standing dengan teknologi barat.
John Crawfurd memetik catatan De Burros dalam bukunya, A Descriptive Dictionary of the Indian Islands and Adjacent Countries, bahawa ketika Portugis menawan Melaka dahulu, mereka berjaya merampas antara 3000 hingga 8000 senjata api daripada Melaka, dan De Burros sendiri mengatakan bahawa Portugis sendiri tidak mampu untuk menghasilkan senjata api sebanyak itu. Bahkan catatan De Burrous menjelaskan lagi kepada kita bahawa Portugis menjumpai sebuah meriam Melayu Melaka yang jauh lebih besar daripada meriam yang dipunyai oleh Portugis dan meriam itu telah dihantar ke India.
Catatan yang lain pula, seperti yang dinukilkan oleh Godinho Eredia dalam buku Asia Portugueza, karya Manuel de Faria Y Souza dalam E. Koek, Portuguese History of Malacca, sewaktu kedatangan Portugis di Melaka, jumlah meriam yang dipunyai kerajaan tersebut adalah sangat banyak. Tiga ribu pucuk meriam besar telah dijumpai dalam kota Melaka, 5000 pucuk lagi telah sempat dibawa lari oleh tentera Melaka apabila kota itu tumbang.
Alfonso de Albuquerque menyatakan bahawa terdapat 2000 pucuk meriam yang diperbuat daripada tembaga dan yang lain diperbuat daripada besi di Melaka. Faria Souza mengatakan bahawa sebahagian besar daripada 8000 pucuk senjata api atau meriam yang dipunyai kerajaan Melaka adalah berasal dari Pahang. Ini bermakna Pahang merupakan sebuah negeri penghasil senjata api yang berkualiti dan banyak pada zaman itu.
Menurut Eredia lagi, semua meriam-meriam itu dihasilkan dengan amat baik dan tidak dapat ditandingi walaupun dengan meriam buatan Portugis. Daripada catatan Eredia ini, dapat disimpulkan bahawa teknologi senjata api yang dimiliki oleh bangsa Melayu Melaka pada waktu tersebut adalah sama tarafnya dengan teknologi persenjataan orang Eropah, malahan mungkin lebih baik.
Seorang berbangsa Itali yang terlibat di dalam penyerangan terhadap Melaka pada tahun 1511 menyatakan bahawa terdapatnya penggunaan pelbagai jenis senjata api berat yang telah menyebabkan kehilangan nyawa yang agak ramai di pihak portugis. Menurut beliau, walaupun akhirnya tentera Melayu Melaka kalah, namun mereka digambarkan mempunyai semangat keperwiraan yang tinggi, sangat terlatih dalam ilmu peperangan dan mempunyai simpanan senjata yang bermutu serta pelbagai.
Thomas John Newbold, seorang pegawai British di Melaka pernah mencatatkan di dalam Political and Statistical Account of the British Settlements in The Straits Of Malacca, Volume 2 bahawa kilang-kilang yang menghasilkan senjata api seperti meriam-meriam milik bangsa Melayu sudah lama bertapak bukan sahaja di Semenanjung Tanah Melayu, bahkan di sekitar Kepulauan Melayu. Terengganu menjadi hub penghasilan senjata api di Semenanjung, manakala Gerisik merupakan hub untuk Pulau Jawa, dan hub untuk Sumatera pula ialah Minangkabau.
Bahkan Newbold turut mengulas mengenai pemandangan biasa yang dilihatnya ketika berada di Tanah Melayu pada abad ke-18 yang dipercayai Newbold sudah lama budaya itu itu bertapak di Tanah Melayu. Katanya, tidaklah sesuatu yang menghairankan andai dapat melihat pendekar Melayu yang lengkap bertanjak dan berbusana Melayu bersama keris dan senjata api Melayu seperti Istingar.
Kita lihat pula tulisan R. J. Wilkinson, “The Capture of Malacca, A.D. 1511”. Beliau menyebut mengenai beberapa perkataan sepert “Malay gun-fire” dan “heavy fire” merujuk kepada pejuang Melayu Melaka ketika itu ketika menceritakan mengenai kejatuhan Melaka yang boleh dijadikan dalil bahawa orang Melayu kita ketika itu sudah memiliki senjata api.
Diceritakan bahawa ketika askar Portugis cuba memasuki muara Sungai Melaka yang cetek dan berlumpur itu, mereka telah dihujani oleh divisyen askar Melaka yang menggunakan senjata api dan menghujani tentera Portugis dengan senjata api.
Walaupun dalam naskah Sulalatus Salatin ada ditulis yang serangan meriam Portugis menggemparkan orang Melaka bagai bertih digoreng, namun petikan tersebut harus ditafsir sebagai penyedap cerita untuk khalayak pembaca atau pendengar. Jambatan Melaka yang kita lihat dalam lukisan seperti di muzium atau dalam buku-buku teks sejarah yang sering digambarkan dengan penuh daif dan uzur juga perlu kita buang jauh-jauh.
Catatan Portugis sendiri mendapati jambatan tersebut terbina dengan sangat kukuh, malah rekod-rekod China beberapa dekad sebelum serangan Portugis melaporkan bahawa ada lebih kurang 20 buah kedai di atas jambatan tersebut. Saya menggambarkan jambatan ini seperti jambatan London Bridge yang pada zaman pertengahan penuh dengan kedai-kedai. Pihak Portugis juga mengalami kesukaran dan mengambil masa untuk merobohkan jambatan tersebut atas maklumat risikan dari Ruy de Aroujo.
Di dalam buku teks sekolah juga kita diberitahu atau digambarkan pertempuran berlaku di daratan kota Melaka sahaja, namun dari catatan Portugis didapati pertempuran sebenarnya telah bermula sejak di laut lagi. Sebelum pihak Portugis berjaya mendarat, mereka dilaporkan telah diserang tentera Melaka di perairan yang mengakibatkan kehilangan 100 nyawa di pihak Portugis.
Pihak Melaka menggunakan perahu atau lancara yang diisi dengan minyak dan bahan pembakar kayu serta dihalakan ke kapal-kapal Portugis. Taktik ‘Fire Ship’ ini sering digunakan di Eropah juga seperti dalam perang Inggeris dengan Sepanyol pada zaman ratu Elizabeth.
Selain itu tembakan meriam dari Melaka menghala ke kapal-kapal Portugis juga turut mendatangkan kecelakaan. Oleh itu pendapat yang mengatakan meriam Melaka tidak boleh menembak jauh juga harus dibuang kelaut.
Melaka juga melaksanakan strategi menggertak dan tindakan perang psikologi untuk menakutkan pihak lawan dengan mengeluarkan sejumlah perahu perang, lancara, tongkang, sampan dan sebagainya yang lengkap bersenjata untuk menunjukkan kekuatannya kepada Portugis. Walaupun begitu kekuatan sebenar Melaka yakni armada jong perang yang diketuai laksamana pada waktu itu tiada di perairan.
Maklumat daripada catatan Giovani Da Empoli mengesahkan bahawa tentera Melaka telah menggunakan lancara serta perahu berapi untuk memusnahkan kapal Portugis. Di kawasan pantai pula pertahanan dikukuhkan dengan pancangan kayu dan besi-besi tajam atau kawat beracun serta meriam-meriam pelbagai jenis besar dan kecil beserta dengan peti-peti berisi serbuk peluru.
Sebenarnya, perang Melaka bukan berlaku dalam jangka masa yang singkat. Pada masa ketibaan Portugis pada 28 Jun 1511 pertempuran tidak terus terjadi sebaliknya kedua-dua belah pihak menggunakan taktik tunggu dan lihat, masing-masing menunggu siapa yang akan menyerang dahulu.
Hal ini diselangi dengan sesi perundingan dan diplomasi yang tidak kemana. Pihak Portugis mahu tawanan Portugis termasuk Ruy de Aroujo dibebaskan. Selang tiga minggu dari itu keadaan mula semakin tegang. Beberapa siri pertempuran kecil berlaku di laut dan dikawasan penginapan para pedagang berdekatan pantai.
Portugis menyerang empat kapal Jawa dan sebuah kapal Sumatera. Kemudian kapal-kapal saudagar Gujarat di pelabuhan juga dibakar termasuk rumah penduduk di pantai. Walaupun Sultan Mahmud kemudiannya membebaskan tawanan, namun perang tetap tidak dapat dielakkan lagi.
Pihak Portugis sebenarnya sangat tahu akan kelemahan Melaka. Hal ini kerana mereka telah mempunyai perancangan yang jitu. Mereka mempunyai kelebihan dari segi risikan atau maklumat yang diberi oleh Ruy de Aroujo dan orang-orang dalaman Melaka sendiri seperti Utimutiraja, seorang perempuan Parsi dan Nainachittu. Melaka mempunyai musuh di setiap penjuru malah didalam kelambunya sendiri. Namun demikian Portugis tidak pernah memperkecilkan kemampuan pertahanan Melaka.
Albuquerque sendiri pernah menyebut bahawa:
“Kita tidak akan dapat menawan Melaka dengan hanya dua batang pedang yang berkarat!”
Di waktu subuh sebelum serangan habis-habisan dilancarkan, Albuquerque memberi ucapan bahawa Melaka harus ditundukkan supaya aliran rempah tidak akan sampai ke Makkah dan Kaherah dan sinar Islam disini akan padam! Ungkapan beliau ini jelas menunjukkan niat sebenar mereka.
Barisan ketenteraan Portugis sebenarnya lebih ramai dari yang kita ketahui. Namun kita sering mendengar jumlah tentera Portugis hanyalah 1200 orang termasuk 600 tentera upahan Malabari dan kapalnya lebih kurang 19 buah.
Maklumat daripada catatan Giovanni menunjukkan bahawa sewaktu tiba di Pedir, jumlah kapal termasuk yang ditawan di perjalanan mencecah angka 25 buah. Di Pasai, lapan buah kapal dari Cambay lagi menjadi mangsa tawanan atau dirosakkan. Dengan demikian kita menganggarkan lebih kurang 27 buah kapal telah tiba di perairan Melaka.
Malahan terdapat beberapa buah kapal lagi di Melaka yang ditawan dan tawanannya dijadikan barisan sokongan dalam serangan ke atas Melaka. Giovanni turut melaporkan bahawa dalam serangan pada 25 Julai 1511 terdapat 1500 orang tentera Portugis yang terlibat, dengan pasukan bantuan daripada orang Cina sebanyak 400 orang dan bantuan dari seorang putera Sumatera (Raja Kampar menantu Sultan Mahmud sendiri) juga lebih kurang 400 orang.
Ini semua belum termasuk tentera bantuan dari orang Pegu, Siam, malah orang-orang Keling dibawah Nainachittu dan tentera upahan Jawa yang sengaja berperang dengan tidak bersungguh-sungguh setelah ketua mereka Utimutiraja disogok Portugis.
Pertempuran berlaku dengan sengit di beberapa lokasi seperti di Jambatan, bukit Melaka, Bandar pelabuhan, Istana dan Masjid Agung. Pertahanan Melaka turut diperkuatkan oleh ribuan tentera Jawa yang pada permulaan ogos dibayar tiga bulan gaji terkehadapan disamping barisan pejuang Turki dan Khorusones atau Parsi sejumlah 3000 orang.
Seperti yang telah sebutkan tadi, walaupun tentera Jawa ini telah dibayar gaji awal untuk tiga bulan, mereka tetap belot dan tidak bersungguh-sungguh mempertahankan Melaka kerana penghulu mereka Utimutiraja telah membuat pakatan dengan Alfonso de Albuquerque dan memberitahu anak-anak buahnya agar ‘tidak perlu bersusah payah menggadaikan nyawa sendiri untuk mempertahankan harta benda orang lain’.
Persoalannya adakah kekuatan Melaka yang sebenar telah digunakan sepenuhnya? Sebenarnya kekuatan Melaka yang sebenar adalah terletak pada armada lautnya. Namun demikian armada laut Melaka yang terdiri daripada jong-jong yang besar tidak berada di perairan Melaka pada ketika itu.
Sebelum mulanya serangan yang penghabisan oleh Portugis, Sultan sengaja melambat-lambatkan pelepasan tawanan dan cuba berdiplomasi kerana menunggu armada lautnya bersama Laksamana. Namun tindakan Sultan yang sengaja melengah-lengahkan masa tersebut diketahui Portugis yang menyebabkan serangan total dilakukan sebelum sempat armada itu sampai.
Hal ini disebabkan pihak Portugis sangat takut dengan risikan yang diberikan oleh Ruy de Aroujo yang mengatakan bahawa Sultan Melaka mempunyai satu armada laut yang sangat kuat yang diketuai oleh seseorang yang bernama ‘Laksamana’ yang dapat membakar hangus seluruh armada Portugis jika mereka lambat bertindak.
Terdapat catatan dari Portugis yang menyebut bahawa sewaktu Melaka diserang, Laksamana bersama armada Melaka sedang mengadakan rondaan di kawasan perairan jajahan takluk Melaka, mungkin sekitar Riau-Lingga. Ini kerana dalam catatan tersebut diberitahu bahawa Raja Lingga bersama Laksamana telah berpatah balik apabila mengetahui bahawa Melaka sudah jatuh ke tangan Portugis dan Sultan Mahmud Shah dan keluarganya berundur ke Bentayan di Muar.
Mungkin Raja Lingga dan Laksamana tahu bahawa kejatuhan Kota Melaka bukanlah bermakna kejatuhan empayar Melaka kerana adat Melayu itu 10 negeri boleh dicari, selagi ada raja berdaulat. Jadi jika raja berundur maka pembesar dan raja-raja taklukannya tidak akan membuat keputusan sendiri untuk terus menyerang Melaka, sebaliknya berundur bersama Sultan untuk mengatur strategi baru.
Sultan Mahmud Shah juga dikatakan bertitah, adat kita raja Melayu, negeri alah raja mati, yang melambangkan bahawa perjuangan Melaka sebenarnya belum tamat selagi baginda dan waris-warisnya belum mati.
Apa yang dapat disimpulkan disini ialah kekalahan Melaka kepada Portugis bukanlah satu kekalahan yang mudah seperti yang sering disebut-sebut. Bukan disebabkan teknologi persenjataan yang lemah dan bukan kerana kejakunan tentera Melaka terhadap tembakan meriam tentera Portugis. Barisan pertahanan Melaka telah berjuang berhabis-habisan baik dari segi diplomasi, pertanahan, taktik dan strategi pertempuran.
Pihak Portugis sendiri mengakui bahawa pejuang-pejuang Melayu Melaka adalah gagah perkasa dan terlatih dalam ilmu peperangan serta dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata berpotensi. Namun begitu kita tidak boleh pandang rendah pada kekuatan Portugis. Orang Portugis mempunyai pengalaman tempur dan kepungan laut yang sama hebatnya dengan bangsa Melayu.
Sebelum mereka menyerang Melaka banyak kota pelabuhan lain seperti di India dan Teluk Parsi yang berjaya mereka tawan, malah mereka pernah bertempur dengan armada Turki Uthmaniah yang terkenal hebat itu.
Kekalahan Melaka adalah sebab kurangnya kesepaduan dan kesepakatan diantara ‘Anakvanua’, dan sikap terlalu memberi kepercayaan kepada ‘anak dagang’ atau bangsa ‘asing’.
Bak kata pepatah ‘apalah diharap pada dagang, bertukar musim berlalulah ia’.
Sikap terlalu bertoleransi yang ditunjukkan oleh orang Melayu sejak zaman berzaman ini akhirnya memakan diri sendiri apabila golongan-golongan ‘dagang’ ini mula menunjukkan belang mereka dan menikam dari belakang!
Baik dagang Kalingga, dagang Ming, dagang Burma, maupun dagang Kampar dan Mojo yang serumpun sebangsa, semuanya menjadi duri dalam daging. Harapkan pegar,pegar pula makan padi.
Peristiwa ini seharusnya menjadi pengajaran kepada anak-anak vanua pada hari ini, dan bukannya kisah Melaka kalah berperang kerana menggunakan keris dan sumpit semata-mata yang ternyata tidak benar.
Rujukan Lanjut:
1. Prof Emeritus Dr. Muhammad Yusof Hj. Hashim , Kisah Melaka 1511, Institute Kajian Sejarah Dan Patriotism Malaysia, 2006.
2. Abdul Aziz Zakaria, Portugis Dalam Sejarah Melaka, DBP, 1963.
3. Portuguese Documents on Malacca: 1509-1511, National Archives of Malaysia, 1993.
4. Muhammad Yusoff Hashim, Muzaffar Desmond John Tate, The Malay Sultanate of Malacca: A Study of Various Aspects of Malacca in the 15th and 16th Centuries in Malaysian History, Dewan Bahasa & Pustaka, 1992.
5. The Capture of Malacca, A.D. 1511 oleh RJ Wilkinson
6. Asia Portugueza oleh Manuel de Faria Y Souza dalam E. Koek
7. A Descriptive Dictionary of the Indian Islands and Adjacent Countries oleh De Burrowss
8. Faridah Abdul Rashid (2012) Research on the Early Malay Doctors 1900-1957 Malaya and Singapore. Xlibris
9. Lindsay Ride, May Ride & Jason Wordie (1999) The Voices of Macao Stones: The Nanjing Massacre Witnessed by American and British Nationals. Hong Kong Universitiy Press
10. The Cambridge World History, Volume 3
11. Dictionary of Battles and Sieges: F-O
12. The Portuguese in Malay Land
Copy and paste:
21 Ogos 2023 > 4 Safar 1445H: 8.03 am