Saturday, 6 January 2024

PENAKLUKAN TANPA SENJATA: KEKUATAN ZIKRULLAH

Posted by : Wan Khairil Adli Yusof
PEMINAT SEJARAH LAMA > 18 December 2023

Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w bersabda: “Pernahkah kalian mendengar suatu kota yang terletak sebahagiannya di darat dan sebahagiannya di laut?”Para sahabat lantas menjawab:“Ya, wahai Rasulullah”. Rasulullah meneruskan: “Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga ia diserang oleh 70,000 orang daripada Bani Ishaq (iaitu kumpulan bangsa Rom yang Islam).Ketika mereka telah sampai di sana, mereka pun memasukinya. Namun, mereka tidak bertempur dengan sebarang senjata pun dan tidak juga melepaskan satu anak panah. Mereka hanya mengucapkan:"La ilaha illallah wallahu akbar." Lalu, jatuhlah salah satu bahagian kota itu - berkata Thaur, perawi hadis ini:"Saya tidak tahu kecuali sabda baginda: -" iaitu bahagian yang berada di laut."
Kemudian mereka berkata lagi kali kedua:"La ilaha illallah wallahu akbar."Maka, jatuhlah pula bahagian yang lain (bahagian yang berada di darat)."Kemudian mereka berkata lagi kali ketiga:"La ilaha illallah, wallahu akbar. Maka, terbukalah kota itu buat mereka. Lalu mereka pun memasukinya dan mendapatkan harta rampasan perang. Ketika mereka sedang membahagi-bahagikan harta rampasan tersebut, tiba-tiba datanglah kepada mereka seorang yang menyeru berkata, ‘Sesungguhnya Dajjal telah pun keluar’. Lantas mereka pun meninggalkan segala-galanya dan segera kembali’.” (HR. Muslim, no: 7517 dan al-Hakim)
*Ulama berselisih pandangan tentang pernyataan pasukan tentera ‘daripada Bani Ishaq’ di atas. Jika riwayat tersebut benar, maka ia bermaksud kumpulan bangsa Rom yang telah memeluk Islam sebagaimana pandangan Imam Ibn Kathir. Ini sesuai dengan zahir hadis kerana bangsa Rom adalah daripada Bani Ishaq.
Manakala sebahagian ulama berpandangan, kemungkinan perawi tersilap kerana lafaz yang sepatutnya ialah Bani Isma‘il yang merujuk kepada bangsa Arab dan mereka bukan Bani Ishaq. Ini dikuatkan lagi dengan riwayat-riwayat yang menunjukkan kebangkitan bangsa Arab pada masa itu. Antara kedua-dua pandangan ini tidak dapat dipastikan mana yang lebih tepat. Wallahu a‘lam...
Kemungkinan timbul persoalan, apakah yang dimaksudkan ialah pembukaan Konstantinopel oleh Sultan Muhammad al-Fatih yang telah menguburkan Empayar Byzantine pada tahun 1453M (857H)?
Berdasarkan hadis-hadis dalam isu ini menunjukkan pembukaan Konstantinopel merupakan salah satu tanda hampirnya hari kiamat.
Menurut as-Sayyid Muhammad Rasul al-Barzanji (w. 1103H) dalam kitabnya al-Isya‘ah li Asyrat al-Sa‘ah,Konstantinopel yg dimaksudkan bukan Konstantinople yang ditakluk itu kerana ia sudah menjadi negara Islam,tetapi ia bermaksud adalah Konstantinopel Besar (Qustantiniyyah al-Kubra).
As-Sayyid Muhammad Rasul al-Barzanji memetik daripada pengarang kitab ‘Iqd al-Durar bahawa Konstantinopel Besar bersambung dengan negara-negara Rumiyyah (Rome) dan Andalus (Spain). Rumiyyah ialah ibu negara-negara bangsa Rom dan orang yang memerintahnya dipanggil al-Bab (Pope), iaitu pemerintah tertinggi bagi agama Nasrani (Kristian) sepertimana kedudukan khalifah bagi kaum muslimin.Gambaran ini pada masa sekarang boleh jadi merujuk kepada Vatican City, iaitu pusat utama bagi agama Kristian sedunia dekat Rome, Itali.
Penaklukan Konstantinopel ini termasuk antara penaklukan yang unik,kerana negeri itu berhasil dikuasai oleh kaum muslimin tanpa senjata, melainkan dengan tahlil dan takbir sebagaimana dijelaskan dalam hadis.

Menurut Dr. Syaraf al-Qudhah pula, maksud pembukaan Konstantinopel ini ialah pembukaan Konstantinopel kali yang kedua di mana akan gugurnya sistem sekular di negara tersebut (yakni di Turki). Maka, sebab itu ia berjaya ditakluk tanpa sebarang senjata, tetapi dengan tahlil dan takbir kerana penduduknya memang sudah pun Islam.
Kedua-dua pandangan ini mungkin dapat disatukan di mana akan berlaku kedua-dua pembukaan sekaligus, iaitu pembukaan Konstantinopel kali kedua (Istanbul) dan pembukaan Konstantinopel Besar (Rome). Wallahu a‘lam.
Buktinya terdapat hadis-hadis yang menggambarkan kedua-dua pembukaan tersebut iaitu:Dari ‘Abdullah bin 'Amr r.a. berkata: 'Sewaktu kami berada di sekeliling Rasullullah s.a.w. kami menulis (hadis-hadis) tiba-tiba Rasulullah SAW ditanya: Manakah antara dua kota yang pertama sekali akan ditaklukkan, Konstantinopel atau Rumiyyah (Rome)?’ Lalu Nabi SAW menjawab: “Kota Hiraql (Heraclius) yang akan dibuka terlebih dahulu", iaitu Konstantinopel." (HR Ahmad, al-Darimi 486 dan al-Hakim)
Dari ‘Amru bin ‘Auf secara marfu‘ sabda baginda SAW: “Kiamat tidak akan terjadi sehinggalah Allah ‘azza wajalla membukakan ke atas orang mukminin kota Kostantinopel dan Rumiyyah (Rome) dengan tasbih dan takbir”. (HR al-Dailami)
Terdapat hadis yang menentukan tempoh antara al-Malhamah al-Kubra, pembebasan Kostantinopel dan kemunculan Dajjal iaitu;
Dari Jabir bin Samurah dari Nafi' bin Utbah r.a berkata: Kami pernah bersama Rasulullah s.a.w dalam suatu peperangan.DIa (Nafi') bercerita:"Maka ada suatu kaum dari sebelah Maghrib datang menemui Nabi SAW dan mereka itu memakai baju bulu. Mereka menemui baginda dekat dengan sebuah bukit. Mereka berdiri sementara Rasulullah SAW duduk.DIa berkata lagi:"Hatiku berkata: "Datangilah mereka dan berdirilah di antara mereka dan baginda s.a.w agar mereka tidak mengapa-apakan baginda. Lalu aku berkata: Mungkin baginda berbicara sulit dengan mereka. Maka aku pun mendatangi mereka, lalu aku berdiri di antara mereka dan baginda. Aku menghafal empat kalimat dari baginda, aku menghitungnya dengan tanganku."
Baginda bersabda: "Kamu sekalian akan memerangi semenanjung Arab lalu Allah akan menaklukkannya, setelah itu Parsi lalu Allah akan menaklukkannya,kemudian kamu sekalian akan memerangi Rom lalu Allah akan menaklukkannya,selanjutnya kalian akan memerangi Dajjal lalu Allah akan menaklukkannya juga." Kemudian Nafi' berkata: Wahai Jabir, kami tidak berpendapat Dajjal akan muncul sehinggalah Rom ditakluki. (HR Muslim 5161, Ahmad dan lain-lain)
ALLAHU A'LAM

Copy and paste:
6 Januari 2-24 > 24 Jamadilakhir 1445H: 4.18 pm

No comments: