Saturday, 28 November 2020

KEDAH TUA

 Dari FB Sungai Batu Tamadun Terawal Asia Tenggara

Kedah Tua Bilangan 1

Sejarah Kedah Tua. Mulai hari ini Adminah akan bercerita tentang Kedah Tua. Penulisan bergantung pada cerita. Ada ringkas dan ada panjang. Dan tentunya akan bersambung-sambung. Bismillah.

Kedah, sebuah negeri yang tertua di dalam Semenanjung Malaysia. Terdapat kesan tinggalan sejarah prasejarah bersambung kisahnya sehingga ke Kedah moden hari ini.

Guar Kepah, biarpun sekarang berada di wilayah Pulau Pinang namun tiada siapa dapat menolak sejarah yang terukir Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Kedah. Dan di Guar Kepah yang dijumpai kulit-kulit kerang dan diangkat negeri Pulau Pinang sebagai sebuah kawasan sejarah. Biarpun dengan tidak mengaitkan tempat ini adalah Kedah lama, makna penemuan kulit-kulit kerang ini bahawa pesisir pantainya telah berpenghuni sejak 3000 tahun yang lampau.

Melalui kajian arkeologi, kawasan yang dijumpai ditanda sebagai kesan Kedah Tua bermula kurun ke 8 Sebelum Masehi hingga kurun ke 14 Masehi. Biarpun sejarah lisan dan sejarah yang dikutip di dalam Hikayat Merong Mahawangsa bahawa Kerajaan Kedah Tua sangat besar. Menelan negara-negara lain di dalam Asia Tenggara.

Kerajaan Kedah Tua kerajaan Melayu. Kini dicorakkan di atas peta berdasarkan tinggalan melalui arkeologi atau cari gali, Kedah Tua berkembang dari Sungai Batu Merbok Kedah merangkumi Bukit Choras yang terletak di Utara Gunung Jerai, Jeniang, Lembah Sungai Merbok sehinggaSungai Muda. Termasuk ianya ke Cheruk Tok Kun di selatan Kedah.

Kedah Tua merupakan sebahagian empayar dalam Kerajaan Maritim Sriwijaya yang memiliki hubungan perdagangan dan politik yang rapat dengan Selatan India dan China.


Kedah Tua Bilangan 2

Sehingga ke hari ini, sejarah Kedah Tua direkodkan berdasarkan bukti penemuan seramik-seramik asing, candi dan arca Hindu Buddha serta inskripsi di sekitar Sungai Bujang dan Sungai Mas menunjukkan bahawa Lembah Sungai Merbok dan Muda merupakan pusat perdagangan amtarabangsa Kedah Tua. Rekod masa aktif adalah hingga kurun ke 14 Masehi.

Kini satu lagi sejarah baharu ditimbulkan dengan lebih jelas dan berfakta di mana sebenarnya Kedah Tua lebih lama dari awal masehi ke 2. Penemuan tapak-tapak tinggalan yang membentuk sebuah kompleks yang lengkap dengan industri, pelabuhan, pergudangan dan kepercayaan yang bertarikh paling lama tercatat adalah sejak tahun 788 Sebelum Masehi, membawa kepada pengikhtirafan para sarjana sejarawan dunia bahawa Kedah Tua adalah sebahagian tamadun terawal dunia.

Dengan penemuan berjuta-juta jongkong dan sisa besi terlebur di Sungai Batu dan daerah-daerah lain yang bersambung melalui Sungai Muda, berpandu pada catatan-catatan bertulis dalam kitab sejarah pelbagai negara misalnya Arab, India, China, Korea, Pakistan, Jepun, tamadun Kedah Tua adalah satu-satunya tamadun yang berasaskan ekonomi. Tamadun-tamadun dunia lain tumbuh berasaskan ugama atau kepercayaan.

Kehebatan Kedah Tua tersingkap dengan kesan tinggalan yang serba lengkap, tersusun, luar biasa dan bertaraf dunia.

Pelabuhan-pelabuhan utama seperti Sungai Batu, Sungai Mas dan Pengkalan Bujang muncul secara berturutan dan bergantian mengikut peredaran masa dan perubahan muka bumi. Dan ketiganya menunjukkan aktiviti perlabuhan, perindustrian dan sosial penggunaannya adalah antarabangsa. Sesuai dengan kedudukan Semenanjung Malaysia itu sendiri sebagai pusat sehenti untuk pelayaran atau jalan laut dari arah Timur dan Barat.

Sejak kurun ke 8 Sebelum Masehi dengan bangun sebagai sebuah tamadun unggul hingga ke abad ke 14, Kedah Tua mula merosot pada penghujung abad ke 14.

Fungsinya iaitu sebagai pusat perdagangan entrepot utama di pesisir Selat Melaka digalas cantik oleh Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke 15 Masehi.

Kedah Tua masih beroperasi tetapi dalam skala yang sederhana dan menurun. Tinggalan-tinggalan seramik dari pelbagai negara terus dijumpai di sekitar Lembah Merbok mewakili kurun ke 14 hingga ke 17 Masehi. Namun jumlahnya tidaklah banyak dengan pengesanan seramik adalah dari China dan negara-negara Asia Tenggara dan juga Eropah.

Kesultanan Melayu Melaka mampu bangkit selama 1 kurun sahaja sebelum bumi Melayu bermula dengan kisah penjajahan bertarikh kurun ke 16 Masehi.

Namun, Kedah Tua tetap menunjukkan kedatangan pedagang luar negara terus datang singgah.


Kedah Tua Bilangan 3

Sumber bertulis berkenaan Kedah Tua diperolehi daripada Hikayat Merong Mahawangsa dan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah.

Hikayat Merong Mahawangsa mempunyai 14 bab yang menceritakan bagaimana Langkasuka dibuka. Hikayat ini dipercayai ditulis oleh 'Fakir' yang hidup pada masa Sultan Muadzam Shah iaitu anak kepada Sultan Kedah yang pertama iaitu Sultan Mudzafar Shah 1.

Namun penulisan 'Fakir' ini boleh mencetuskan sedikit pertanyaan bagaimana beliau menulis sejak zaman Sultan Muadzam Shah sehingga 10 lagi Raja selepasnya. 'Fakir' ini juga bercerita mula bahawa Sultan Muadzam Shah menyuruhnya menulis Sulalat-us-Salatin, bukannya Hikayat Merong Mahawangsa.

Bab ke dua hikayat menceritakan tentang Pulau Langkapuri yang didiami oleh seekor burung garuda selepas peperangan Seri Rama dan Raja Anduman. Pembantu keduanya adalah garuda itu sendiri.

Apabila mendapat tahu perkahwinan anak Raja Rom dan anak Raja China, Garuda berhasrat menghalang perkahwinan sekaligus menghalang jodoh yang merupakan 4 rahsia Allah SWT. Garuda memohon izin Nabi Sulaiman AS untuk menghalang jodoh tersebut. Nabi Sulaiman AS tidak bersetuju tetapi membiarkan sahaja garuda berbuat demikian bagi menjadi teladan akibat makhluk ingin mengatasi ketentuan Allah SWT. Garuda berjanji tidak akan berada di langit atau di bumi jika gagal menghentikan perkahwinan tersebut.

Bab ke tiga hikayat adalah tentang kisah Garuda menyerang istana Maharaja China dan menyambar puteri raja benua China serta dua orang suruhannya. Di bawa ketiganya dengan cengkaman kuku lalu terbang pulang ke Langkapuri.

Sementara itu Raja Rom meminta Raja Merong Mahawangsa menemani anak Raja Rom ke benua China bagi tujuan pernikahan. Raja Merong Mahawangsa berketurunan Indera Dewa manakala isterinya berketurunan Raja Raksasa atau/ Gergasi.

Sejenak untuk difikirkan. Kaum raksaksa atau gergasi adalah kaum yang menjaga kepercayaan menyembah Tuhan yang Satu iaitu dipercayai tauhid kepada Allah SWT.

Pelayaran Merong dan anak Raja Rom menggunakan dua buah bahtera serta beberapa kapal pengiring.

Garuda menyerang Raja Merong dan Anak raja Rom di mana ianya adalah sebahagian usaha untuk menggagalkan terus perkahwinan seraya membunuh Anak Raja Rom. Serangan ke atas bahyera oleh garuda berlaku di perairan Kuala Changgong, Kuala Tawai, Kuala Parit. Ketiganya burung garuda tewas. Kuala Morib tidak ada apa-apa serangan. Di Pulau Salang bahtera anak Raja Rom terus belayar ke Tanjung Hujung Salang dan diserang Garuda kerana ketika itu bahtera Merong Mahawangsa berhenti untuk bekalan air dan kayu.

Bahtera anak raja Rom karam bersama kapal-kapal pengiring yang lain.

Bab ke empat mengisahkan Raja Merong berhenti dan membuka negeri di timur Pulau Seri dan dinamakan Langkasuka.selepas tidak menemui anak Raja Rom.

Sekali lagi kata kunci menarik di dalam Hikayat Merong Mahawangsa adalah, penduduk Langkasuka semasa kedatangan Raja Merong Mahawangsa adalah kaum gergasi atau raksaksa atau kaum yang mengamalkan ajaran tauhid.

Bab ke 5 berkisar tentang anak Raja Rom yang hanyut terdampar di Pulau Langkapuri dan dijumpai oleh tunangnya sendiri iaitu anak Raja China. Anak Raja China menyembunyikan anak Raja Rom tanpa pengetahuan Garuda.

Biarpun diculik, layanan Garuda kepada anak Raja China sangat baik. Gelaran yang dipanggil puteri Raja China kepada Garuda adalah nenek. Satu hari anak raja China meminta garuda mengambil bajunya di istana raja China. Selesai tugas garuda mewujudkan hiruk pikuk di istana Raja China dan mengambil peti baju anak raja China, Garuda pergi menyembah Nabi Sulaiman AS dengan tanggapan anak Raja Rom telah mati dan jodoh sudah terputus.

Nabi Sulaiman AS menyuruh Garuda melihat di dalam peti baju anak raja China. Alangkah terkejut garuda apabila melihat anak Raja Rom keluar dari peti kain tersebut.

Dalam keadaan takut yang amat sangat, Garuda dan sekalian makhluk yang ada di istana Raja Sulaiman AS mendengar pesanan daripada nabi Allah tersebut iaitu 4 perkara yang tidak boleh manusia dan malaikat tentukan iitu:

1) Rezeki
2) Ajal
3)Jodoh penceraian
4) Penceraian.

Garuda dihukum ke laut Kalzum di mana tak ada seorang manusia pun di pulau tersebut. Sementara aank Raja Rom dan anak Raja China dihantar oleh Raja Jin Sharman menggunakan peti baju yang sama milik anak Raja China ke China dan perkahwinan berlangsung seperti mana mengikut kehendak Nabi Allaj Sulaiman AS.

Kedah Tua Bilangan 4

Bab 6 Hikayat Merong Mahawangsa menceritakan bagaimana permulaan negeri Kedah. Raja Merong Mahawangsa membuka Langkasuka. Baginda menghantar menterinya ke Pulau Percha, Aceh dan negeri Raja Kelinggi atau Burma bagi bertanya khabar dan mengahwinkan putera baginda. Di Burma, menteri Raja Merong berjumpa dengan Menteri Rom dan membawa pulang Menteri Rom ke Langkasuka. Betapa leganya hati Merong apabil mendapat tahu anak Raja Rom telah selamat dinikahkan dengan anak Raja China.

Raja Merong menikahkan anaknya dengan anak seorang Raja. Tak dinyatakan anak Raja mana dari tiga negeri di atas. Anak baginda digelar Raja Merong Mahapudisat lalu naik sebagai Raja. Raja Merong Mahawangsa berpesan untuk merajakan cucu-cucunya di sebelah utara, selatan dan timur Langkasuka. Baginda pulang ke Rom.

Bab 7 mengisahkan Kedah di bawah Raja Merong Mahapudisat. Baginda mempunyai 3 putera dan seorang Puteri. Ketiga-tiga Baginda dilatih dengan ilmu persenjataan dan memanah sambil berkuda. Bagi memenuhi permintaan Raja Merong Mahawangsa, putera sulung Raja Merong Mahapudisat dihantar ke negeri Siam Lanchang. Putera kedua membuka Perak. Puteri tunggal baginda di hantar ke Pattani dengan gajah putih yang dipanggil orang Gemala Johari. Tidak hairanlah pattani terkenal dengan gajah putihnya. Puteri itu diberi keris yang dinamakan Lela Masani.

Dan Putera Bongsu baginda kekal memerintah Kedah Zamin Tauran.

Bab 8 bermula apabila Raja Langkasuka iaitu Raja Seri Mahawangsa menggunakan 'Seri' bagi memudahkan surat dihantar dengan nama Raja tersebut. Andai dibuang perkataan 'Seri' maka gelarannya adalah Raja Mahawangsa. Kota sudah berpindah ke Serokam iaitu di Tikam Batu sekarang kerana Kota Langkasuka semakin jauh dari laut. (Sungai Batu?). Pada zaman inilah bunga emas mula diperbuat orang dan dihantar bagi meraikan kelahiran anak saudara Baginda di Siam dengan harapan penghantaran bunga emas adalah bagi tujuan mengeratkan hubungan sesama Raja. Putera baginda dikahwinkan dengan cucu Nang Miri gergasi dan Bergelar raja Seri Inderawangsa. Kota Raja Seri Maha Inderawangsa berpindah ke Sungai Emas (Kota Kuala Muda).

Bab 9 sepenuhnya menceritakan tentang Raja Bersiong. Samada Raja Bersiong adalah wujud atau tidak, ramai para sarjana memberi pendapat watak Raja Bersiong direkayasa sebagai perlambangan kezaliman seorang Raja terhadap rakyat negeri Kedah pada masa silam.

Raja Bersiong ditulis secara mitos dan diselang selikan dengan fakta sejarah yakni beberapa peristiwa dan tempat adalah tepat. Raja Bersiong bermain dengan dua watak. Zalim dan dalam satu masa yang sama menggambarkan seorang raja yang berdaulat.

Perlu dikaitkan dengan penulisan mula saya. Asal usul Raja Bersiong adalah bilamana Raja Seri Maha Inderawangsa yang berkahwin dengan wanita misteri yang cantik daripada keturunan Nang Miri (bangsa gergasi/ raksaksa). Perkahwinan ini tidak mendapat restu dari datuk Raja Bersiong atau ayah kepada Raja Seri Inderawangsa. Raja Seri Maha Inderawangsa tidak mengendahkan tegahan ayahandanya dan tetap bertegas mahu berkahwin.

Hasil perkahwinan tersebut, Raja Bersiong dilahirkan selepas kemangkatan datuknya semasa ayahnya menaiki takhta Kedah. Nama Raja Bersiong adalah Raja Ong Maha Perita Deria.

Pada masa pemerintahan ayahanda Raja Bersiong, pusat pemerintahan adalah Sungai Emas. Merujuk kepada tempat Sungai Emas adalah tidak jauh dari Kota Kuala Muda.

Apabila Raja Bersiong yakni Raja Ong Maha Perita Deria menaiki takhta, pusat pemerintahan beralih ke Kota Aur yang turut terletak berhampiran Sungai Muda di kawasan daerah Seberang Perai, Pulau Pinang.

Kota itu dinamakan Aur kerana banyak buluh aur yang menjadi hutan mengelilingi kotanya.

Kedah Tua Bilangan 5

Raja Bersiong meminta bantuan Acheh membina Kota Aur. Pada masa ini Pulau Seri dah menjadi Gunung Jerai, Pulau Jambul menjadi Bukit Jambul, Pulau Kering menjadi Gunung Keriang dan Pulau Tanjung bertukar menjadi daratan.

Kedudukan Kota Aur di bahagian kawasan Gunung Jerai. Raja Ong Maha Perita Deria mengahwini seorang wanita tempatan sebagai permaisuri yang dikatakan sangat cantik dan berbudi bahasa. Karektor Permaisuri berbeza dengan Raja Bersiong. Rakyat Negeri Kedah berasa takut dengan kerana Rajanya yang zalim. Para pembesar negeri terpaksa memberi nasihat kepada Raja melalui Permaisuri tetapi tak diendahkan oleh Raja Bersiong.

Raja Ong Maha Perita Deria banyak melakukan kezaliman dan penganiayaan terhadap rakyat jelata. Bagi membina kota-kota istana, Baginda memeras kerongat rakyat tanpa belas kasihan.

Gigi siong Raja telah pun tumbuh sebelum kejadian gulai sayur bayam bercampur dengan darah berlaku. Dikisahkan dalam hikayat, tumbuhnya siong Raja menjadi perbualan hangat di kalangan rakyat jelata.

Petikan siung tumbuh di dalam Hikayat Merong Mahawangsa.

'Hatta pada suatu Raja tengah dihadap oleh orang sekalian, maka titahnya kepada seorang Menteri, "Hendaklah tuan hamba mamri dekat beta, lihat gigi hamba ini, terlalu sakit antara gigi manis, keduanya itu baharu tumbuh pula, bakatnya sahaja baharu jadi."

Maka dilihat oleh Menteri, disembahnya, "Siung, Tuanku."

Maka titahnya pula, "Pada fikiran rasa beta, tidak patut hendak tumbuh siung." Ia berkata-kata itu sambil ketawa pula, "Jika hendak tumbuh siung pun tentulah ada daripada mula jadi atau daripada masa sedang kecil dahulu."

Maka sembah seorang Menteri, "Apa yang kegemaran tuanku di dalam pensantapan lauk nasi di dalam sehari-hari ini:"

Melalui kisah inilah Raja diberi gelaran Raja Bersiong. Malah Baginda dikatakan bersikap seperti binatang buas dan memakai kalung taring babi hutan. Ketika itulah terjadi peristiwa gulai sayur bayam bercampur dengan darah tukang masak istana. Kerana kesuntukan masa dan takut akibat murka Raja maka kejadian campuran sayur dengan darah dirahsiakan sehinggalah ditanyai oleh Baginda. Setelah itulah maka perintah dikeluarkan agar banduan seorang demi seorang dibunuh dan darahnya dicampur dalam hidangan sayur kegemaran Raja.

Raja turut memakan hati dan jantung manusia. Bekalan darah, hati dan jantung adalah dari banduan dan turut melibatkan rakyat jelata.

Sebenarnya watak seorang Raja sanggup makan manusia wujud dalam kisah-kisah rakyat dari India. Pengaruh India di dalam hikayat ini dipengaruhi oleh agama Hindu dan berkembang dalam bentuk lisan dan berpindah kepada bentuk penulisan yang menjadi sumber sejarah tempatan.

Berbalik kepada kisah raja Bersiong, kalangan pembesar mula bersatu dan muncul sedikit demi sedikit penentangan terhadap pemerintahan Raja Bersiong di Kota Aur. Kiranya kisah ini berlaku di Kota Aur.

Penentangan rakyat jelata disokong oleh Menteri KeEmpat dan Permaisuri. Raja Bersiong berjaya digulingkan dengan motif atau niat sebenar adalah mengadili Raja dengan keadilan. Raja Bersiong lari dan tidak ditemui dalam penentangan tesebut di mana simpulan kuat bahawa Raja sesekali takkan jatuh daulatnya. Kerajaan Kedah diperintah oleh Menteri Keempat sehingga menunggu Raja Baru ditabal.

Baling dikatakan lokasi yang dituju oleh Raja Bersiong setelah dikejar oleh tentera Menteri Keempat. Baginda menetap di sebuah rumah dalam kebun sirih yang berhampirann sempadan dengan Pattani.


Copy and paste:

28/11/2020 : 12 Rabiulakhir 1442H: 2.01 pm

No comments: