Wednesday 24 July 2013

Ramadhan & Berbilang Solat Witir

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman

Agak ramai yang tertanya-tanya berkenaan solat witir khususnya di bulan Ramadan yang mulia ini. Disebabkan solat witir kerap dijadikan penutup kepada solat sunat tarawih. Sifat solat witir yang disebut oleh nabi Muhammad s.a.w adalah penutup kepada segala solat sunat pada sesuatu malam, Justeru timbul persoalan sama ada boleh untuk mendirikan solat sunat yang lain selepas solat witir dan adakah boleh ditunaikan witir sekali lagi selepas itu?
Persoalan yang wajar dijelas dengan terang dan jelas oleh para ulama Islam. Terutamanya di bulan Ramadhan ini, ramai yang bangun sahur dan beberapa waktu yang ada sebelum sahur dan selepasnya, sementara menanti azan subuh, adakah boleh didirikan solat witir? Adakah perlu solat witir yang telah  didirikan sebelum ini digenapkan terlebih dahulu ? atau di batalkan? Atau dibuka semula?. Melalui tulisan ini saya cuba menjelaskannya dengan ringkas.
Saya tidak akan mengulas latar belakang solat witir, dari sudut hukum sunat atau wajib, jumlah ra'akatnya. Saya akan terus mengulas sama persoalan larangan Nabi s.a.w untuk menunaikan dua solat witir dalam satu malam.
SOLAT SUNAT SELEPAS WITIR
Asa pertama adalah sama ada boleh mendirikan solat sunat dengan rakaat genap selepas solat witir. Majoriti ulama berpendapat hal tersebut DIBENARKAN berdasarkan hadis sohih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, At-Tirmidzi dan Ibn Majah  yang menyebut nabi mendirikan solat sunat dua rakaat selepas solat witir dan dibaca dalam solat itu surah Al-Zalzalah dan Al-Kafirun. Riwayat Ibn Majah mengatakan nabi solat sambil duduk.
Pun begitu, ulama berbeza ijtihad dalam menanggapi hukum mereka yang telah berniat dari awal untuk solat suat lain selepas witir seperti berikut :-


  • 1-    Sesiapa yang solat witir tetapi berniat untuk solat sunat lagi selepas itu, sebahagian ulama Maliki berijtihad ia sebagai makruh. Berdalilkan kepada hadis nabi :

اجعلوا آخر صلاتكم بالليل وتراً
Ertinya : Hendaklah kamu jadikan witir sebagai solat terakhir kamu di setiap malam. (Hadith sohih Riwayat Al-Bukhari & Muslim)


  • 2-    Seseorang mendirikan solat witir tetapi tiada sebarang niat untuk solat sunat lain selepasnya. Namun atas apa jua sebab, dia mendirikan solat witir selepas itu. Itu HARUS TANPA SEBARANG MAKRUH. Ulama menyatakan keharusannya namun mereka berbeza pandangan sama ada :


·            Hanya solat dengan rakaat genap tanpa witir sekali lagi
·            Dimulakan dengan satu rakaat bagi menggenapkan witir yang telah dilakukan, diikuti solat sunat dua rakaat biasa dan disudahi dengan solat sunat dengan witir (rakaat ganjil) sebagai penutup.



WITIR DI AWAL DAN DIHUJUNG MALAM

Berdasarkan maklumat di atas, sedikit perinciannya adalah seperti berikut :-

Pandangan Pertama : Tidak boleh digenapkan witir awal & tiada lagi witir selepas itu.

Ini merupakan ijtihad majoriti Sahabat Nabi, Tabi'en dan ulama mujtahid termasuk mazhab Syafie. Berdasarkan ijtihad ini, tidak boleh witir digenapkan (orang Melayu namakan sebagai ‘buka' witir). Hanya perlu solat sunat dengan rakaat genap sehingga habis malam TANPA BOLEH MELAKUKAN WITIR SEKALI LAGI. Nabi menyebut :-
لا وتران في ليلة
Ertinya : Tiada dua solat witir dalam satu malam. ( Riwayat Al-Tirmidzi & Ahmad)
Berdasarkan hadis tersebut, Al-Hafidz Al-Iraqi menyatakan majoriti ulama menolak pandangan yang mengatakan boleh DIGENAPKAN witir atau dibatalkan bagi membuka ruang solat sunat lain dilaksanakan. Beliau berkata :-
إن من أوتر وأراد الصلاة بعد ذلك لا ينقض وتره ، ويصلي شفعا شفعا حتى يصبح
Ertinya : Sesiapa yang TELAH mendirikan solat witir ( pada satu malam) dan kemudiannya ingin mendirikan solat yang lain ( sunat) tidak boleh dibatalkan witirnya *yang telah dilakukan), justeru hendaklah dia mendirikan solat sunat dua rakaat , dua rakaat sehingga Subuh ( tiada witir).
Menurut nukilan Ibn Abi Syaibah, antara sahabat nabi yang berpandangan demikian adalah Abu Bakar Al-Siddiq, Ammar B Yasir, Aisyah, Abu Hurairah dan ramai lagi. Manakala dari kalngan ulama besar tabien adalah Sa'id Ibn Musayyab, As-Sya'bi, Ibrahim al-Nakhi'e, Sa'id Ibn Jubair Pandangan itu juga dipegang oleh Sufyan Al-Thawry, Imam Malik, Imam Ahmad, Abu Thawr, Imam Shafi'e dan Qadhi Iyadh dan ramai lagi.[1]
Menurut kumpulan ulama ini, pandangan yang membolehkan menggenapkan witir (buka) dan didirikan sekali lagi di akhir malam adalah lemah, selain alasan kekuatan dalil yang disandarkan, mereka juga mengutarakan pertikaian jika witir dilakukan di awal malam, kemudian tidur dan apabila bangun di hujung malam lalu dilaksanakan sambungannya, itu sudah dikira dua witir yang berasingan disebabkan wudhu yang telah batal dan pemisahan antara keduanya untuk tempoh yang panjang.
Hasilnya, untuk menganggap witir di awal malam dan yang dilaksanakan di hujung malam sebagai SATU WITIR adalah lemah, malah Imam As-Syawkani mengatakan jika dilakukan satu rakaat terlebih dahulu dengan niat untuk menggenapkan rakaat witir yang ganjil sebelum ini, maka ia sudah dikira witir kedua, dan jika ditutup pula solat sunat pada malam itu dengan witir yang lain, tatkala itu witir itu dianggap witir ketiga. Ia jelas melanggar tegahan nabi.
Selain itu dinaqal dari Abu Bakar As-Siddiq, Ammar bin Yasir dan Aisyah yang mengatakan sesiapa yang membatalkan witir ( dengan solat satu rakaat bagi menggenapkannya) adalah orang yang bermain-main dengan solatnya.

Pandangan Kedua : Boleh digenapkan witir awal dan solat semula di akhirnya.
Pandangan dan ijtihad berbeza ini menyebut keharusan untuk neutralize witir awal dengan menggenapkan jumlah rakaat witir yang telah dilakukan iaitu dengan cara menunaikan satu solat dengan rakaat ganjil. Dengan cara itu, seolah witir yang sebelum ini berubah menjadi solat genap, tidak lagi witir.
Mereka berdalilkan athar dari Ibn Umar r.a yang diriwayatkan berkata :-
أما أنا فلو أوترت قبل أن أنام ، ثم أردت أن أصلي بالليل شفعت بواحدة ما مضى من وتري ، ثم صليت مثنى مثنى ، فإذا قضيت صلاتي أوترت بواحدة ، لأن رسول الله صلى الله عليه وسلم { أمرنا أن نجعل آخر صلاة الليل الوتر
Ertinya : Adapun aku, kiranya aku telah solat witir sebelum aku tidur, kemudian apabila (aku bangun) dan ingin menunaikan solat di malam hari, akan aku mulakan dengan satu rakaat barang yang telah selesai dari witirku sebelum ini ( menambah satu agar digenapkan) kemudian, aku akan solat sunat dua raka'at, dua raka'at, setelah selesai semuanya, akan aku  akhirinya dengan solat witir satu rak'at, itu adalah kerana Rasulullah mengarahkan kami agar menjadikan solat sunat terakhir dalam satu malam, adalah solat witir. ( Riwayat Ahmad)

Mereka juga berpegang kepada dalil athar Uthman Affan r.a :-
إني إذا أردت أن أقوم من الليل أوترت بركعة، فإذا قمت ضممت إليها ركعة فما شبهتها إلا بالغريبة من الإبل تضم إلى الإبل
Ertinya : sesungguhnya aku apabila aku ingin tidur di awal malam, aku dirikan solat witir, dan apabila aku bangkit ( di tengah malam) akan ku gabungkan dengannya (witir sebelum ini) dengan satu rakaat, tidaklah ia kecuali seperti seekor unta ganjil yang bergabung dengan kumpulannya. ( Tuhfatul Ahwazi syarah Sunan Tirmidzi)
Diriwayatkan daripada Ali K.W berkata :
الوتر ثلاثة أنواع فمن شاء أن يوتر أول الليل أوتر ، فإن استيقظ فشاء أن يشفعها بركعة ويصلي ركعتين ركعتين حتى يصبح ثم يوتر فعل ، وإن شاء ركعتين حتى يصبح ، وإن شاء آخر الليل أوتر
Ertinya : Witir itu tiga cara, barangsiapa yang ingin witir di awal malam, maka perbuatlah, sekiranya dia bangun di malamnya , mulakan dengan satu rakaat dan diikuti dua rakaat, dua rakaat sehingga subuh diakhiri witir , maka lakukanlah. ( Kedua) Sesiapa yang ingin solat dua rakaat sehingga subuh (tanpa diawali dengan satu rakaat dan diakhiri dengan witir lagi) , maka lakukanlah. (Ketiga), atau barangsiapa yang ingin terus melewatkan solat witirnya di akhir malam sahaja (tidak solat witir) di awal malam. (Riwayat Imam Syafie dalam musnadnya)

KESIMPULAN
Saya tidak berhasrat untuk memanjangkan perbincangan secara terlalu ilmiah. Cukuplah pendedahan info dan dalil ringkas seperti di atas.
Dari pendedahan di atas, jelas hal ini adalah isu khilaf yang diterima, justeru semua pihak diharap tidak memperlekeh mana-mana pandangan yang berbeza. Saya pernah mendapati ada individu yang memperlekehkan tindakan ‘membuka witir' dengan menggenapkannya sebagai lucu. Kini telah disertakan beberapa dalil yang wujud dalam hal tersebut. Walau ia pandangan yang marjuh (kurang kuat), ia tidak wajar sama sekali untuk dilucukan.
Di bulan Ramadhan yang mana witir biasanya didirikan sebagai penamat kepada solat terawih. Jika kita bangkit bersahur dan punyai masa untuk terus menunaikan solat sunat lain, ia DIHARUSKAN tanpa perlu dimulai dengan satu rakaat witir. Tidak perlu pula ditutupi dengan witir lain selepas itu.
Wajar dituruti pandangan majoriti ulama yang MELARANG ditunaikan solat witir sekali lagi di akhir malam. Cukup sekali witir yang telah didirikan di akhir terawih bersama imam berteatan dengan saranan Nabi Muhammad s.a.w.
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
18 Ogos 2010
8 Ramadhan 1431
Copied from Internet: 24.7.2013: 11.53 pm

No comments: