Wednesday, 18 November 2020

Kitab Jami' at-Tirmizi


SUMBER: JAKIM

Pengenalan

Kitab Sunan Al-Tirmizi adalah merupakan sebuah kitab hadith yang terkenal, dan merupakan salah sebuah daripada kitab hadith yang enam (disebut sebagai Kutub Al-Sittah) iaitu Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Al-Tirmizi, Sunan Abi Daud, Sunan Al-Nasa‟i dan Sunan Ibn Majah. Kitab ini disusun oleh Imam Al-Tirmizi (279H) atau nama penuhnya Muhammad bin Isa bin Saurah bin Musa bin Al-Dhihak Al-Sulami Al-Bughi Al-Tirmizi, nama gelaran (kunyah) beliau ialah Abu Isa . Imam Al-Tirmizi adalah salah seorang imam hadith dan hafiz hadith, serta salah seorang daripada mujtahid mutlak dalam hadith, hidup sezaman dengan Imam Al-Bukhari, Imam Muslim dan lain-lain huffaz hadith iaitu pada zaman kegemilangan kajian hadith (sekitar kurun ke-2 and ke-3 Hijrah). Kitab Sunan Al-Tirmizi ini antara karya monumental dan terpenting imam Al-Tirmizi rahimahullah (279H).

Nama Kitab

Jami' at-Tirmizi ( جامع الترمذي‎), juga dikenali dengan nama Al-Sunan Al-Tirmizi atau Sunan al-Tirmizi (سُـنَن الترمذي), dinamakan Al-Sunan' kerana kitab ini mengandungi hadith-hadith hukum dan susunan hadith-hadithnya berdasarkan tertib babbab fiqh. Selain daripada itu, ia juga turut dikenali dengan beberapa nama lain dalam kalangan ulama-ulama‟ hadith. Juga ia seringkali disebut sebagai Jami‘ Al-Kabir,perkataan Al-Jami bermaksud 'merangkumi’ iaitu kitab ini merangkumi pelbagai bidang Ilmu seperti sirah, adab, tafsir, aqidah dan lain-lain.

Antara nama-namama lain bagi 'Sunan Al-Tirmizi'

Antara nama-nama lain bagi 'Sunan Al-Tirmizi' ialah:

1- Sahih Al-Tirmizi: disebut oleh Al-Khatib Al-Baghdadi (463H)  

2- Al-Jami‘ Al-Sahih: disebut oleh Al-Hakim (405H)

3- Al-Jami‘ Al-Kabir: disebut oleh Al-Kuttani dalam kitab Al-Risalah Al-Mustadrafah (nama ini sangat jarang digunakan)

4- Al-Jami‘ Al-Tirmizi: nama ini sangat masyhur digunakan bagi kitab ini.

5- Al-Jami‘ Al-Mukhtasar min Al-Sunan Rasulillah Wa Ma‘rifatu AlSahih wa Al-Ma‘lul wama ‘Alayhi ‘Amal, dan nama yang terakhir inilah yang paling sahih, bahkan nama ini sangat penting kerana ia menggambarkan manhaj Imam Al-Tirmizi dalam menyusun kitab ini.

Sesungguhnya penamaan kitab ini dengan 'Sahih Al-Tirmizi' dan Al-Jami Al-Sahih' adalah tidak tepat kerana ia tidak memberi gambaran yang benar terhadap kitab ini. Berkata Dr. Nuruddin Itir dalam tesis kedoktorannya (Ph.D) bertajuk Imam Al-Tirmizi Wa Al-Muwazanah Bayna Jami‘uhu Wa Bayna Al-Sahihayn: “Tidak tepat bagi orang yang mencetak kitab ini dengan nama 'Sahih AlTirmizi' atau Al-Jami’ Al-Sahih' kerana perkataan ini seolah-olah membayangkan kesemua hadith yang terdapat dalam kitab ini adalah sahih, sedangkan pada hakikatnya adalah tidak begitu. Begitu juga dengan penamaannya dengan Al-Jami’ Al-Kabir juga adalah tidak tepat, Imam Al-Tirmizi sendiri menamakan kitab beliau dengan nama Al-Jami Al-Mukhtasar maka amat jauhlah penamaan kitab ini dengan Al-Kabir.

Nama yang sebenar untuk Sunan Al-Tirmizi

Sesungguhnya mengetahui nama yang benar lagi tepat bagi sebuah kitab adalah sangat penting, kerana nama sesuatu kitab itu menggambarkan manhaj penulisan sesebuah kitab. Bagi kitab Sunan Al-Tirmizi ini, sebagaimana yang telah disebut terdapat sekurang-kurangnya 5 nama yang biasa dinisbahkan untuk kitab ini.

Namun nama yang sebenar dan sahih untuk kitab ini sebagaimana yang diberikan oleh Imam Al-Tirmizi sendiri ialah: Al-Jami‘ Al-Mukhtasar Min Al-Sunan Rasulillah Wa Ma‘rifatu Al-Sahih wa Al-Ma‘lul Wama ‘Alayhi ‘Amal‟. Kata Dr. Hatim Syarif Al-Awni dalam kitabnya bertajuk: Al-‘Unwan Al-Sahih Lil-Kitab Ta‘rifuhu Wa Ahammiyatuhu Wasa’ilu Ma‘rifatihi Wa Ihkamihi Amthilatu Li Akhta’i Fihi berkenaan nama yang sebenar bagi Sunan Al-Tirmizi: “...Sesungguhnya nama bagi kitab ini (yang sebenar –pent) adalah: „AlJami‘ Al-Mukhtasar Min Al-Sunan Rasulillah Wa Ma‘rifatu Al-Sahih wa Al-Ma‘lul Wama ‘Alayhi ‘Amal‟ , dan telah tercetak kitab Al-Tirmizi ini dengan cetakan yang banyak dan pelbagai, namun tidak terdapat walau satupun dari cetakan-cetakan tersebut yang menggunakan nama yang sebenar untuk kitab ini!! Bahkan telah mengisytiharkan cetakan kitab ini yang ditahqiq oleh Syaikh Ahmad Syakir (1377H) dengan nama (Al-Jami' Al-Sahih Wa Huwa Sunan Al-Tirmizi). Dan ini adalah kesilapan yang nyata, ia bukanlah nama yang sebenar baginya, bahkan ia juga tidak bertepatan dengan isi, maksud serta manhaj penulis kitab. Berbanding dengan nama yang sebenar baginya, ini merupakan contoh paling ketara bahawa tajuk yang diletakkan oleh pengarang kitab (yang asal) adalah tajuk yang paling layak, bagi memperkenalkan kitab tersebut dengan pengenalan yang lebih mendalam dan lebih jelas dalam perkataan yang mudah Saya katakan ini, kemudian dicetak pula kitab Al-Tirmizi ini dengan cetakan yang baru dengan nama (Al-Jami’ Al-Kabir), Al-Tirmizi telah menamakan kitabnya sebagai (Al-Jami Al-Mukhtasar) tetapi pentahqiq menamakannya dengan (Al-Kabir).

Manhaj kitab

Manhaj Imam Al-Tirmizi dalam kitab Al-Jami‘ Al-Mukhtasar: Imam Abu Isa Al-Tirmizi telah menulis satu buku kecil pada bahagian akhir kitab Sunannya yang pada kebiasaannya dicetak bersama kitab Sunan AlTirmizi, buku ini dikenali dengan nama Kitab Al-‘Ilal, atau lebih tepat lagi disebut Kitab Al-‘Ilal Al-Soghir. Dalam Al-Ilal, beliau rahimahullah ada menjelaskan beberapa point-point penting sebagai pendahuluan kepada kitab Sunannya, ini bertujuan untuk memberitahu para pembaca berkenaan apa yang telah beliau masukkan dalam Sunannya. Kitab Al-Ilal ini sangat penting untuk kita membacanya, terutamanya bagi memahami manhaj Imam Al-Tirmizi dalam menyusun Sunannya, agar kita tidak tersalah faham atau tersilap tafsir apabila kita membaca kitab Sunan Al-Tirmizi ini.

Pujian

Al-Hafiz Abu'l-Fadl Al-Maqdisi berkata, 'Aku dengar daripada al-Imam Abu Ismail Abdullah bin Muhammad Al-Ansari di Harrah — apabila Abu Isa al-Tirmizi dan kitabnya di bicarakan di hadapannya — berkata: "Bagiku kitab ini lebih berguna daripada kitab-kitab al-Bukhari dan Muslim. Ini kerana hanya seorang pakar mampu memdapat manfaat daripada kitab al-Bukhari dan kitab Sahih Muslim, sementara setiap orang mampu meraih manfaat daripada kita Abu Isa".

Ibn Al-Athir berkata: '(Ia) adalah kitab yang terbaik, memiliki manfaat yang paling banyak, aturannya terbaik, dengan perulangan yang paling kurang. Ia mengandungi apa yang tiada pada kitab-kitab lain; seperti penyataan pendapat mazhab berlainan, sudut-sudut penghujahan, dan menerangkan sama ada kedudukan hadith, sama ada SahihGharib, atau Da'if, dan juga catatan yang baik atau buruk (berkaitan perawi).'

Ketulenan

Daripada empat kitab Sunan, hanya kitab Imam al-Tirmizi yang dibahagikan kepada empat bahagian. Bahagian pertama, yang dimuatkan hadith Sahih beliau bersetuju dengan Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Bahagian kedua pula mematuhi piawaian dua orang tokoh hadith, Imam Abu Daud, dan Imam Nasa'i. Imam al-Tirmizi menggunakan piawaian kedua-dua tokoh ini piawai ini kurang sedikit daripada piawaian Imam al-Bukhari dan Imam Muslim.

Ketiga ialah himpunan hadith yang mempunyai percanggahan; dalam kes ini beliau menerangkan kelemahan hadith. Dan bahagian keempat, hadith-hadith yang telah digunakan oleh pakar fiqh.

Antara kitab-kitab yang mensyarahkan Al-Jami‘ Al-Mukhtasar Al-Tirmizi:

Terdapat banyak kitab-kitab yang mensyarahkan Sunan Al-Tirmizi, antaranya:

1- ‘Aridh Al-Ahwazi Fi Syarh Al-Tirmizi, oleh Al-Hafiz Abu Bakr Muhammad bin „Abdullah Al-Syibili (543H).

2- Al-‘Arf Al-Syaza ‘Ala Jami‘ Al-Tirmizi, oleh Siraj Al-Din „Umar bin Ruslan Al-Bulqini Al-Syafi’i (805H). 

3- Qut Al-Mughtazi ‘Ala Jami‘ Al-Tirmizi, oleh Al-Suyuti (911H).

4- Al-Tib Al-Syazi Fi Syarh Al-Tirmizi, oleh Isyfaq Al-Rahman Kandahlawi.

5- Tuhfah Al-Ahwazi Li Syarh Jami‘ Al-Tirmizi, oleh Abdul Rahman Al-Mubarakfuri

6- Miftah Al-Kunuz Al-Tirmizi, oleh Muhammad Fu’ad Abd Al-Baqi.

Rujukan :

1- Buku Pengenalan Kepada Sunan Al-Tirmizi & Manhajnya. Penulis: Muhammad Fathi Ali (http://ansarul-hadis.blogspot.com/). 

Disemak oleh: Mohd `Adlan bin Mohd Shariffuddin (http://ad-diyari.com/). Edisi: Revisi Disember 2010

2- Manahij al-Muhaddithin- Terbitan : Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Cetakan Kedua, 2016. Muka surat 117-123.

Copy and paste: 18/11/2020: 2 Rabiulakhir 1442H; 12.24 am

No comments: