Friday, 27 November 2020

ORANG MELAYU TUA-TUA KATA, "ORANG BAIK-BAIK MEMANG SELALU PERGI DULU"

Oleh : Taufiq Tuah

Orang baik-baik memang selalu pergi dulu. Ayat ini lah yang saban hari lalu di telinga masyarakat kita pada hari ini. Kebiasaannya istilah ini digunakan bagi melembutkan hati waris yang sedang bersedih atas pemergian ahli keluarga. Sering juga digunakan ketika menyebutkan hal kematian seseorang yang dikenali kebaikannya.

Fokus artikel ini ialah bagi menyingkap sama ada relevankah slogan ini diucapkan?

Masyarakat menggunakan ayat ini atas dua keadaan.
Sebab 1: Untuk orang baik yang meninggal dunia di umur muda.
Sebab 2: Untuk orang baik yang meninggal dunia lebih awal dari kita.

Bagi sebab 1, orang baik meninggal dunia di umur muda, sebenarnya asbab ini tidak berasas. Tiada dalil yang berkata tentangnya dan banyak bukti yang akhirnya menyanggah kata-kata ini. Antara buktinya ialah, ramai orang baik yang meninggal dunia @ wafat ketika umur yang panjang.

  • Umur Nabi Adam A.S ialah 900 hingga 1000 tahun (khilaf)
  • Umur Nabi Nuh A.S ialah sekitar 950 hingga 1700 tahun (khilaf).
  • Majoriti para nabi lainnya pula sempat berumur 100 tahun dan ke atas.

Kita lihat pula umur orang soleh dikalangan umat Rasulullah Salallahualaihi Wasalam,
  • Imam Malik b Anas 83 tahun.
  • Imam Ibn Khuzaimah 89 tahun.
  • Imam Ibn Hajar Al-Asqalani 76 tahun.

Atau boleh juga berikan contoh yang masih hidup (ketika artikel ini ditulis),
  • Sheikh Rabee Al-Madkhali kini 89 tahun (semoga Allah memanjangkan umur beliau).
  • Sheikh Abd al-Muhsin al-Abbad kini 86 tahun (semoga Allah memanjangkan umur beliau)
  • Sheikh Saleh Al-Fawzan kini 87 tahun (semoga Allah memanjangkan umur beliau)
  • Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah Al-Sheikh kini 76 tahun (semoga Allah menanjangkan umur beliau)

Maka banyak lah contoh orang-orang baik atau orang alim (kerana orang alim itu pastilah orangnya baik), yang mempunyai umur yang panjang. Namun ingin saya ingatkan sebuah hadis,

أَعْذَرَ اللَّهُ إِلَى امْرِئٍ أَخَّرَ أَجَلَهُ، حَتَّى بَلَّغَهُ سِتِّينَ سَنَةً
“Allah SWT menghilangkan keuzuran bagi sesiapa yang dilewatkan ajalnya (dipanjangkan usianya) ketika dia sampai usia 60 tahun.” 
[Riwayat al-Bukhari (6419)]

Menunjukkan bahawa umur 60 tahun sebenarnya boleh dikira sebagai 'umur yang panjang'.

Percaya atau tidak, sebenarnya orang yang terbaik bukanlah orang yang 'pergi dahulu', tetapi sebenarnya orang yang terbaik ialah orang yang umurnya panjang dan baik amalnya sebagaimana dalil,

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِى بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَجُلاً قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ النَّاسِ خَيْرٌ قَالَ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ قَالَ فَأَىُّ النَّاسِ شَرٌّ قَالَ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَسَاءَ عَمَلُهُ 
Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah, dari bapanya, bahawa seorang lelaki berkata, “Wahai Rasûlullâh, siapakah manusia yang terbaik?” Baginda menjawab, “Orang yang panjang umurnya dan baik amalnya”. Dia bertanya lagi, “Lalu siapakah orang yang terburuk?” Baginda menjawab, “Orang yang berumur panjang dan buruk amalnya”.
[HR. Ahmad; Tirmidzi; dan al-Hâkim. Dishahihkan oleh al-Albâni rahimahullah dalam Shahîh at-Targhîb wat Tarhîb, 3/313, no. 3363, Maktabul Ma’arif, cet. 1, th 1421 H / 2000 M]

Bagi Sebab 2, orang baik yang meninggal dunia lebih awal dari kita. Kata-kata ini sebenarnya tiada asas yang zahir. Tidak semestinya orang-orang baik akan meninggal dunia dahulu. Sedangkan orang-orang yang buruk sifatnya juga yang meninggal lebih awal dari kita.

Namun untuk sebab 2 ini, saya boleh kaitkan dengan sebuah hadis,

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا
“Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.”
[Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673)]

Maka jelas Allah akan mematikan ulama-ulama untuk menghapuskan ilmu dari hamba-hambanya. Secara normalnya, ulama pastilah orang yang juga baik sifatnya. Maka jika dikatakan slogan "orang baik-baik memang selalu pergi dulu", mungkin sesuai jika mereka menyebutnya dalam keadaan memahami hadis ini.

Namun perlu diingatkan hadis ini lebih menyebut 'alim dan ilmu', sementara slogan hanya menyebutkan 'baik'. Maka kaitan secara jelas itu mungkin tiada. Tetapi boleh saya katakan ada kaitan secara tidak langsung.

Adapun jika kita menyebut slogan itu dengan pemahaman hadis ini, maka slogan itu tidak boleh diungkapkan kepada semua orang sewenang-wenangnya. Pastilah akhirnya slogan itu hanya untuk kematian alim ulama.

Kesimpulannya, adakah slogan ini relevan? Saya kira ia tidak relevan jika digunakan sebagaimana ramainya orang awam guna pada hari ini. Maka apabila ada sahabat kita yang kehilangan orang tersayang, maka cukuplah dengan takziah, mendoakan arwah dan memberikan bantuan (samada wang, makanan atau tenaga) bagi membantu sahabat itu menjalankan kehidupan. Wallahualam.

[Legasi Pemikir - LEKIR]


Copy and paste: 27/11/2020 : 11 Rabiulakhir1442H : 7.44 am

No comments: