Islam itu agama yang syumul (menyeluruh). Ajaran dan panduan agama bukan hanya tertakluk kepada ruang ibadah semata-mata. Bahkan, dalam setiap tindakan dan perbuatan, Islam meletakkan aturan dan cara yang terbaik untuk melaksanakannya.
Ayuh kita perhatikan adab tidur yang dianjurkan oleh agama.
- JANGAN TERLALU KENYANG : Mulai dari waktu menghadap hidangan makan malam. Jangan makan terlalu kenyang kerana perut yang penuh juga tidak elok untuk kesihatan. Perut yang kenyang akan menyebabkan cepat berasa mengantuk dan susah untuk bangun tidur.
- BERWUDUK : Gosoklah gigi selepas makan atau sebelum tidur. Biasakan diri berwuduk sebelum tidur kerana malaikat menyukai orang yang selalu berwuduk.
- MENGINGATI KESILAPAN DAN DOSA (MUHASABAH DIRI) : Sebelum meletakkan kepala ke tempat tidur, cuba ingat-ingatkan semula apa yang telah dilakukan sepanjang harian sejak awal pagi tadi. Kalau banyak perkara yang baik, berazamlah untuk terus mengekalkan perbuatan yang baik itu. Tetapi kalau banyak perkara yang tidak baik, berazamlah untuk tidak mengulangi lagi. Beristighfarlah memohon keampunan dari Allah.
- MAHU BANGUN AWAL : Kalau masih ada waktu, luangkan sedikit masa membaca sebaris dua ayat-ayat al Quran. Atau memadai membaca surah Al-Fatihah, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Al-Nas. Digalakkan membaca surah Al-Kauthar sebanyak 3 kali sambil niatkan di dalam hati mahu bangun awal.
- MEMBACA DOA: Sampai masa melelapkan mata, bacalah doa ini terlebih dahulu, "Dengan nama Mu Ya Allah, aku hidup dan aku mati." Tidurlah dengan mengiring ke kanan dan seeloknya menghadapkan muka ke kiblat.
- BANGUN PAGI: Jika terjaga di tengah malam, ucapkanlah istighdar atau memuji kebesaran Allah. Setelah terjaga pada waktu paginya bacalah pula doa yang bermaksud, "Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah mematikan kami, kepada-NYA kami akan dibangkitkan."
- NIAT YANG BAIK : Tanamkan dalam hati untuk melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya pada hari itu atau lebih baik daripada semalam. Niat yang baik juga dinilai sebagai amal kebajikan di sisi Allah.
Sumber: Majalah I Bil.125/Mac 2013
Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, KL
1 November 2020 / 15 Rabiulawal 1442H: 1.45 pm
No comments:
Post a Comment