Sunday, 14 January 2024

TRAGEDI PENDAM BUNGKANG DIKENANG DENGAN TUGU PAHLAWAN KANOWIT

Oleh: Harun Yahya
Berita Harian : 10 November 2016


KANOWIT: Melihat seorang demi seorang rakan setugas gugur di medan pertempuran, adalah kenangan tidak mungkin luput dari ingatan Sylvester Dussie Chaong, 67, seorang daripada empat anggota Border Scout yang terselamat dalam 'Tragedi Pendam Bungkang' di Sungai Ngemah, di sini, 46 tahun lalu.

SYLVESTER DUSSIE CHAONG

Peristiwa hitam itu masih segar dalam ingatannya apabila bot panjang dinaiki bersama 15 rakan setugas untuk menjalankan rondaan rutin pada 27 Ogos 1970, ditembak bertalu-talu dalam serang hendap pengganas komunis.

Beliau yang ketika itu baru mencecah usia 21 tahun, menganggap dirinya cukup bertuah kerana terselamat, malah menyifatkannya sebagai hikmah kerana dapat berkongsi kisah pertempuran itu sebagai menghargai pengorbanan rakan seperjuangannya.

"Kejadian berlaku sangat pantas, bunyi tembakan memecahkan kesunyian di sepanjang laluan sungai berkenaan. Saya dapat melihat seorang demi seorang rakan setugas terkorban terkena tembakan yang bertali arus.

"Cukup gementar saya ketika itu, namun tetap mengagahkan diri membalas tembakan musuh. Malah, saya terpaksa terjun ke sungai yang agak deras untuk mencari tempat perlindungan," katanya.

"Cukup gementar saya ketika itu, namun tetap mengagahkan diri membalas tembakan musuh. Malah, saya terpaksa terjun ke sungai yang agak deras untuk mencari tempat perlindungan," katanya.

"Ketika berada dalam sungai, saya cuba bertahan dan tidak melepaskan tembakan kerana menyedari tidak cukup peluru. Saya tahu taktik bertahan dengan hanya menunggu jika musuh turun ke sungai untuk memeriksa mayat anggota keselamatan yang terbujur kaku.

"Detik itu ibarat saat menunggu mati. Berbekalkan lapan peluru itu, saya menunggu mereka turun. Komunis licik bersembunyi kerana saya langsung tidak nampak kelibat mereka di sebalik pokok dan semak samun. Mujurlah mereka tidak turun ke sungai dan saya terselamat," katanya.

Rakan Sylvester, Kalabet Lampun, 77, pula menempuh pengalaman tersendiri, kerana sebaik bunyi tembakan bermula, beliau yang sedang memegang senapang jenis Brent ketika itu terjatuh ke sungai sebaik peluru musuh terkena pinggangnya.

KALABET LAMPUN

"Ketika itu, saya memegang senapang Brent yang dihalakan ke seberang sungai. Saya sedar menjadi sasaran kerana antara yang terawal ditembak kerana memegang senjata.

"Sebaik tercampak ke sungai, saya tersangkut pada batu di sungai itu dan pengsan. Mungkin pengganas menyangka saya sudah mati ketika itu," katanya.

Selepas 46 tahun berlalu, pengorbanan 12 anggota keselamatan yang terkorban dalam `Tragedi Pendam Bungkang' akhirnya dikenang melalui pembinaan Tugu Pahlawan Kanowit di Dataran Kubu Emma, di sini.

Menampilkan reka bentuk burung kenyalang yang menjadi simbol kebanggaan Sarawak, monumen itu adalah satu-satunya tugu pahlawan pernah dibina di negeri ini.

Dua belas anggota Border Scout yang terkorban dalam serangan itu terdiri daripada

Koperal Numbu Kelen; Koperal Lat Gangga; Pantau Baro; Kanchin Ligan; Gelau Sumor; Emba Garing; Senang Bajai; Skudan Dampa; Jantom Jalong; Jantom Narok; Brain Balit; Luyoh Jaul dan Koperal Kong Siew Long dari Cawangan Khas Kanowit.


Penasihat Bekas Polis Malaysia Cawangan Kanowit, Datuk Gramong Juna, berkata selain nama 12 anggota Border Scout, turut terpahat pada tugu berkenaan ialah nama lima anggota tentera dan seorang polis yang terkorban ketika menentang ancaman komunis pada 1970.

Gramong yang mencetuskan idea pembinaan tugu terbabit, berkata monumen itu memberi memberi peluang kepada generasi muda mengenang pengorbanan perajurit yang sanggup menggadai nyawa mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negeri ini, sekali gus mensyukuri nikmat kemerdekaan negara.

Katanya, 'Tragedi Pendam Bungkang' pasti sentiasa dikenang selamanya sebagai `peristiwa hitam' dalam sejarah pasukan keselamatan mempertahankan negeri ini dari ancaman komunis yang berleluasa ketika itu sehingga menyebabkan banyak nyawa terkorban.

"Dalam kejadian 27 Ogos 1970 itu, 16 anggota Border Scout sedang menjalankan operasi rondaan di Pendam Bungkang, Sungai Ngemah, menggunakan sebuah bot panjang tanpa menyedari kehadiran komunis yang merancang serangan hendap ke atas mereka.

"Namun, hanya empat daripada mereka terselamat, manakala yang lain terkorban mempertahankan keselamatan dan kedaulatan tanah air, mereka berjuang sehingga ke titisan darah terakhir," katanya.

Dalam nada sebak tetapi penuh bersemangat, Gramong turut menghargai keberanian anggota keselamatan terbabit menghadapi serang hendap komunis di luar jangkaan itu.

"Keberanian mereka dikagumi kerana cukup bersemangat membalas serangan komunis walaupun menyedari nyawa mereka ibarat 'telur di hujung tanduk'. Keberanian mereka membuatkan komunis gentar dan melarikan diri," katanya.

Katanya, Tugu Pahlawan Kanowit juga dibina bagi mengenang jasa seorang anggota polis berketurunan Cina, Koperal Kong Siew Long, yang terkorban ketika menjalankan operasi risikan di Lukut dan kawasan sekitarnya pada 1969.

Malah, turut diberikan penghormatan lima anggota Renjer yang meninggal dunia ketika penugasan memerangi komunis di Kanowit dan Song.

"Dulu, Kanowit dikenali sebagai kawasan hitam kerana kehadiran ancaman komunis. Ini menyebabkan kerajaan ketika itu menubuhkan Kawasan Pemerintahan Keselamatan Rajang (RASCOM).

"Kehidupan ketika itu sangat susah dengan perintah berkurung, selain sering hidup dalam ketakutan dan kebimbangan dengan tahap keselamatan diri dan keluarga. Namun, keadaan kini sudah banyak berubah, malah kita boleh melihat sendiri pelbagai pembangunan berlaku di sini," katanya.

Beliau berkata, nikmat keamanan dikecapi itu membolehkan kerajaan memperuntukkan sejumlah besar dana bagi membiayai pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas yang mampu meningkatkan taraf sosio-ekonomi setempat.

"Dulu, kebanyakan peruntukan terpaksa dibelanjakan bagi membuat persediaan menghadapi perang (dengan komunis), termasuk memperkukuhkan benteng pertahanan negara. Namun, keamanan yang diperoleh kini membolehkan lebih banyak pembangunan dilaksanakan untuk kepentingan rakyat," katanya.

Copy and paste: 14 Januari 2024 > 2 Rejab 1445H: 12.38 pm



No comments: