Alhamdulillah pada 2 Mei 2026, saya bersama isteri ikut serta Kaklang (Kakak saya) dan Ipar saya bertolak dari rumah kakak saya di Bandar Tasik Puteri,Rawang jama 7.00 pagi menuju ke Lumut, Perak untuk menghadiri Hari Terbuka Armada TLDM di Pengkalan TLDM, Lumut, Perak.
Sebagai Bekas anggota TLDM, sudah tentu saya amat teruja untuk kembali ke Pangkalan TLDM Lumut dimana saya pernah bertugas dan Berkhidmat di Kapal-Kapal TLDM yang berpangkalan di Lumut.
Kali terakhir di Pengkalan ini ialah pada 1995 sewaktu memulangkan pakaian seragam TLDM di Stor Pakaian.
Ketika melalui terlihat sebuah stesen Minyak yang jarang dilihat dan kemungkinan ada yang tidak sedar akan kewujudannya di negara kita.
Sebenarnya Stesen Minyak Five mula diperkenalkan secara rasmi pada March 2020 iaitu ketika negara kita dilanda wabak pandemik COVID-19. Stesen minyak yang pertama dibuka di Kalumpang, Selangor pada tahun 2020. Syarikat ini diuruskan oleh FIVE Petroleum Malaysia Sdn Bhd.
Kami singgah bersarapan pagi di sebuah gerai di Sekinchan, Selangor. Sebenarnya ini kali kedua saya pernah singgah bersarapan disini pada 2015 ketika dalam perjalanan ke Lumut untuk percutian keluarga di Marina Cove, Lumut.
Zulheimymaamor > 2015: Family Trip - Lumut, Perak
Ketika sampai Pekan Lumut, mengimbau kembali kali pertama saya jejak kaki di pekan ini tahun 1980 ketika menjalani latihan rekrut Pengambilan 139/80 dari Januari 1980 hingga Jun 1980. Lumut memanglah sudah tidak asing bagi saya.
Lumut, bandar yang terletak di daerah Manjung, kira-kira 84 km dari Ipoh. Bandar ini sinonim dengan identitinya sebagai bandar maritim dan pintu masuk utama ke Pulau Pangkor.
Menurut catatan orang Perak nama Lumut asalnya adalah Tanah Merah dibuka oleh Raja Ungku Busu pada abad ke 17. Bandar Lumut telah diisytiharkan sebagai Bandar Tentera Laut, Pelancongan dan Maritim pada 2009.
Rujuk : Tourism Malaysia
Semasa melalui premis ini dalam pengkalan TLDM Lumut, saya terkenang kembali zaman 80 an dulu, bangunan ini dulu pernah menjadi Mini Shopping Complex ditubuhkan secara rasmi pada 1 Julai 1983 (tarikh sama PERNAMA (Perwira Niaga Malaysia) ditubuhkan...
Veteran TLDM 80 an pasti ingat Shopping Complex Mini ini... sekarang adalah Mutiara Armada (saya tak pasti akan fungsinya sekarang)
Kuarters TLDM sekarang semakin cantik dan tersusun berbanding semasa saya tiba pada 1980 dahulu.
Rujuk: zulheimymaamor : Sejarah Pengkalan TLDM Lumut
Kami memasuki Pengkalan TLDM Lumut melalui Gate 2 berhampiran Telok Muroh. Kami terus mencari kawasan untuk parkir, keadaan Jem teruk dari pintu masuk lagi. Kami mula-mula parking di Kompleks Sukan TLDM dan kemudian turun ke bawah untuk menunggu Bas TLDM yang akan membawa pengunjung ke Jeti TLDM. Namun setelah hampir lama menunggu, dan tiada bas yang berhenti mengambil penumpang, akhirnya kami mengambil keputusan untuk balik ke kereta dan cari parking sendiri berhampiran. Puas jugalah pusing banyak kali tidak ada parking yang kosong. Akhirnya dapat juga parking, itulah berkatnya bersabar, in sya Allah Allah permudahkan.
Kompleks Sukan TLDM
Disinilah berlakunya tragedi menyedihkan pada tahun 2024 dimana 2 buah pesawat TLDM iaitu pesawat HOM dan pesawat Fennec bertembung pada 23 April 2024 yang mengorbankan 10 anggota TLDM....
Al Fatihah kepada mereka-mereka yang terkorban....
Jeti TLDM Lumut - foto terkini (2026) dan foto Jeti Lumut pada tahun 1980, ketika saya menjejak kaki ke pengkalan ini untuk menjalani latihan rekrut dari January - Jun 1980, dan kemudian meneruskan kursus cawangan komunikasi dari Jun hingga Disember 1980.
Pada tahun 1980, Jeti TLDM Lumut belum siap sepenuhnya dan belum ada lagi kapal-kapal TLDM bertambat di Jeti ini....
Antara kapal-kapal TLDM yang berada di Jeti ketika itu ialah sebuah kapal yang legend dalam TLDM iaitu KD Hang Tuah (F76). Kapal ini yang merupakan bekas kapal Tentera Laut British , HMS Mermaid telah berkhidmat dengan TLDM sejak 1977. Ia merupakan kapal kedua dengan nama KD Hang Tuah selepas kapal Frigate pertama KD Hang Tuah (F433) iaitu bekas HMS Loch Insh dilucutkan tauliah.
KD Hang Tuah (F76) dilucutkan tauliah pada 3 Disember 2025 setelah 48 tahun berkhidmat dengan TLDM.
Antara kenangan saya bersama KD Hang Tuah ialah pada tahun 1985 ketika saya berkhidmat dengan KD Mutiara (A255) yang pada tahun itu telah belayar bersama KD Hang Tuah ke India dan Republic of Maldives.
KD Mahamiru (M11) adalah kapal Penyapu Ranjau Utama milik TLDM dari 26th Mine Countermeasure Vessel (MCMV) Squadron. Ditauliahkan pada 11 Disember 1985 di La Spezia, Italy, direka khusus untuk mengesan, mengenal pasti dan memusnahkan periuk api laut.
Rujukan: Wikipedia : Senarai Kapal Tentera Laut DiRaja Malaysia.
Bot tempur Kelas Fast Intercepter Craft (FIC) G2000 MK II dibina oleh syarikat tempatan, Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd dan digunakan oleh TLDM dalam operasi pemintasan berkelajuan tinggi serta rondaan Maritim. Bot ini mampu mencapai kelajuan melebihi 50 knot (kira-kiran 92 km/jam).
Aktiviti "Boat Rides": Selain menonton, orang ramai juga berpeluang merasai sendiri pengalaman menaiki bot melalui aktiviti boat rides yang disediakan khas untuk pengunjung.
KD Laksamana Hang Nadim (F134), kapal Korvet Kelas-Laksamana adalah sebahagian dari sekuadron ke 24 Korvet (24th Corvette Squadron). Dibina di Italy dan ditauliahkan dalam TLDM pada 28 Julai 1997. Dinamakan sempena nama seorang Laksamana di zaman Kesultanan Melayu Melaka.
KD KASTURI (FSG 25) dari Sekuadron Korvet ke 22 bersama KD Lekir (FSG 26) telah ditauliah di Kiel, Germany pada 15 Ogos 1984.
Saya dan isteri serta kakak saya mengambil peluang untuk melawat kapal KD Kasturi, disebabkan kapal KD Lekir masih belum tiba di Lumut, saya pun ambil keputusan melawat KD Kasturi kerana KD Kasturi adalah "Sister Ships" kepada KD Lekir, mempunyai bentuk yang sama dan dari sekuadron yang sama.
Terima kasih anak-anak kapal KD Kasturi kerana telah melayan kami dengan baik dan mesra, tambah pula apabila mereka dapat tahu saya adalah ex-crew KD Lekir, kira saya ni otai mereka jugalah....
Kapal KD Lekir (FSG 26) tiba di Pengkalan TLDM Lumut pada hari Ahad 3 Mei 2026 setelah 2 bulan (26 Februari - 3 Mei 2026) terlibat dalam Misi Lekir Australia Deployment 2026 (LEAD 2026). Ia merupakan operasi Maritim Antarabangsa yang melibatkan aset TLDM iaitu KD Lekir.
KD Lekir telah belayar merentasi 7 perairan utama termasuk Laut Jawa, Laut Timor dan Lautan Hindi. Walaupun telah berusia 42 tahun, KD Lekir terbukti masih berkeupayaan tinggi selepas berjaya mengelilingi benua Australia dan menempuh ombak setinggi lima hingga tujuh meter di Great Australian Bight dan Great Barrier Reef.
mengelilingi benua Australia setelah kali pertama dilakukan pada 1991 oleh KD Lekir bersama KD Mahawangsa. Saya terlibat dalam pelayaran tahun 1991 ketika bersama KD Lekir.
Rujuk:
Pengunjung berpeluang menyaksikan Manuvra Bot Tempur yang menunjukkan kelajuan dan kecekapan pengendalian bot dalam situasi operasi.
Persembahan ini sering melibatkan penggunaan bot tempur laju bersama pasukan PASKAL dalam demonstrasi menyelamat tebusan dan memintas kapal musuh.
Di Hari Terbuka Armada (HTA) 2026, pengunjung berpeluang mendapat khidmat Pemeriksaan Kesihatan percuma dikendali oleh 95 Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak.
Kelihatan dalam foto abang ipar saya sedang menjalani pemeriksaan kesihatan. Saya tidak membuat pemeriksaan kerana saya saja buat appointment dengan HAT Tuanku Mizan bulan lepas.
Turut dijemput mengadakan pameran ialah unit-unit dari Tentera Darat seperti Rejimen Renjer Diraja, Kor Artileri Diraja dan Kor Armor Diraja yang membawa aset-aset masing-masing. Saya diberitahu oleh anggota bertugas mereka adalah dari Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah.
Pelbagai agensi-agensi Kerajaan dan Swasta turut diundang pada tahun ini dan membuka booth masing. Antara yang saya sempat ingat dan ada yang sempat saya lawati ialah Pasukan Polis Marin, JHEV, Jabatan Penjara, Kementerian Pendidikan Tinggi, UPNM dan banyak lagi yang saya tidak berapa ingat.
Antara cenderahati yang saya bawa pulang ialah Jockey Cap KD Lekir, kerana saya adalah bekas anak-kapal KD Lekir, sudah tentu ini membawa suatu kenangan bagi saya yang pernah berkhidmat di atasnya.
Statistik jumlah pengunjung... terbaik TLDM
Blue Bay Resort Lumut dihadapan kedai Hasil Laut Jamilah. Saya ada kenangan di Resort ini dimana saya pernah menginap di sini tahun 2012 ketika Program Kesihatan di Pulau Pangkor.
Kami meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur tapi singgah makan Malam dulu di Restoran M.Gulam di Kampung Sungai Ranggam di Teluk Intan, Perak.
Selesai makan baru kami meneruskan perjalanan ke rumah kakak saya di Bandar Tasik Puteri dimana saya dan isteri mengambil keputusan untuk bermalam di rumah kakak saya sebelum pulang ke Lembah Keramat esok paginya. Rancangan asal kami nak terus balik ke Lembah Keramat, tapi disebabkan kepenatan kami tangguh untuk balik esok.
Sesungguhnya ini adalah satu lawatan bermakna terutama bagi saya bekas anggota TLDM yang telah 30 tahun meninggalkan perkhidmatan TLDM... sangat teruja bila dapat menjejak kaki kembali di tempat dimana saya pernah bertugas suatu ketika dahulu.... walaupun penat kerana terpaksa berjalan jauh dari tempat Parking ke Jeti TLDM ditambah dengan cuaca panas yang membahang, namun itu semua tidak menjadi halangan bagi saya untuk turut serta dalam HTA 2026 kerana lepas ini belum pasti saya dapat hadir lagi...in sya Allah jika diizinkan Allah, saya pasti akan sampai kembali....
Akhir kata Syabas TLDM..... anda memang terbaik.....
Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, K.L
5 Mei 2026: 3.20 a.m
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)

.jpg)

.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)


.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)



No comments:
Post a Comment