Friday, 20 November 2020

Adab Masuk Tandas

 1. Membaca Doa

Daripada Anas bin Malik r.a. katanya :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ إذَا دَخَلَ الْخَلَاءَ قَالَ : اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْخُبْثِ وَالْخَبَائِث.

artinya : “Adalah Rasulullah saw apabila memasuki tandas baginda membaca doa ‘اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْخُبْثِ وَالْخَبَائِث’ yang bermaksud : Ya Allah aku berlindung dengan-Mu dari syaitan jantan dan betina.” (Hadith Bukhari)

Adapun sebab disunatkan berdoa mohon perlindungan dari syaitan ketika masuk ke dalam tandas ialah dari kerana syaitan suka duduk pada tempat yang ada najis dan tempat terbuka aurat.

Dalam hadith yang lain Rasulullah saw bersabda :

إِنَّ هَذِهِ الْحُشُوشَ مُحْتَضَرَةٌ ، فَإِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ الْخَلَاءَ فَلْيَقُلْ : أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ

Artinya : Sungguhnya tandas ini dihadiri olih syaitan. Maka bila seorang kamu memasukinya bacalah “Aku berlindung dengan Allah dari syaitan.” (Hadith Abu Daud)

Doa hendaklah dibaca di luar tandas sebelum masuk ke dalam tandas.

2. Masuk Dengan Kaki Yang Kiri Dahulu.

Aisyah r.a. meriwayatkan dalam sebuah hadith :

كَانَ النَّبِىُّ يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِى تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ وَفِى شَأْنِهِ كُلِّهِ

Artinya : “Adalah Nabi saw menyukai sebelah kanan ketika memakai kasut, menyikat rambut, bersuci dan semua perkara-perkara yang baik.”
(Hadith Muslim)

Begitu juga disunatkan mendahului kaki kiri jika pergi ke tempat yang tidak baik seperti tempat orang berbuat maksiat atau pejabat orang yang zalim.

Dan apabila hendak keluar dari tandas hendaklah keluar dengan kaki kanannya dahulu seperti masjid, surau dan rumah.

3. Menutup Kepala

Sunat menutup kepala dengan memakai kopiah atau seumpamanya ketika masuk ke dalam tandas kerana hadith yang diriwayatkan olih Aisyah r.a. :

كَانَ النَّبِي صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ الْخَلاَءَ غَطَّى رَأْسَه

Artinya : “Adalah Nabi saw apabila masuk ke tandas baginda menutup kepalanya.” (Hadith Baihaqi)

Imam Baihaqi juga meriwayatkan :

رُوِىَ فِى تَغْطِيَةِ الرَّأْسِ عِنْدَ دُخُولِ الْخَلاَءِ عَنْ أَبِى بَكْرٍ الصِّدِّيقِ ، وَهُوَ عَنْهُ صَحِيحٌ

Artinya : “Diriwayatkan pada amalan menutup kepala ketika masuk ke dalam tandas itu daripada amalan Abu Bakr As-Siddiq dan perkara ini sahih daripada beliau.” (Sunan Baihaqi)

4. Memakai Selipar

Ini adalah kerana lebih menjaga kebersihan kaki kita dari tercemar ketika berada di dalam tandas.

Habib bin Salih meriwayatkan :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ الْخَلاَءَ لَبِسَ حِذَاءَهُ وَغَطَّى رَأْسَهُ

Artinya : “Adalah Rasulullah saw apabila memasuki tandas memakai ia akan selipar dan menutup kepala.” (Hadith Baihaqi)

5. Tidak bawa masuk suatu yang tertulis Quran

Adalah termasuk yang dilarang ialah membawa dengan sengaja ke dalam tandas suatu yang tertulis padanya Quran atau zikrullah atau hadith dan seumpamanya. Samada berupa cincin atau kopiah atau kitab-kitab agama.

Dari Anas bin Malik r.a. berkata :

أَنَّ النَّبِيَّ كَانَ إِذَا دَخَلَ الْخَلاَءَ وَضَعَ خَاتَمَهُ

artinya : ”Sesungguhnya Nabi saw apabila masuk ke dalam tandas lalu baginda menanggalkan cincinnya.” (Hadith Ibnu Majah)

Sudah maklum bahawa tertulis pada cincin Nabi saw perkataan Muhammad Rasulullah.

Maka hendaklah diletakkan cincin atau kopiah yang bertulis ayat-ayat Quran atau zikrullah itu di luar tandas. Jika ditakuti hilang jika diletakkan diluar tandas maka harus dibawa masuk dengan dicabut dan disimpan didalam saku. Jika tidak bolih mencabutnya maka hendaklah dipusingkan tulisan cincin itu ke sebelah dalam genggaman tangan.

6. Menjaga Aurat Dari Dilihat Orang Lain.

Abdurrahman bin Abi Quraad berkata yang artinya :

"Saya pernah bersama Rasulullah saw ke sebuah padang luas. Apabila baginda hendak tunaikan hajat maka baginda akan pergi jauh-jauh."(Hadith Nasaai)

Tujuan pergi menjauh itu ialah supaya orang tidak nampak aurat kita. Ini jika buang air di tempat terbuka. Adapun jika buang air pada tempat tertutup maka hendaklah membuka aurat setelah masuk dan menutup pintu tandas. Setengah orang-orang yang bodoh mereka membuka aurat diluar tandas sehingga dilihat aurat mereka dan setengahnya lagi awal-awal sudah menyelak kain hingga nampak aurat dan kemaluan ketika berjalan menuju tandas pada hal tandas masih jauh.

7. Tidak Menghadap Arah Kiblat Atau Membelakanginya.

Telah bersabda Rasulullah saw :

إذَا أَتَيْتُمُ الْغَائِطَ فَلَا تَسْتَقْبِلُوا الْقِبْلَةَ وَلَا تَسْتَدْبِرُوهَا وَلَكِنْ شَرِّقُوا أَوْ غَرِّبُوا

artinya : “Apabila kamu semua kesatu tempat untuk buang air maka jangan kamu semua menghadap kiblat atau membelakanginya dan tetapi jadikan tidak menghadap arah kiblat atau membelakanginya." (Hadith Bukhari)

Larangan menghadap kiblat atau membelakanginya ialah jika buang air di tempat terbuka seperti padang dan seumpamanya.
Adapun pada tempat tertutup seperti dalam tandas maka tidaklah mengapa menghadap kiblat kerana ada dinding antaranya dan kiblat.

8. Tidak Bercakap Ketika Buang Air

Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan :

أَنَّ رَجُلاً مَرَّ وَرَسُولُ اللَّهِ يَبُولُ فَسَلَّمَ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ

Artinya : “Sungguhnya seorang lelaki lalu ketika Rasulullah saw sedang membuang air kecil maka dia pun mengucapkan salam maka Rasulullah saw tidak menjawab salamnya itu." (Hadith Muslim & Abu Daud)

Jabir r.a. meriwayatkan bahawasanya Rasulullah saw bersabda :

إِذَا تَغَوَّطَ اَلرَّجُلَانِ فَلْيَتَوَارَ كُلُّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا عَنْ صَاحِبِهِ وَلَا يَتَحَدَّثَا فَإِنَّ اَللَّهَ يَمْقُتُ عَلَى ذَلِكَ

Artinya : “Apabila dua orang sedang buang air maka hendaklah masing-masing berlindung dari pandangan temannya itu dan tidak berbual-bual. Maka sungguhnya Allah murka atas perbuatan itu. “ (Hadith Ahmad)

Termasuk berbual yang dilarang ialah berbual menggunakan talipun bimbit yang banyak di zaman sekarang atau bernyanyi. Dan terlebih bodoh lagi ialah makan minum dalam tandas.

9. Berdoa Ketika Keluar Tandas

Hendaklah dibaca diluar tandas akan doa yang diriwayatkan olih Imam Tirmizi dan Imam Ahmad ini :

غُفْرَانَكَ

Artinya : “Aku minta keampunan-Mu ya Allah.”

Dan membaca pula akan doa riwayat Imam Bukhari :

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَذْهَبَ عَنِّي اْلأَذَى وَعَافَنِيْ

artinya : “Segala pujian itu bagi Allah yang telah membersihkan dirikiu dari kotoran dan telah memaafkan daku. “

Ramai yang terlupa bahawasanya buang air besar dan air kecil adalah satu nikmat yang sangat besar lalu tidak mengucapkan syukur dan berdoa apabila keluar dari tandas.

Wallahua’lam

https://www.facebook.com/Ustaz.Azhar.Idrus.Original

Copy and paste:20/11/2020 : 4 Rabiulakhir 1442H : 3.38 am

No comments: