Saturday, 28 November 2020

Bingkisan dari insan yang mencintai "ALAM MELAYU".

Oleh: Daeng Iskandar

Bacalah sangat menarik dari admin untuk members Kingdom❤️

Bahawasanya Indonesia dan Malaya adalah dua nama baru daripada satu negeri yang dahulunya hanya satu, tidaklah ada orang yang akan dapat memungkiri lagi. Dilihat ke dalam sejarah lama, belumlah lama perpecahan ini. Baru setahun saja setelah Kota Melaka diduduki Portugis, Adipati Muhammad Yunus dari kerajaan Demak di Jawa telah mencuba menyusun sebuah angkatan laut hendak merampas Melaka kembali dari tangan musuh bersama itu. Dan sesudah itu, berkali-kali pula raja-raja Aceh di antaranya Iskandar Muda Mahkota Alam berusaha hendak mengusir Portugis dari bandar Melaka sehingga akhirnya Portugis dapat juga dinyahkan setelah Aceh dan Johor bersekutu dengan Belanda.

Anak Raja Perak pernah dirajakan di Aceh dan anak Raja Kedah pernah dijadikan menantu oleh sultan-sultan Aceh. Raja Melaka yang paling akhir, Sultan Mahmud Syah mangkat di Kampar, Sumatera Tengah. Kerajaan Melayu yang besar di dalam kurun ketujuh belas meliputi Riau, Johor, Pahang, Terengganu dan pulau-pulau Lingga. Pahlawan Melayu yang besar Almarhum as-Syahid fi Sabilillah Raja Haji, Yang Dipertuan Muda Riau, yang tewas di Teluk Ketapang kerana hendak merampas Melaka dari tangan Belanda. Sepatutnya pahlawan besar ini diperingati sebagai seorang gagah perkasa di Indonesia dan Malaya seluruhnya. Beliau berdarah Bugis dan Melayu. Beliau pahlawan kepunyaan Sulawesi, kepunyaan Riau dan kepunyaan Tanah Melayu juga. Perjuangannya meliputi kedua bahagian dari tanah air kita.

Di Malaya sekarang orang tidak berpengetahuan dalam tentang sejarah Mataram dan Demak, tentang Banten dan Sulawesi dan tentang sejarah Perang Bonjol. Dan di Indonesia sekarang sangat picik (sempit) pengetahuan orang tentang Melaka, tentang kerajaan Langkasuka, tentang Dato’ Dol Said di Naning dan lain-lain sebagainya. Sebabnya ialah kerana tarikh tanah air kita yang hakikatnya satu itu, sudah lama tidak kita yang menyusunnya lagi tetapi telah disusun oleh orang lain.

“Sejarah Melayu” menyebut asal-usul keturunan raja-raja Melayu ialah dari Bukit Siguntang Mahameru di Palembang, Sang Sapurba nama rajanya, bercabang ke Bintan dan Minangkabau naik ke Singapura dan akhirnya ke Melaka. Sebab itu maka nama Melayu itu mulai timbulnya ialah di Pulau Sumatera. Penyelidikan tawarikh membuktikan kebesaran Srivijaya yang di zaman jayanya pernah menaklukkan negeri Siam, Burma dan Kemboja. Kebesaran Srivijaya itu diwarisi oleh Majapahit berpusat di Pulau Jawa.

Jika ditilik kepada sejarah raja-raja Melayu yang ada sekarang, baik kesultanan tua seperti raja-raja Perak dan Kedah atau kesultanan yang agak baru seperti Johor dan Negeri Sembilan, bertemu jualah pertalian dengan tanah asal pulau-pulau itu. Kesultanan Perak dari keturunan Sultan Muzaffar Syah ibni Almarhum Sultan Mahmud Syah (Marhum Kampar); Kesultanan Terengganu, Pahang dan Kelantan bertali dengan Riau. Kesultanan Johor dan Selangor bertali dengan Luwu (Bugis), Kedah dengan Aceh dan Negeri Sembilan dari Minangkabau.

Setelah menilik asal-usul Raja-Raja, mari kita tilik pula asal-usul penduduk Semenanjung Tanah Melayu itu. Peribumi yang sebenar asli tidak ada, hanyalah orang Sakai atau orang Jakun. Adapun yang selebihnya, baik yang berlama-lama atau yang berbaru-baru, adalah datang dari pulau-pulau Melayu (Indonesia) juga. Sudah ada sejak zaman Srivijaya, zaman Majapahit dan zaman Melaka. Di tiap-tiap negeri ada perkampungan Jawa, orang Banjar, orang Mandahiling, orang Rawa, orang Bonjol, orang Aceh, orang Bugis, orang Bawean (Boyan) dan lain-lain. Orang pindah dari Pulau Sumatera terutama Minangkabau amat banyak ke Malaya sesudah Perang Padri (1836) dan kemudian setelah Belanda memaksa memajukan pungutan cukai belasting (1908). Dan lama sebelum itu suku Minangkabau telah mendirikan Negeri Sembilan dengan memakai adat Perpatih Nan Sebatang. Rajanya dari Minangkabau yang pertama ialah Raja Melewar. Dua pemimpin Angkatan Muda di Malaya adalah keturunan daripada bondongan baharu sejak kurun kedua puluh ini, yakni Dr. Burhanuddin dan Boestamam. Ayah Dr. Burhanuddin adalah orang Sungai Jambu Batu Sangkar. Ayah bonda Boestamam berpindah dari Salido, Pesisir Selatan (Painan) Pasir Selatan. Panglima Salleh yang melawan Cina sesudah Jepun kalah, adalah berasal dari Banjar. Adapun pendeta bahasa yang masyhur Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba) adalah orang Negeri Sembilan. Ibunya turunan Minangkabau, sebab itu dia adalah orang Minangkabau sukunya Somolenggang dan menurut pepatah, “kecil bernama gadang (besar) bergelar” waktu mudanya bergelar ‘Lebai Kari’. Ayahnya keturunan Bugis sebab itu dia orang Bugis.

Seorang ulama’ besar yang masyhur di Malaya iaitu Sheikh Tahir Jalaluddin pernah menjadi mufti di negeri Johor dan di negeri Perak. Beliau adalah orang Empat Angkat Bukit Tinggi. Di luar negeri seumpama di Mesir, di Iraq dan di Mekah pergaulan anak Melayu dengan anak Indonesia amatlah rapatnya. Tidaklah kurang di antara mereka itu yang turut bekerja keras membantu anak-anak Indonesia di dalam perjuangan kemerdekaan. Orang luar negeri memandang tidak ada perbezaan anak Melayu dengan anak Indonesia kerana memang tidak berbeza kecuali di dalam nasib politik.

Oleh sebab itu tidaklah hairan jika orang yang berdarah Melayu apabila sampai di Malaya merasa sebagai di negerinya sendiri. Dan tidaklah melebih-lebih jika seorang yang dizahirkan di Indonesia merasa juga bahawa Malaya itu adalah tanah airnya. Ikatan kain seseorang, lilitan serban pak lebai, letak songkok di kepala sama belaka tidak ada perbezaan sedikit pun. Itulah sebab apabila sebahagian dari tanah air mereka mencapai kemerdekaan iaitu pulau-pulau Indonesia, seluruh bahagian Malaya dan Sarawak dan Brunei bergembira dan merasa dirinya pulalah yang merdeka. Sebaliknya yang berdiam di Indonesia pun demikian pula, mereka merasa sedih sebab kaum bangsanya di Malaya masih terjajah dan turut gembira mendengarkan bahawa kerajaan British telah sudi memberikan pemerintahan merdeka sendiri bagi Malaya.

Seketika hebatnya revolusi bertumpah darah dan bertebus nyawa di Indonesia maka hangat sengangarnya dirasakan juga di Malaya. Di tahun 1945, terjadilah pertempuran yang amat dahsyat di antara orang Melayu yang amat dihinakan oleh orang Cina. Di Siam Selatan, timbul perlawanan yang hebat dari Haji Sulong. Di tahun 1950, timbullah huru-hara di Singapura yang terkenal dengan “huru hara Natrah”. Semuanya itu ada gejala dan sengangar daripada Revolusi Indonesia.

Menilik kepada semuanya itu, tidaklah boleh orang hairan jika saya pun mencintai Malaya sebagaimana saya mencintai pulau Sumatera dan negara Indonesia juga. Sebagai seorang Indonesia saya menuntut kembali Irian Barat ke dalam pangkuan ibu pertiwi Indonesia, tetapi jiwa raga saya lebih dekat ke Malaya atau Semenanjung Tanah Melayu.

Sebagai seorang pengarang, karangan-karangan saya mendapat perhatian yang penuh di Malaya, sebagaimana di daerah-daerah Indonesia yang bahasa Melayu bukan bahasanya yang kedua. Sebabnya ialah kerana kegiatan saya mengarang mulai timbul di Medan dari tahun 1936 sampai masuknya Jepun. Pengiriman buku-buku saya lebih cepat dari Medan ke Malaya daripada ke Jawa sendiri dan bahasa yang saya pakai masih banyak bentuk Melayunya, kerana bahasa Minangkabau bukanlah bahasa yang berdiri sendiri melainkan bahasa Melayu juga dengan pelat daerah. Bahasa Melayu yang dipakai di Medan lebih dekat juga ke Malaya. Sehinggakan Almarhum doktor Mansur pernah berkata: “Kalau semacam bahasa yang dipakai saudara Hamka itu yang bahasa Indonesia, redhalah saya memakai bahasa Indonesia”.

Adapun dalam pemakaian huruf Melayu yang di Malaya sendiri dinamai orang huruf Jawi, alhamdulillah saya menulisnya sama cepat dengan menulis huruf rumi (lain) kerana sejak saya pandai menulis, huruf Melayu inilah yang banyak terpakai. Karangan-karangan ayah saya seluruhnya ditulis dengan huruf Melayu (Jawi). Itulah yang saya baca. Karangan saya yang mula-mula (1925) bernama ‘Khatibul Ummah” saya tulis dengan huruf Melayu. Karangan saya yang kedua (1928) bernama “Si Sabariah” saya tulis juga dengan huruf Melayu.

Petikan daripada buku ‘Kenangan-Kenanganku di Malaya‘ (ms 6 – 12 ) karya Buya Hamka terbitan Jejak Tarbiah. ‘Kenangan-Kenanganku di Malaya’ diterbitkan pertama kali pada tahun 1957 di Singapura dalam tulisan Jawi.

Daeng Iskander

Copy and paste: 28/11/2020 : 12 Rabiulakhir 1442H: 2.25 pm

No comments: