Wednesday, 4 November 2020

Pedang Qala'i Mencatur Kegemilangan Empayar.

Oleh Muharawi
Dari FB Sungai Batu Tamadun Terawal Asia Tenggara

Dalam satu pembentangan pada tahun 2015, Prof Dr Mokhtar Saidin menyatakan Al-Kindi (801 - 873 M) , seorang sarjana Arab menulis bahawa pedang terbaik didunia datang dari Yaman , Kalah dan Hindi.

Al-Kindi atau nama sebenarnya Ya'qub ibn Ishaq al-Kindi telah dititahkan oleh Khalifah Abbasiyah untuk mengkaji tentang pedang terbaik dan ciri-ciri pembuatan dan mutunya dan beliau mencatat dalam karyanya bertajuk "Perihal Pedang dan jenis-jenisnya" Ini membuatkan beliau mencatat antara lainnya tentang Semenanjung Melayu atau lebih dikenali sebagai Kalah Bar. Kalah Bar ialah tanah semenanjung, manakala Kalah Bahr ialah Laut Kalah iaitu Selat Melaka. Bar dan Bahr ialah dua yang berbeza. Oleh kerana Al-Kindi membawa amanat Khalifah, maka kajian dan catatan beliau adalah amat tinggi nilai wibawa dan ilmiahnya.
Disini kita renungkan sedikit. Zaman Empayar Abbasiyah adalah era keemasan empayar Islam. Mereka telah bertempur dan menewaskan kuasa besar Rom dan Parsi dalam beberapa siri peperangan. Pedang adalah senjata tempur yang menentukan kemenangan mutlak sesuatu peperangan. Simboliknya, pedang adalah senjata yang dihunus ke leher musuh untuk mereka menyerah diri. Malahan pedang juga adalah senjata yang dikumpul dan diserahkan oleh musuh secara beramai-ramai sebagai tanda menyerah kalah. Ini bermakna pedang yang digunakan oleh tentera Islam ternyata lebih ampuh dari pedang Rom dan Parsi. Ironinya, al-Kindi merumuskan pedang buatan Kalah adalah dua terbaik dalam kategori yang paling atas. Apakah pedang buatan Kedah Tua yang digunakan oleh tentera Abbasiyah menentang Rom dan Parsi.

1. Bukti kewujudan pedang Qala'i dalam sejarah

Sebelum kita pergi jauh, fahami dulu nama pedang tersebut. Kalah atau Qalah adalah sebuah negeri dalam sebutan Arab yang merujuk kepada Kedah. Tatabahasa Arab akan menambah konsonan yang berbunyi 'ee' dihujung bagi setiap yang berasal dari sesuatu tempat. Qalah ( qaf , lam , ha ) menjadi Qala'i (qaf , lam , ain , ya), قلعي (Qala-ee). Rom menjadi Rumi, Fars menjadi Farisi, Khurasan menjadi Khursani. Oleh itu pedang yang diperbuat di Q/Kalah di beri nama pedang Qala'i. Seterusnya, sesetengah para penyelidik mengambil nama Qala'i itu merujuk pada besi yang diproses di Kedah Tua dan menyebutnya Besi Kalai.

Perlu diingat, sumber utama sejarah tentang pedang Qala'i ialah dari sumber Arab. Selain al-Kindi di abad ke 9, sarjana Arab lain yang mencatatkan tentang pedang Qala'i dan pembuatan alatan besi di Kedah ialah al-Idrisi abad ke 12, Mis'ar ibnu Muhalhil abad ke 10, al-Biruni abad ke 11 dan beberapa nama lain. Manakala, tidak pula diketahui apa panggilan pedang tersebut di benua India. Ada tercatat tentang besi dari Kazakham (Kedah) dalam himpunan puisi 'Pattinapalai' pada abad pertama masihi dan juga terdapat dalam satu catatan lain di abad kesepuluh. Samaada besi dari Kedah ada digunakan untuk pembuatan pedang Hindi, penulis masih mencari faktanya. Namun mengikut catatan India, besi dari Kedah digunakan untk membuat roda kereta kuda atau 'chariot'
Setakat kini, catatan terawal tentang pedang Qala'i ialah melalui peristiwa peperangan antara tentera Islam menentang Yahudi Bani Qaynuqa pada tahun 624 M. Tentera Islam menang dan diantara rampasan perang ialah sejumlah pedang Qala'i. Sambil memegang pedang rampasan tersebut, diberitakan, Rasulullah bersabda, "Pedang kita ialah dari Qala'ah". Apa yang disebut Rasulullah adalah hadith, dan sumber sirah ini merujuk pada Ibn al Athir seorang Muhaddith yang hidup sekitar 1150 - 1210 M.

Ada satu riwayat yang mengatakan Abdul Mutalib, datuk kepada Nabi Muhammad saw, ketika berusaha menggali telaga Zamzam, telah terjumpa beberapa tinggalan barangan lama dalam tanah. Antaranya ialah peralatan besi dan juga pedang. Kesemuanya di leburkan untuk dibuat pintu Kaabah. Kisah ini tidak dapat dipastikan kesahihan sumbernya.

Terdapat suatu surat yang disimpan oleh Ibn Abd Rabbih (940 M). Ia adalah surat dari Maharaja Srindravarman dari Srivijaya untuk Khalifah Umar bin Abd Aziz, antara lain isi kandungannya berkenaan hadiah berupa pedang Qala'i untuk Khalifah Bani Umayyah tersebut yang memerintah sekitar tahun 717 - 720 M. Ini membuktikan adanya hubungan diplomatik antara Srivijaya dan Kerajaan Islam Bani Umayyah seawal abad ke 8.

Namun bukti muktakhir tentang pedang Qala'i terletak di muzium Topkapi, Turki. Pedang milik Nabi Muhammad saw. Ia berukuran 100 cm panjang. Ia dikatakan mempunyai bentuk yang beralun atau berlekuk, tapi bukan bermaksud berluk. Berluk maknanya berlekuk di bahagian sisi, tapi jika diperhatikan, bilah pedang yang pipih itu tidak rata tapi beralun (rujuk gambar) dan ia bertulis " Ini adalah pedang mulia milik keluarga Nabi Muhammad, Pesuruh Allah."

2. Catatan sarjana

Dalam catatan al-Kindi , ia merumuskan terdapat tiga kategori pedang iatu 'atiq,'atiq wa-la muhdath dan muhdath. Untuk memudahkan pemahaman , penulis menyebut sebagai Unggul, Bagus dan Sederhana. Setiap kategori itu pula tebahagi kepada beberapa yang lain. Tidak kurang 15 jenis pedang yang di huraikan oleh al-Kindi. Unggul adalah kategori paling atas.
"Pedang Unggul terbahagi kepada tiga jenis : yang pertama dan paling hebat ialah pedang Yemen, kedua ialah Qala'i dan ketiga ialah Hindi . . ." al-Kindi mencatat.

Al-Kindi mencatatkan "Qala'i yang seberat tiga ratl kurang suku (2.75 ratl) bersamaan 10 - 15 dinar bergantung pada bentuk dan keruncingan mata pedangnya. Pedang Qalai hanya selebar empat atau tiga jari . . . dan panjangnya antara empat hingga lima jengkal melainkan bagi yang telah dikurangkan dan ditokok tambah".
Berat 2.75 ratl itu bersamaan 0.9 kg. Ukuran panjang tersebut sepadan dengan pedang yang terdapat di Muzium Topkapi. Satu jengkal lebih kurang 22 - 23 cm, jadi 4 - 5 jengkal bersamaan 88 - 115 cm. Bermakna pedang Qala'i di Muzium Topkapi itu jatuh dalam julat yang dicatat oleh al-Kindi. Pamor nya bersimpul-simpul dan beraneka, jelas kelihatan berbanding pedang Yaman.

Seperkara yang perlu diingat, apabila sumber Arab menyatakan al-Hind, ia bermaksud perairan atau maritim dan tanah di sekitar Selat Melaka hingga ke Laut Jawa dan ia mengunjur dari Teluk Benggala. Oleh itu jika sumber Arab menyebut penduduk atau orang al-Hind, ia bermakna penduduk di rantau Kepulauan Melayu. Tradisi penggunaan nama Hindi itu diteruskan dizaman kolonial Belanda dan Inggeris dimana mereka menamakan Hindia Timur untuk rantau kepulauan Melayu dan Hindia Barat untuk jajahan Inggeris di benua kecil India. Banyak penulisan orientalis barat melakukan kesilapan atau sengaja menterjemah al-Hind sebagai India.

Al-Idrisi menulis tentang Segitiga Lautan Hindi, iatu Uman (Tanah Arab), Sufalah (Afrika Timur) dan Kalah (Kedah). Beliau mengatakan penduduk dari "kepulauan al-Hind" juga datang dan mengimpot besi dari Sufalah kerana besi nya mempunyai kualiti tersendiri yang diperlukan oleh tukang besi al-Hind.
Jelas disebut tentang "Kepulauan al-Hind" dan memperkuatkan hujah diatas kerana benua kecil India bukan terdiri dari kepulauan.

Al-Idrisi juga mencatatkan " . . . penduduk al-Hind sangat handal membuat beberapa bahan dari campuran unsur-unsur yang membantu mereka melebur besi menjadi besi Hindi bersempena nama al-Hind. Disana (al-Hind) terdapat bengkel-bengkel pembuatan pedang, dan hasil dari tukang besi mereka jauh lebih baik dari orang lain . . . Namun tiada besi (pedang) yang setanding ketajaman (yang diperbuat oleh) al-Hind. ini adalah fakta umum, tiada siapa yang dapat menafikannya".

Mis'ar ibn Muhalhil atau lebih dikenali sebagai Abu Dulaf yang diutuskan oleh Putera Samanid, Nasr bin Ahmad ke istana China mencatatkan, " Aku pulang dari China ke Kalah, yang merupakan negeri pertama di al-Hind dari arah China dimana kapal berhenti dan berlabuh. Ianya sebuah kubu yang hebat dimana terdapat lombong timah Qala'i dan hanya boleh didapati di dalam kubu ini dan disitu juga pedang Qala'i ditempa".
Beliau juga mencatat " Pedang Qala'i , ianya adalah hebat, diperbuat di al-Hind".
Dari catatan di atas , bukan sahaja pedang dinamakan sempena Qala'i, malahan timah juga dinamakan timah Qala'i.
Al-Biruni ada mencatat "Pedang Qala'i, seperti juga timah, diberitakan diekspot dari Kalah dan di sebut ianya adalah bercirikan Qala'i. dan ianya adalah pedang yang lebar."

Catatan diatas cukup membuktikan bahawa adalah sahih pedang Qala'i diperbuat di Kalah. Namun belum ada penemuan arkeologi di Lembah Bujang yang menemukan bengkel mahupun kesan pembuatan pedang. Tapi dengan nama-nama besar sarjana Arab tersebut, yang bukan calang-calang dan diutus sendiri oleh pihak Khalifah, kewibawaan catatan mereka tidak boleh diperikaikan.

Mungkin ada pembaca, yang keliru dengan beberapa catatan sarjana tersebut seperti " pedang Qala'i yang diperbuat di Yemen". Ini perlu diperhatikan dengan baik. Pedang terbahagi kepada dua bahagian. Pertama bilah dan keduanya, hulu. Pedang diekspot, samaada dalam bentuk bilah sahaja atau beserta hulunya. Seperti yang disebut, pedang kategori Unggul adalah yang terbaik. Pedang sebegini adalah lambang prestij dan status. Kebiasaannya, hulunya akan ditempah mengikut citarasa pembeli/pemilik dengan kepakaran dan bahan tempatan. Bilah pedang pula akan di ukir dengan aluran corak, motif dan tulisan tertentu. Hiasan pada hulu, corak dan motif yang diukir pada bilah itulah yang akan menentukan harganya. Sebab itu ia disebut pedang Qala'i yang diperbuat di Yaman. Dengan kata lain pedang itu diberi nilai tambah dan harganya berlipat kali ganda dari pedang atau bilah Qala'i asal.

3. Ciri-ciri pedang terbaik

Penyelidikan al-Kindi juga meliputi pedang Rom dan Parsi namun agak menghairankan beliau tidak meletakkan kedua pedang tersebut antara terbaik sedangkan mereka antara kuasa besar ketenteraan. Al-Kindi menilai pedang terbaik berdasarkan tiga ciri, iaitu kepadatan, kejituan dan kelenturan. Ketiga - tiga ciri tersebut bergantung pada bahan dan teknik pembuatan.

Menurut komentar keatas karya al-Kindi, pedang Unggul terutamanya Qala'i dan Yaman mempunyai kandungan karbon yang tinggi, manakala pedang Rom Byzantin hanya mengandungi 0.3 % karbon. Kandungan karbon yang lebih tinggi ini sebenarnya telah merubah besi itu menjadi besi keluli. Besi keluli mempunyai kelenturan dan kelenturan adalah aspek yang penting kerana ia membuatkan pedang tidak mudah patah. Kepadatan membuatkan pedang itu tidak mudah sumbing manakala kejituan akan memastikan pedang itu lasak.

Catatan al-Kindi menyenaraikan banyak terma seperti narmahan, syarbuqan, faqirun, mawallad dan lain-lain. Tidak perlu untuk menghuraikan nama dan terma tersebut disini, cukup lah sekadar menceritakan sifatnya. Namun terma "fuladh" harus diingati kerana ia bermakna keluli. Sehingga kini, keluli adalah bahan penting dalam dunia moden ini. Struktur konkrit memerlukan keluli untuk membina rangkanya. Hampir kesemua pedang yang dikaji oleh al-Kindi ini ialah pedang keluli, tetapi bukan pedang Byzantin yang ditempa terus dari jongkong besi.

Keluli terhasil dari proses lain dari peleburan bijih besi. Ia adalah proses hiliran untuk meningkatkan mutu besi untuk tujuan tertentu. Barangkali Inilah yang dimaksudkan oleh al-Idrisi dimana tukang besi Kalah mempunyai kemahiran mencampur beberapa besi dan bahan tertentu untuk menghasilkan keluli dan pedang keluli terbaik. Proses membuat keluli dilakukan melalui peleburan didalam bikar. Jongkong besi adalah bahan utama disamping bijih besi, arang kayu atau arang batu dan beberapa bahan lain. Bikar tersebut ditutup mati serapatnya supaya bahan didalamnya tidak meluap keluar. Ia dibakar di dalam relau pada suhu 1500 o C untuk jangkamasa tertentu, supaya besi, arang dan bahan-bahan lain bercampur dengan sebati. Kemudian ia dibiarkan sejuk sebelum penutupnya dibuka. Campuran besi yang berat dan sebati tadi akan mendap kebawah kerana berat , bahan-bahan yang tak sebati yang ringan akan berada diatas. Hanya dengan mengetuk beberapa kali, bahan yang diatas akan pecah dan terpisah dari sebatian dibawah. Sebatian dibawah itulah keluli. Bentuknya setongkol mengikut rupa bikar tersebut. Oleh kerana ia menggunakan bikar, ia lebih dikenali dengan nama 'crucible steel' , 'wootz steel' oleh pengkaji barat.

Pedang Qala'i dan pedang keluli yang lain memerlukan tukang untuk mengilatkan bilahnya. Ia memerlukan tugasan khas dan kepakaran. Hanya dengan teknik kilatan yang betul dan mahir, pamor di bilah pedang itu akan timbul dan ketara.. Pamor pedang Qala'i, menurut al-Kindi coraknya bersimpul simpul dan beraneka bentuk. Pamor adalah identiti dan ciri penting pada senjata besi dan pemiliknya. Ia umpama cap jari. Pemilik akan mengenali senjatanya hanya dengan meneliti pamor. Tiada keris atau pedang mempunyai bentuk pamor yang sama.
Yaman merupakan pusat perdagangan pedang. Bermacam pedang dari segala ceruk rantau dibawa kesana. Pedang atau bilah Qala'i asal yang dibawa kesana, menurut al-Kindi hanya berharga 10 - 15 dinar. Namun setelah kerja tokok tambah atau ditambah nilai ia boleh dijual setara dengan pedang Yaman iaitu 50 hingga 100 dinar. Harga tersebut terhasil dari kerja-kerja kosmetik seperti mengilatkan bilah, membuat dan menghias hulu, mengukir tulisan dan corak malahan menitikkan emas kedalam lubang yang dibuat diatas bilah.

Bila disoroti, pedang Qala'i ini sudah tiba di Tanah Arab sebelum era Islam lagi dan di abad ke 13 M masih menjadi bahan dagangan. Tidak kurang 800 tahun perdagangan dan pengeluaran pedang Qala'i ini antara Kedah dan Tanah Arab. Justeru itu, dizaman Srivijaya, penguasaan keatas Kedah adalah kemestian demi penguasaan keatas sumber senjata paling utama. Malahan dagangan senjata merupakan sektor yang mewah hasilnya.

Perbandingan pedang yang didapati dari catatan al-Kindi , berat dan lebar pedang Qalai adalah kurang berbanding pedang lain, namun dari segi mutu, ia jauh lebih baik. Mutu pedang seperti disebut awal tadi ialah kepadatan, kejituan dan kelenturan. Ciri - ciri ini pernah tersebut dalam suatu catatan yang mana tentera Rom kehairanan mengapa pedang tentera Islam yang lebih kecil dan ringan mampu mematahkan pedang mereka yang lebih berat dan besar. Ini merupakan satu petunjuk untuk membuat spekulasi bahawa pedang Qala'i adalah antara yang digunakan oleh tentera Islam kerana ia adalah dalam kategori pedang Unggul iaitu jenis terbaik dan ringan serta tidak berapa lebar. Ciri tersebut amat penting dalam tempur berpedang kerana mudah untuk mengemudi pedang secara libasan, menghunus, menukar arah dan menangkis serangan lawan.
Manakala sejarah dari kitab suci mengaitkan besi dengan kelengkapan perang. Kedah Tua mula mengeluarkan jongkong besi seawal 788 M mengikut jumpaan arkeologi, dan ada kemungkinan tarikh tersebut menganjak ke zaman yang lebih awal.

4. Dimanakah pusat pembuatan pedang Qala'i

Sehingga kini masih belum di jumpai kesan tinggalan pembuatan pedang di Lembah Bujang, samaada Sungai Batu, Sungai Mas dan Pengkalan Bujang. Ketiga-tiganya suatu ketika dulu adalah "emporia" iaitu pusat perdagangan entrepot pada abad yang berlainan. Bermula di Sungai Batu kemudian diambil alih oleh Sungai Mas sekitar abad ke 5, dan Pengkalan Bujang bermula dari abad ke 10. Ini bermakna, ketika Abu Dulaf singgah di Kedah, beliau berlabuh di Pengkalan Bujang. Beliau mengatakan ada tembok besar untuk memasuki kota tersebut dan didalam negeri itu ada banyak lombong timah dan juga banyak aktiviti pembuatan pedang Qala'i. Apakah pernah ada penemuan tembok kota di sekitar Pengkalan Bujang ?

Abu Dulaf mencatatkan tentang tembok, lombong bijih timah dan pedang bergandingan. Al-Biruni pula mencatat timah dan pedang, manakala al-Idrisi menyebut tentang besi, bengkel dan pembuat besi dan pedang. Disamping al-Kindi, catatan 3 tokoh diatas sudah amat penting untuk merumuskan Kedah adalah pengeluar pedang Qala"i. Catatan mereka pula berkisar dalam empat abad iaitu abad 9 hingga 12, dan kesemua catatan tentang Qalah dan pedang Qala'i adalah konsisten.

Kedah merupakan pengeluar bijih timah utama suatu ketika dulu. Kalah , Kataha, Kataram atau ringkasnya Kedah Tua itu menjajar dari Ligor di utara hingga ke Kuala Selinsing. Keseluruhan pantai barat semenanjung di panggil Kalah Bar atau Tanah Kalah oleh pedagang dan pelayar Arab. Petunjuk penting untuk sampai ke pusat pengeluaran pedang Qala'i ini ialah tembok besar dan lombong bijih timah purba.

Satu soalan yang perlu dirungkai ialah apakah pengeluaran pedang Qala'i ini berpusat dan dikawal atau bebas dikerjakan oleh penduduk sebagai mata pencarian utama. Sepertimana peleburan besi, industri tersebut kelihatan tersebar jauh ke pedalaman dan taburannya tertumpu di rangkaian sungai dan penyelidik malahan penduduk kampung kerap menjumpai relau yang belum digunakan. Untuk menjumpai besi keluli di sekitar Lembah Bujang mungkin sukar kerana ia adalah komoditi dagangan yang lebih berharga dari jongkong besi, sepertimana sukar dan sedikit nya bloomery iron (besi kembamg) yang ditemui di tapak Sungai Batu. Jika dapat ditemui besi keluli disekitar Lembah Bujang, ia adalah artefak paling penting dalam meneroka legenda pedang Qala'i !!

Rujukan :

  1. Medieval Islamic Swords and Swordmaking , Kindi's Treaties "On Swords and their Kinds" efition, translation and commemtary by Robert G Hoyland and Brian Gilmour.
  2. Malaysian Weapon in Arabic Literature: A Glimpse of Early Trade in The Indiam Ocean by SQ Fatimi.
  3. Swords amd Sabers During the Early Islamic Period by David Alexander.

Copy and paste:
4/11/2020 / 18 Rabiulawal 1442H: 1.45 pm

No comments: