Saturday, 6 July 2013

Kisah Al Kifli

TAZKIRAH 11 RAMADAN 1433H

Tarikh: 31 Julai 2012
Tempat: Surau At Taqwa Lembah Keramat KL
Penceramah: Ustaz Muhammad Rasyaadan Razali

Tazkirah malam ini di Surau At Taqwa Lembah Keramat KL disampaikan oleh Ustaz Muhammad Rasyaadan Razali mengenai sepotong hadis, 
عن ابن عمر قال : سمعت النبى صلى الله عليه وسلم يحدث حديثا لو لم أسمعه الا مرة أو مرتين , حتى عد سبع مرات ولكنى سمعته أكثر من ذلك, سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : كان الكفل من بنى اسرائيل لا يتورع من ذنب عمله , فأتته امرأة فأعطاها ستين دينارا على أن يطأها , فلما
 قعد منها مقعد الرجل من امرأته أرعدت وبكت , فقال : ما يبكيك ؟ أأكرهتك ؟ قالت . لا, ولكنه عمل ما عملته قط , وما حملنى عليه الا الحاجة , فقال : أنت تفعلين هذا وما فعلته , اذهبى فهى لك , وقال لا, والله لا أعصى الله بعدها أبدا , فمات من ليلته , فأصبح مكتوبا على بابه : ان الله قد غفر للكفل . 

Maksudnya : Daripada Ibnu Umar r.a katanya, aku mendengar Nabi saw menceritakan satu kisah, tiadalah aku dengar kisah itu sekali atau dua kali atau tujuh kali bahkan aku mendengarnya lebih banyak daripada jumlah itu. Aku mendengar Nabi saw bersabda, ada seorang lelaki daripada Bani Israil sangat kuat melakukan kerja-kerja maksiat. Pada satu hari dia didatangi seorang perempuan yang meminta sedekah daripadanya, lalu diberi oleh Al Kifli enam puluh dinar dengan syarat perempuan itu hendaklah berzina dengannya. Maka tatkala mereka hendak berzina tiba-tiba wanita itu menggigil dan menangis. Lalu Al-Kifli bertanya perempuan itu, mengapa menangis ? adakah kerana aku paksa kamu melakukannya ? Jawab perempuan itu, tidak. Tetapi perbuatan ini tidak pernah sekali-kali aku lakukan, dan apa yang aku lakukan ini hanyalah kerana hajat. Maka kata Al-Kifli, engkau (takut) lakukan ini dan aku tidak (takut) lakukannya. Pergilah engkau daripadaku dan ambillah wang itu. Maka kata Al-Kifli, Tidak, Demi Allah Aku tidak akan melakukan maksiat selepas ini selama-lamanya. Maka Al-Kifli meninggal dunia pada malam itu. Sabda Nabi saw, Berpagi-pagi Al-Kifli dalam keadaan namanya sudah tertulis dipintu syurga, sesungguhnya Allah SWT telah mengampunkan dosa-dosa Al-Kifli. (Riwayat At-Tirmizi)
 

Pengajarannya..., kita sebenarnya tidak tahu bagaimana nasib kesudahan kita. Ada orang pada zahir nampak banyak melakukan dosa tetapi kesudahannya dia mati dalam keadaan bertaubat seperti Al-Kifli. Sebaliknya ada orang pada zahirnya banyak melakukan amal kebaikan tetapi kesudahannya dia mati "Suk ul Khotimah". Na'uzubillah.
 

Oleh itu hendakah kita berdoa kepada Allah SWT, sekiranya kita sudah berada di landasan yang betul, taat melakukan suruhan Allah SWT, maka sampai ke akhir hayat kita tetap istiqamah berada di landasan yang betul dan taat kepada perintah Allah SWT. Moga-moga mati kita dalam "Husnul Khotimah". Amin


Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, KL
6.7.2013 : 1.04 am

No comments: