Wednesday, 18 November 2020

Kitab Sahih Muslim

SUMBER: JAKIM



Sahih Muslim  صحيح مسلم‎,  tajuk sebenar "المسند الصحيح بالنقل العدل"  ialah salah satu dari enam kitab hadith dalam Islam Ahli Sunah Wal Jamaah. Kitab ini yang disusun oleh Imam Muslim, merupakan salah satu dari dua kitab yang paling sahih dan murni sesudah Kitabullah (Al-Quran), bersama dengan Sahih al-Bukhari. Kedua kitab sahih ini diterima baik oleh segenap umat Islam.

Imam Muslim telah mengerahkan seluruh kemampuannya untuk meneliti dan mempelajari keadaan para perawi, menyaring hadith-hadith yang diriwayatkan, membandingkan riwayat-riwayat itu satu sama lain. Muslim sangat teliti dan hati-hati dalam menggunakan lafaz-lafaz, dan selalu memberikan isyarat akan adanya perbezaan antara lafaz-lafaz itu. Dengan usaha yang sedeemikian rupa, maka lahirlah kitab sahihnya.

Bukti mengenai keagungan kitab itu ialah suatu kenyataan, di mana Imam Muslim menyaring isi kitabnya dari ribuan riwayat yang pernah didengarnya. Diceritakan, bahawa ia pernah berkata: "Aku susun kitab sahih ini yang disaring daripada 300,000 hadith."

Diriwayatkan dari Ahmad bin Salamah, yang berkata: "Aku menulis bersama Muslim untuk menyusun kitab sahihnya itu selama 15 tahun. Kitab itu berisi 12,000 buah hadith.

Dalam riwayat Ibnu Solah menyebutkan daripada Abi Quraisy al-Hafiz, bahawa jumlah hadith Sahih Muslim itu sebanyak 4,000 buah hadith. Kedua pendapat tersebut dapat kita simpulkan, iaitu bahawa perhitungan pertama memasukkan hadith-hadith yang berulang-ulang penyebutannya, sedangkan perhitungan kedua hanya menghitung hadith-hadith yang tidak disebutkan berulang.

Imam Muslim berkata di dalam Sahihnya: "Tidak setiap hadith yang sahih menurutku, aku cantumkan di sini, yakni dalam Sahihnya. Aku hanya mencantumkan hadith-hadith yang telah disepakati oleh para ulama hadith."

Beliau juga pernah berkata, sebagai ungkapan gembira atas kurnian Allah yang diterimanya: "Apabila penduduk bumi ini menulis hadith selama 200 tahun, maka usaha mereka hanya akan berputar-putar di sekitar kitab musnad ini."

Ketelitian dan sifat berhati-hati Imam Muslim terhadap hadith yang diriwayatkan dalam Sahihnya dapat dilihat dari perkataannya sebagai berikut: "Tidaklah aku kumpulkan sesuatu hadith dalam kitabku ini, melainkan dengan ada sebabnya; juga tiada aku menggugurkan sesuatu hadith daripadanya melainkan dengan ada sebabnya pula."

Imam Muslim di dalam penulisan Sahihnya tidak membuat judul setiap bab secara terperinci. Adapun judul-judul kitab dan bab yang kita dapati pada sebahagian naskah Sahih Muslim yang sudah dicetak, sebenarnya dibuat oleh para ulama yang menyusun yang datang kemudian. Di antara ulama yang menyusun yang paling baik membuatkan judul-judul bab dan sistematik babnya adalah Imam al-Nawawi dalam Syarahnya.

Rujukan :

1- Manahij al-Muhaddithin- Terbitan : Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Cetakan Kedua, 2016. Muka surat 104-112.

Copy and paste: 18/11/2020 @ 2 Rabiulakhir 1442H: 12.18 am

No comments: