Tuesday, 24 November 2020

Internet Baik Buruknya Kita di Golongan Yang Mana?


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada masa kini secara umumnya ramai yang telah didedahkan dan berkemahiran untuk menggunakan kemudahan internet sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi. Dengan kemudahan internet, semua kebaikan dan keburukan berada di hujung jari kita.

Terdapat tiga golongang yang menggunakan kemudahan internet:

Pertama : Golongan yang memanfaatkan kemudahan internet untuk menyebarkan, berkongsi atau menimba ilmu dunia dan akhirat, menambahkan pendapatan kewangan, merapatkan ukhuwah sesama insan dan sebagainya. Semua itu boleh dimasukkan ke dalam senarai amal solehnya dan dia mendapat ganjaran untuk kebaikan dunia dan akhiratnya.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat
diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat; dan sesiapa yang memberi contoh kejahatan, maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat.” (Petikan Kitab Tanbihul Ghafilin halaman 13).

Kedua : Golongan yang menghabiskan masa berada depan komputer dengan bermain 'game', mendengar lagu, bersembang kosong (chatting) dengan sesiapa sahaja, membuka web site yang kurang bermanfaat untuk menambahkan ilmu pengetahuan seperti membaca kehidupan artis-artis atau ahli-ahli sukan dan sebagainya tanpa tujuan yang jelas.. Waktunya dihabiskan berjam-jam tanpa sebarang faedah untuknya.

Sepatutnya, mereka perlu mengisi masa berharga itu dengan amalan yang boleh menghalakan hati untuk memberi sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap Allah S.W.T. bukan semata-mata memenuhi hawa nafsu semata-mata. Masa inilah kita pergunakan untuk menghadiri pengajian-pengajian ilmu, ceramah-ceramah agama, khidmat masyarakat dan menyediakan dan menghantar nota-nota tazkirah dalam fb dan blog kepada masyarakat.

Pepatah Arab ada menyatakan :
"Masa itu seperti pisau. Jika kamu tidak memotongnya, ia pula memotong kamu!"

Masa adalah kehidupan sesiapa yang mensia-siakannya ini bermakna dia mensia-siakan kehidupannya.

Ketiga : Golongan yang menggunakan internet untuk memuat naik dan memuat turun gambar-gambar tidak senonoh,melawati laman-laman lucah, mengumpat, menyebarkan fitnah, melaga-lagakan manusia, menghasut sehingga memutuskan hubungan silaturahim dan memusnahkan rumahtangga, bersembang dengan menggunakan bahasa kesat dan kasar, memuat naik gambar-gambar peribadi yang mendedahkan aurat dan banyak lagi aktiviti-aktiviti di internet yang mengundang laknat dan murka Allah SWT. Lebih dahsyat lagi jika terlibat dengan aktiviti tidak bermoral membuat fitnah dan menyebarkannya pula dengan menggunakan teknologi 'super impose'

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita. Sekarang ini kita berada digolongan mana? Jika berada di golongan yang pertama, alhamdulillah semoga kita sentiasa dirahmati Allah. Masa yang kita peruntukkan menghadap komputer berjam-jam dikira sebagai ibadah di sisi Allah S.W.T. Teruskan kerja-kerja yang murni ini.

Sekiranya kita golongan yang kedua, kita adalah golongan yang akan rugi kerana masa kita dipergunakan dengan banyak tanpa berfaedah . Kita akan menyesal di akhirat nanti ketika berdepan dengan hisab amalan satu persatu termasuk masa yang kita habiskan.

Jika termasuk golongan yang ketiga kita akan mendapat kerugian di dunia dan akhirat . Oleh itu hendaklah kita jangan menjadi golongan ketiga ini dan minta di hentikan tabiat buruk itu. Secara sedar atau tidak golongan ketiga ini telah membuat koleksi dosa-dosa sama ada dosa besar atau dosa kecil. Dosa mengumpat dan memfitnah zaman moden ini amat mudah dilakukan. Tidak perlu bersuara atau berkumpul ramai-ramai. Hanya dengan sekali klik dosa mencurah-curah menjadi milik sesiapa yang terlibat dengan perbuatan fitnah tadi. Seseorang akan menjadi golongan muflis di hari akhirat nanti jika tidak bertaubat 

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab :
“Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
“Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.” (Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)

Sahabat yang dikasihi,
Mudarat internet amat besar. Kerana internet boleh menghilangkan maruah diri seseorang, boleh meruntuhkan rumahtangga, boleh memutuskan hubungan dua sahabat dan boleh mendatangkan persengkitaan di antara agama dan bangsa jika tidak ditangani dengan baik.

Kebaikan internet juga banyak menfaatnya jika digunakan sebaik-baiknya untuk mencari keredaan Allah SWT.

Akhirkata berhati-hatilah dalam menggunakan kemudahan internet. Manfaatkan kemudahannya untuk menjana amal soleh dan kebaikan di dunia dan akhirat. Jangan kerananya menyebabkan kita menerima penghinaan dan azab yang pedih bila kembali ke kehidupan yang sebenar nanti.

Copy and paste: 24/11/2020 @ 9 Rabiulakhir 1442H: 8.37 pm

No comments: