Sunday, 22 November 2020

Takut Allah atau takut virus?

SUMBER: HARAKAH DAILY 

INILAH jawapan Fatris Bakaram (bekas Mufti Singapura) apabila ada orang ajukan pertanyaan;

“Takut Allah atau takut virus?”

Dia menjawab:

Manusia perlu takut kepada Allah, dan di antara bukti takut kepada Allah adalah mematuhi segala perintah-Nya. Di antara perintahNya adalah:

(1) Mensyukuri nikmat nyawa, tubuh badan dan kesihatan;
(2) Memelihara kesihatan, nyawa dan hal mudarat;
(3) Taat kepada perintahNya dan ajaran Rasul, yakni menyuruh kita untuk mengelak dari wabak;

Maka, jika benar takut Allah semua langkah untuk mengelakkan diri dari terkena jangkitan perlu diambil.

Dia turut memberi nasihat:

Takut kepada Allah memerlukan kewarasan akal, bukan dengan membutakan mata hati atau membekukan otak yang dikurniakan tuhan.

Ada yang berkata begini, ‘Kenapa nak takut, virus itu juga makhluk Tuhan?’.

Beginilah:

Pergilah berenang di sungai penuh buaya, redha kerana buaya juga makhluk Tuhan; Pergi ke lautan penuh dengan jerung, redha kerana jerung juga makhluk Tuhan; Pergi masuk hutan penuh dengan ular, redha kerana ular ialah makhluk Tuhan; Pergilah ke zoo, masuk kandang singa, jangan takut dan redha, singa juga makhluk Tuhan.

Firman Allah (bermaksud):

”Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.”

(al-Baqarah: 195)

Firman-Nya juga (bermaksud):

”Jangan kamu bunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sangat kasih kepada kamu.”

(al-Nisa: 29)

Dalam erti kata lain, menyelamatkan diri dari kemusnahan adalah tuntutan Islam. 

Dilarang menghampiri sebab-sebab yang membawa kemusnahan diri. Nabi S.A.W ketika berbicara mengenai Taun menyebut (bermaksud):

“Jika kamu mendengar Taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini mengajar mengenai tindakan kuarantin agar penyakit atau wabak tidak tersebar. Hadis ini pernah dibaca oleh ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab ketika beliau bercadang pergi ke Syam semasa wabak Taun sedang merebak di sana pada zaman pemerintahnya. Mendengar Hadis ini, Amirul Mukminin ‘Umar al-Khattab membatalkan hasratnya. 

(Lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/5, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Jika terkena juga penyakit, Islam menyuruh pula penganutnya untuk berubat. Sabda Nabi S.A.W:

“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.”

(Riwayat Muslim)

Kata Al-Imam Nawawi (meninggal 676H): “Hadis ini memberi isyarat disunatkan mengubat penyakit. Inilah mazhab ashab kita (aliran mazhab al-Syafie), kebanyakan Salaf dan keseluruhan Khalaf. Kata al-Qadi ‘Iyadh: Dalam Hadis-hadis ini terkandung beberapa ilmu-ilmu agama dan dunia; benarnya ilmu perubatan, diharuskan berubat secara keseluruhannya. Hadis-hadis ini juga menolak golongan sufi yang melampau yang membantah berubat dan berkata: “Kesemuanya dengan qada dan qadar Allah, tidak memerlukan kita berubat”.

Semoga ada manfaat buat kita semua. Aameen

KHAIRUL ANUAR YAZID – HARAKAHDAILY 16/11/2020

Sumber asal: https://www.facebook.com/1520735290/posts/10224031137395833/

Copy and paste: 22 November 2020 @ 7 Rabiulakhir 1442H: 9.47 pm

No comments: