Wednesday 18 November 2020

Kitab Sunan an - Nasaie

SUMBER: JAKIM

Pengenalan

Kitab As-Sunan as-Sughra (السنن الصغرى‎), juga dikenali sebagai Sunan al-Nasa'i (سنن النسائي) atau Al-Mujtaba (المجتبى) ialah salah satu dari Al-Kutub al-Sittah (enam kitab hadis utama) orang Islam Ahli Sunah Waljamaah, dan telah dikumpul oleh Imam al-Nasa'i. Ahli Sunah menganggap kitab ini sebagai ketiga paling kuat dalam enam kitab hadis utama mereka.

Kitab al-Sunan al-Sughra ini mempunyai sekitar 5270 hadis (mengira Mukarrar, iaitu, riwayat berulang) yang dipilih al-Nasa'i dari karya utamanya al-Sunan al-Kubra. Bagaimanapun, kitab pertamanya ini turut memasukkan hadis Hasan di samping hadis Sahih.

Nama Sebenar Kitab

Nama sebenar kitab ini ialah Al- Mujtaba Min al-Sunan al-Kubra yang bermaksud pilihan daripada al-Sunan al-Kubra. Menurut Ibnu al-Athir, beliau berpendapat al-An-Nasaie telah meringkaskan kitab Sunan al-Kubra dan memilih daripadanya hadith-hadith untuk kitab al-Sunan al-Sughra. Manakala Imam az-Zahabi pula berpendapat bahawa ringkasan itu dibuat oleh anak murid al-An-Nasaie iaitu Abu Bakar Ibn al-Sunni. Oleh itu, Kitab Sunan An-Nasaie yang ada pada kita sekarang ini mengandungi hadith-hadith pilihan daripada kitab asalnya iaitu al-Sunan al-Kubra atau juga boleh juga dikatakan sebagai ringkasan daripada kitab Sunan al-Kubra. Dalam penulisan sunannya, al-An-Nasaie mempunyai metode tersendiri bagi menjamin kekuatan hadith serta menekankan hadith-hadith hukum. Selain itu, corak penyusunannya juga kemas, teratur dan mengikut urutan yang sesuai daripada sudut Syariah Islam. Seterusnya beliau juga membentangkan beberapa kaedah digunakan sekaligus merupakan metode yang digariskan dalam kitab sunannya. 

Penyusunan Kitab

Dalam penyusunan kitabnya, al-An-Nasaie memberi penumpuan kepada hadith-hadith hukum iaitu penyusunan mengikut topik di dalam ilmu fiqh. Daripada sudut kandungannya pula kitab ini mirip dengan Sunan Abu Dawud dan berbeza dengan Sahih Bukhari dan Muslim. Terdapat 51 bab yang disusun secara menarik,kemas dan mengikut urutan kepentingan daripada sudut Syariah Islam. Selain itu, setiap bab yang terdapat dalam sunan ini pula dibahagikan secara detail dan terperinci yang mana penyusunan ini tidak dilakukan oleh pengarang lain. Sebagai contohnya, dalam bab Istia’zah beliau membahagikan kepada 65 tajuk kecil seperti Istia’zah daripada kebakhilan,Istia’zah daripada sifat penakut,Istia’zahdaripada kejahatan pendengaran dan penglihatan dan seterusnya. Di dalam sunannya mengandungi sejumlah 5761 buah hadith mengikut susunan Abd al-Fatah Abu Ghuddah.

Kedudukan Kitab

Sunan al-An-Nasaie menduduki tempat ketiga selepas Sahih al-Bukhari dan Muslim daripada sudut kurangnya bilangan hadith daif. Namun, secara keseluruhannya Sunan An-Nasaie berada pada tempat kelima daripada Kitab Sunan yang enam (Kutubus Sittah). Sunan al-An-Nasaie juga dianggap istimewa kerana bab haji yang terdapat dalam ini adalah dalam mazhab Syafi’i disebabkan beliau merupakan seorang yang berpegang kepada mazhab Syafi’i. Imam al-Subki berpendapat bahawa Imam An-Nasaie lebih benyak menghafaz hadith-hadith berbanding imam Muslim. Sunannya menduduki tempat ketiga selepas Sahih al-Bukhari dan Muslim daripada segi kurangnya bilangan Hadith Sahih. Menurut pendapat al-Hakim dan al-Khatib, syarat perawi hadith di dalam Sunan An-Nasaie lebih kuat berbanding dengan syarat perawi hadith dalam Sahih Muslim.

Rujukan :

1- Manahij al-Muhaddithin- Terbitan : Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Cetakan Kedua, 2016. Muka surat 124-128.

Copy and paste: 18/11/2020 @ 2 Rabiulakhir 1442H; 11.45 am

No comments: