Sunday, 7 January 2024

Filem Anti Penjajahan British

Oleh : Srikandi

Seingat Srikandi, negara kita sememangnya kekurangan filem-filem patriotik atau filem anti-imperialisme yang bertemakan melawan PENJAJAHAN BRITISH.
Kita ambil contoh Sarjan Hassan (1958) di mana filem ini berlatarbelakangkan perjuangan melawan penjajahan Jepun. Bukit Kepong (1981) pula adalah filem yang bertemakan menentang pengganas komunis.
Sumpah Di Bumi Merkah (1981) mengambil tema menarik - melawan penjajahan Siam. Boleh dikatakan antara filem patriotik yang lari dari tema penjajahan Eropah dan Jepun. Ini berdasarkan kisah Perang Musuh Bisik yang melibatkan kuasa Siam, satu lagi penjajah berdarah Asia selain Jepun.
Filem Darah Satria (1983) juga berlatarbelakangkan perjuangan pasukan keselamatan kita menghapuskan ancaman pengganas komunis. Sekalipun filem komedi seperti Prebet Lapok (1979) juga mengambil latar suasana negara berdepan dengan ancaman pengganas komunis.
Filem yang mengandungi lagu "Hey Kawan - Kawan" ini dikatakan antara filem yang berpengaruh untuk memotivasikan ramai anak muda menyertai Angkatan Tentera Malaysia di sekitar zaman itu.
Pada tahun 2000, keluar pula Leftenan Adnan. Dari judulnya sahaja kita tahu latar filem ini mengambil suasana menentang penjajahan Jepun. Filem Paloh (2003) pula agak unik - ia mengambil latar konflik antara tentera Jepun dan pengganas komunis.
Sebelum itu ada filem Embun (2002), mengambil latar penjajahan Jepun juga.
Filem Tanda Putera (2013) pula unik juga (seperti Paloh) kerana ia mengambil latar belakang berbeza, yakni ketika Tragedi 13 Mei. Tidaklah asyik-asyik latar zaman Jepun atau pengganas komunis sahaja.
Takkan takde langsung filem melawan British? Bau-bau sikit pun jadi ler.
Ada, filem 1957: Hati Malaya (2007). Filem ini mengambil latar ketika para nasionalisme berjuang untuk kebebasan dan kemerdekaan dari cengkaman penjajahan British. Ia diwakili dengan perjuangan melawan Malaya Union, rancangan licik yang ditaja oleh British untuk memperkemaskan agenda penjajahannya pasca imperialisme Jepun.
Tetapi itu di hujung-hujung imperialisme British. Mana filem melawan penjajahan British di zaman British tengah 'naik hantu', tengah mengganas dan rakus nak menjajah tanahair kita?
Maka jawapannya adalah MAT KILAU: Kebangkitan Pahlawan (2022). Filem yang diinspirasikan dari perjuangan tokoh penentangan British iaitu Mat Kilau yang bersama dengan ayahandanya, Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya, telah berjuang bermati-matian menentang penjajahan British pada fasa-fasa awal kedatangan puaka British di tanahair kita.
Takkan Mat Kilau aje... kita mahukan LEBIH LAGI filem-filem melawan penjajah British keparat!
Nah ini dia makannya... PENDEKAR AWANG DARAH INDERA GAJAH (2024). Insya Allah akan keluar pada 11 Januari 2024 ini. Ketepikan dahulu kritikan pasal baju, pasal 'adegan Freemason' dan sebagainya itu.
Filem ini perlu disokong supaya pengkarya kita akan lebih bersemangat menghasilkan filem-filem patriotik yang mampu menjadikan rakyat Malaysia khususnya anak-anak bangsa terinspirasi dengan semangat melawan pencerobohan, penjajahan, penindasan dan kekejaman orang lain yang berniat jahat kepada kita, negara kita dan tanahair kita.
Terutamanya filem bertemakan melawan penjajahan British. Kelak mungkin kita boleh membikin filem bertemakan melawan penjajahan Portugis. Mesti gempak punya sebab kena melibatkan pula conquistador, kapal-kapal nau Portugis, kepungan ke atas pelabuhan dan peperangan dalam bandar (rujuk Kejatuhan Melaka 1511 & Pengepungan Melaka 1641). Boleh juga ambil suasana ketika pentadbiran Portugis, Kota Melaka dah jadi macam ala-ala Mexico atau Manila. Orang Melayu sering buat serangan gerila. Orang Naning bersenjatakan pemuras melawan Portugis dari Kota Melaka...
Malah melawan penjajahan Belanda juga yang mana Srikandi teringatkan peperangan tahun 1690 di mana orang-orang Perak berperang dengan Belanda di Kota Belanda sehingga berjaya menewaskan penjajah tersebut dan mengusir keluar dari bumi Perak.
~Srikandi
Blood in The Mouth of Rentakas
*Buku ATBMIV sudah restock: https://shope.ee/A9i0MoPMGo

Copy & paste :
7 Januari 2024 > 25 Jamadilakhir 1445H: 7.34 am

No comments: