Sunday, 15 November 2020

Doa Dibebaskan Hutang

Perawi: Aisyah RA
Koleksi: Sahih Al-Bukhari
Kitab: 10. كِتَابُ الأَذَانِ - Azan
Bab: Doa Sebelum Salam
No. Hadith: 832

Matan Hadith:

حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ قَالَ أَخْبَرَنَا شُعَيْبٌ عَنْ الزُّهْرِيِّ قَالَ أَخْبَرَنَا عُرْوَةُ بْنُ الزُّبَيْرِ عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخْبَرَتْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَّلَاةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَفِتْنَةِ الْمَمَاتِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ فَقَالَ لَهُ قَائِلٌ مَا أَكْثَرَ مَا تَسْتَعِيذُ مِنْ الْمَغْرَمِ فَقَالَ إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ.متفق عليه.

التخريج: صحيح البخاري , كتاب الأذان , باب الدعاء قبل السلام , حديث رقم 832 , عن عائشة رضي الله عنها.
Terjemahan:

‘Urwah bin Al-Zubair (seorang tabiin) telah mengkhabarkan kepada kami, daripada 'Aisyah RA isteri Nabi SAW, beliau telah mengkhabarkan kepadanya (‘Urwah), bahawa Rasulullah SAW dalam solatnya sering kali berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَفِتْنَةِ الْمَمَاتِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

(Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada siksa kubur dan aku berlindung kepada-Mu daripada fitnah al-Masih ad-Dajjal serta aku berlindung kepada-Mu daripada fitnah kehidupan dan fitnah kematian. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada perbuatan dosa dan hutang). Tiba-tiba seseorang bertanya kepada baginda: "Kenapa tuan banyak meminta perlindungan daripada hutang?" Baginda SAW menjawab: "Sesungguhnya seseorang apabila berhutang dia akan cenderung berkata dusta dan berjanji lalu mengingkarinya." 
(Muttafaqun Alayhi, hadith riwayat al-Bukhari, No. 832, 2397, Muslim, No. 589, Abu Dawud, No. 880, an-Nasaie, No. 1309)

Status Hadith: Sahih

Pengajaran:

Hutang dalam bahasa Arab dipanggil اَلْمغْرَمٌ berasal daripada perkataan غَرِمَ yang bermaksud kerugian, kerosakan, kekurangan dan kehilangan. Manakala para fuqaha’ telah mendefinisikan hutang pada istilah syarak sebagai pemberian hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan.

Hadith ini menjelaskan bahawa Rasulullah SAW seringkali berdoa dalam solat baginda (selepas tasyahud akhir sebelum memberi salam) agar diberikan perlindungan daripada lima perkara iaitu siksa kubur, fitnah dajjal, fitnah dalam kehidupan dan kematian, perbuatan dosa dan hutang. Bahkan persoalan hutanglah yang menjadi pertanyaan utama sehingga baginda SAW menjelaskan: "Sesungguhnya seseorang apabila berhutang dia akan cenderung berkata dusta dan berjanji lalu mengingkarinya." Ini menunjukkan bahawa persoalan hutang adalah sesuatu peringatan yang sering diingatkan oleh Nabi SAW dalam banyak hadith yang merangkumi adab-adab, kelebihan dan ancaman kepada pemberi hutang dan pemiutang.

Dalam aspek memberi hutang dan berhutang ada tiga hukum yang perlu diteliti:

Haram - Jika tujuan berhutang untuk melakukan maksiat dan kemungkaran seperti minum arak, berjudi dan seumpamanya.
Makruh – Jika tujuan berhutang itu diketahui akan digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat atau dengan niat menunjuk-nunjuk dan bukan kerana keperluan mendesak. Termasuk dalam hukum ini ialah apabila pemberi hutang tahu ketidakmampuan orang yang berhutang itu untuk membayar semula hutangnya.
Wajib – Jika orang yang memberi hutang mengetahui bahawa pihak yang berhutang itu amat memerlukan dan terdesak memenuhi keperluan asasi hidupnya dan menampung perbelanjaan asasi keluarganya. Dalam masa yang sama dia tidak mempunyai sumber lain bagi memenuhi keperluannya kecuali dengan cara berhutang.

Pada dasarnya isu hutang berkait rapat dengan sikap amanah dan kebijaksanaan seseorang menguruskan perbelanjaan. Sifat amanah dilihat sebagai satu perjanjian yang membuktikan semangat tolong menolong, kasih sayang dan ketinggian iman seseorang membantu mereka yang berada dalam kesusahan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 283 yang bermaksud: “Kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya.”

Oleh itu, Islam telah menetapkan bahawa setiap individu Muslim, wajib melaksanakan amanah, bersifat jujur dan bijak dalam menguruskan perbelanjaan agar berupaya menunaikan tanggungjawab terutamanya dalam membayar hutang. Kebijaksanaan dalam menunaikan tanggungjawab ini adalah sifat terpuji, mulia dan simbol orang beriman yang akan mendapat balasan syurga di akhirat nanti.

Sumber rujukan:
Kitab Sahih al-Bukhari
KItab Sahih Muslim
Kitab Sunan Abu Dawud
Kitab Sunan An-Nasaie
Kitab Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari Li Ibn Hajar al-Asqolani
Kitab Syarh Sahih Muslim Li An-Nawawi
Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul

Sumber dari:

Copy and paste
15 November 2020 / 29 Rabiulawal 1442H : 12.12 am

No comments: