Saturday, 28 November 2020

Futsal Haram!

Oleh : Firdaus Wong Wai Hong

Selepas membayar untuk makanan di Medan Selera Serunding, tiba tiba seorang lelaki menghampiri saya dan memberikan salam.

Dia memberitahu saya bahawa dia mengikuti ceramah saya di YouTube dan ada percanggahan dan ianya masalah akidah yang besar. Saya beristighfar di dalam hati. Barangkali saya tersilap. Lalu saya bertanya kepada dia apakah masalah itu agar boleh diperbaiki.

Individu itu memberitahu, “kamu cadangkan agar masjid buat program futsal. Itu mana boleh.” Tersentap saya mendengarnya. Lalu saya menjawab, “bukankah dalam hadis ada disebut sahabat berlatih pedang di dalam masjid Nabawi kenapa futsal tak boleh di buat di perkarangan masjid bagi menarik lebih ramai belia?”

Dia menjawab dengan bertanya soalan, “dalam Islam boleh bertaruh?” Saya tanya untuk kepastian, “bertaruh atau bertarung?” Lalu dia menjawab, bertaruh & saya kata tidak boleh tetapi dia menjawab, “bertaruh boleh kalau yang boleh digunakan di medan perang.” Saya tersentap lagi dengan jawapannya.

“Futsal boleh dibawa ke medan perang?” beliau menyoal saya lagi. Saya menjawab, “dalam hadis Nabi Sallalahu Alaihi Wasalam kata mukmin yang kuat lebih dicintai oleh Allah dan andai berfutsal boleh menjadikan Muslim itu sihat dan kuat, pasti berguna juga bila di medan perang yang memerlukan kecergasan dan kekuatan.”

Dia enggan mengalah, “tapi uslub dakwah kena ada dalil.” Saya ingin memendekkan perbincangan kerana saya tidak mengambil sarapan dan lunch lagi dan bertanya, “jadi apa yang saya cadangkan itu halal ke haram?” lalu segera dia menjawab, “HARAM”. Saya bertanya lagi, “ada dalil kata haram? Ini perkara ibadah atau muamalat? dakwah & uslub dakwah ini ibadah atau muamalat? 
Ikut Ibn Hajar Al Asqalani, ibadah kena ada dalil baru boleh buat dan kalau muamalat hukum asalnya adalah harus sehingga ada dalil khusus kata haram.”

Dia tetap kata cadangan saya untuk buat futsal di masjid adalah haram tanpa menjawab soalan saya. Sebelum pergi saya tanya dia, “tuan tengok ceramah saya di YouTube kan? Ikut formula anda, belajar agama menerusi YouTube itu haram kerana zaman Nabi tiada YouTube.”

Saya ucapkan Assalamualaikum kepadanya dan menghantar makanan kepada isteri dan anak saya. Kesian mereka kena tunggu.

Selepas menghantar makanan, saya menghadiri perbincangan manakala isteri dan anak serta seorang kakitangan saya makan. Selepas perbincangan saya, isteri dan kakitangan saya memberitahu lelaki tadi menghampiri mereka dan bertanya siapa isteri Firdaus Wong dan terus berleter di hadapan mereka akan isu yang sama.

Agama kita dicemari oleh dua kumpulan ekstrim, ultra konservatif dan ultra liberal. Ultra konservatif menyebabkan agama islam nampak tidak relevan dan sukar diamalkan dalam dunia moden manakala ultra liberal pula merasakan perlu menukar prinsip islam dan andai ajaran islam tidak sesuai pada sosial konstruk dan nilai barat, maka diubahnya islam.

Bab akidah, kita kembali kepada tiga generasi terbaik iaitu para Salaffusoleh. Ikuti mereka sebagaimana firman Allah Subhana Wa Ta’ala;

“Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”
(At-Taubah 9:100)

Kita luas dalam fekah tetapi tegas akidah. Islam sesuai sepanjang zaman tetapi sikap kita beragama yang mencemarkan islam yang cukup progresif dan moden melangkaui kesempitan pemikiran manusia hari ini.

Copy and paste: 28/11./2020 : 13 Rabiulakhir 1442H: 10.44 pm 


No comments: