Sunday, 22 November 2020

Mudahnya Lidah Menaburkan Fitnah

SUMBER: I LUV ISLAM

Setajam-tajam pedang tak mampu mematikan manusia. Akan tetapi, satu fitnah ditaburkan walaupun satu kalimah mampu membunuh sejuta manusia.

Telinga kita selalu disapa dengan alunan ayat 191, surah Al- Baqarah:

Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan…”

Namun, kita biarkan ia berlalu seperti tiupan angin. Seolah-olah, fitnah itu menjadi rencah penyedap hidup kita. Tanpanya hari-hari kita kosong dan sunyi.

AllahuAkbar!

Penangan fitnah usahlah ditanya. Lebih teruk daripada amukan taufan dan buting beliung. Lebih dahsyat daripada letupan gunung berapi dan gempa bumi.
Cinta di antara sang suami dengan isteri akan lebur gara-gara bisikan fitnah perasit rumahtangga.
Tali kasih persaudaraan akan terputus dengan satu libasan fitnah.
Kerajaan yang aman damai menjadi kucai kacir disebabkan tiupan fitnah.

Hebat sudahkah kita sehingga sanggup menggadai jasad ini untuk dijilat api neraka?

Bahagiakah hati kita apabila melihat dua insan mencaci maki selepas termakan fitnahmu?

Walaupun kita terlepas daripada dijatuhkan hukum dunia. Bersorak di atas kemenangan melihat musuh kita saling bercakaran antara satu sama lain. Bibir kita tersengih seperti kerang busuk melihat dua hati bermasam muka.

Ketahuilah, kita takkan senang di akhirat nanti.

Dulu, kita menjadi penonton tegar akan permusuhan yang kamu ciptakan bersaksikan syaitan dan sekutu.

Dan kini, kita menjadi tontonan mangsa-mangsa kekejaman kita dahulu. Selain itu juga, kita pasti akan menjadi makanan api neraka.

Mahukah kita?

Allah SWT kurniakan lidah kepada kita sebagai alat untuk berzikir kepada-Nya di samping berbicara perkara baik-baik.

Tetapi, sayang seribu kali sayang kita telah menyalah gunakannya dan tidak bersyukur akan nikmat-Nya.

Jangan nanti kita akan menyesal apabila pemilik lidah menarik balik haknya. Barulah menangis tidak berlagu.

Betullah manusia mudah lupa dengan sang Penciptanya apabila merasakan dirinya teragung dan terhebat.

Akhir kalam, Jangan kerana nila setitik susu sebelanga rosak dan jangan kerana lidah badan binasa. Mula saat ini, perhatikan setiap perkataan yang keluar dari mulut kita.

Semak dahulu kesahihan satu berita sebelum menyebarkan. Takut nanti kita akan didakwa di mahkamah Allah kelak.

Artikel ini ditulis oleh Nurul Amirah Ab Ghani (nama pena: irahzulfa). Berasal dari Kuala Krai, Kelantan. Seorang yang suka menulis dan membaca. Boleh berhubung dengan beliau melalui Facebook Nurul Amirah Ab Ghani.

Copy and paste: 22/11/2020 : 6 Rabiulakhir 1442H : 6.55 pm



No comments: