Monday 30 October 2023

RICHARD OLAF WINDSTEDT






Posted by Zulheimy Maamor on 23 November 2020

Bagi yang meminati sejarah terutama sejarah Malaysia pasti akan pernah jumpa nama R.O Windstedt atau nama penuh Richard Olaf Windstedt....
Beliau adalah pegawai Pentadbir Inggeris yang dihantar berkhidmat di Tanah Melayu pada 1902.
Antara tugas beliau di Tanah Melayu ialah dia sering dihantar ke sekolah sekolah yang terpencil di Kampung kampung Melayu menyebabkan beliau lebih banyak bergaul dengan orang Melayu daripada bergaul dengan bangsa Mat Saleh....sehingga akhirnya beliau sendiri tenggelam dalam budaya Melayu itu sendiri dan amat mencintai budaya dan kehidupan masyarakat Melayu....
Beliau telah menulis "An Unabridge English - Malaysia Dictionary" dan "Malay Grammar" pada 1914-1916.
Malah beliau satu satunya Mat Saleh yang memperkenalkan Nasi Lemak kepada dunia Barat melalui bukunya "Life and Custom: The Circumstances of Malay Life" pada 1909.
Tak semua penjajah itu tidak ada yang bagus... R.O. Windstedt adalah orang yang merancang dan membangunkan pendidikan orang Melayu ketika beliau menjadi Penolong Pengarah Pelajaran Negeri Negeri Selat, beliau juga adalah orang yang memainkan peranan bagi menubuhkan Maktab Perguruan Sultan Idris di Tg Malim Perak (Sekarang Universiti Perguruan Sultan Idris)...
Selepas tamat tugas di Tanah Melayu dan kembali ke England beliau menjadi pengajar bahasa Melayu dalam Siaran Radio Berbahasa Melayu di BBC England...
Ketika orang Melayu bangkit menentang pembentukan Malayan Union pada tahun 1946, R.O Windstedt adalah orang Inggeris yang paling kuat menentang Pembentukan Malayan Union sehinggakan beliau menulis surat kepada King George VI menyatakan beliau tidak bersetuju dengan pembentukan Malayan Union.
Sehingga beliau meninggal dunia pada 1966, beliau telah menulis 27 buah makalah mengenai budaya , sejarah dan kehidupan masyarakat Melayu....
Beliau antara Mat Saleh yang mencintai Budaya Melayu selain Allahyarham Tan Sri Abdul Mubin Sheppard.....

Copy and paste:
30 Oktober 2023 > 15 Rabiulakhir 1445H: 12.44 pm

BRITISH GRAVEYARD AT ALOR GAJAH



From FB Melaka Dulu-Dulu

Siapa yang pernah Sekolah di Alor Gajah English School dulu pasti tahu cerita tentang Kubur Inggeris ni...
One Man & his Dog & Horse
– British Graveyard at ALOR GAJAH
One of the ‘Places of Interest’ marked on map of Melaka State is the British Graveyard in the small town of Alor Gajah.
Tucked away in the grounds of a Primary School, it’s a very small graveyard, a fenced enclosure containing just three graves belonging to an English soldier, his horse and his dog.
The dog’s grave is the one in front, the soldier in the middle and the horse behind.
The soldier’s name was George Holford Walker. He was only 18 years old when he was killed serving as a Junior Officer with the 5th Madras Native Infantry, a regiment of the Madras Army of the (British) Honourable East India Company.
The inscription on the tombstone reads:
To The Memory Of Ensign George Holford Walker Doing Duty With The 5th Regiment M.N.I Who Fell While Gallantly Leading On His Division To Storm A Stockade At Allegaza On The 3rd May 1832.
This Tablet Was Erected By His Brother Officers As A Mark Of Their Esteem For One So Universally Beloved.
A plaque (in Bahasa) at the graveyard explains the context of his death. In 1829 the British administration running Malacca attempted to impose taxes on the district of Naning at the rate of 10% of the total harvest.
Naning’s leader, Datuk Dol Said, refused to pay, arguing that Naning was outside Malacca’s jurisdiction and had not been taxed by the earlier Dutch and Portuguese colonizers.
Britain sent in troops in 1831 but they were repulsed by Dol Said’s men. In 1832, a stronger British force was sent to Naning and they overcame Dol Said who was bought off with a pension of $100 per month until his death in 1849.
Walker was one of the British casualties in this scrap. A fatal shot to the heart killed him instantly. Locals said his horse and dog stood loyally beside his dead body until they too died of thirst and grief. As a tribute to Walker’s youthful bravery and the devotion of his animal companions, the dog and horse were buried alongside their master.
# Text & photo credit :
The Thirfty Traveller
Copy and paste:
30 October 2023 > 15 Rabiulakhir 1445H: 11.10 am

BANI ISRAEL

Oleh Abdul Razak Ramli

1- Kisah bermula dengan kelahiran Nabi Ibrahim. Baginda AS mempunyai anak bernama Nabi Ishak. Bermula dari Nabi Ishak, lahir kaum Bani Israel. Nabi Ishak ada anak bernama Nabi Yaakob. Nabi Yaakob pula mempunyai 12 orang anak berdasarkan al-Quran. (Surah Yusuf: 4)
2- 12 orang anak Nabi Yaakob melahirkan 12 suku dari Bani Israel kemudiannya. Antara anaknya adalah Nabi Yusuf AS. Kisah Nabi Yusuf di dalam al-Quran bermula dengan aduan mimpi Baginda AS kepada ayahnya tentang 11 bintang, bulan dan matahari yang tunduk kepadanya.
3- 11 bintang (adik beradik Nabi Yusuf), matahari dan bulan (ibu ayahnya). Adik beradik Nabi Yusuf dengki kepadanya lalu mencampakkannya ke dalam perigi. Dari situ, Nabi Yusuf dikutip oleh pedagang dan dijual ke Mesir. Bermula kisah Bani Israel di negeri Mesir.
4- Nabi Yusuf mendapat posisi penting dalam kerajaan Mesir yang dipimpin oleh puak Hyksos. Baginda AS menjada perbendaharaan negara Mesir. Akhir cerita, seluruh ahli keluarga Baginda AS tinggal bersamanya di negeri Mesir. Adik beradiknya bertaubat.
5- Nabi Yusuf wafat. Masa berlalu ratusan tahun. Puak Hyksos dikalahkan oleh Ramses I (Firaun). Bermula era pemerintahan kaum Qibti dengan pengenalan nama Firaun. Ketika ini, Bani Israel tinggalan Nabi Yusuf diseksa dan dibunuh akibat mimpi Firaun bahawa kerajaannya akan musnah dari tangan Bani Israel.
6- Lahirlah Nabi Musa. Duduk menetap di istana Firaun. Nabi Musa pernah menumbuk seorang Qibti kerana mempertahankan kaumnya. Nabi Musa diperintahkan berdakwah kepada Firaun. Ditemani oleh adik beradik kandungnya iaitu Nabi Harun.
7- Akhirnya Nabi Musa dan Nabi Harun memimpin Bani Israel keluar dari Mesir sambil dikejar oleh tentera Firaun. Firaun mati tenggelam. Bani Israel terselamat. Mereka menuju ke Palestin dan diarahkan oleh Allah berperang melawan kaum Jabbarin yang membuat kerosakan dalam Palestin.
8- Bani Israel ingkar arahan tersebut, dihinakan oleh Allah. Mereka tidak mempunyai negara seperti sebelumnya. Kemudian, masa berlalu dan lahirlah pula Nabi Daud AS. Kisah Nabi Daud adalah berperang melawan tentera Jalut di Palestin melalui kepimpinan Talut.
9- Nabi Daud berjaya mengalahkan Jalut. Bani Israel masuk ke Palestin dan Talut menyerahkan jawatan penguasa kepada Nabi Daud kerana Baginda dilantik menjadi Nabi. Ketika itu Jerusalem menjadi ibu kota Palestin. Saat ini Bani Israel menjadi mulia.
10- Kemudian, Nabi Daud wafat. Lahirlah pula Nabi Sulaiman AS memimpin Bani Israel. Kerajaan Baginda AS lebih hebat dan besar. Baginda membina masjid untuk Bani Israel. Bani Israel mulia pada zaman ini kerana patuh pada Nabi Sulaiman AS.
11- Setelah Nabi Sulaiman wafat, kerajaannya berpecah dan ditawan oleh Nebuchadnezzar dari Babylon. Saat ini Allah tidak utuskan Nabi untuk mereka. Mereka dihina oleh Babylon dan mereka berpecah dan tersebar ke Afrika, Eropah dan Tanah Arab.
12- Ada yang masih di Palestin. Allah lahirkan Nabi Isa AS di Bethlehem memimpin mereka. Sebahagiannya ingkar dan melakukan percubaan membunuh Nabi Isa. Nabi Isa diangkat oleh Allah. Bani Israel hilang pedoman lagi dan mereka menanti pula Nabi akhir zaman yang disebutkan dalam taurat dan injil.
13- Mereka melihat tanda Nabi akhir zaman lalu berhijrah ke Yathrib kerana mengkaji tanda-tanda tersebut. Tunggu punya tunggu, Nabi Muhammad saw lahir dari bangsa Arab. Bani Israel jadi ingkar lalu bermusuh dengan Nabi Muhammad.
14- Zaman Nabi Muhammad, kaum Yahudi dihalau keluar dari Madinah dan Khaibar selepas perang Ahzab dan perang Khaibar. Lalu sekali lagi mereka berserakan di atas dunia seperti ke Eropah dan Afrika. Mereka dihina kerana tidak mengikut Islam.
15- Zaman Saidina Umar, Palestin dibuka oleh umat Islam. Palestin menjadi milik Islam setelah berperang melawan Rom. Waktu ini tiada berita mengenai orang Yahudi. Sejarah dipenuhi dengan pertembungan antara Islam dan Kristian sahaja.
16- Kemudian, Kristian tawan semula Palestin. Lalu lahirlah tokoh Islam bernama Salahuddin al-Ayyubi dari bangsa Kurdi mengalahkan Kristian di Palestin dalam banyak siri peperangan salib. Umat Islam kembali membuka tanah Palestin dan memilikinya dari Kristian. Bukan Bani Israel yang berperang.
17- Sehinggalah zaman moden, Palestin diperintah oleh Islam sehingga zaman Uthmaniyyah. Palestin di bawah kekuasaan Syam pada waktu itu. Uthmaniyyah jatuh dan kalah perang dunia pertama. British dan Perancis buat perjanjian Sykes-Picot bahagikan tanah Islam.
18- Palestin diserahkan kepada British. Tahun 1917, British lakukan deklarasi Balfour dengan menyatakan Palestin diserahkan kepada orang Yahudi. Bermulalah era orang Yahudi bertapak di Palestin. Sebelumnya pada awal tahun 1900, Theodore (Yahudi Zionis) mohon Khalifah jual tanah Palestin untuk langsaikan hutang.
19- Masa berlalu, berlaku peristiwa Nakbah 1948. Imigrasi besar-besaran kaum Yahudi masuk ke Palestin melalui bantuan UK. Mereka mengumpulkan semula orang Yahudi yang bertebaran di Afrika dan Eropah untuk masuk ke Palestin. Populasi mereka meningkat.
20- Sehingga hari ini, pelbagai siri serangan dan perang seperti Yom Kippur telah berlaku kerana untuk menempatkan kaum Yahudi di Palestin. Hakikat sebenar mereka bukanlah kembali kepada tanah yang dijanjikan. Sebaliknya mereka kembali ke dalam kubur yang digali sendiri.
Abdul Razak Ramli,
18 May 2021.

Copy and paste:
30 Oktober 2023 > 15 Rabiulakhir 1445H: 2.05 am

Sunday 29 October 2023

Kisah Tragik Terhempasnya Air France 447 di Lautan Atlantik

Posted by : Nizam Ali > PERISTIWA N' SEJARAH

Tenggelamnya Titanic di lautan Atlantik pada tahun 1912 telah memberi kesan yang hebat dalam sejarah dunia. Hal ini kerana peristiwa itu telah mengorbankan ribuan jiwa manusia.
Menjelang abad ke-21, tanggal 1 Jun 2009, lautan Atlantik sekali lagi melakar peristiwa hitam apabila pesawat Air France 447 dikhabarkan telah hilang, tanpa seorang saksi dan sebarang bukti lokasi keberadaannya.
Pesawat Airbus A330 yang membawa seramai 228 penumpang termasuk krew telah berlepas dari Rio De Janeiro, Brazil menuju ke Paris pada 31 Mei 2009. Pesawat berlepas pada jam 10 malam dan dijadualkan tiba di Paris pada jam 11 pagi waktu tempatan.
Persoalannya, mengapa kehilangan pesawat berkenaan tidak dapat dijejaki sama sekali oleh pusat kawalan udara (air traffic control) dan tiada sebarang komunikasi kecemasan dibuat oleh krew pesawat.
Laporan menunjukkan, kontak terakhir dilakukan oleh AF 447 kepada Pusat Kawalan Udara Brazil ketika meninggalkan ruang udara Brazil dan memasuki zon tanpa komunikasi (communication dead zone) sebelum sampai ke pusat kawalan udara seterusnya yang berpusat di Senegal.
Hal ini bermakna AF 447 tidak dapat dilihat dalam radar tetapi masih boleh berhubung melalui sistem dengan pesawat lain.
Pakar penyiasatan dalam kemalangan ini menolak jangkaan kemalangan berpunca dari masalah teknikal pesawat kerana ia merupakan pesawat Airbus A330 yang terkini dari segi kecanggihan teknologinya.
Namun, sebarang kemungkinan tidak dapat dipastikan secara sahih kerana tiada bukti yang kukuh sebagai faktor yang menyumbang kepada kemalangan itu. Islam mengajar umatnya bahawa tiada sesuatu yang mustahil jika Allah s.w.t. menghendaki sesuatu perkara untuk berlaku.
Menariknya mengenai Airbus A330, krew hanya perlu menerbangkan pesawat secara manual (real) selama 4 minit, iaitu ketika berlepas (takeoff) dan mendarat (landing). Selanjutnya, krew menerbangkan pesawat secara automatik melalui sistem autopilot.
Pada hari berikutnya iaitu 2 Jun 2009, persoalan terjawab apabila pihak pencarian menemui debris bahagian pesawat berkenaan iaitu bahagian ekor (tail) berhampiran titik laluan Tasil di tengah lautan Atlantik.
Sebanyak 50 mayat turut ditemui di lokasi berdekatan. Setelah dua tahun, kerajaan Perancis sampai ke titik penyelesaian apabila kotak hitam milik AF 447 yang merekod data sewaktu penerbangan telah pulih dari kerosakan bagi merungkai faktor kemalangan berlaku.
Melalui kajian transkrip dialog antara ketiga-tiga juruterbang semasa berada di dalam kokpit, laporan menunjukkan faktor utama terhempasnya pesawat AF 447 ialah kesilapan krew penerbangan (pilot error).
Oleh kerana penerbangan melebihi 10 jam, pesawat perlu dikendalikan oleh tiga orang juruterbang. Kapten Marc Dubois yang berusia 58 tahun merupakan seorang veteran dalam laluan penerbangan Rio-Paris dan telah merekodkan selama 11,000 jam.
Selain itu, pembantu juruterbang (second Officer), David Robert yang berusia 36 tahun telah merekodkan sebanyak 6500 jam penerbangan. Beliau turut merupakan krew yang berpengalaman dalam mengendalikan pesawat.
Manakala, pembantu juruterbang (first officer) iaitu Pierre Cedric Bonin yang berusia 32 tahun telah merekodkan sebanyak 2900 jam penerbangan.
Detik awal penerbangan kelihatan tenang walaupun pesawat melalui kawasan ribut petir. Kapten Marc Dubois dan Pierre Bonin mengambil alih tugas awal penerbangan. Sekitar jam 1.30 pagi, krew melakukan radio kontak terakhir kepada Brazilian Air Traffic Control sebelum meninggalkan ruang udara Brazil.
Berikutnya pada jam 2.00 pagi, kapten Dubois memutuskan untuk berehat dan tempatnya digantikan oleh David Robert. Setelah berbincang secara ringkas, Pierre Bonin yang berada di sebelah kanan pesawat bertindak sebagai pilot flying sambil dibantu oleh David Robert selaku pembantu juruterbang.
Berikutan cuaca ribut petir yang semakin memburuk, tiub pitot (pitot tubes) yang terdapat di bahagian luar pesawat telah dilitupi oleh ais kristal. Tiub pitot merupakan alat pengukuran aliran yang digunakan untuk mengukur halaju aliran bendalir.
Dalam erti kata lain, ia digunakan untuk menentukan laju udara pesawat. Keadaan ini menyebabkan data kelajuan yang disalurkan kepada krew adalah tidak konsisten dan tidak tepat dengan kelajuan sebenar.
Ais kristal yang telah memblok tiub pitot pesawat telah menyebabkan sistem autopilot terhenti dan krew perlu menerbangkan pesawat secara manual.
Dalam kes AF 447, Kedua-dua krew, Pierre Bonin dan David Robert melalui data yang direkod kelihatan panik di dalam kokpit apabila situasi ini berlaku. Persoalannya, bagaimana secara tiba-tiba pesawat membunyikan amaran stall berulang kali dan krew masih keliru terhadap apa yang berlaku.
David Learmont yang merupakan pakar penyiasatan kemalangan udara dan juruterbang berpengalaman menyatakan, tindakan Bonin membawa pesawat mendaki dengan curam sehingga meletakkan dalam mod nose up telah menyebabkan ianya hilang kelajuan (lost speed) dan sayap tidak dapat menyokong pesawat.
Hal ini mengakibatkan pesawat AF 447 mula hilang kawalan (stall) dan mulai jatuh dalam anggaran 12000 kaki per minit. Learmont menyatakan pesawat AF 447 ibarat “stop flying and start falling.” Bagi memulihkan situasi berkenaan, krew perlu meletakkan pesawat dalam mod nose down bagi mendapatkan kelajuan dan menstabilkan kedudukan pesawat untuk terus terbang.
Walaubagaimanapun, hal ini tidak disedari oleh kedua-dua krew ketika berhadapan situasi demikian. Kapten Dubois mengambil masa seminit untuk kembali ke kokpit setelah berkali-kali cuba dihubungi oleh David Robert.
Mereka cuba memahami situasi yang berlaku dan pada minit terakhir mereka mula menyedari bahawa first officer Bonin yang telah menyebabkan pesawat hilang kawalan dan sistem menghantar amaran stall sebanyak 60 kali.
Namun, situasi krew pesawat berkenaan seperti telur di hujung tanduk apabila mereka telah terlambat untuk memperbaiki situasi dan menyelamatkan pesawat dari terhempas. Situasi genting di dalam kokpit berlaku terlalu pantas kerana hanya mengambil masa 4 minit dan beberapa saat untuk pesawat terhempas ke dalam lautan Atlantik.
Menurut Learmont juga, ketika ais kristal melitupi tiub pitot, ia hanya bersifat sementara. Apabila telah cair, tiub pitot akan kembali normal dan menyalurkan data kelajuan pesawat secara konsisten. Dalam keadaan ini, krew hanya perlu menerbangkan pesawat secara manual seperti biasa.
Setidaknya, kisah tragik AF 447 dapat dirungkaikan walaupun mengambil masa selama dua tahun. Kes ini juga telah menyedarkan ramai pihak, khususnya institusi penerbangan untuk menyediakan latihan yang lebih baik kepada krew penerbangan dalam mengendalikan pesawat semasa berhadapan pelbagai situasi yang tidak terduga.
Nur Amal Fatinah
Rujukan
1. O’Brien, J. (2019). Mystery over the Atlantic : The tragic fate of Air France flight 447. Emerald, 1-24.
2. Faccini, B. (2013). Four Minutes 23 Seconds- Flight AF447. Dicapai pada 11 Jun 2020, dari http://understandingaf447.com/.../18-4_minutes__23...
3. Bottyan Z., Payit M. (2010). The Accident of AF-447 Flight : Analysis and Reconstruction of Weather along the Flight Path. Journal AARMS, 9 (2), 217-227.
4. Air Crash Investigation HD- Air France Flight 447, dicapai pada 9 Jun 2020, laman sesawang YT

Copy and paste:
29 Oktober 2023 > 15 Rabiulakhir 1445H: 11.12 pm

Saturday 28 October 2023

BAYAN LINNAS SIRI KE-43 : IMAM MAHDI MENURUT PANDANGAN AHLUS SUNNAH

SUMBER: PEJABAT MUFTI WP

Mukadimah

Baru-baru ini seorang lelaki warganegara Indonesia bernama Muhammad Zubir Amir Abdullah telah mendakwa bahawa dirinya adalah Imam al-Mahdi. Dirinya dikatakan telah dibaiah oleh para pengikutnya dalam satu upacara di Makkah pada bulan Julai yang lalu.Dalam usaha memberi penjelasan kepada masyarakat umum, Bayan Linnas kali ini akan memfokuskan dengan lebih khusus berkenaan hakikat sebenar Imam Mahdi menurut sudut pandang Ahli Sunnah wal Jamaah.

Hadis-Hadis Berkaitan Al-Mahdi

Berkata guru kami Fadhilat al-Syaikh Abd al-Muhsin bin Hamad al-Abbad hafizahullah: Aku telah meneliti kebanyakan hadis-hadis berkaitan al-Mahdi dan aku telah mendapatinya sebagaimana yang telah dikatakan oleh al-Syaukani, Ibn al-Qayyim dan selainnya: Padanya hadis-hadis yang sahih, hasan, hadis dhaif yang boleh dikuatkan, dan terdapat juga hadis-hadis palsu berkaitannya (Al-Mahdi). Memadailah bagi kita hadis-hadis yang elok sanadnya. Sama ada ia sahih lizaatih atau sahih lighayrih. Begitu juga sama ada ia hasan lizaatih atau hasan lighayrih dan demikian jugalah hadis-hadis dhaif yang apabila ia digabungkan akan menguatkan antara satu sama lain maka ia juga turut menjadi hujah di sisi para ulama. Kebenarannya, sesungguhnya majoriti ahli ilmu bahkan ia adalah satu kesepakatan bahawa sabitnya khabar berkenaal al-Mahdi bahkan dia adalah benar dan akan keluar pada akhir zaman. Adapun, mereka yang syaz dari kalangan ahli ilmu dalam hal ini maka tidak diberi perhatian pada pendapatnya dalam hal tersebut.

Berikut kami nyatakan beberapa hadis-hadis sahih yang menceritakan tentang kemunculan al-Mahdi dan kekhalifahannya:

1- Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:

لاَ تَذْهَبُ الدُّنْيَا حَتَّى يَمْلِكَ الْعَرَبَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِي

Maksudnya: Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku.

Riwayat al-Tirmizi (2230) Beliau berkata: Hasan Sahih.

 2- Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

‏ لَوْ لَمْ يَبْقَ مِنَ الدُّنْيَا إِلاَّ يَوْمٌ لَطَوَّلَ اللَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ  حَتَّى يَبْعَثَ فِيهِ رَجُلاً مِنِّي  أَوْ ‏‏ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِي وَاسْمُ أَبِيهِ اسْمَ أَبِي ‏يَمْلأُ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ ظُلْمًا وَجَوْرًا

Maksudnya: Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya satu hari nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki pada hari tersebut yang mana lelaki itu dari kalangan aku – atau dari ahli baitku – Namanya berbetulan dengan namaku dan nama bapanya berbetulan dengan nama bapaku. Dia akan memenuhi bumi dengan penuh adil dan saksama sebagaimana ia (bumi) dahulunya dipenuhi oleh kegelapan dan kezaliman.

Riwayat Abu Dawud (4282)

3- Daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:

 ‏ الْمَهْدِيُّ مِنِّي أَجْلَى الْجَبْهَةِ أَقْنَى الأَنْفِ يَمْلأُ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ جَوْرًا وَظُلْمًا يَمْلِكُ سَبْعَ سِنِينَ

Maksudnya: Al-Mahdi dariku. Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia dahulunya dipenuhi dengan kezaliman dan dia akan menguasai selama tujuh tahun.

Riwayat Abu Dawud (4285)

4- Dari Ummu Salamah R.Anha berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:

‏ الْمَهْدِيُّ مِنْ عِتْرَتِي مِنْ وَلَدِ فَاطِمَةَ

Maksudnya: Al-Mahdi dari itrah (keturunan) ku dari anak Fathimah.

Riwayat Abu Dawud (4284)

5- Dari Saidina Ali bin Abi Thalib R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:

‏ الْمَهْدِيُّ مِنَّا أَهْلَ الْبَيْتِ يُصْلِحُهُ اللَّهُ فِي لَيْلَةٍ 

Maksudnya: Al-Mahdi dari kalangan kami - ahli bait - yang Allah perbaiki dirinya pada satu malam.

Riwayat Ibn Majah (4085)

Kata al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah: Iaitu Allah mengampunkannya dan memberi taufiq kepadanya serta Allah memberi ilham dan petunjuk kepadanya sedangkan dia tidak diberikan perkara tersebut sebelumnya. Lihat Al-Nihayah fil Fitan wal Malahim (1/29).

6- Diriwayatkan daripada Thauban R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا رَأَيتُمْ الرَّايَاتَ السُّودِ قَدْ جَاءَتْ مِنْ قِبَلِ خُرَاسَانَ فَأتوهَا، فَإِنَّ فِيهَا خَلِيفَة الله المَهْدِي

Maksudnya: Apabila kalian melihat panji-panji hitam telah datang dari arah Khurasan maka datangilah ia. Kerana sesungguhnya padanya terdapat Khalifah Allah al-Mahdi.

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/502)

Demikianlah hadis-hadis di atas merupakan antara hadis-hadis sahih yang diriwayatkan berkaitan dengan al-Mahdi dan kemunculannya. Hadis-hadis tersebut telah disepakati dan dikuatkan kesahihannya oleh majoriti para ulama Islam. Pada keseluruhan hadis di atas, ia merupakan tanda penguat dari Rasulullah SAW bahawa al-Mahdi akan keluar di akhir zaman dan tidak ada syak lagi padanya. Beliau akan keluar dan menguasai keseluruhan bangsa Arab serta akan memenuhkan bumi dengan keadilan dan saksama. Kekuasaannya juga selama tempoh tujuh tahun sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis.

Kata Samahah al-Syaikh Abd Al-Aziz bin Abd Allah bin Baaz Rahimahullah: Isu al-Mahdi adalah perkara yang diketahui. Hadis-hadis yang berkaitan dengannya sangat banyak bahkan ia mutawatir yang saling menguatkan. Kebanyakan ulama telah menyatakan bahawa ia sampai ke tahap mutawatir dan mutawatirnya ia adalah mutawatir maknawi disebabkan banyaknya jalan periwayatannya. Hadis-hadis ini jelas menunjukkan bahawa individu yang dijanjikan ini akan benar-benar muncul pada akhir zaman kelak. Beliau adalah Muhammad bin Abdillah al-Alawi al-Hasani dari zuriat al-Hasan bin Ali bin Abi Thalib Radhiallahu anhum. Imam ini (al-Mahdi) adalah di antara rahmat Allah kepada umat yang keluar pada akhir zaman lalu dia akan menegakkan keadilan dan kebenaran serta menghalang kezaliman dan kejahatan. Allah akan menaburkan dengannya panji kebaikan ke atas umat serta menjadi hidayah dan taufiq serta memberi petunjuk kepada sekalian manusia.

Kelahiran Al-Mahdi

Para Ulama telah berbeza pendapat tentang tempat kelahiran Imam Mahdi kepada beberapa pendapat. Di dalam kitab al-Tazkirah, al-Imam al-Qurthubi menyebut bahawa kelahiran Imam al-Mahdi adalah di negara Maghrib. Sebahagian pula berkata bahawa al-Mahdi dilahirkan di Andalus. Adapun pendapat yang paling tepat dan sahih ialah pendapat yang diriwayatkan dari Abu Nu’aim dari Hammad dari Ali bin Abi Thalib Radhiallahu anh bahawa al-Mahdi dilahirkan di Madinah.

Tanda-Tanda Al-Mahdi

Berikut merupakan beberapa ciri-ciri yang terdapat pada diri al-Imam al-Mahdi[4]:

  • Di bahagian bahunya ada tanda yang sama pada bahu Nabi SAW.
  • Beliau akan berkumpul bersama Nabi Isa A.S dan Nabi Isa akan bersolat di belakangnya.
  • Penduduk bumi akan merasa cukup pada zaman kekuasaannya dan banyaknya keberkatan dari bumi akan keluar.
  • Beliau akan menanam satu batang kayu di atas tanah yang kering lalu ia akan menjadi hijau dan berdaun.

Sifat-Sifat Keperibadian Imam Al-Mahdi

Di antara sifat-sifat keperibadian al-Imam al-Mahdi A.S adalah seperti berikut[5]:

  • Beliau merupan seorang anak Adam.
  • Dahinya luas dan hidungnya mancung.
  • Kedua-dua matanya bercelak.
  • Wajahnya bercahaya seakan-akan beliau adalah bintang yang menyinar.
  • Di bahagian bahunya ada tanda seperti yang terdapat pada Rasulullah S.A.W.
  • Warna kulitnya adalah warna orang Arab dan tubuh badannya seperti tubuh orang Israel.
  • Umurnya 40 tahun dan dalam sebahagian riwayat 30 hingga 40 tahun.
  • Akhlak beliau menyerupai akhlak Nabi S.A.W.

Waktu Keluarnya Imam al-Mahdi

Di dalam kitab al-Fitan wal- Malahim, al-Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah berkata: Aku menyangka bahawa keluarnya al-Mahdi berlaku ketika turunnya Nabi Isa A.S.

Ini berasaskan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abd Allah Radhiallahu anhu beliau berkata: Rasulullah S.A.W bersabda:

فَيَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ صلى الله عليه وسلم فَيَقُولُ أَمِيرُهُمْ تَعَالَ صَلِّ لَنَا ‏.‏ فَيَقُولُ لاَ ‏.‏ إِنَّ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ أُمَرَاءُ ‏.‏ تَكْرِمَةَ اللَّهِ هَذِهِ الأُمَّةَ

Maksudnya: Isa bin Maryam S.A.W turun lalu berkata pemimpin mereka (Al-Mahdi): Marilah solat bersama kami. Lalu Isa berkata: Tidak, sesungguhnya sebahagian kalian menjadi pemimpin atas sebahagian yang lain. Kemuliaan Allah kepada umat ini.

Riwayat Muslim (247)

Beberapa Pendapat Tentang Imam Mahdi

Di dalam membicarakan berkenaan kemunculan Imam al-Mahdi, para ilmuan terbahagi kepada beberapa pendapat:

Pendapat pertama: Ahlus Sunnah wal Jamaah tidak ada khilaf (perselisihan pendapat) sesame mereka dalam isu al-Mahdi. Akidah mereka sama dan bertepatan dengan hadis-hadis sahih yang telah kita nyatakan. Di sisi Ahli Sunnah, Imam al-Mahdi adalah seorang pemimpin soleh yang Allah utuskan untuk memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman. Beliau menjadi seorang mujaddid (tokoh pembaharuan) untuk agama ini.

Berkata al-Allamah Ibn Khaldun: Ketahuilah bahawa pendapat yang masyhur di sisi umat Islam keseluruhannya, bahawa tidak boleh tidak di akhir zaman kelak akan kemunculan seorang lelaki dari kalangan ahli bait yang akan menguatkan agama, menzahirkan keadilan, dan diikuti oleh kaum muslimin, dan beliau akan menguasai ke atas kerajaan-kerajaan Islam. Beliau dinamakan sebagai al Mahdi. Sesungguhnya Isa akan datang selepasnya dan membunuh Dajjal atau Isa turun bersama-samanya (al Mahdi) lalu dia membantunya untuk membunuh Dajjal dan Nabi Isa menjadi makmum kepada al-Mahdi semasa solatnya.[6]

Pendapat kedua: Terdapat juga golongan yang menisbahkan diri mereka kepada Ahli Sunnah akan tetapi mereka tidak mempunyai tangan yang panjang (keluasan ilmu) dalam mentahqiqkan nas-nas serta mengetahui selok beloknya dengan baik. Justeru, mereka menolak kewujudan al-Mahdi dan menafikan kemunculannya pada akhir zaman.

Beberapa Contoh Individu Yang Pernah Mendakwa Mereka Adalah Al-Mahdi

Dalam sejarah Islam, telah terlalu banyak golongan pembohong yang mendakwa mereka adalah Al-Mahdi al-Munthazar (yang dinantikan). Justeru, tidak pelik jika terdapat mana-mana individu dari seberang atau dari negara kita sendiri yang mengeluarkan dakwaan seperti ini. Di antara individu yang membuat dakwaan batil tersebut adalah:

1- Ubaidullah bin Maimun al-Qaddah. Lahir pada tahun 259 H dan meninggal pada tahun 322 H. Datuknya merupakan seorang Yahudi yang dinisbahkan kepada keluarga Majusi. Dinisbahkan secara palsu dan jahat bahawa mereka dari keturunan Rasulullah S.A.W. Mereka adalah pembesar Rafidhah al-Qaramithah al-Bathiniyah yang memusuhi agama yang berselindung di sebalik penisbahan kepada keluarga Rasulullah.  Dia juga merupakan pengasas Daulah Fathimiyah.

2- Muhammad bin Tumart. Lahir pada tahun 485 H dan meninggal dunia pada tahun 524 H. Seorang lelaki munafik lagi pembohong. Dia membuat dakwaan jahat lagi dusta bahawa dirinya adalah al-Mahdi al-Muntazhar. Dia juga merupakan seorang yang sangat zalim.

3- Mahdi kelompok Kaisan. Mereka menyangka bahawa al-Mahdi adalah Muhammad bin al-Hanafiah. Dia dikatakan sedang hidup dan bermukim di bukit Radhwa. Dia juga dikatakan berada di tengah-tengah dua ekor singa yang menjaganya.

Malangnya, ada juga umat Islam di nusantara ini yang mengaku sebagai Imam Mahdi.

Fatwa Institusi Agama Di Malaysia Tentang Dakwaan Sebagai Imam Mahdi

1- Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-81 pada 19 April 2012 telah membincangkan dan memutuskan bahawa ciri-ciri ajaran sesat yang disenaraikan di bawah ini adalah merupakan amalan, upacara dan adat istiadat yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Ia adalah sesat dan menyeleweng dari akidah Islam yang sebenar serta haram dilakukan. Antaranya ialah : Mendakwa sebagai Imam Mahdi.

2- Di Malaysia, setiap individu yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi telah difatwakan sebagai ajaran sesat. Ini boleh dilihat dalam kes pengharaman ajaran sesat Qadiani, Al-Arqam atau Rufaqa, dan juga kelompok Syiah yang mengatakan Muhammad bin Hasan al-Askari sebagai Imam Mahdi.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Alhamdulillah, selesai sudah satu pengamatan berkenaan dengan Imam Mahdi berasaskan kepada nas serta kefahaman daripadanya. Jelas menunjukkan kepada kita dakwaan yang dikemukakan oleh saudara Muhammad Zubir Abdullah sebagai Imam Mahdi adalah tertolak dan tidak benar sama sekali. Ini kerana, segala muwasafat berasaskan kepada nas-nas nabawi yang telah dibincangkan amat menyeleweng daripada yang terdapat pada watak, syakhsiah, nama, fizikal, serta bangsa yang dimiliki oleh saudara Muhammad Zubir.

Justeru, saya menyeru kepadanya supaya kembali kepada Islam yang sebenar tanpa membuat sebarang dakwaan. Begitu juga kepada masyarakat Islam di Malaysia agar tidak terpengaruh dengan dakwaan seperti ini. Sebaliknya, rujuklah kepada sumber yang sahih lagi benar iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasulullah S.A.W serta melihat kepada tafsir-tafsir dan syarahan para ulama yang Rabbani lagi mendalam ilmu mereka.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita perbaharui tekad dan azam kita untuk mempelajari ilmu dan beriltizam dengan syariat Islam yang sebenar. Amin.

Akhukum Fillah,

S.S. Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

21 Disember 2015 bersamaan 9 Rabiul Awwal 1437 H.

Nota hujung:

[1] Kitab al-Radd ‘Ala Man Kazaba Bil Ahaadith Al-Waaridah Fil Mahdi, Abd al-Muhsin Abbad. Hlm. 157.

[2] Asyrath al-Sa’ah, Maher Ahmad al-Sufi. Hlm. 30. Cet. Al-Maktabah al-Asriyyah, Beirut.

[3] Ibid. Hlm. 36

[4] Tanda-tanda ini diriwayatkan oleh Abu Nuaim Al-Asfahani di dalam kitab al-Sa’ah Li Asyrath al-Sa’ah. Hlm. 85

[5] Kitab al-Isya’ah Li Asyrath al-Sa’ah, Muhammad bin Rasul Al-Husaini al-Barzanji. Hlm 85.

[6] Muqaddimah Ibn Khaldun. Hlm. 555

[7] Rujuk : Minhaj al-Sunnah, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. (Juz.49 No.318)

[8] Rujuk : Bahas tulisan Fadhilat al-Syeikh Hamud bin Abd Allah al-Tuwaijiri edaran Idarah al-Buhuuth al-Ilmiyyah.

[9] Rujuk : Al-Manar al-Munif, Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Hlm. 153.

[10] http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/fatwa-tentang-ajaran-ahmadiahqadiani

[11] http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/usaha-usaha-menghidupkan-semula-al-arqam-melalui-syarikat-rufaqa-corporation-sdn-bhd

[12] http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/fatwa-tentang-fahaman-syiah

Copy and Paste: 28 Oktober 2023 > 14 Rabiulakhir 1445H: 10.20 pm



Monday 23 October 2023

Kafir atau non-Muslim?

Oleh: Wan Ji Wan Hussin > Malaysia Kini : 5 March 2019

Kebiasaan dalam kalangan masyarakat muslim, apabila disebut kafir, difahami bahawa ia merujuk kepada seseorang bukan Muslim ataupun golongan yang terkeluar dari Islam.

Mereka ialah penganut Hindu, Buddha, Kristian, ateis, murtad dan sebagainya.

Namun begitu, baru-baru ini sebuah organisasi Islam tertua dunia, Nahdhatul Ulama (NU) di Indonesia mengeluarkan satu kenyataan yang menggembarkan wacana umat Islam di dunia.

NU mencadangkan agar warga bukan Muslim di Indonesia tidak lagi dipanggil sebagai kafir.

Cadangan tersebut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan ilmuwan Islam di sana. Walaupun ada yang bersetuju, tidak sedikit juga yang tidak bersetuju.

Malah, ada sebilangan daripada mereka mempertikaikannya dan menuduh bahawa pendekatan NU itu akan memberi kesan perubahan pada ayat al-Quran.

Apa yang dicadangkan oleh NU itu bukan sesuatu yang baru. Pada 2004, ia pernah dibangkitkan oleh seorang ulama terkemuka dunia, Dr Yusuf al-Qaradawi menerusi tulisan beliau yang bertajuk Khitabuna al-Islam fi ‘Asr al-‘ulamah.

Di Malaysia, wacana sebegini boleh dianggap belum dimulakan. Kalau ada pun, ia sekadar wacana tertutup, tanpa melibatkan orang awam.

Namun begitu, dengan cadangan NU itu sedikit sebanyak ia melahirkan perbincangan yang menarik dalam kalangan warganegara Malaysia. Apatah lagi, Malaysia boleh dikatakan antara negara yang mempunyai penduduk yang agak rencam – bukan dari sudut anutan agama sahaja, malah dari sudut keturunan, kaum dan budayanya.

Petani pun 'kafir'

Bagaimanapun, wacana berkenaan isu ini perlu dilihat pada beberapa perkara mendasar iaitu dari sudut pemaknaan kafir dalam teks Islam, dan dari sudut dakwah.

Pertama: Pemaknaan “kafir” dari teks Islam

Kafir ialah ungkapan bahasa Arab – diterjemah sebagai ingkar. Dari sudut akar kata, ia bermaksud menutup (Arab: al-Satr). Dengan sebab itu, dalam bahasa Arab, petani disebut sebagai kafir. Hal itu kerana, semasa menanam petani terbabit menutup benih dengan menggunakan tanah.

Penggunaan kalimah kafir yang memberi makna petani ini dinyatakan dalam al-Quran: “Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan kafir (para petani).” - ayat 20, surah al-Hadid.

Al-Quran juga menyebut bahawa kata "kafir" itu merujuk kepada orang yang tidak mensyukuri nikmat yang telah diberikan Tuhan, walhal tidak mensyukuri nikmat Tuhan itu bukan sekadar berlaku kepada non-Muslim, malah berlaku juga dalam kalangan Muslim.

Firman Allah: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu kufuri (iaitu tidak mensyukuri nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” - ayat 7, surah Ibrahim.

Dari sudut makna yang lain, kalimah kufur dalam al-Quran juga memberi makna tidak menunaikan kewajiban yang dibebankan kepada manusia.

Antaranya, al-Quran menggunakan kata kufur untuk merujuk kepada Muslim yang tidak menunaikan ibadat haji walhal dia berkemampuan.

Firman Allah: “Mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa yang kufur (tidak tunaikan ibadat haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.” - ayat 97, ali-Imran.

Dalam pemaknaan yang sama (tidak menunaikan kewajiban), dinyatakan Allah dalam ayat 44 surah al-Maidah: Barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka dia adalah kafir."

Ulama berbeza pendapat tentang makna kufur dalam ayat itu. Ibn Kathir memetik perkataan Taus bahawa Ibn Abbas ditanya berkenaan dengan ayat itu.

Ibn Abbas menjelaskan bahawa maksud kufur dalam ayat tersebut ialah berdosa besar dan bukannya bermaksud keluar agama.

Perang tak membawa keluar agama

Malah pemaknaan yang sama terdapat dalam hadis, iaitu sabda Nabi SAW: “Perjanjian di antara kita dengan mereka (orang bukan Muslim) adalah solat. Barangsiapa yang meninggalkannya (tidak menunaikan solat), sesungguhnya dia telah kufur."

Walaupun dalam hadis tadi Nabi SAW menyatakan bahawa orang yang tidak menunaikan solat adalah kafir, tetapi menurut Ibn Qayyim al-Jawziyyah, ulama tidak berbeza pendapat dalam menyatakan orang yang tidak menunaikan solat sekadar berdosa besar.

Hadis juga menyatakan bahawa celaan sesama Muslim adalah fasik, sedangkan saling bunuh-membunuh sesama muslim adalah kekufuran.

Perkara yang diketahui umum bahawa berlaku peperangan yang membawa bunuh-membunuh sesama sahabat – seperti Sayidina Muawiyyah dengan Sayidina Ali dalam peperangan Siffin dan Saidatina Aisyah dengan Sayidina Ali dalam peperangan Jamal.

Walaupun mereka berperang, ia tidak menjadikan mereka terkeluar dari Islam.

Daripada perbincangan ini, dapat disimpulkan bahawa mengikut sudut pemaknaan teks suci Islam, kalimah kufur bukan semestinya dimaksudkan kepada non-Muslim, tetapi digunakan juga untuk amalan-amalan kejahatan yang melibatkan Muslim, seperti tidak menunaikan kewajiban, melakukan dosa besar, tidak menunaikan solat, tidak mensyukuri nikmat Tuhan dan sebagainya.

Hakikat kafir

Apabila disebut kafir, ia merujuk kepada orang yang ingkar setelah diberikan hujah. Ini berdasarkan Firman Allah dari surah al-Baqarah, ayat 111 dan 112.

Dalam ayat 111, Allah menyatakan orang Yahudi dan Nasrani itu mendakwa, sesiapa pun tidak boleh masuk ke syurga kecuali kalangan mereka sahaja. Lalu, Allah nyatakan bahawa pandangan berkenaan hanya andaian mereka sahaja.

Malah, Allah mencabar mereka agar mendatangkan hujah jika mereka yakin mereka berada dalam kalangan yang benar.

Maka, dalam ayat ke-112, Allah pun menjelaskan siapa yang sebenarnya masuk ke syurga, iaitu mereka yang as-la-ma dirinya kepada Allah dan melakukan muhsin (Melayu: kebaikan, atau amal soleh), maka baginya balasan pahala di sisi Tuhan, tanpa takut dan mereka tidak akan bersedih.

Melihat pada dua ayat tadi, kita akan dapati bahawa kekufuran tidak berlaku kecuali setelah diberikan burhan, iaitu hujah yang mantap dan jelas. Ini disandarkan kepada kupasan ulama Islam terhadap pemaknaan as-la-ma.

Al-Qurtubi menyatakan, makna as-la-ma adalah penyerahan diri dan tunduk. Dalam pandangan lain, disebut makna as-la-ma ialah melakukan amalan secara ikhlas.

Dalam kitab Mafatih al-Ghaib, al-Razi menjelaskan bahawa antara maksud as-la-ma itu adalah penyerahan diri disertakan dengan burhan (diterjemah sebagai hujah yang kukuh).

Dari pemahaman itu, jelaslah bahawa yang dikatakan seseorang itu kafir ialah apabila dia ingkar setelah diberikan penjelasan ilmu yang kuat.

Andai tidak diberikan penjelasan yang kuat, dia tidak disebut sebagai kafir. Ini kerana elemen ingkar itu tidak wujud. Apatah lagi, ingkar tidak berlaku kecuali setelah diberikan hujah.

Siri 2: Kafir atau non-Muslim?

Kupasan dalam tulisan sebelum ini amat bertepatan dengan apa yang pernah dinyatakan oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Faisal al-Tafriqah Baina al-Islam wa al-Zanadiqah, iaitu ketika beliau membahaskan ayat al-Quran mengenai kenyataan bahawa Allah tidak akan mengazab sesuatu kaum hingga Allah datangkan Rasul (al-Isra’, ayat 15).

Ketika mengulas ayat itu, kitab tafsir al-Manar menjelaskan bahawa terdapat satu kalangan manusia yang hidup sebelum Muhammad menjadi nabi. 

Mereka disebut sebagai Ahlul Fatrah, iaitu dakwah yang benar tidak sampai kepada mereka sehingga boleh mencetuskan pemerhatian mereka terhadap Islam.

Yang termasuk dari kalangan ahli Fatrah ialah mereka yang satu zaman dengan para nabi, tetapi syariah nabi tidak sampai kepada mereka.

Golongan terbabit percaya kepada para nabi secara umum sahaja – seperti penganut agama Hanif dalam kalangan orang Arab yang percaya kepada Nabi Ibrahim dan Ismail tanpa mengetahui ajaran nabi itu secara terperinci.

Kitab Tafsir al-Manar juga mendatangkan kupasan Imam al-Ghazali yang menyatakan bahawa kalangan manusia kufur itu terbahagi kepada tiga kelompok, iaitu:

* Mereka yang tidak pernah mendengar hujah menyebabkan mereka tidak menerima Islam.

* Mereka mendengar hujah yang benar, tetapi mereka menolaknya juga.

* Mereka mendengar hujah yang tidak kuat, menyebabkan mereka tidak menerima Islam.

Lihat dari salah kerangka

Dalam kupasan al-Ghazali, kalangan yang pertama itu terselamat daripada seksaan neraka. Kalangan yang kedua – iaitu mendengar hujah yang betul, kemudian menolaknya juga - maka mereka menjadi ahli neraka.

Kalangan ketiga pula – iaitu tidak mendengar hujah yang kuat, maka ia kekal dalam kekufuran – Imam al-Ghazali menyatakan, ia sama seperti kalangan yang pertama, iaitu terlepas daripada azab neraka.

Daripada perbahasan itu kitab Tafsir al-Manar menyimpulkan bahawa apa yang dimaksudkan orang beragama ialah dakwah nabi sampai kepada mereka dalam bentuknya yang sebenar.

Justeru, maksud kafir ialah mereka yang didatangkan hujah yang sebenar, tetapi menolak juga.

Dengan erti kata lain, andai pada hari ini terdapat orang tertentu melihat Islam dari kerangka yang salah - seperti kita yang melihat Islam mengikut tafsiran perkauman Melayu, Islam dalam pentafsiran sentimen politik - semua itu menyebabkan ada kalangan non-Muslim tidak menerima Islam.

Mereka itu tidak wajar disebut sebagai kafir kerana maksud keingkaran sebenar tidak wujud sama sekali.

Ada sebilangan pihak yang menolak cadangan NU dengan menyatakan bahawa tindakan sebegitu akan melahirkan kekusutan, kerana dalam al-Quran terdapat surah al-Kafirun yang menyebut dalam ayat awalnya: Katakanlah, wahai orang kafir.

Maka, jika diterima cadangan NU itu, mereka menganggap bahawa selepas ini akan digantikan dengan “Katakanlah, wahai non-Muslim.”

Dijawab bahawa cadangan itu tidak ada kaitan langsung dengan membuang kalimah “kafir” dalam al-Quran, tetapi ia tidak lebih sekadar menetapkan bahawa bukan semua non-Muslim boleh dianggap sebagai kafir.

Ada banyak makna

Istilah kafir itu hanya boleh diberikan kepada orang yang ada pengingkaran terhadap Islam setelah diberikan hujah yang kuat, jitu serta ada kebijaksanaan.

Dalam erti kata lain, tidak semua non-Muslim itu kafir kerana terdapat non-Muslim yang kekal tidak Islam kerana tidak pernah diberikan hujah yang meyakinkan.

Dan tidak semua kafir itu non-Muslim kerana di sana terdapat pemaknaan kafir dengan merujuk kepada Muslim yang melakukan dosa besar, malah melakukan kejahatan.

Maka dengan demikian, dakwaan bahawa cadangan itu akan memberi implikasi membuang kalimah “kafir” dalam al-Quran adalah tidak benar sama sekali.

Sebaliknya, cadangan berkenaan untuk memastikan meletakkan pemaknaan kafir itu tepat pada tempatnya.

Kedua: Tujuan dakwah

Dari sudut kedua, cadangan NU agar tidak memanggil non-Muslim sebagai kafir mempunyai pendekatan dakwah.

Perkara itu pernah dipertegaskan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dan beliau menulis sebuah buku bagi mencadangkan hal itu sejak 2004.

Antara hujah mereka:

Pertama, kalimah “kafir” mempunyai makna yang banyak (seperti dalam perbahasan sebelum ini). Justeru, memanggil individu bukan Islam tertentu dengan panggilan kafir kadangkala tidak menepati maksud sebenar kerana mungkin sahaja dia tidak pernah diberikan gambaran Islam dalam kerangka yang meyakinkan.

Kedua, al-Qaradawi berhujah bahawa al-Quran dalam pemanggilan terhadap masyarakat non-Muslim menggunakan beberapa perkataan sopan seperti “wahai Manusia”, “wahai anak-anak Adam”, “wahai hamba-Ku” atau “wahai ahli kitab”. 

Andai ada panggilan “kafir” pun, ia merujuk kepada keingkaran dan penentangan terhadap Islam, seperti dalam Surah at-Tahrim ayat 7: “Hai orang-orang kafir, janganlah kamu mengemukakan uzur pada hari ini. Sesungguhnya kamu hanya diberi balasan menurut apa yang kamu kerjakan.”

Juga dalam Surah al-Kafirun ayat 1: “Katakanlah, wahai orang kafir”.

Ketiga, Nahdatul Ulama (NU) berhujah bahawa memanggil masyarakat non-Muslim sebagai kafir boleh mewujudkan suasana tidak baik sesama warganegara atau hubungan di antara Muslim dan non-Muslim.

Justeru hentikan panggilan “wahai kafir” itu bukan sekadar tidak dilarang, malah telah difatwakan oleh ulama terdahulu.

Fatwa tersebut mereka nukilkan daripada komentar Ibn Nujaim al-Misri yang menyatakan bahawa muslim yang mencela non-Muslim yang zimmi boleh dijatuhkan hukuman takzir.

Hal ini kerana, tindakan tersebut dikira sebagai maksiat dan dosa.

Pendapat ini pernah dinukilkan dalam kitab Fath al-Qadir. Dalam kitab al-Qunyah pula, ada ayat yang menjelaskan bahawa andai seseorang Muslim itu memanggil kepada Yahudi, atau kepada Majusi dengan panggilan “Wahai Kafir”, ia adalah dosa andai mengguris hatinya.”

Penutup

Daripada kupasan ini, dapat disimpulkan beberapa perkara seperti berikut:

Pertama, cadangan NU dan al-Qaradawi agar tidak lagi memanggil orang bukan Islam sebagai “kafir” tetapi menggantikannya dengan “non-Muslim” - walaupun dilihat agak berani kerana berbeza dengan kebiasaan dunia Islam - ia tetap mempunyai asas dari sudut agama.

Kedua, dari sudut pemaknaan kalimah kafir dalam teks Islam, didapati ia merujuk kepada pengingkaran setelah diberikan hujah yang meyakinkan.

Lantaran itu, terdapat non-Muslim yang tidak kafir, iaitu apabila dia menjadi non-Muslim tanpa diberikan hujah yang benar; ataupun dia menjadi non-Muslim kerana dia mendapat gambaran yang salah berkenaan Islam.

Ketiga, alasan dakwah adalah faktor terbesar cadangan al-Qaradawi dan NU dalam hal ini. Pendekatan ini - hakikatnya - bukanlah hal baru, tetapi ditulis oleh ulama-ulama Islam hampir 1,000 tahun yang lalu.

WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre. Rencana ini dipetik dari laman sesawang saudara.org.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakilinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Copy and paste: 23 Oktober 2023 > 9 Rabiulakhir 1445H: 9.34 am