Wednesday 10 January 2024

Ketukan misteri setiap malam, penduduk gelisah

SUMBER: BULETIN TV3 > 9 JANUARY 2024

KUALA PILAH: Sejak 31 Disember lalu, penduduk Kampung Kepis Ulu, di sini diganggu ketukan misteri yang menakutkan.

“Selepas tiga kali pintu diketuk, terdengar tombol pintu pula dipulas. Ia betul-betul dekat dengan tempat saya tidur dan dapat dengar dengan jelas,” kata penduduk Nafisah Mohm Sahabuddin, 38.

Kejadian ini menghantui penduduk dan sehingga awal pagi tadi sekurang-kurangnya 16 rumah mengalami insiden yang menakutkan itu.

Penduduk mendakwa, selepas diselidik kejadian itu memang tidak menunjukkan sebarang kehadiran atau perbuatan manusia malah tidak mempunyai motif yang tertentu.

Nafisah berkata, kejadian berlaku pada jam 3.50 pagi Ahad lalu ketika dia sedang tidur bersama nenek dan anak perempuanya yang berusia 10 tahun.

“Selepas dengar ketukan dan tombol pintu dipulas, saya terus bangun dan buka lampu namun tidak berani untuk buka pintu kerana bimbang jika ada perkara yang tidak diingini berlaku.

“Saya kemudiannya meninjau melalui tingkap, namun tidak nampak sebarang kelibat. Selepas itu saya memang tidak dapat tidur sebelum ibu yang tidur di bilik lain terjaga jam 4.30 dan bertanya apa yang terjadi,” katanya ketika ditemui, malam tadi.

Jelasnya lagi, kira-kira jam 6 pagi dia dan ibunya keluar meninjau bagi melihat keadaan di luar rumah berhampiran pintu itu, namun tidak menemui sebarang jejak atau kesan kehadiran manusia.

“Jika ada orang datang ke rumah memang akan ada jejak kaki kerana keadaan di hadapan rumah becak selepas hujan pada malam kejadian. Saya difahamkan kejadian sama berlaku di dua rumah lain pada malam sama,” katanya.

Hasdi Abu Hasan, 52, berkata, rumahnya diganggu ketukan misteri itu sebanyak dua kali masing-masing pada malam 31 Disember dan 2 Januari lalu.

“Saya difahamkan rumah saya adalah kediaman pertama yang diganggu ketukan misteri di kawasan ini. Kedua-dua kejadian berlaku ketika saya tiada di rumah, namun diceritakan anak dan ibu saya.

“Apa yang membuatkan saya hairan, di kawasan rumah saya terdapat dua anjing, namun ketika kedua-dua kejadian, haiwan berkenaan membisu,” katanya yang menasihatkan anak serta ibunya supaya memasang lampu di luar rumah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kepis Ulu, S Afendi Baharuddin berkata, dia meminta bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan polis untuk menjalankan rondaan.

“Setakat malam tadi, kami difahamkan sudah 16 rumah yang mengalami kejadian sama. Jadi, bagi menenangkan penduduk kampung dan dalam masa sama bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku kami meminta kerjasama anak muda di kampung ini untuk melakukan rondaan.

“Mereka dipecahkan kepada lima kumpulan mengikut lokasi dengan setiap kumpulan terdiri daripada lima ke enam individu. Pasukan Rela dan polis juga membantu meronda.

“Kami juga meminta pihak masjid dan surau untuk membuat bacaan Yasin selama tiga malam berturut-turut. Kami sendiri tidak tahu apa yang menggangu penduduk, jadi dengan inisiatif ini sedikit sebanyak membantu meredakan kegelisahan mereka,” katanya.

Tambahnya, apa yang menghairankan, sebaik menerima maklumat gangguan menerusia kumpulan Whatsapp, peronda bergegas ke lokasi, namun selepas disiasat memang tidak menemui apa-apa bukti atau kesan kehadiran manusia.

Copy and paste:10 Januari 2024 > 29 Jamadilakhir 1445H: 10.54 pm


No comments: