Saturday, 14 November 2020

Kekayaan VS Kesihatan

Perawi: Abdullah bin Khubaib RA
Koleksi: Sunan Ibnu Majah
Kitab: Perniagaan
Bab: Galakan Mencari RezekiNo. 
Hadith: 2141

Matan Hadith:


عَنْ مُعَاذِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ خُبَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَمِّهِ قَالَ: كُنَّا فِي مَجْلِسٍ فَجَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَى رَأْسِهِ أَثَرُ مَاءٍ، فَقَالَ لَهُ بَعْضُنَا: نَرَاكَ الْيَوْمَ طَيِّبَ النَّفْسِ، فَقَالَ: أَجَلْ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، ثُمَّ أَفَاضَ الْقَوْمُ فِي ذِكْرِ الْغِنَى، فَقَالَ: لَا بَأْسَ بِالْغِنَى لِمَنْ اتَّقَى، وَالصِّحَّةُ لِمَنْ اتَّقَى خَيْرٌ مِنْ الْغِنَى وَطِيبُ النَّفْسِ مِنْ النَّعِيمِ. رواه إبن ماجه وأحمد والحاكم.

التخريج: سنن ابن ماجه، كِتَابُ التِّجَارَاتِ، بَابٌ الْحَثُّ عَلَى الْمَكَاسِبِ، حديث رقم 2141، وقال البوصيري في الزجاجة: هذا إسناد صحيح ورجاله ثقات.Terjemahan:

Daripada Mu'az bin Abdullah bin Khubaib RA; daripada bapanya; daripada bapa saudaranya, beliau berkata: "Ketika kami berada dalam satu majlis, maka Nabi SAW telah datang sementara di atas kepala Baginda masih ada sisa air mandian. Sebahagian daripada kami berkata kepada Baginda SAW: "Hari ini kami melihat kamu amat gembira.” Lantas Baginda SAW menjawab: "Benar, segala pujian bagi Allah." Setelah itu para sahabat hanyut (leka) membincangkan hal kekayaan sehinggalah Baginda SAW bersabda: “Tiada apa-apa (tiada halangan) dengan kekayaan bagi orang yang bertakwa. Adalah kesihatan itu bagi orang yang bertakwa lebih baik daripada harta kekayaan dan kebahagiaan jiwa itu adalah sebahagian daripada kenikmatan.” 
(Hadith riwayat Ibn Majah, no. 2141, Ahmad, no. 22076, 22144 dan al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. 2090)

Status Hadith: Sahih

Pengajaran:

1. Islam adalah agama toleransi, mudah dan tidak menyusahkan. Setiap Muslim hendaklah menjalani kehidupan di dunia ini sebagaimana yang telah disyariatkan Allah SWT. Termasuklah dalam urusan mencari rezeki dan harta yang halal tanpa meninggalkan hak terhadap Allah SWT dan hamba-Nya.

2. Dalam Sunan Ibn Majah, hadith ini diletakkan dalam ‘Bab Galakan Mencari Rezeki’ dan penjelasan berkenaan maksud hadith ini dikumpulkan dalam Kitab Syuruh Sunan Ibn Majah (1/833), antaranya:

i- “Kekayaan tanpa takwa”. Berkata Imam al-Suyuti dalam al-Nawadir al-Usul: “Kekayaan tanpa sifat takwa akan membawa kepada kebinasaan. Bahkan tanpa ketakwaan, kekayaan itu akan dikumpulkan daripada sumber yang tidak halal, menjadi penghalang kepada jalan kebenaran dan dibelanjakan dengan cara yang tidak betul. Melainkan ianya diusahakan dengan sifat takwa maka itu adalah dibolehkan dan membawa kepada kebaikan.

ii- “Kepentingan kesihatan”. Kesihatan itu menjadi punca kekuatan tubuh badan dalam menunaikan ibadah kepada Allah SWT. Ianya diibaratkan harta yang berpanjangan kerana apabila seseorang ditimpa kesakitan maka ianya akan menjadi penghalang daripada menunaikan ibadah. Bahkan kesihatan dengan kekayaan itu adalah lebih baik daripada kekayaan tanpa kesihatan.

iii- “Kebahagiaan jiwa”. Kebahagiaan jiwa itu lahir dari sifat syukur dan sabar yang menjadi cahaya yang menerangi hati sanubari serta keyakinan yang kukuh kepada Allah SWT. Ia juga hasil daripada sifat redha dan qana‘ah (merasa cukup). Sifat-sifat mahmudah ini akan menjauhi jiwa daripada kesempitan dan kegelapan.

3. Islam tidak menghalang seseorang untuk mencari kekayaan. Namun kekayaan itu hendaklah diusahakan bersama sifat takwa. Tanpa sifat takwa manusia akan hanyut dalam arus kekayaan sehingga lupa apa yang halal dan haram serta menjauhkan dirinya daripada menginggati Allah SWT. Kekayaan tidak dapat membeli kesembuhan dan kebahagiaan tetapi kesihatan dapat memberikan kenikmatan. Sentiasalah mensyukuri dan menyedari bahawa nikmat kekayaan itu hanyalah pinjaman serta ujian daripada Allah SWT.

Sumber rujukan:
1. Kitab Sunan Ibn Majah
2. Kitab Musnad Ahmad
3. Kitab al-Mustadrak Li al-Hakim
4. Kitab Syuruh Sunan Ibn Majah


Copy and paste: 14/11/2020 : 29 Rabiulawal 1442H: 11.58 pm

No comments: