Friday, 26 July 2013
NUZUL AL QURAN
PERISTIWA Nuzul al-Quran adalah antara peristiwa penting yang harus diingati dan direnungkan oleh setiap Muslim. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Bermula dengan peristiwa inilah, zaman jahiliah yang diliputi kegelapan disinari cahaya, kesesatan digantikan kebenaran dan umat yang hidup bertuhankan hawa nafsu berubah kepada bertuhankan Allah yang Maha Esa. Dalam erti kata lain, peristiwa Nuzul al-Quran menjana perubahan dan membina peradaban umat. Allah SWT berfirman: "Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam." (QS Al-Anbiya:108)
Mafhum daripada ayat ini menjelaskan bahawa, melalui utusan Nabi Muhammad SAW yang diangkat oleh Allah SWT sebagai Rasul, Baginda menjadi rahmat bagi seluruh alam kerana membawa petunjuk (al-Quran) yang memandu manusia ke jalan keselamatan dan kesejahteraan. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘Al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘Al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Disebabkan keutamaan inilah, al-Quran berbeza daripada kitab lain yang diturunkan kepada nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya al-Quran adalah mukjizat terbesar yang dianugerahkan Allah SWT kepada Rasulullah SAW dalam menghadapi cabaran ketika menyebarkan dan menegakkan syiar Islam.
Ketabahan Baginda berjaya mengubah bangsa Arab yang suatu ketika dulu hidup tanpa pedoman, jauh daripada hak dan kebenaran dengan meniupkan roh semangat al-Quran. Peristiwa Nuzul al-Quran perlu diingati dengan penuh keinsafan oleh umat Islam. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah daripada tempat yang terletak di sebelah atas ke tempat di sebelah bawah. ‘Al-Quran’ pula bererti bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu, terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat dan sebagainya.
Peristiwa Nuzul al-Quran mengubah dan membina peradaban umat. Ini adalah kerana al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu adalah perkara benar dan tidak perlu diragui oleh manusia. Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS ialah lima ayat pertama daripada surah Al-Alaq. Firman Allah SWT: "Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Maha Mulia yang mengajarkan (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." (QS Al-Alaq:1~5)
Sehubungan itu, peristiwa Nuzul al-Quran seharusnya dihayati oleh umat Islam kerana ia menjadi asas keimanan terhadap al-Quran bahawa ia adalah Kalam Allah SWT. Bahkan, ia dilihat sebagai asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad SAW serta keyakinan bahawa Islam itu adalah agama benar, satu-satunya agama yang diredhai pada sisi Allah SWT. Dengan berlakunya Nuzul al-Quran, hala tuju kehidupan manusia menjadi lebih kemas dan jelas dengan berpandukan petunjuk dan pedoman yang diwahyukan oleh Allah SWT. Banyak keterangan dalam al-Quran dan hadis bahawa al-Quran adalah kitab petunjuk atau pedoman ke arah mencapai darjat muttaqin, iaitu orang yang bertakwa. Firman Allah SWT: "Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa." (QS Al-Baqarah:2).
Al-Quran diturunkan oleh Allah bukan sekadar untuk dibaca atau dilagukan semata-mata, tetapi apa yang lebih utama ialah menjadikannya sebagai panduan dan pedoman sepanjang hayat. Itu sebabnya al-Quran dikatakan sebagai iman bagi umat Islam. Al-Quran, di samping membawa maksud kitab bacaan, juga dikenali sebagai An-Nur, Al-Furqan, Al-Zikr dan sebagainya, secara tidak langsung menunjukkan peranannya yang sangat istimewa. An-Nur bererti cahaya yang menerangi, Al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan Al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Justeru, bagaimana seharusnya sikap kita agar al-Quran itu menjalankan berperanan sebagai cahaya yang menerangi hidup dan pembeza antara hak dan batil serta pemberi peringatan? Bolehkah al-Quran berperanan sebagai cahaya penerang dan pembimbing hidup jika kita tidak memahami isi kandungannya? Kalau tujuan utama manusia dijadikan oleh Allah SWT untuk memperhambakan diri kepadaNya iaitu dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan laranganNya, maka penghambaan kita kepada Allah SWT tidak akan sempurna tanpa memahami kehendakNya. Demikian juga perhambaan kepada Allah SWT tidak akan sempurna melainkan selepas difahami dan diamalkan kehendakNya kerana semua kehendak Allah SWT itu tercatat dalam al-Quran.
Renungkanlah.......
Takbir!
Copied from Facebook: 26.7.2013
Labels:
RAMADHAN
A retired Navy personal, served with the Royal Malaysian Navy for 16 years (1980 - 1996). After retired work with several firms and organisation...now fully retired after Bypass Surgery in March 2019.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment