Sunday, 10 May 2026

FOTO KENANGAN: JOHOR (MASAI, PASIR GUDANG, MUAR, BATU PAHAT, KULAI JAYA, SEDENAK)

1981 : PASIR GUDANG
Antara kenangan saya di Pasir Gudang, Johor ialah ketika kapal saya KD Raja Jarom menjalani senggaraan di Malaysian Shipyard and Engineering di Pasir Gudang pada tahun 1981. 


1995 BATU PAHAT
Saya dan keluarga menghadiri Majlis Perkahwinan adik kepada abang ipar di Batu Pahat, Johor. Pengalaman kali pertama ke Batu Pahat.


2013: MASAI, JOHOR
Masai adalah sebuah bandar terletak di timur Daerah Johor Bahru dan dianggap menjadi bahagian tertua Johor Bahru. Ia terletak kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar Johor Bahru. Masai terletak di jalan J10 yang menghala ke Kong Kong, satu perkampungan di sepanjang Sungai Johor.


2013: TAMAN RINTING, MASAI
Program Yayasan Jantung Malaysia dalam bulan April 2013 diteruskan dengan Program Kesedaran Penyakit Jantung yang berlansung pada 14 April 2013 bertempat di SJK (Cina) Masai, Johor. 
Seramai 85 penduduk Taman Rinting, Masai telah menjalani ujian Saringan Kesihatan sepanjang program dijalankan selama sehari. 



T.S. Hotel - kami menginap di hotel ini sepanjang program dijalankan. Terletak lebih kurang 3.7 km ke SJK (Cina) Masai. 

2013: MUAR, JOHOR
Daerah Muar terletak di Barat Laut negeri Johor. Daerah Muar terdiri daripada daerah Muar itu sendiri (lebih dikenali dengan nama Bandar Maharani) dan juga daerah kecil Tangkak. Muar bersempadan dengan negeri Melaka (Sungai Rambai) di utara, Segamat di Timur dan Batu Pahat di Selatan.
Perkataan 'Muar' dikatakan berasal dari perkataan 'Muara' . Sejarah Muar dikatakan telah bermula lebih awal dari Sejarah Melaka, namun kerana tiada catitan sejarah yang sempurna dan bukti arkeologi, sejarah silam Muar kurang diketahui umum.



2013: MRSM MUAR
Yayasan Jantung Malaysia telah menganjurkan program Pemeriksaan Kesihatan Peringkat Sekolah di Maktab Rendah Sains MARA, Muar Johor pada 22 Oktober 2013.
Seramai 106 murid dan 3 orang guru telah menjalani ujian kesihatan yang dijalankan pada hari tersebut.


MRSM Muar terletak kira-kira 10 km dari bandar Maharani,Muar di mukim Bakri daerah Muar, Johor. Ia dibuka pada tahun 1980 dengan pengambilan pelajar seramai 149 orang.
Maktab Rendah Sains MARA atau MRSM adalah merupakan sekolah berasrama penuh yang ditubuhkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dihampir setiap negeri di Malaysia. Ia ditubuhkan di bawah Akta Majlis Amanah Rakyat bil. 20 tahun 1966 sebagai usaha MARA untuk melatih bumiputera dalam bidang latihan dan pendidikan.
Terdapat 48 buah MRSM di seluruh Malaysia. 43 buah di Semenanjung manakala bakinya 5 buah MRSM di Sabah dan Sarawak.



Kami menginap di PPT Muar Hotel yang terletak di Jalan Bakri, Taman Orkid, Muar,lebih kurang 9 km dari MRSM Muar. 

2014: AEON MALL KULAI JAYA
Kenangan program Kesihatan anjuran Yayasan Jantung Malaysia yang berlansung di AEON Mall Kulaijaya dari 28 Mei hingga 1 Jun 2014. 



Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur setelah selesai Program Kesihatan di Pontian pada 7 September 2014, kami singgah sebentar di Sedenak , Johor untuk membeli Nenas sebagai ole-ole dari Pontian. Pemandangan yang indah memang cukup mendamaikan hati ... namun Pontian terpaksa kami tinggalkan .... 
Sedenak ialah sebuah mukim di Daerah Kulai, Johor yang kini sedang berkembang pesat sebagai pusat data (Data Centre) terbesar di Malaysia dan rantau Asia Tenggara. Kawasan ini merupakan komponen penting dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) yang bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi digital di Iskandar Malaysia.

2014: BATU PAHAT
Foto Kenangan ketika menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Program di Kolej Poly-Tech MARA Batu Pahat pada 24 September 2014. Kolej ini terletak di bangunan Tabung Haji di Jalan Timah Sari, Batu Pahat. 

Kami menginap di Batu Pahat Hotel ketika mesyuarat itu.


Batu Pahat atau Bandar Penggaram (BP) terletak di barat Negeri Johor serta dikelilingi oleh daerah Muar, Segamat, Pontian dan Kluang. 
Batu Pahat merupakan bandar ke-16 terbesar di Malaysia dari segi jumlah penduduknya. Ia juga bandar kedua terbesar dalam negeri Johor selepas bandaraya Johor Bahru.


Program Pemeriksaan Kesihatan yang dijalankan di Chong Hwa High School S.B.R Rengit, Johor pada 8 Februari 2015. Rengit adalah sebuah pekan yang terletak didalam daerah Batu Pahat, Johor yang bersempadan dengan daerah Pontian. 


Foto kenangan ketika keretapi dari Johor Bahru ke Gemas, dalam perjalanan pulang dari menziarahi bapa saudara yang sakit di Singapura pada April 2017. 

Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, K.L
10 Mei 2026: 10.27 p.m

No comments: