Oleh: Azizul Farhan
The Patriots : 17 Mei 2026
Kalau kita tengok Ultras KL menyanyikan lagu “Sinaran” beramai-ramai di stadium, memang ada satu rasa yang pelik. Sedangkan kalau ikut logik, banyak lagi lagu yang lebih “Kuala Lumpur”. Mereka boleh saja menyanyikan “Senyumlah Kuala Lumpur” dendangan Alleycats. Boleh juga pilih “Kuala Lumpur Oh Kuala Lumpur” nyanyian Malek Redzuan. Kalau nak lagu generasi baharu, “Kotarayaku” oleh Altimet dan Noh Hujan pun ada. Malah lagu “Kuala Lumpur” oleh Too Phat pun boleh tahan juga, cuma mungkin bahagian rap itu agak mencabar kalau satu stadium nak bawa serentak.
Tapi Ultras KL tetap memilih “Sinaran”. Kalau kita gali lebih dalam, pilihan lagu itu jadi lebih menarik. Sebab penyanyi lagu “Sinaran” bukan orang biasa dalam sejarah Kuala Lumpur. Beliau ialah Datuk Sheila Majid, Ratu Jazz Malaysia.
Dan Sheila Majid ialah cicit kepada Sutan Puasa, seorang tokoh Mandailing yang dikatakan sebagai pembuka sebenar Kuala Lumpur.
Sebelum Yap Ah Loy menjadi nama besar dalam pembangunan Kuala Lumpur, kawasan ini sudah ada orang. Sudah ada kegiatan ekonomi. Sudah ada perlombongan. Sudah ada jalan. Sudah ada rumah kedai. Sudah ada kuasa tempatan yang mengutip cukai. Dan di tengah-tengah cerita awal inilah muncul seorang tokoh Mandailing bernama Sutan Puasa atau nama asalnya, Sutan Naposo.
Menurut kajian Abdur-Razzaq Lubis dalam buku Sutan Puasa Founder of Kuala Lumpur, Sutan Puasa dikemukakan sebagai figura yang lebih tepat disebut sebagai pembuka sebenar Kuala Lumpur. Bukan Yap Ah Loy. Bukan juga Raja Abdullah secara mutlak.
Sutan Puasa ialah seorang bangsawan Mandailing daripada suku Lubis. Beliau berasal dari Tobang, sebuah kawasan di Mandailing Atas, Sumatera. Orang Mandailing pada zaman itu ada struktur sosial, jaringan keluarga, tradisi kepimpinan, pengalaman perang dan kemahiran membuka petempatan baharu.
Pada awal abad ke-19, Sumatera sedang bergolak akibat Perang Padri yang berlaku dari tahun 1803 hingga 1838. Perang ini melibatkan konflik agama, adat, kuasa tempatan dan campur tangan Belanda. Akibat pergolakan itu, ramai orang Mandailing berhijrah keluar dari tanah asal mereka. Ada yang bergerak ke kawasan lain di Sumatera. Ada juga yang menyeberang ke Semenanjung Tanah Melayu.
Sutan Puasa termasuk dalam gelombang penghijrahan itu.
Namun, orang Mandailing yang datang ke Tanah Melayu bukan datang sebagai pelarian kosong tanpa arah. Mereka datang membawa kemahiran. Mereka tahu membaca kawasan. Mereka tahu memilih tempat yang strategik. Mereka mahir berniaga, bertani, melombong dan membina jaringan dengan kuasa tempatan.
Sebab itu, kalau kita tengok pola penempatan Mandailing di Semenanjung, mereka biasanya memilih kawasan yang ada sungai atau sumber air. Ini penting kerana sungai ialah jalan raya pada zaman itu. Sungai membawa manusia, barang dagangan, hasil lombong dan hubungan antara satu kawasan dengan kawasan lain. Sungai juga penting untuk sawah, kebun dan kehidupan harian.
Kuala Lumpur ketika itu bukan kota besar. Ia lebih dikenali sebagai kawasan pedalaman yang berkait dengan sungai dan bijih timah di sekitar Sungai Lumpur dan Pangkalan Lumpur.
Menurut hujah Abdur-Razzaq Lubis, orang Mandailing sudah pun mendiami kawasan Kuala Lumpur atau Sungai Lumpur sekitar tahun 1800. Ini jauh lebih awal daripada kemunculan Yap Ah Loy sebagai tokoh utama Kuala Lumpur. Dari sini, aktiviti perlombongan bijih timah mula berkembang dan kawasan itu perlahan-lahan menjadi penting.
Sutan Puasa kemudian muncul sebagai tokoh utama dalam perkembangan awal Kuala Lumpur. Beliau memainkan peranan dalam merancang, membangunkan dan menggerakkan ekonomi kawasan tersebut. Beliau menetap di kawasan yang kini dikenali sebagai Jalan Ampang, satu kawasan yang memang sangat penting dalam sejarah awal Kuala Lumpur.
Pada zaman itu, bijih timah ialah emas hitam bagi Selangor. Siapa yang menguasai lombong, dia menguasai kekayaan. Siapa yang menguasai laluan dagang, dia menguasai pengaruh. Sutan Puasa faham hal ini. Sebab itu beliau tidak hanya bergantung kepada komuniti Mandailing semata-mata. Beliau turut membina hubungan dengan pelombong Cina.
Antara perkara penting yang sering disebut ialah peranan Sutan Puasa menjemput pelombong Cina seperti Hiu Siew dan Ah Sze Keledek datang ke Kuala Lumpur untuk membangunkan kegiatan perlombongan bijih timah khususnya di kawasan Ampang. Ini bermaksud, perkembangan awal Kuala Lumpur bukan berlaku secara tiba-tiba. Ia berlaku melalui jaringan antara orang Mandailing, pembesar Melayu Selangor, pelombong Cina dan pedagang bijih timah.Di sinilah kita nampak kebijaksanaan Sutan Puasa.
Beliau memahami ekonomi. Beliau tahu bahawa Kuala Lumpur boleh hidup kalau ada tenaga kerja, modal, perdagangan dan jaringan perlombongan. Maka beliau membawa masuk orang yang boleh menggerakkan industri itu.
Sebab itu, kalau kita kata Sutan Puasa pembuka Kuala Lumpur, maksudnya bukan beliau seorang diri menebas hutan dan membina kota. Maksudnya, beliau ialah tokoh awal yang menyusun asas ekonomi, penempatan dan pentadbiran Kuala Lumpur sebelum kota itu berkembang lebih besar.
Menjelang sekitar tahun 1850, catatan Haji Abdullah Hukum memberi gambaran yang sangat penting. Ketika Haji Abdullah Hukum tiba di Kuala Lumpur, Sutan Puasa sudah pun diberi kebenaran oleh Sultan Selangor untuk mengutip cukai di kawasan itu. Pada waktu itu, rumah kedai dan beberapa batang jalan sudah wujud.
Kalau pada tahun 1850 sudah ada rumah kedai, jalan dan sistem kutipan cukai, maknanya Kuala Lumpur bukan lagi kawasan kosong. Ia sudah menjadi sebuah petempatan ekonomi. Ia sudah ada pentadbiran. Ia sudah ada aktiviti dagang. Dan semua ini berlaku sebelum Yap Ah Loy muncul sebagai tokoh paling dominan di Kuala Lumpur.
Maka, naratif mudah bahawa Kuala Lumpur “diasaskan” oleh Yap Ah Loy perlu dibaca semula dengan lebih berhati-hati.
Yap Ah Loy memang tokoh besar. Peranannya dalam membangunkan semula Kuala Lumpur selepas perang tidak boleh dinafikan. Tetapi membangunkan semula kota yang sudah ada tidak sama dengan membuka kota dari awal. Di sinilah nama Sutan Puasa menjadi penting.
Namun sejarah jarang berjalan lurus. Kalau Sutan Puasa hanya pedagang yang berjaya, mungkin namanya akan terus dikenang tanpa kontroversi. Tetapi Kuala Lumpur berada dalam Selangor dan Selangor pada abad ke-19 sedang bergolak dengan perebutan kuasa.
Konflik besar itu dikenali sebagai Perang Klang yang berlaku antara tahun 1867 hingga 1874. Perang ini melibatkan perebutan kuasa, hasil bijih timah dan pengaruh politik di Selangor. Di satu pihak ialah Raja Abdullah, Raja Ismail dan Tengku Kudin, menantu Sultan Abdul Samad. Di pihak lain pula ialah Raja Mahadi dan penyokongnya. Sutan Puasa memilih untuk menyokong Raja Mahadi.
Pilihan ini sangat menentukan nasibnya.
Dalam konflik itu, Kuala Lumpur menjadi kawasan penting kerana ia kaya dengan bijih timah. Sesiapa yang menguasai Kuala Lumpur, dia menguasai sumber ekonomi yang besar. Apabila pihak Raja Mahadi akhirnya tewas, kedudukan Sutan Puasa juga goyah. Kuala Lumpur kemudian semakin kuat berada di bawah pengaruh Yap Ah Loy, yang berada di pihak lawan. Sutan Puasa tidak terus diam.
Pada akhir tahun 1871, beliau dikatakan mengumpulkan pengikutnya di Hulu Langat bagi mendapatkan kembali Kuala Lumpur yang telah dikuasai Yap Ah Loy. Namun usaha itu gagal. Beliau kemudian melarikan diri ke Klang, sebelum ditangkap dan dipenjarakan selama setahun. Selepas itu, beliau dibebaskan dengan jaminan yang besar. Kejatuhan ini mengubah hidup Sutan Puasa.
Beliau yang dahulu merupakan tokoh penting dalam perkembangan awal Kuala Lumpur tidak lagi berada di puncak kuasa. Selepas dibebaskan, beliau tinggal seketika di Jalan Batu sebelum menetap di perkampungan Mandailing di kawasan Jalan Chow Kit.
Seorang tokoh yang pernah membuka, membangunkan dan menggerakkan ekonomi awal Kuala Lumpur akhirnya perlahan-lahan tersisih kerana sejarah selepas perang selalunya ditulis oleh pihak yang menang. Ini perkara yang biasa berlaku dalam sejarah. Sutan Puasa menerima nasib seperti itu.
Beliau terus bekerja sebagai peraih bijih timah dan peniaga sehingga meninggal dunia pada tahun 1905. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, tempat yang turut menjadi pusara ramai tokoh Mandailing lain.
Hari ini, apabila nama Sutan Puasa dibangkitkan semula, ia bukan bertujuan untuk memadam nama Yap Ah Loy daripada sejarah Kuala Lumpur. Yap Ah Loy memang tokoh penting dalam pembangunan Kuala Lumpur. Beliau memainkan peranan besar selepas perang khususnya dalam menghidupkan semula kegiatan ekonomi dan menyusun komuniti pelombong Cina. Tetapi kalau kita bercakap tentang fasa pembukaan awal Kuala Lumpur, nama Sutan Puasa tidak boleh diketepikan.
Begitu juga Raja Abdullah. Beliau memang ada peranan dalam sejarah perlombongan bijih timah Selangor dan Klang. Tetapi untuk menyebut beliau sebagai pengasas Kuala Lumpur secara mutlak, ia masih boleh dipersoalkan.
Haji Abdullah Hukum pula tokoh penting dalam sejarah masyarakat Melayu di Kuala Lumpur, tetapi peranannya lebih terarah kepada kawasan-kawasan tertentu.
Sutan Puasa berbeza kerana beliau muncul lebih awal sebagai tokoh yang menghubungkan penempatan Mandailing, perlombongan bijih timah, hubungan dengan pelombong Cina dan kuasa Sultan Selangor. Beliau berada pada tahap asas pembentukan Kuala Lumpur sebagai pusat ekonomi.
Sebab itu, apabila Mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pernah menyebut bahawa pengasas Kuala Lumpur ialah Sutan Puasa dari Mandailing, kenyataan itu mencetuskan semula perbahasan besar. Kemudian buku Abdur-Razzaq Lubis pula memberikan bahan kajian yang lebih panjang dan terperinci untuk menyokong tafsiran tersebut.
___
Tahun ini kami kembali berdagang di PBAKL 2026!
Dari 29 Mei – 7 Jun 2026, 10 pagi – 10 malam di PWTC, Kuala Lumpur. Tahun ini kami juga akan berada di dua lokasi iaitu S5-502 Tingkat 2 Dewan Tun Ismail dan S8-823 Tingkat 4 Dewan Tun Razak!
Jangan lupa hadirkan diri bagi mendapatkan promosi menarik seperti diskaun RM5 setiap buku, judul terpilih serendah RM28–RM38 termasuk Haiwan Purba, Astropolitik, Viking, Penunggu Pulau Salik dan banyak lagi!
C&P
18 Mei 2026: 12.02 a.m
No comments:
Post a Comment