Sunday, 21 January 2024

MEMBETULKAN STIGMA MELAYU ITU CIPTAAN BRITISH

SUMBER: THE ANCIENT MALAY SOCIETY
5 MARCH 2017

Terima kasih saudara Ksatriya kerana menjadi tonik untuk saya kembali terjun ke dalam dunia penulisan sejarah selepas berehnat dari kemalangan tempoh hari. Anda memang bertuah kerana menjadi orang pertama yang menghiasi WALL OF FAME kami pada tahun 2017 berkenaan dengan penyelewengan sejarah Melayu.
Anda memang benar-benar mengubah jadual artikel saya. Asalnya saya nak nukilkan tentang penaklukan Monggol ke atas Dai-Viet dan kerajaan Melayu Champa, atau mungkin juga mengupas siapakah pemuda Al-Khafi di dalam helaian sejarah, atau menunaikan permintaan sahabat saya untuk saya membuat analisis bagaimana orang Melayu silam mampu bina tamadun yang gemilang.
Namun, melihatkan anda merapu mengenai sejarah Melayu, membuatkan saya terpanggil untuk menyertai medan pertempuran lebih awal. Selamat bersedia wahai saudara Ksyastria untuk berdepan dengan kesatria yang sebenar dalam bidang sejarah. Senjata yang saya bawa kali ini ialah fakta-fakta sejarah yang sebenar. Semoga saudara membawa perisai yang cukup ampuh untuk menahannya.
Melayu… namanya sangat besar dalam sejarah! Adalah perbuatan paling jalang dalam sejarah Melayu itu sendiri apabila saudara cuba menyamakan nama bangsa hebat ini konon ciptaan British. Konon sebelum kedatangan British, bahawa sesungguhnya kerajaan-kerajaan hebat di Nusantara ini tidak memanggil diri mereka sebagai Melayu. Benarkah sedemikian?
---------
i. Nama MELAYU paling awal dalam sejarah itu sendiri adalah di dalam peta Ptolemy seawal abad pertama Masihi yang mencatatkan kawasan di Semenanjung Emas yang turut dikenali sebagai Maleu-kolon.
ii. I-Ching, seorang sami Buddha daripada Dinasti Tang pernah direkodkan menulis tentang sebuah kerajaan bernama Melayu ketika pengembaraan beliau menuntut ilmu-ilmu yang berkaitan dengan agama Buddha. I-Ching dicatatkan seperti berikut:
“...tiba dan menginap selama 6 bulan. Mempelajari tatabahasa Sanskrit di sini. Sang raja memberikan daku bantuan dan menghantar daku ke negeri yang bernama Moloyu...."
iii. Srivijaya yang terkenal sebagai empayar orang Melayu terluas pernah didirikan oleh bangsa ini dipanggil oleh orang Khmer sebagai Malayu.
iv. Dalam hikayat tersebut apabila Hang Tuah dihalau keluar dari Melaka dan bersiap untuk merantau ke Inderapura, dia ditanya ke manakah dia akan pergi. Pahlawan Melayu itu menjawab ke mana sahaja dibawa kakinya, dengan menambah “lamun pada tanah Melayu” merujuknya sebagai Terra de Tana Malaio.
v. Mpu Prapanca penyair Jawa di kraton Majapahit, dalam karyanya Desawarnama pada tahun 1365 telah menyenaraikan daerah yang dikenalpasti sebagai tanah orang Melayu iaitu Jambi, Palembang, Minangkabau, Siak, Kampar, Rokan, Pane, Kampe, Aru, Mandaileng, Tumiang, Perlak, Samudra, Lamuri, Barus di Sumatera dan Langkasuka, Kedah, Kelantan serta Pahang di Semenanjung Tanah Melayu.
vi. Bok-la-yu, Mok-la-yu, Ma-li-yu-er, Oo-lai-yu, dan Oo-lai-yu adalah nama-nama yang digunakan oleh orang cina merujuk pada kerajaan Melayu yang diperkatakan dalam berdasarkan pelat orang cina sendiri.
Dalam Hikayat Hang Tuah juga, terdapat perkataan Melayu yang dikaitkan atas semangat nasionalisme yang saya fikir, nasionalisme Melayu awal. Dalamnya ada disebut bahawa ketika pendekar Melayu itu mahu bertempur dengan Samurai Jepun (ronin), perkataan Melayu berdendang dari lidah ronin itu:
“Maka kata Jepun itu, `Berapa puloh orang Melayu itu? Jika sa-orang dua bukan lawan patek."
vii. Raja agung orang Thai, Ram Ramkhamhaeng seperti kita ketahui dibunuh oleh seorang puteri Melayu bernama Adhruja Sriwijayamala Singa dari sebuah negara kota Melayu bernama Grahi. Perang antara Sukothai dan negeri-negeri utara Melayu semenanjung ini memang diketahui sejak sekian lama.
Anehnya, kronikel Dinasti Yuan ketika itu menceritakan tentang perang antara Raja Ramkhaeng dan juga negeri-negeri Melayu ini. Hayati di bawah:
"Permusuhan selalu berlaku antara Siam dan Malayu dengan kedua-duanya saling berbunuhan antara satu sama lain..."
viii. Prasasti Matari Singa Jaya Himat yang dalam tulisan asli bangsa Melayu iaitu Rencong dan dalam Bahasa Melayu Kuno dengan kenyataan yang cukup besar menafikan dakwaan orientalis yang mengatakan bahawa Bangsa Melayu adalah bangsa yang masih baru ciptaan penjajah. Dalam prasasti ni dengan jelas mengatakan:
"Matari Singa Jaya Himat namanya. Lama
lama baranak lanang; Matari Singa Jaya
Mat, dari ratu, lami lami bangsa Malayu."
Dipercayai bahawa prasasti ni sekitar abad ke-13 hingga 15.
ix. Ketika sebuah kerajaan Jawa bernama Singhasari melakukan ekpedisi menundukkan sisa-sisa empayar Melayu Srivijaya melalui Dinasti Mauli dan Kerajaan Dharmasraya, maka nama ekpedisi itu diletakkan di atas nama Ekpedisi Pamalayu.
Dalam prasasti yang memahat kisah ekpedisi Singhasari yang diarahkan oleh rajanya yang bernama Kertanegara itu, ada bait-bait azimat yang harus dikenang oleh umat Melayu bahawa nama bangsa mereka sudah harum dipahat dalam batu bersurat. Saya petik daripada prasasti yang berusia 1286 Masihi itu.
“Semoga hadiah itu membuat gembira segenap rakyat di bhūmi mālayu…”
(Prasasti Padang Roco)
--------
Sekarang kita dah jelas bahawa sesungguhnya sebelum British “bodoh” yang difitnah oleh saudara mencipta istilah bangsa Melayu, nama bangsa ini telah pun masyur dalam lipatan sejarah.
Nah sekarang, saya mahu ajak anda berbicara tentang nasionalisma Melayu itu sendiri dalam sejarah. Apakah ianya kerana British sesuka hati mahu satukan kelompok di Nusantara ini seperti mana dakwaan anda? Apakah ianya sama dengan wujudnya negara dan nasionalisma India?
Pertama, saya nak ajak anda menyelam pendapat seorang ahli antropologi JERMAN bernama Johann Friedrich Blumenbach (1752–1840), saya ulangi JERMAN, bukannya BRITISH, yang mahu mengkelaskan kelompok penutur Bahasa Austronesia, sebuah keluarga penutur utama di dunia.
Kemudian, nama Malay Race itu berkembang kepada Melayu-Polinesia lalu akhirnya menjadi Austronesia yang kita kenali.
Daripada pengekelasan beliau, banyak tokoh-tokoh nasionalis di Asia Tenggara, bahkan sejauh di Hawaii turut mengangkat ianya menjadi sebahagian daripada jati diri mereka.
--------
i. Seorang intelektual FILIPINA, iaitu Wenceslao Vinzons, menubuhkan organisasi Pan-Malayan Union atau Perhempoenan Orang Mellayoe pada tahun 1930-an dahulu untuk “menggalakkan pengajian sejarah, tamadun dan kebudayaan bangsa Melayu dan memperkembangkan sentimen persatuan dalam kalangan bangsa-bangsa berkulit sawo matang.”
ii. Jose Rizal, sebagai antara pendiri semangat nasionalisme Filipina, dicatat pernah mengerakkan sebuah pergerakan yang berasaskan Melayu. Lalu, Jose Rizal pun mengumpulkan seluruh anak ‘Melayu’ dari Filipina, Dutch East Indies, Semenanjung dan Borneo di sebuah kota bernama Paris. Revolusi daripada Jose Rizal ini sebenarnya mahu membebaskan seluruh bangsa Melayu daripada belenggu penjajah dan menubuhkan sebuah negara berpaksikan tamadun Melayu.
iii. Hamka, seorang sasterawan terkenal dari Indonesia adalah seorang berketurunan minangkabau. Namun, mengapakah ada seorang sasterawan daripada suku minang pernah menulis rangkap puisi seperti di bawah:
Bangunlah kekasih ku umat Melayu
belahan asal satu turunan
bercampur darah dari dahulu
persamaan nasib jadi kenangan
iv. Dalam Around The World With A King (1904), tulisan William N. Armstrong, pada halaman 126, ketika Raja Kalakaua dari Hawaii bertemu dengan Raja Chulalongkorn dari Thailand pada lewat bulan Mac tahun 1881, raja Hawaii ni dengan bangganya mengatakan bahawa sesungguhnya kami orang polinesia ini ada darah MELAYU! Maka jawab raja Thailand itu, kami orang Thailand pun ada darah Melayu juga!
Kemudian, ketika Raja Kalakaua sampai ke Johor dan bertemu dengan Maharaja Abu Bakar, mereka saling membahaskan diri mereka berdua sebagai adik beradik Melayu yang hilang. Dan sempat juga Maharaja Abu Bakar menghadiahkan senaskah Al-Quran kepada Raja Kalakaua.
v. Menurut artikel Sejarah kesatuan Dunia Berbahasa Melayu tulisan Mazlan Nordin yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia yang bertarikh 18/09/2011, diceritakan bahawa pada tahun 1879 Parlimen Hawaii di Honolulu telah membincangkan kemungkinan penyatuan Dunia Melayu-Polinesia yang luas.
--------
Semangat nasionalisme bangsa Melayu yang mekar di serata Nusantara dan Asia Tenggara membuktikan kepada kita bahawa sesungguhnya, dakwaan bahawa Britishlah yang mencipta “Melayu” itu.
Lagi satu yang saya nak tegur perbandingan anda dengan erti Malay Race dan juga bagaimana wujudnya nasionalisme India. Ya, saya bersetuju bahawa di India itu adalah berbeza rumpun bangsa yang dikelompokkan terus dibawah sebuah negara bangsa yang saya kira masih lagi sangat baru. Di utara India terdapat rumpun Indo-Aryan manakala di Selatan pula terdapat rumpun Dravidian.
Namun… rumpun Austronesia yang menjadi asas nasionalisma Malay Race, bukan sahaja mencecah hingga ke Riau saja, tetapi terbentang luas dari pulau Taiwan ke New Zealand, dan dari Madagaskar ke Hawaii dan Pulau Easter. Memang diakui oleh para penyelidik bidang linguistik (disiplin sains bahasa) dan antropologi, orang Hawaii, orang Jawa, orang Cham, orang Iban, orang Malagasy, suku-suku di Filipina -- ada 1,200+ semuanya -- ialah ahli rumpun Austronesia, dan mereka inilah yang menimbulkan gagasan Malay Race yang dicadangkan oleh ahli antropologi Jerman yang saya sebutkan di awal.
Justeru, saya noktahkan artikel ini dengan petikan di bawah:
“Ahli rumpun Austronesia bertebaran ke empat penjuru dunia kerana mereka ialah manusia pelayar (yang turut mempunyai ilmu astronomi yang hebat). Mereka manusia pertama menggunakan teknologi layar “balance-lug sail.” (Hourani, 1951:102).
Jangan risau, apa yang saya rapukan di atas ni tak ada dalam buku teks yang awak tohmahkan sebagai tulisan orang fasis. Malah, kalau awak jenis membaca buku teks sejarah dari Tingkatan 1 sampai SPM, tak wujudpun bab khusus yang membedah nasionalisme Melayu dari sudut sejarah, serta etimologi Melayu berserta dengan sejarahnya sehingga wujud pseudo-intelektual yang acah-acah professor seperti anda.
-HE-
Copy and paste:
21 January 2024 > 9 Rejab 1445H: 12.04 am