Thursday 19 November 2020

TRAVEL : ISTANA GYEONGBOKGUNG SEOUL





Oleh:Syahrizal Zainul - FB Sungai Batu Tamadun Terawal Asia Tenggara

Istana Gyeongbokgung adalah istana utama dinasti Joseon. Dibina pada tahun 1395, tiga tahun selepas Dinasti Joseon diasaskan oleh Raja Taejo, raja pertama Dinasti Joseon. Ia terletak di utara Seoul, Korea Selatan. Istana Gyeongbokgung berfungsi sebagai tempat penginapan Raja-raja Dinasti Joseon, rumah keluarga Diraja, serta kerajaan Joseon.

Pada awal abad ke-20, banyak bangunan Istana Gyeongbokgung dihancurkan secara sistematik oleh Imperial Jepun. Hari ini, istana itu dianggap sebagai yang paling indah dan paling hebat dari kesemua lima istana utama di Korea.

Kompleks Istana Gyeongbokgung rosak teruk akibat kebakaran pada tahun 1553, dan proses pemulihan bangunan istana yang mahal, yang diperintahkan oleh Raja Myeongjong, selesai setahun selepas itu.

Istana ini terus melalui beberapa proses pembesaran bangunan istana sebelum dimusnahkan sehingga menjadi abu semasa serangan Jepun Korea (1592-1598). Istana ini dibina semula pada tahun 1867 di bawah pimpinan Putera Heungseon Daewongun.

Disebabkan statusnya sebagai simbol kedaulatan negara, Istana Gyeongbokgung dirobohkan semasa pendudukan Jepun pada awal abad ke-20. Pada tahun 1911, hak milik tanah istana dipindahkan kepada Gabenor Jeneral Jepun. Pada tahun 1915, dengan alasan untuk mengadakan pameran, lebih daripada 90% bangunan istana telah dirobohkan.

Sepanjang pameran itu, Jepun memusnahkan apa sahaja bangunan istana yang masih wujud dan membina ibu pejabat kolonial mereka, Bangunan Kerajaan Jepun (Japanese General Government Building 1916-26), di tapak istana ini.

Pada tahun 1926, Imperial Jepun membina Bangunan Kerajaan Jepun yang amat besar di depan balai penghadapan istana, Geunjeongjeon, untuk memusnah dan memadamkan simbol dan warisan dinasti Joseon. Bangunan Imperial Jepun tersebut adalah sangat besar dan gah, melebihi bangunan Imperial British di India ataupun Bangunan penjajah Belanda di Jawa.

Kerajaan Korea telah berusaha keras untuk memulihara warisan sejarah negara mereka. Usaha pemulihan telah berlangsung sejak tahun 1990. Bangunan Kerajaan Jepun telah dirobohkan pada tahun 1996 dan bangunan istana telah dibaikpulih semula di lokasi dan dalam bentuk asalnya. Pintu masuk utama Istana Gyeongbokgung iaitu Pintu Gwanghwamun (Gwanghwamun Gate) juga telah dibaikpulih.

Pada masa kini, dataran di hadapan Gwanghwamun Gate yang dikenali sebagai Gwanghwamun Plaza, telah dibuka kepada pelawat pada 1 Ogos 2009 dan menempatkan patung Raja Sejong dan Laksamana Yi Sun-sin daripada Dinasti Joseon. Keseluruhan kompleks istana tersebut telah menjadi sumber tarikan pelancong asing setiap kali berkunjung ke Seoul.

Saya percaya, setiap pelancong Malaysia yang datang ke Seoul pasti akan singgah ke kawasan ini untuk merasai sendiri keagungan sejarah Bangsa Korea pada zaman dahulu. Malangnya, sejarah bangsa Melayu yang berusia ribuan tahun dianaktirikan di negara sendiri. Semoga Kompleks Sejarah Sungai Batu menjadi realiti seagung Kompleks Istana Gyeongbokgung.

Kerajaan Korea telah membelanjakan sebanyak 44.5 billion Won hanya untuk pembinaan Gwanghwamun Plaza. Berdasarkan sambutan menggalakkan daripada pelancong asing, sudah semestinya keuntungan yang diperolehi oleh kerajaan Korea melalui sektor pelancongan adalah sangat lumayan. Secara tidak langsung, ini dapat meningkatkan martamat tamadun Bangsa Korea di mata pelancong asing.

Malang sekali keadaan Kompleks Sungai Batu, sehingga terpaksa diwujudkan tabung derma untuk dimajukan. Berpandukan sejarah pembinaan semula Istana Gyeongbokgung yang telah musnah beberapa kali, tidak mustahil untuk Kompleks Sungai Batu dibina berdasarkan lakaran ringkas dan sedikit nilai tambah bagi dijadikan tarikan pelancong. Kerana yang penting adalah ketepatan sejarah, bukan ketepatan saiz dan struktur binaan.

Copy and paste: 19/11/2020 : 4 Rabiulakhir 1442H: 9.11 pm

No comments: