Taiping tidak asing bagi diri saya kerana saya dilahirkan di Taiping, Perak pada 2 Julai 1961 di Old Kamunting Road. Ketika itu Arwah ayah saya 2059 PWII Maamor berkhidmat dengan Batalion ke 7 Rejimen Askar Melayu DiRaja yang ditugaskan di Taiping, Perak.
2003 : TAIPING, PERAK
Bergambar kenangan di hadapan rumah lama di mana saya dilahirkan pada 1961 yang tertetak di Kelapa Line Quarters, di Kamunting, Taiping, Perak. Foto di ambil ketika saya dan keluarga bercuti ke Taiping pada 2 Februari 2003.
Ini bermakna hanya setelah 42 tahun baru saya dapat melihat kembali rumah dimana saya dilahirkan.
Hotel Seri Malaysia Taiping dimana kami sekeluarga menginap sepanjang kami berada di Taiping. Terletak di Jalan Sultan Mansor, Taman Tasik Taiping. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Taiping sejauh 276 km mengambil masa perjalanan selama 3 jam 6 minit.
Hotel Seri Malaysia Taiping adalah hotel bajet 2-bintang yang sangat popular di era tersebut. Terletak bersebelahan dengan Penjara Taiping, dan berdekatan dengan Taman Tasik Taiping dan Zoo Taiping.
Muzium Perak yang terletak di Jalan Taming Sari, Taiping, Perak ini dibina pada tahun 1883 dan merupakan muzium yang pertama ditubuhkan di Malaysia. Terdapat bahan koleksi etnologi, sejarah, alam semulajadi, arkeologi dan etamobiologi di Muzium ini.
Zoo Taiping atau Taman Mergastua Sultan Idris Shah adalah Zoo tertua di Malaysia dirasmikan pada 7 Mac 1964. Terletak di Jalan Taman Tasik Taiping, sebuah kawasan semula jadi berhampiran Bukit Larut (Maxwell Hill).
2013: TAIPING, PERAK
Setelah 10 tahun meninggalkan Taiping, akhirnya saya kembali ke Taiping, kali ini hanya untuk penginapan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.
Sepanjang tahun 2013, saya dan rakan-rakan sekerja telah 2 kali menginap di Legend Inn Taiping dalam perjalanan pulang dari program Kesihatan kami di sebelah utara. Kami tidak ada apa-apa event di Taiping, cuma singgah bermalam sahaja.
Saya dan rakan sekerja dari Yayasan Jantung Malaysia singgah bermalam di Legend Inn Taiping dalam perjalanan pulang dari event kami di SMK Berapit di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 5-6 Februari 2013. Ini adalah kerana salah seorang setaf kami, Miss Tan akan terus pulang bercuti Tahun Baru Cina di kampungnya di Bagan Serai. Kami turunkan beliau di Stesen Bas Taiping dan kami terus mencari hotel penginapan kerana kami bercadang untuk beristirehat dan hanya akan pulang ke KL keesokan harinya.
Hotel Legend Inn Taiping dibuka pada tahun 1994, lokasinya ialah di Jalan Long Jaafar, Taiping, Perak.
Rujuk: Zulheimy Maamor: 2013 - SMK Berapit, Bukit Mertajam, P.Pinang
Dalam perjalanan pulang dari program Kesihatan kami di SMJK Chio Min di Kulim, Kedah, pada 29 Disember 2013, kami bercadang untuk menginap di Hotel Legend Inn Taiping dan akan meneruskan perjalanan ke KL keesokan harinya. Ini adalah kali kedua kami menginap di hotel ini pada tahun 2013.
Rujuk: Zulheimy Maamor: 2013 - Kulim Bandar Baharu, Kulim & Taiping.
Taiping ialah sebuah bandar bersejarah berfungsi sebagai ibu kota jajahan Larut Matang dan Selama di Perak. Sebelum ini dikenali sebagai Klian Pauh, nama Taiping berasal dari perkataan Cina "Tai-Peng" bermaksud "Aman selamanya", sempena berakhirnya Perang Larut pada 1874.
Taiping adalah ibu negeri Perak yang pertama sebelum diambilalih oleh Ipoh pada tahun 1937. Mendapat julukan "Rain Town" Malaysia kerana menerima taburan hujan tahunan paling tinggi di negara ini.
Taiping terkenal sebagai perintis pembangunan moden dengan rekod 40 perkara pertama yang diwujudkan di Malaysia seperti Stesen Keretapi pertama, Zoo perama, Muzium tertua, penjara pertama dan lain-lain.
2014: PACIFIC MALL, TAIPING
Foto kenangan "Taiping Heartweek 2014" yang berlansung di Pacific Mall Taiping dari 31 Oktober - 2 November 2014 anjuran Yayasan Jantung Malaysia.
Kami telah menginap di Panorama Hotel yang terletak di Jalan Kota di Taiping, Perak. Ia terletak berhampiran dengan Menara Jam Taiping.
Maklumat terkini yang dapat, Hotel ini telah ditutup secara kekal berikutan kesan jangka panjang daripada pandemik COVID-19.
AEON Mall Taiping terletak lebih kurang 4.5 km dari Panorama Hotel iaitu di Jalan Kamunting. Disini kami bertemu dengan seorang ahli Lions Club Taiping untuk membincangkan kemungkinan untuk mengadakan kerjasama dengan Lions Club Taiping untuk mengadakan program Kesihatan di AEON Mall Taiping.
Taman Tasik Taiping merupakan taman awam pertama di Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1880. Terletak sekitar 1.5 km dari hotel penginapan kami.
2017: TAIPING BUDDHIST SOCIETY
Kenangan Program Pemeriksaan Kesihatan di Taiping Buddhist Society di Jalan Muzium Hulu, Taiping.
Rujuk : Zulheimy Maamor: 2017 - TAIPING, PERAK (YAYASAN JANTUNG MALAYSIA)
Kami menginap di Hotel Cherry Inn yang terletak di Jalan Stesen, Taiping, berhadapan Sekolah King Edward VII.
Bersebelahan hotel ini terletaknya Sekolah King Edward VII dimana arwah abang Sulong saya pernah belajar di sini semasa keluarga kami menetap di Kamunting, Taiping tahun 60'an.
Sekolah ini dibina pada Julai 1883 dan merupakan sekolah yang pertama di Negeri-Negeri Selat.Mengambil sempena nama King Edward, Raja British yang menggantikan Queen Victoria yang meninggal dunia pada tahun 1901.
Pemandangan di sekitar hotel kami menginap, rumah tradisional yang dibawah itu adalah rumah yang dikenali sebagai Chinese Heritage House yang sering menjadi tumpuan pelancong dan peminat fotografi.
Tidak lepas peluang untuk merasai cendol dan Rojak yang cukup terkenal di sini.
Jalan Panglima Ah Chong, ketua Puak Ghee Hin semasa Perang Larut. Kenapa nama seorang ketua Kumpulan Kongsi Gelap diberi penghormatan pada sebatang jalanraya, saya pun tidak pasti, mungkin ada jasa-jasanya pada masyarakat yang tidak kita ketahui.
Taiping War Cemetery terletak di Jalan Bukit Larut, adalah tempat persemadian terakhir bagi lebih 850 anggota tentera Bersekutu yang terkorban semasa Perang Dunia Kedua.Dibuka pada 1951, ianya diselenggara sepenuhnya oleh pihak Commonwealth War Graves Commission (CWGC). Terdapat pelbagai bangsa disemadikan di perkuburan ini antaranya Inggeris, Cina, India dan beberapa kubur orang Melayu.
Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, K.L
14 Mei 2026: 6.19 p.m






















No comments:
Post a Comment