Sunday, 21 January 2024

Sungai Batu Bukti Kehebatan Sejarah Melayu Tetapi

By SeaDemon 
3 July 2023

Semasa penemuan bukti industri peleburan besi zaman prasejarah di Sungai Batu diumumkan pada tahun 2008, ramai orang begitu teruja terutamanya orang Melayu. Saya merupakan salah seorang daripada kumpulan tersebut. Malah, apabila dikhabarkan terdapat artefak yang ditemui yang ditarikhkan kepada tahun 788 Sebelum Masihi (S.M), ianya memberi gambaran suatu tamadun Melayu yang begitu hebat yang telah wujud lebih awal berbanding tamadun Rom. 

Malah, pentarikhan tersebut bermakna tamadun Melayu yang hebat ini telah wujud 1,600 tahun sebelum Candi Borobudur dibina dan 1,800 tahun sebelum Angkor Wat wujud.

Kemudian wujud pula di media sosial kisah-kisah dongeng yang diwujudkan bukan sahaja terhad kepada mengukuhkan bukti tamadun Melayu silam yang hebat seperti kisah Iskandar Zulkarnain, kisah perdagangan besi dengan Empayar Rom, tetapi penemuan candi-candi berkait dengan agama-agama benua kecil India juga telah melahirkan suatu kepercayaan bahawa ianya merupakan bukti Tanah Melayu ini dihuni terlebih dahulu oleh orang dari benua kecil India berikutan penaklukan oleh Raja Chola. Sejauh manakah kebenaran kepercayaan-kepercayaan tersebut?

KRONOLOGI PRASEJARAH TANAH MELAYU

Sejarah dan arkaeologi adalah merupakan disiplin-disiplin yang wajib dilandaskan dan diasaskan berdasarkan fakta, dokumen, penemuan sahih serta kajian perbandingan dengan lain-lain data, fakta, penemuan sahih di rantau ini. Ini kerana lain-lain rantau atau kawasan mempunyai garismasa kemajuan yang berbeza.

Garismasa kemajuan masyarakat Melayu kuno atau prasejarah meletakkan zaman Palaeolitik (Zaman Batu Lama) di Tanah Melayu di antara 1.83 juta tahun dahulu (melalui penemuan tapak Palaeolitik di Bukit Bunuh, Lenggong, Perak) dan 10,000 tahun dahulu (dengan penemuan Lelaki Perak juga di Lenggong). Pada zaman ini, orang Melayu Kuno masih menggunakan peralatan yang diperbuat daripada batu untuk berburu, mengetuk dan memotong daging.

Kemudian tiba zaman Neolitik (Zaman Batu Baharu) yang tiba sekitar 4,500 tahun dahulu. Di zaman ini, Melayu Kuno sudah pandai membuat peralatan daripada tanah liat seperti mangkuk, takal, gelang, manik. Mereka juga sudah mempunyai kepercayaan dan mengebumikan orang mati dengan cara lurus ataupun melunjur. Mereka juga tinggal di penempatan yang lebih kekal (gua-gua) dan berkemungkinan telah mula bercucuk tanam pada skala kecil serta membela binatang, berbanding cara nomadik masyarakat Palaeolitik.

Zaman Neolitik di Tanah Melayu tiba sekitar 4,300 dan 2,000 tahun dahulu, manakala di Sabah dan Sarawak pula ia tiba sekitar 3,000 dan 2,000 tahun dahulu. Masyarakat Neolitik pernah hidup di Gua Sagu, Kuantan, Pahang sekitar 885 S.M. Di Gua Dayak, Lenggong, Perak pula masyarakat Neolitik pernah tinggal di sana sekitar tahun 340 Masihi. Ini bermakna, sekiranya masyarakat Zaman Logam Sungai Batu sudah wujud dan berdagang hasil besi pada tahun 788 S.M, ianya berada dalam garismasa zaman Neolitik di mana masyarakat setempat masih menggunakan peralatan yang diperbuat daripada batu hingga 1,128 tahun selepas tahun 788 S.M.

Kita harus fahami walaupun Tamadun Yunani dan Lembah Indus telah lama menggunakan besi dan gangsa, ia tidak bermakna seluruh dunia turut lalui zaman yang sama. Sebagai contoh, zaman logam di Tanah Melayu bermula sekitar 2 Masihi hingga 5 Masihi. Ada pun gendang gangsa pernah ditemui di Sungai Tembeling di Pahang, Gua Harimau di Perak, Lembah Bernam di Selangor, dan di Batu Burok di Terengganu, kesemuanya ini merupakan Gendang Dong Son yang datangnya dari Dong Son di Vietnam dan ditinggalkan oleh para pedagang sekitar 500 S.M hingga 500 Masihi.

Ada sebab kenapa Vietnam dan Thailand lalui Zaman Logam lebih awal berbanding Tanah Melayu dan Indonesia. Ini adalah disebabkan oleh laluan perdagangan Barat ke Timur tidak melalui Selat Melaka hinggalah sekitar 2 ke 3 Masihi. Ini merupakan garismasa Lembah Bujang menjadi pelabuhan perdagangan yang terkenal. Ini mungkin disebabkan penemuan bijih besi bermutu jenis Hematite dan Magnetite di kawasan tersebut.

Sebelum itu, perdagangan hanya melibatkan rempah ratus dan barangan tidak berat seperti tembikar. Maka, laluan pedagang adalah merentasi Segenting Kra. Hanya setelah perdagangan melibatkan hasil besi, maka Selat Melaka menjadi laluan kapal-kapal dagang.

Masyarakat zaman Neolitik masih wujud di Indonesia dalam zaman sejarah moden. Contoh, Pulau Enggano di barat Sumatra masih wujud di abad ke-19, manakala masyarakat Neolitik masih wujud di Papua, Irian Jaya dan di Pulau Sentinel di Lautan Andaman. Ini adalah bukti perkembangan dan pembangunan sesuatu zaman bagi setiap masyarakat mahupun sesebuah rantau.

PERDAGANGAN DENGAN EMPAYAR ROM, KETIBAAN ISKANDAR ZULKARNAIN, DAN LEMBAH BUJANG HASIL EMPAYAR CHOLA?

Di antara dakwaan yang berkitar di dalam Jaringan Sejagat termasuklah dakwaan bahawa Empayar Rom pernah mempunyai hubungan perdagangan dengan Lembah Bujang dan telah menggunakan besi yang dibeli dari lembah tersebut untuk membuat pedang dan perisai tenteranya.

Sepertimana yang telah diterangkan di atas, industri peleburan besi di Sungai Batu berlaku sekitar tahun 2 Masihi hingga 5 Masihi. Empayar Rom wujud sekitar tahun 753 S.M dan berakhir pada tahun 1453 dengan jatuhnya kota Konstatinopel ke tangan Bani Othmaniah di bawah Sultan Mehmed II. Namun, wujud perdagangan di antara empayar tersebut dengan India dan China. Peta yang dilukis oleh Ptolemy pada tahun 2 Masihi menunjukkan laluan dagang darat (Laluan Sutera) untuk ke Serica dan laluan laut untuk ke Qin. Perdagangan ketika ini melibatkan sutera dan bulu binatang.

Teks Yunani Períplous tis Erythrás Thalássis (Pelayaran Mengelilingi Laut Merah) yang ditulis pada Abad Pertama tahun Masihi menyebut bagaimana para pedagang sutera belayar hingga ke Tamala, sebuah bandar di Myanmar yang terletak ke Barat Laut Semenanjung Tanah Melayu, dan kemudiannya menyeberangi Segenting Kra untuk ke Teluk Siam dan belayar seterusnya ke pelabuhan utama Qin iaitu Cattigara (kini Óc Eo di Barat Daya Vietnam).

Ini membuktikan bahawa perdagangan timur-barat pada Abad Pertama tahun Masihi masih hanya melibatkan barangan yang ringan yang boleh dibawa merentasi laluan darat (Segenting Kra) seperti sutera dan bulu binatang. Maka, Sungai Batu masih belum wujud sebagai sebuah pelabuhan terkenal, dan Selat Melaka masih belum menjadi laluan utama para pedagang.

Bagaimana pula dengan Iskandar Zulkarnain?

Beliau dilahirkan pada tahun 356 S.M dan meninggal dunia pada tahun 323 S.M, iaitu sekitar 400 hingga 500 tahun sebelum Sungai Batu menjadi pusat perdagangan terkenal dengan industri peleburan besi.

Walaupun sekiranya Sungai Batu telahpun wujud mengikut pentarikhan asal 788 S.M, paling jauh pernah Iskandar Zulkarnain dan bala tenteranya sampai ialah di Sungai Hyphasis (kini Sungai Beas di Himachal Pradesh, timur-laut India) bilamana tenteranya telah lakukan dahagi kerana enggan untuk terus mara ke timur, dan memaksa Iskandar untuk berpatah balik ke Yunani. Maka, agak mustahil bagi Iskandar mahupun isterinya untuk pernah menjejakkan kaki di Sungai Batu dalam usianya yang singkat (sekitar 33 tahun sahaja).

Bagaimana pula dengan pengaruh Empayar Chola?

Kawasan Lembah Bujang hanya dipengaruhi oleh Empayar Chola semasa pemerintahan Rajendra Chola I (di antara 1,014 Masihi dan 1,044 Masihi), iaitu

1,000 tahun setelah Sungai Batu menjadi pusat perdagangan besi terlebur, dan Lembah Bujang sebagai pelabuhan utama di rantau ini.

Ketiadaan penemuan sebarang struktur besar seperti Angkor Wat, Borobudur, atau seperti di Mohenjo-daro bermakna sifat Lembah Bujang sebagai pelabuhan dagangan tidak berubah menjadi pusat pentadbiran sebuah kerajaan Hindu India. Sebarang candi yang wujud, sebagai contoh di kawasan Pengkalan Bujang dibina menggunakan batu-bata tanah liat dan bersaiz kecil. Pentarikhan struktur-struktur tersebut juga menandakan bahawa pembinaan struktur-struktur tersebut dilakukan lebih kurang dalam masa yang sama, iaitu sekitar abad ke 10-11 Masihi, lebih kurang garis masa pengaruh kerajaan Chola di Kedah. 

Ini agak baharu sekiranya dibandingkan dengan Candi Bukit Batu Pahat yang terletak dalam lingkungan 10 kilometer ke barat laut Tapak Arkeologi Sungai Batu yang terbina sekitar abad ke 7 Masihi. Hanya Candi Bukit Choras di Kota Sarang Semut, sekitar 40 kilometer ke utara Tapak Arkeologi Sungai Batu dibina sekitar abad ke 4 Masihi, semasa industri peleburan besi di Sungai Batu sedang rancak.

Penemuan-penemuan di atas memberi kita kewarasan untuk membuat rumusan-rumusan seperti berikut :

  • Adalah mustahil untuk masyarakat Melayu Kuno untuk menghasilkan jongkong besi pada tahun 788 S.M apabila masyarakat Melayu Kuno di kawasan tersebut ketika itu menjalani kehidupan bersifat Neolitik. Empat sampel yang pentarikhannya 788 S.M itu berkemungkinan telah dibawa dari luar.
  • Pada tahun 788 S.M laluan pedagang dari Timur ke Barat adalah melalui Segenting Kra. Kedah belum menjadi pelabuhan terkenal. Tiada aktiviti perdagangan secara besar-besaran berlaku di Semenanjung Tanah Melayu sebelum Tahun Masihi. Teknologi peleburan besi ini besar kemungkinan dibawa dari luar, terutamanya dari benua India.
  • Raja/Ketua yang ada di kawasan Lembah Bujang telah menyediakan sumber manusia untuk menjalankan industri peleburan besi, serta industri-industri sampingan seperti pembuatan ketuhar peleburan dan Tureye, pembuatan batu-bata dari tanah liat, penyediaan makanan, dan tenaga buruh am.
  • Kehadiran candi-candi Buddha, Hindu, Animistik yang wujud sebelum kedatangan pengaruh kerajaan Chola di kawasan pesisiran laut lebih cenderung kepada membuktikan bahawa candi-candi tersebut disediakan oleh kerajaan yang ada pada ketika itu untuk menarik minat para pedagang luar, dan agama asing tidak banyak mempengaruhi masyarakat setempat. Ianya juga bukti masyarakat Melayu Kuno bersifat terbuka dan amalkan sikap bertoleransi.

KESIMPULAN

Kita tidak boleh menafsir sejarah dengan menggunakan emosi atau sentimen kenegaraan, keagamaan mahupun perkauman. Sudah tentu kita semua akan berbangga sekiranya wujud masyarakat Melayu Kuno yang maju pada tahun 788 S.M. Bayangkan pada zaman Kesultanan Melaka telah wujud satu bangunan setinggi menara Merdeka 118 sedangkan lain-lain bangunan di sekelilingnya diperbuat daripada kayu- hebat, tetapi tidak masuk akal.

Kita perlu menafsir sejarah menggunakan dokumen-dokumen, bukti-bukti nyata dan ketara, bukti-bukti yang disokong oleh lain-lain penyelidikan.

Sejarah adalah bersifat tidak menentu. Apa yang nyata pada hari ini bakal berubah apabila lain-lain bukti ditemui. 10,000 tahun dahulu manusia percaya bumi ini berbentuk leper. Penemuan abad ke-16 membuktikan bumi ini bulat. Sekian lama kita diajar bahawa Melaka dibuka sekitar tahun 1400. Pada tahun 2010, terdapat bukti kukuh Melaka dibuka pada tahun 1262.

Pada tahun 2008, kita digembirakan dengan berita wujudnya masyarakat Melayu Kuno yang maju di Sungai Batu sekitar tahun 788 S.M. Teknologi dan penyelidikan terkini pada tahun 2019 membuktikan bahawa tarikh tersebut sebenarnya ialah sekitar tahun ke-2 Masihi.

Itu bukti-bukti setakat ini. Mungkin dengan kewujudan teknologi yang lebih canggih di masa hadapan, apa yang kita ketahui hari ini juga akan berubah.

Copy and paste: 21/1/2024 > 9 Rejab 1445H: 1.24 am


No comments: