Friday, 19 July 2013

IKTIKAF DI BULAN RAMADHAN

Di antara Ibadah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. di bulan Ramadhan terutamanya pada sepuluh hari terakhirnya ialah iktikaf. Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan;
أَنَّ النَّبِيَّ -صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ، حَتَّىَ تَوَفَّاهُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ، ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ
“Rasulullah s.a.w. beriktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadhan hingga ia meninggal dunia. Kemudian isteri-isteri baginda meneruskan iktikaf selepas kewafatan baginda”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Iktikaf bermaksud menetap di dalam masjid dengan niat ibadah. Syaratnya ada tiga iaitu;
Pertama: Berniat iktikaf (yakni berniat untuk tinggal/berdiam di dalam masjid dalam tempoh tertentu dengan tujuan ibadah bagi melaksanakan sunnah Nabi s.a.w.)
Kedua: Menetap/tinggal di dalam masjid dalam tempoh tertentu yang dapat dianggap pada uruf bahawa seseorang itu beriktikaf atau duduk diam di dalam masjid.
Ketiga: Seorang yang beriktikaf pula disyaratkan hendaklah seorang muslim, berakal sihat dan suci dari haid, nifas dan janabah.
(Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam asy-Syafi’ie, jil. 2)

No comments: