Sunday, 22 November 2020

Islam Adalah Nikmat Yang Sempurna.

SUMBER: FB NOTA-NOTA AGAMA ISLAM

Allah ta'ala berfirman di dalam Kitab-Nya yang mulia:

((اليوم أكملت لكم دينكم وأتممت عليكم نعمتي ورضيت لكم الإسلام دينا))

Maknanya: ((Pada hari ini (Hari 'Arafah) telah aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan telah Aku sempurnakan ke atas kamu nikmat-Ku, dan aku telah meredhai islam itu sebagai agama bagi kamu.))

Maka, ini merupakan nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah ke atas kita ummat Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Dia telah menyempurnakan bagi kita agama kita. Maka kita tidak memerlukan kepada selain agama ini, tidak memerlukan juga kepada selain Nabi yang diutuskan kepada kita sallallahu 'alaihi wasallam.

Oleh kerana itu Allah menjadikan baginda sebagai Nabi yang terakhir lagi termulia. Tidak ada yang halal kecuali apa yang telah dihalalkan olehnya. Tidak ada yang haram kecuali apa yang telah diharamkan olehnya. Tidak ada agama kecuali apa yang telah disyariatkan olehnya. Janganlah kita merasa diri lebih tahu daripada Allah dan Rasul, kerana setiap apa yang dikhabarkan oleh Allah dan Rasul adalah benar dan setiap apa yang ditentukan oleh Allah adalah adil. Allah berfirman:

((وتمت كلمة ربك صدقا وعدلا))

Maknanya: ((Dan telah sempurnalah kalimat Rabb-mu dengan benar dan adil.))

Kalimat Allah mencakupi segala berita yang dikhabarkan di dalam Al-Quran baik berupa kisah para Nabi yang terdahulu mahupun kisah ghaib yang akan berlaku nantinya di hari akhirat dan mencangkupi juga segala perintah, larangan dan janji yang Allah janjikan di dalam Al-Quran. Baik janjinya kepada orang orang yang beriman mahupun janjinya kepada orang orang kafir.

Jadi, segala khabar yang Allah sampaikan kepada kita di dalam Al-Quran adalah benar. Dan segala perintah dan larangan yang Allah tetapkan di dalam Al-Quran adalah adil. Begitu juga dengan janji Allah. semuanya adil dan benar.

Setelah Allah menyempurnakan kepada kita agama kita, sempurnalah juga di samping itu nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.

Berkata Ibnu 'Abbas radhiallahu 'anhu:

(أخبر الله نبيه صلى الله عليه وسلم والمؤمنين أنه أكمل لهم الإيمان، فلا يحتاجون إلى زيادة أبدا، وقد أتمه الله فلا ينقصه أبدا، وقد رضيه الله فلا يَسْخَطُه أبدا)

Maknanya: (Allah subhanahu wata'ala telah mengkhabarkan kepada Nabi-Nya sallallahu 'alaihi wasallam dan juga kepada orang orang yang beriman bahawasanya Dia telah menyempurnakan bagi mereka akan Iman. Maka mereka tidak lagi memerlukan kepada penambahan (di dalam agama ini daripada selain Allah) selama-lamanya. Dan Allah telah menyempurnakannya, maka ia tidak akan pernah berkurang selama-lamanya. Dan Allah telah meredhainya maka Dia tidak akan pernah murka kepadanya selama-lamanya.)

Jadi, nikmat terbesar yang sebenarnya yang Allah kurniakan kepada kita adalah Islam. Dan islam dari segi bahasa adalah berserah diri sedang dari segi istilah pula ianya terbahagi kepada dua. Yang pertama definisi umum dan yang kedua definisi khusus.

Adapun definisi umum, maka islam itu adalah setiap agama yang tegak di atas muka bumi ini, yang Allah perintahkan untuk diikuti pada suatu zaman tertentu. Maka dengan itu, jadilah mereka yang sebelum kita yang mana agama mereka tegak pada waktu itu dan Allah memerintahkan mereka untuk mengikutinya adalah Islam. Islam dari segi umum.

Allah berfirman menceritakan tentang ucapan Nabi Nuh 'alaihis salam terhadap kaumnya yang kufur:

((فإن توليتم فما سألتكم من أجر. إن أجري إلا على الله. وأمرت أن أكون من المسلمين))

Maknanya: ((Maka sekiranya kamu semua berpaling (daripada peringatanku, maka tidaklah ianya menjadi masalah buatku) kerana aku tidak meminta daripada kamu semua apa apa balasan. Sesungguhnya balasanku hanyalah daripada Allah semata. Dan aku diperintahkan untuk menjadi di antara orang orang islam (yang berserah diri kepada Allah).))

Perhatikan perkataan Nabi Nuh 'alaihis salam: Dan aku diperintahkan untuk menjadi di antara orang orang islam.

Dan Allah berfirman menceritakan tentang Nabi Ibrahim dan Nabi Ya'qub 'alahimassalam:

((إذ قال له ربه أسلم. قال أسلمت لرب العالمين. ووصى بها إبراهيم بنيه ويعقوب يا بني إن الله اصطفى لكم الدين فلا تموتن إلا وأنتم مسلمون))

Maknanya: ((Dan ingatlah ketika Rabb Ibrahim berkata kepadanya: Berserah dirilah. Maka dia pun mengatakan: Aku berserah diri kepada Rabb sekalian alam ini. Dan Ibrahim pun mewasiatkan tentang agama ini kepada anak anaknya dan Ya'qub (juga begitu, mewasiatkan tentang agama ini kepada anak anaknya) dengan berkata: Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih bagi kamu semua agama ini maka janganlah kamu mati kecuali kamu dalam keadaan islam.))

Perhatikan perkataan Nabi Ibrahim dan Nabi Ya'qub kepada anak anak mereka: Maka janganlah kamu mati kecuali kamu dalam keadaan islam.

Islam dari segi umum.

Adapun definisi islam secara khusus, maka ia dikhususkan hanya kepada syariat Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam.

Allah ta'ala berfirman:

((قل إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين. لا شريك له وبذلك أمرت وأنا أول المسلمين))

Maknanya: ((Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya solatku, sembelihanku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah Rabb sekalian alam. Tidak ada sekutu baginya. Demikianlah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama sekali berserah diri.))

Maka tidak ada islam selepas diutusnya Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam kecuali dengan mengikutinya. Kerana agamanya adalah yang menjadi penghukum kepada agama agama yang sebelumnya. Dan syariatnya adalah yang me'nasakh'kan (memadamkan) syariat syariat yang telah lalu.

Dan barangsiapa yang telah sampai kepadanya berita tentang kerasulan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam kemudian dia tidak beriman dengannya serta tidak mengikutinya, maka dengan itu dia telah menjadi kafir -na'udzu billah-.

Tulisan: Abu Ahmad Wan Shahir


Copy and paste:
22/11/2020 @ 7 Rabiulakhir 1442H : 7.12 pm


No comments: