Monday, 18 May 2026

Kisah Puteri Gunung Ledang Dalam Filem Sebenarnya Jauh Beza Dengan Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah?


Oleh: Azizul Farhan
The Patriots : 18 Mei 2026

Kalau kita sebut Puteri Gunung Ledang, bayangan pertama yang muncul dalam kepala ramai mesti M. Nasir.
"Andai patah sayap rajawali bertongkat jua hamba ke mari."
Kita teringat Tiara Jacquelina sebagai Gusti Putri Retno Dumillah. Kita teringat lagu Asmaradana. Kita teringat fight scene terbang-terbang. Belum cerita lagi pasal Adlin Aman Ramlie sebagai Sultan Melaka. Dahsyat sungguh.
Filem Puteri Gunung Ledang tahun 2004 memang berjaya mencipta semula legenda itu dalam bentuk yang sangat indah. Lagi pula nanti teater Puteri Gunung Ledang akan kembali dipersembahkan semula.
Sampai hari ini, ramai orang membesar dengan percaya bahawa kisah Puteri Gunung Ledang ialah kisah cinta tragik antara seorang puteri Majapahit dengan Hang Tuah. Seorang puteri yang mencintai pahlawan Melaka, tetapi akhirnya terperangkap dalam permainan kuasa Sultan Melaka.
Masalahnya, kalau kita buka balik manuskrip Melayu, cerita Puteri Gunung Ledang sebenarnya tidak sama. Malah, kalau kita bandingkan tiga versi utama iaitu versi filem, versi Sulalatus Salatin dan versi Hikayat Hang Tuah, kita akan jumpa tiga Puteri Gunung Ledang yang hampir seperti tiga watak berbeza.
Dalam filem, dia seorang puteri Majapahit yang menjadi lambang cinta dan pengorbanan. Dalam Sulalatus Salatin, dia seorang puteri misteri di Gunung Ledang yang menolak pinangan Sultan Mahmud Shah melalui syarat-syarat mustahil. Tetapi dalam Hikayat Hang Tuah, ceritanya lebih mengejutkan. Puteri Gunung Ledang digambarkan sebagai anak Raja Melaka, ditabalkan menjadi pemerintah Melaka, memerintah negeri itu, kemudian terlibat dalam kisah kedatangan Feringgi sebelum Melaka jatuh.
Jadi, ya. Kisah Puteri Gunung Ledang yang kita kenal melalui filem sebenarnya memang jauh beza dengan versi Hikayat Hang Tuah.
Dalam filem Puteri Gunung Ledang, ceritanya dibuka dengan latar dunia Melayu-Jawa yang sedang bergolak. Majapahit berada dalam zaman suram. Kuasa politik mula berubah. Melaka pula sedang bangkit sebagai kuasa besar di rantau ini. Di tengah-tengah suasana itu, muncul Gusti Putri Retno Dumillah, seorang puteri dari Majapahit yang penuh kemahuan sendiri.
Dia bukan watak perempuan yang hanya menunggu nasib ditentukan lelaki. Dalam filem, Gusti Putri ada kehendaknya sendiri. Dia tahu siapa yang dia cinta. Dia tahu apa yang dia mahu tinggalkan. Dia tahu dunia istana bukan tempat yang benar-benar membebaskannya.
Cinta Gusti Putri dengan Hang Tuah menjadi nadi utama filem ini. Hang Tuah pula digambarkan bukan setakat pahlawan yang taat kepada raja, tetapi manusia yang juga ada perasaan. Dia mencintai Gusti Putri, tetapi pada masa yang sama, seluruh hidupnya dibentuk oleh sumpah setia kepada Sultan Melaka.
Di sinilah konflik filem itu menjadi kuat. Hang Tuah mencintai Gusti Putri, tetapi apabila Sultan Melaka mahu meminang Gusti Putri, Hang Tuah tetap menjadi orang yang membawa hajat raja. Dan dia, sebagai hamba raja, mesti menjalankan titah.
Filem ini menjadikan kisah Puteri Gunung Ledang sebagai tragedi antara cinta dan kuasa. Gusti Putri menolak Sultan Melaka kerana hatinya bukan milik Sultan. Dia menolak kerana pinangan itu datang daripada kuasa, bukan cinta.
Maka muncullah tujuh syarat terkenal itu. Jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang. Jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang. Tujuh dulang hati nyamuk. Tujuh dulang hati kuman. Air mata setempayan. Air pinang muda setempayan. Darah raja semangkuk. Dan darah anak raja semangkuk.
Dalam filem, syarat-syarat ini menjadi cara Gusti Putri melawan tanpa mengangkat pedang. Dia tahu Sultan Melaka seorang raja. Kalau dia menolak secara terus, nyawanya mungkin terancam. Maka dia menolak dengan meletakkan syarat yang mustahil supaya pinangan itu mati dengan sendirinya.
Tetapi Sultan Mahmud dalam filem digambarkan terlalu dikuasai ego. Apabila baginda sedar bahawa syarat itu sebenarnya satu penolakan, baginda murka. Gusti Putri akhirnya disumpah. Dia tidak boleh lagi dilihat manusia biasa dan sesiapa yang melihatnya selepas waktu tertentu akan mati batuk darah. Filem ini berakhir dengan Hang Tuah dan Gusti Putri tidak bersatu. Cinta mereka kalah kepada takhta, sumpah, dan daulat.
Versi filem ini memang cantik. Memang puitis. Tetapi ia bukanlah versi yang paling dekat dengan Sulalatus Salatin atau Hikayat Hang Tuah.
Dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu, kisah Puteri Gunung Ledang berlaku selepas kemangkatan permaisuri Sultan Mahmud Shah iaitu Tun Teja. Baginda kehilangan isteri, lalu mahu mencari permaisuri baharu. Tetapi Sultan Mahmud tidak mahu berkahwin dengan perempuan biasa.
Sultan Mahmud mahu sesuatu yang tidak dimiliki oleh raja lain. Kalau raja lain berkahwin dengan anak raja, baginda mahu lebih daripada itu. Baginda mahu meminang Puteri Gunung Ledang.
Maka dititahkanlah Laksamana, Sang Setia dan Tun Mamat untuk pergi membawa hajat Sultan Melaka. Dalam versi ini, Hang Tuah atau Laksamana bukan pahlawan pertengahan umur berupa M. Nasir yang sedang bercinta dengan Puteri Gunung Ledang seperti dalam filem. Sebaliknya, dia sudah tua dan uzur. Dia tidak mampu meneruskan pendakian ke puncak Gunung Ledang. Sang Setia pula menemaninya. Yang akhirnya meneruskan perjalanan ialah Tun Mamat.
Kisah cinta Hang Tuah dengan Puteri Gunung Ledang tidak wujud dalam bentuk seperti filem. Yang sampai dan berurusan dengan wakil Puteri ialah Tun Mamat.
Setelah Tun Mamat sampai di Gunung Ledang, dia bertemu dengan beberapa perempuan misteri antaranya Dang Raya Rani dan beberapa pengiring. Ceritanya makin lama makin masuk ke wilayah yang aneh dan mistik.
Selepas Hang Tuah dan Sang Setia tidak mampu meneruskan pendakian, Tun Mamat naik seorang diri sehingga tiba di satu tempat bernama Taman Terigah. Di situlah dia terkejut melihat sebuah balai yang diperbuat daripada tulang, atapnya daripada rambut dan dindingnya daripada kulit manusia.
Di atas balai itu pula, Tun Mamat melihat seorang perempuan tua. Perempuan tua itu bertanya kepada Tun Mamat, siapa dia dan ke mana hendak pergi.
Tun Mamat pun menjawab bahawa dia ialah hamba Sultan Mahmud Shah, datang membawa titah untuk meminang Puteri Gunung Ledang. Dia juga menjelaskan bahawa Laksamana dan Sang Setia berada di bawah gunung kerana tidak mampu naik.
Perempuan tua inilah yang menyampaikan jawapan Puteri Gunung Ledang. Perempuan tua itu sendiri dikatakan mungkin jelmaan Puteri Gunung Ledang.
Kemudian disampaikanlah syarat-syarat peminangan itu. Kalau Sultan Melaka mahu memperisterikan Puteri Gunung Ledang, baginda mesti menyediakan jambatan emas satu dan jambatan perak satu dari Melaka ke Gunung Ledang. Baginda juga perlu menyediakan hati nyamuk tujuh dulang, hati kuman tujuh dulang, air mata setempayan, air pinang muda setempayan, darah raja semangkuk dan darah Raja Ahmad, anakanda Sultan Mahmud, semangkuk.
Mana mungkin orang mengumpul hati nyamuk sampai tujuh dulang? Mana mungkin hati kuman dikumpulkan? Mana mungkin jambatan emas dan perak dibina dari Melaka ke Gunung Ledang?
Ia cara halus untuk menolak kuasa besar tanpa perlu berkata “tidak” secara terang-terangan.
Puteri Gunung Ledang sebenarnya menolak pinangan Sultan Mahmud dengan cara paling tajam tetapi tetap beradab. Dia tidak mencerca Sultan. Dia tidak mengisytiharkan perang. Dia hanya meletakkan syarat yang terlalu berat sehingga Sultan sendiri akhirnya tidak mampu menunaikannya.
Bahagian paling penting ialah darah Raja Ahmad. Segala syarat lain mungkin boleh dibayangkan sebagai sesuatu yang boleh dipaksa ke atas rakyat. Jambatan emas dan perak boleh sahaja dibina kalau raja mengerah tenaga rakyat. Air mata setempayan boleh sahaja ditafsirkan sebagai penderitaan rakyat. Hati nyamuk dan hati kuman pula menggambarkan permintaan yang melampaui akal. Tetapi apabila sampai kepada darah anak sendiri, barulah Sultan Mahmud berhenti.
Selama kehendak seorang raja itu menekan orang lain, mungkin baginda masih boleh meneruskannya. Tetapi apabila korban itu sampai kepada darah anak sendiri, barulah baginda terasa beratnya.
Namun apabila kita masuk ke versi Hikayat Hang Tuah, cerita menjadi lebih mengejutkan.
Dalam Hikayat Hang Tuah, kisah Puteri Gunung Ledang bukan seperti versi Sulalatus Salatin. Tiada episod rombongan meminang, tiada syarat jambatan emas, hati nyamuk atau darah Raja Ahmad. Semua itu cerita dalam Sulalatus Salatin. Dalam Hikayat Hang Tuah, Puteri Gunung Ledang muncul sebagai anak perempuan Raja Melaka sendiri, bukan puteri misteri di puncak gunung.
Dalam Hikayat Hang Tuah, Puteri Gunung Ledang digambarkan sebagai anak perempuan Sultan Melaka, Sultan Mahmud Shah itu sendiri.
Dalam kajian Mohd Haniff Mohammad Yusoff tentang citra Puteri Gunung Ledang menurut perspektif Hikayat Hang Tuah disebut dengan jelas bahawa watak Puteri Gunung Ledang dalam Hikayat Hang Tuah tidak sama dengan gambaran yang biasa kita kenal melalui Sejarah Melayu. Dalam hikayat itu, Puteri Gunung Ledang ditampilkan sebagai anak Raja Melaka, bahkan dipilih oleh ayahandanya untuk menggantikan baginda sebagai pemerintah Melaka.
Sultan Melaka dalam Hikayat Hang Tuah sudah tua. Baginda memanggil Bendahara dan Laksamana, lalu menyatakan hasrat untuk merajakan anak perempuannya sebagai pengganti. Anak perempuan itu ialah Puteri Gunung Ledang.
Selepas keputusan itu dibuat, berlangsunglah majlis pertabalan yang penuh adat istiadat. Puteri Gunung Ledang dihiasi dengan pakaian kerajaan. Dia dinaikkan ke atas peterana keemasan. Pedang kerajaan dipikul oleh anak raja-raja. Nobat dibunyikan. Adat bersiram naik raja dijalankan. Warna kuning diraja digunakan.
Lebih menarik, selepas Raja Melaka turun daripada takhta, baginda digambarkan meninggalkan kerajaan dan hidup seperti seorang fakir dalam pencarian agama. Baginda berjalan dari kampung ke kampung hingga akhirnya kisah tentangnya tidak lagi kedengaran. Dalam keadaan itu, Puteri Gunung Ledang terus berada di atas takhta.
Dan pemerintahannya tidak digambarkan gagal. Sebaliknya, Melaka menjadi aman, makmur dan semakin ramai pedagang datang berniaga. Bendahara, Temenggung dan Laksamana membantu memelihara negeri. Pedagang dan orang luar datang ke Melaka kerana negeri itu stabil dan menguntungkan.
Tetapi kisahnya tidak berhenti di situ. Bahagian paling menarik dalam Hikayat Hang Tuah ialah bagaimana Puteri Gunung Ledang dikaitkan dengan kedatangan Feringgi atau Portugis ke Melaka.
Kemakmuran Melaka menarik perhatian orang Feringgi. Mereka datang dengan kapal dari luar, membawa dagangan yang banyak. Pada mulanya, mereka meminta untuk membina sebuah gedung di hadapan pintu gerbang Melaka. Permintaan itu dibawa kepada Bendahara, Temenggung, Laksamana dan pembesar-pembesar negeri.
Namun pembesar Melaka tidak bodoh. Mereka tidak terus memberi ruang kepada orang asing untuk membina gedung di darat. Mereka hanya membenarkan Feringgi berniaga di kapal sahaja. Selepas selesai berniaga, kapal Feringgi pun pulang.
Tetapi Feringgi kembali lagi pada tahun berikutnya. Kali ini mereka datang dengan perancangan lebih besar. Mereka membawa emas, perak, senjata dan pelbagai kelengkapan. Kapitan Feringgi menghadap Puteri Gunung Ledang dan meminta membeli tanah hanya sebesar “sebidang belulang” untuk tempat berniaga di darat.
Puteri Gunung Ledang akhirnya memperkenankan permintaan itu. Tanah yang nampak kecil itu diberikan dengan bayaran tertentu. Tetapi tanah kecil itulah yang kemudian menjadi tapak kepada gedung Feringgi. Gedung itu pula dilengkapi dengan senjata dan menjadi pangkalan untuk menyerang Melaka.
Akhirnya Melaka diserang. Negeri menjadi huru-hara. Puteri Gunung Ledang tidak mampu lagi mempertahankan Melaka. Dia melarikan diri ke hulu Melaka. Kemudian, menurut Hikayat Hang Tuah, dia sampai ke hutan besar berhampiran negeri Batak. Di sana, para menteri Batak mengambilnya dan merajakannya pula di negeri Batak.
Selepas itu, kisah Puteri Gunung Ledang tidak disebut lagi.
Ini penamat yang sangat berbeza daripada filem. Dalam filem, kisah Puteri Gunung Ledang berakhir dengan cinta, sumpah dan perpisahan dengan Hang Tuah. Dalam Sulalatus Salatin, kisahnya berakhir dengan pinangan Sultan Mahmud yang tidak kesampaian kerana syarat darah Raja Ahmad. Tetapi dalam Hikayat Hang Tuah, kisahnya berakhir selepas Melaka jatuh kepada Feringgi dan Puteri Gunung Ledang melarikan diri lalu menjadi raja di negeri Batak.
___
Tahu tak korang? Catur ialah salah satu permainan popular di Kota Melaka. Dan Tun Pikrama yang disebut sebagai pakar catur Melaka!
Melaka ni bukannya setakat Tuah-Jebat dan Puteri Gunung Ledang je. Selam lebih dalam lagi mengenai Kesultanan Melayu Melaka bersama TASJIL ANIS SALATIN: RAHSIA AGUNG MELAKA.
Dapatkan sekarang dengan diskaun menarik di webstore kami!
Atau seperti biasa melalui Shopee

C&P
18 Mei 2026: 3.59 p.m

No comments: