Sunday, 22 November 2020

Hikayat Tanah2 Besar Melayu - Darihal Negri Selangor

 Hikayat Tanah2 Besar Melayu di Leiden University Libraries

Transliterasi Jawi ke Rumi oleh Mahamada Al Mahadaya محمد المهدي


Adapun yang menceraikan negeri Selangor daripada negeri Perak iaitulah sungai Bernam. Maka besarnya negeri itu sampai sepanjang2 pantainya besarnya adalah kira2 di antara 4,000 sekoyar mil dan 5,000 sekoyar mil. Banyak isi negerinya kira2 120,000 manusia maka gunung2nya iaitu gunung Raja, tingginya 5,450 kaki dan gunung Cimasabaras 5,650 kaki gunung Pacaras 5,650 dan bukit Kancing maka bukit tengah yang terlebih tinggi sekali iaitu sifir 6,200 kaki.

Maka adalah negeri Selangor itu sebuah negeri yang baharu jua maka kesebelah barat jajahannya itu tiadalah di duduki orang. Maka bahagian yang kesebelah selatannya itu mula2nya suatu jajahan yang berasing2 jua seperti Kelang itu sebuah negeri yang awal jua di antara negeri2 sembilan. Maka dengan nama Selangor itu termaklum di dalamnya dengan tiga (3) buah daerah yang lain2. Tiap2 sebuah itu ada dengan sungainya yang besar iaitu Bernam, Selangor, Kelang dan Langat.

Maka duduknya Bernam itu kesebelah utaranya dan lain2 itu membawa jauh ke selatan bagaimana seperti peraturan di letakkan nama2nya itu melainkan Kelang itu sahaja duduknya di kuala sungai Selangor. Maka negeri Lukut itu pada masa sekarang telah masuk di dalam hitungan negeri Sungai Hujung pada mula2nya suatu bahagian daripada Selangor jua tersangatlah kayanya dengan timah di dapati dekat dengan tepi laut dan duduknya kira2 sejauh 40 mil dari Melaka.

Maka daerah ini di perintahkan oleh rajanya yang dahulu jua seorang pandai memerintah dalam negeri Selangor maka kebanyakan tanah Selangor itu rata membawa ke darat kira2 30 mil selatan dan hampir2 50 mil ke utara tetapi tiadalah ramai orangnya. Maka adalah dekat dengan suatu tempat yang bernama Genting Bidi itu 22 mil jauhnya ke sebelah barat daya Kuala Lumpur itu ada suatu jalan terus ke Pahang di antara dua gunung. Sebuah di sebelah selatan di belakang Kuala Lumpur dari situlah terbitnya hulu sungai Kelang dan sebuah lagi membawa ke tengah2 tempat itu menjadikan sebuah limbahan yang lebar kira2 10 atau 12 mil maka dari situlah hulu sungai Langat itu terbitnya.

Maka adalah Kuala Lumpur itu telah beberapa2 tahun lamanya di tengah2 di antara tempat2 orang bekerja timah negeri itu. Maka di dalam tahun 1879 Kuala Lumpur itu telah di jadikan kepala negeri ganti Kelang maka jauhnya dari laut kira2 24 mil. Maka iaitu suatu tempat yang terlalulah bagusnya pada pihak negeri yang di tengah2 daratan dan kereta api telah di perbuat berhubungan dengan Kelang adanya.

Adapun negeri Selangor itu duduknya di kuala sungai itu juga maka sungai itu airnya tuhu hanyalah perahu2 yang kecil2 sahaja boleh lalu. Maka adalah pada mula2 orang2 Holanda telah duduk di dalam Selangor memajak timah dan sebuah kota batu bangunan mereka itu ada lagi hingga pada masa sekarang iaitu suatu peringatan yang boleh di lihat.

Syahdan maka adalah bandar2 yang lain dalam tanah Selangor iaitu Langat, bandar Kancing, Jugra ialah tempat kedudukan sultan dan hulu Langat dengan jajahannya. Maka duduknya bandar yang akhir ini jauh ke tengah2 daratan daripada lain jajahan adanya.

Adapun hasil yang keluar dari Selangor itu iaitu timah yang baik sekali maka tempatnya di Hulu Langat dan Kuala Lumpur maka di namakan Timah Kelang ialah tempat yang termahsyur banyak timah kira2 25 tahun lalu. Maka tak berapa tahun lepas ini tempat itu menjadi yang kedua daripada Larut maka lain daripada timah ada jua lain2 hasil yang keluar dari hutannya iaitu damar kayu, minyak kelapa dan rotan, gaharu, lada dan gula itu baharu telah di mulakan di sana. Maka adalah hasil timah yang keluar pada tahun 1889 banyaknya hampir $1,000,000 maka hasil dapat kepada negeri pada tahun 1889 banyaknya hampir2 $2,000,000 adanya.

Syahdan maka adalah pergaduhan yang tiada berkeputusan di dalam negeri itu iaitulah yang terutama sekali oleh sebab cukai2 timah yang di lakukan di dalam Kelang dan Selangor itu berbantah daripada tahun 1867 hingga 1873. Maka pada waktu gabernor Sir Andrew Clark telah menyelesaikan perkara negeri2 Melayu pada tahun 1874 lalu di sambilnya menolong goberment Selangor maka goberment negeri itu pun semenjak masa itu telah menjadi seperti negeri Perak jua adanya.

Maka darihal kereta api telah tersebut telah di jadikan dari Kuala Lumpur ke Kelang dari hal jalan2 besar telah tetaplah adanya dari Selangor ke Perak dan dari Sungai Hujung ke Melaka. Maka di harapkan iaitu negeri yang berisi dengan beberapa banyak laburan2 itu serta memunyai bukit2 yang cantik dan padang2 dan beberapa sungai yang mengalir seperti Bernam, Kelang, Selangor dan Langat itu sekelian di bawah perintah yang adil dan aman serta bertambah2 kaya dan makmur adanya.

Maka di dalam kitab2 atau hikayat yang di karangkan oleh orang Melayu tiadalah di dapati orang darihal nama Selangor ini. Maka dahulukalanya di sebutkan orang negeri Kelang pada zaman dahulu negeri itu sebuah negeri yang ramai jua yang takluk kepada sultan2 Melaka akhirnya di perintahkan oleh penghulu negeri Perak. Maka adalah tersebut dalam kitab sejarah Melayu pada dewasa 1340 maka raja benua Siam yang bernama Salin Tani telah mengutuskan orang pergi mendapatkan raja Melaka hendak minta surat sembah.

Maka sultan Muzafar Syah tiada mahu menyembah ke benua Siam maka baginda menyuruh menghimpunkan segala rakyat dari teluk rantau berhimpun ke Melaka. Hataya maka orang Siam pun datanglah lalu berperang dengan orang Melaka. Ada berapa lamanya berperang maka banyaklah rakyat Siam mati Melaka tiadalah juga alah maka orang Siam pun kembalilah.

Arakian maka daripada masa itu hingga kepada tarikh masihi 1600 maka tiadalah tersebut lagi darihal nama negeri Kelang itu adanya. Syahdan maka pada permulaan dewasa tahun 1700 maka datanglah seorang raja yang bernama Harun Pasari dari tanah Goa dalam tanah Mangkasar serta membawa rakyat Bugis lalu diamlah mereka itu di negeri Selangor. Setelah ia mangkat maka di gantikan oleh saudaranya raja Setia maka kemudian daripada itu naiklah pula sultan Ibrahim di atas kerajaan sultan Sholeh Al Din.

Maka adapun darihal nama sultan Ibrahim ini tersangatlah mahsyur wartanya oleh sebab gagah beraninya melawan orang Holanda. Maka pada tahun 1783 sultan Ibrahim beserta dengan raja Haji dari Riau pun pergilah menyerang Melaka lalu di dapatinya berapa banyak harta rampasan dan sekelian tempat2 di hulu negeri itu di bakarnyalah habis. Maka negeri itu hampir2 dapatlah ke tangan sultan Ibrahim tetapi datanglah pada masa itu sebuah kapal perang orang Holanda yang di perintahkan oleh orang besarnya yang bernama Admiral Pan Bram menolong orang Melaka.

Maka apabila telah alahlah rakyat Melayu maka mereka itu pun larilah ke Selangor maka orang Holanda pun menghambat dan melanggar kota Selangor tetapi kota itu telah kosonglah orangnya dan sultan Ibrahim pun telah larilah ke Hulu Pahang. Hataya maka tiada berapa lamanya kemudian daripada hal ini maka sultan Ibrahim pun turunlah kembali dari Pahang dengan membawa rakyat 2,000 banyaknya. Tiba2 sampailah di Selangor dengan terkejut pada malam hari iaitu pada 27 haribulan Jun tahun 1785 maka pada tahun ini juga orang Inggeris baharu membuka negeri Pulau Pinang.

Maka orang sekelian yang dalam kota Selangor pun terperanjatlah maka soldadu Holanda pun tiadalah ketahuan larinya serta di tinggalkannya segala alat senjatanya dan meriam2 yang besar dan lain2 harta benda bukan sedikit banyaknya. Maka pada akhirnya setelah selesailah daripada sekelian perkara ini maka orang Holanda pun di dapatinyalah kembali segala barang2nya dan sultan Ibrahim pun mengakulah dirinya takluk kepada hukum dan perintah kompeni Holanda tetapi duduklah juga ia di kota memegang perintah negeri Selangor. Maka pada tahun 1822 maka sultan Ibrahim pun dengan gagah beraninya menghalaukan orang2 Siam dari jajahan negeri Perak.

Maka adapun darihal raja ini menjadi takjublah dalam hati kami memikirkan sebab ia mengetahui sekali jalan membezakan antara orang2 bangsa Eropah yang mana baik dan yang mana tiada baik. Maka apabila sultan Ibrahim makin menaruh kebencian kepada orang Holanda maka makinlah ia bertambah2 menunjukkan kebaktiannya kepada orang Inggeris kerana sultan Ibrahim telah memanggil tuan kapitan Light akan menyuruh membuka negeri yang takluk di bawah perintahnya tetapi bukannya yang dalam perintah Kedah dan lagi ia hendak memberi bukit Selangor kepada orang Inggeris.

Syahdan maka pada dewasa tahun 1826 maka sultan Ibrahim pun mangkatlah dengan meninggalkan berapa orang anak2nya. Maka sultan Mahamad pun di naikkanlah di atas tahta kerajaan ayahandanya tetapi adalah tabiat dan perangai sultan Mahamad ini berlainan daripada ayahandanya. Maka sebab itu negeri Selangor itu telah menjadi rosaklah dan sunyi negeri itu dan lagi oleh sebab kejahatan dan zalim anak2 raja ke atas rakyat2nya sehingga mereka itu pun masing2 larilah kemana2 membawa dirinya. Dan sampai sekarang negeri itu kita telah mendapat kenyataan telah jatuh dan rosak lebih daripada lain2 negeri dalam tanah Melayu.

Darihal negeri Kelang

Syahdan adapun negeri Kelang itu suatu jahan yang dalam tanah Selangor jua maka adalah tempat kediaman tuan residen yang mula2 di letakkan oleh goberment di situ jauhnya ada kira2 12 mil dari kuala maka negeri ini duduknya dekat dengan laut dan bermil2 jauhnya dari tempat orang bekerja timah iaitu di kaki2 gunung tetapi ada sungai yang sampai ke tempat2 itu. Maka oleh sebab pulau Kelang itu duduknya terlindung di kuala sungai itu maka menjadi kesusahan besarlah kepada perahu2 yang keluar masuk ke dalam negeri itu.

Maka negeri Kelang zaman ini telah menjadi ramailah orang2nya daripada lain2 daerah dalam tanah Selangor banyaknya kira2 lebih kurang di dalam kira2 7,000 dan lagi darihal negeri ini telah mahsyurlah namanya oleh sebab perkara perang yang telah berlaku dalam kira2 dua puluh (20) tahun lalu ini. Maka adalah peperangan yang telah jadi itu berhubung ceriteranya dengan Tengku Kudin iaitu adik kepada Yang Di Pertuan Kedah maka adapun segala perkara yang tersebut itu demikianlah oleh kejadiannya.

Bermula maka pada tahun 1867 maka Tengku Kudin pun memperisterikanlah anak sultan A’bada Al Shomad yang telah menggantikan kerajaan sultan Mahamad. Hataya kemudian tiada berapa lama antaranya maka berbangkitlah pergaduhan antara raja Mahadi iaitu cucunda sultan Mahamad dengan raja Dolah dari Riau yang ada memerintahkan dalam negeri Kelang.

Syahdan maka raja Mahadi pun dengan hukum dan titah sultan Selangor telah datang melanggar negeri Kelang akan tetapi baginda sultan Selangor pun tiadalah mengendahkan darihal perkara pergaduhan yang berbangkit antara raja2 kecil itu.

Maka kepada tahun 1868 maka raja A’bada Allaha pun alahlah dan telah mangkat di Melaka maka oleh baginda sultan pun di kurniakan kepada Tengku Kudin surat wakil. Maka kemudian pada tahun 1869 raja Ismail iaitu anakda raja A’bada Allaha telah datang pula melanggar kepada raja Mahadi di Kelang. Maka dengan titah sultan, Tengku Kudin pun datanglah menolong kepadanya maka di kepunginyalah kota itu adalah lebih kurang dalam setahun lamanya. Maka pada akhirnya dalam bulan Julai tahun 1870 maka raja Mahadi pun larilah dari Kelang lalu tinggallah ia dengan raja Itam di Bernam.

Arakian pada bulan Oktober maka kedua2 raja ini memulailah berperang dan di ambilnya kota Selangor yang di perintahkan pada masa itu oleh raja Musi iaitu anakda sultan Selangor. Maka dengan titah sultan maka Tengku Kudin pun pergilah melanggar raja Mahadi maka oleh Said Mahsyur yang datang dari Pontianak membawa rakyat akan berhubung dengan rakyat Tengku Kudin. Maka Tengku Kudin tiadalah beroleh untung dan senang dalam hal ini kerana orang2 sebelah pihak Said Mahsyur itu terlebih suka meredhakan dirinya masuk bercampur dengan raja Mahadi.

Maka Said Mahsyur duduklah di kota bukit Selangor juga maka apakah kelak akan jadi pada akhirnya tiadalah boleh di ketahui barangkali Tengku Kudin kelak menang atau pun Tengku Mahadi kelak memegang perintah di kepala negeri Selangor kerana pada bulan Julai telah datanglah perompak Cina dari Pulau Pinang dan telah membahagi setengah rampasannya itu kepada raja Mahadi.

Bermula maka apabila tuan gabernor Anson yang memerintahkan dan memangku kerajaan tiga (3) buah negeri itu telah menghantar mata mata akan menangkap orang2 Cina perompak. Maka raja Mahadi pun melawan dan tiada hendak meluluskan pekerjaan itu. Setelah itu tiada berapa hari lamanya datanglah sebuah kapal perang hendak memeriksa darihal perkara itu tetapi orang Selangor itu dengan kebodohannya dengan tiada sekali2 mengambil timbangan dan fikiran lalu mereka itu membedil kepada orang2 kelasi kapal perang itu.

Setelah itu datanglah pula Sipahi dari Pulau Pinang membedil kota dan kampung2 di kuala itu dengan meriam dan periuk api. Maka oleh sebab sultan dan putera2nya tiada pada masa tatkala tuan2 kompeni Inggeris datang ke sana maka oleh tuan2 itu dengan titah dan izin sultan telah di angkatkannya akan Tengku Kudin di jadikan raja memegang perintah bukit Selangor. Maka pada tahun 1872 dan tahun 1873 maka raja Mahadi tiadalah berhenti daripada pekerjaan perang sehingga ia telah di alahkan pada tahun 1874 atau 1875 dan Tengku Kudin pun telah menanglah dengan betul dan tolongan orang Pahang.

Maka adapun seperti hasil yang keluar dari Kelang iaitulah timah yang terbanyak dan sekarang ini banyaklah orang Cina diam di sana dengan ramainya. Maka tiadalah negeri yang terlebih kaya dalam tanah Melayu hanya negeri Larut itu sahaja adanya.

Darihal negeri Lukut

Maka pada zaman kerajaan sultan Mahamad adapun sungai Lukut itu terlalulah kaya tanahnya dan tiada berapa lama dahulu tempat itu berlombong2 timah yang berisi. Maka adalah jadi pada tahun 1834 iaitu pada malam hari orang2 Cina itu telah bermuafakat sama sendirinya lalu di bunuhnya raja itu dan lain2 orang Melayu.

Maka negeri Lukut itu telah menjadi rosak binasa seperti hal negeri Larut juga oleh sebab pergaduhan orang Cina sahaja kerana raja2 Melayu bukannya senang hendak memerintahkan bangsa Cina itu yang tinggal dalam negerinya.

Tetapi sekelian ini datangnya oleh sebab kebodohan dan kelemahan kuasanya kerana ketahuilah olehmu adapun pekerjaan darihal memerintahkan negeri itu iaitu suatu jawatan yang terlebih berat daripada lain2 pekerjaan. Tetapi hairanlah kami memikirkan jikalau anak2 raja Melayu ini tiada pernah berlajar dari kecilnya bagaimanakah boleh ia memerintahkan negerinya dengan sepatutnya.

Dan apabila anak2 raja ini sudah besar maka kesukaannya iaitu memakan candu lebih daripada rakyatnya sehingga merosakkan badan dan mengilangkan fikiran dan akal yang baik dengan tiada sekali2 mengendahkan pangkatnya dan tanggungannya.

Copy and paste: 22/11/2020 @ 7 Rabiulakhir 1442H: 9.00 pm

No comments: